Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 1 November 2017

JALAN PULANG - BAB 31



Dari kejauhan, Malek dan Hassan mengintai dari sebalik pokok-pokok pisang yang tumbuh subur di tepi tasek terbiar  berhampiran kawasan Kampung Seberang.  Beberapa orang lelaki sedang memujuk beberapa orang pelajar sekolah agar membeli sesuatu. 
            “Mereka tukan pengedar Abang Malek?” kata Hassan.  Sudah beberapa kali dia melihat ketiga-tiga lelaki itu berlegar-legar di kampung ini. 
            “Mana Hassan tahu?” tanya Malek separuh berbisik. 
            “Dah banyak kali saya tengok mereka sebelum ini, waktu markaz penagih itu aktif, mereka sering berulang alik masuk kampung kita ni,”  ujar Hassan, dahinya berkerut.  Dia yakin benar, mereka orang yang sama.
            “Kita tunggu sampai mereka berlalu. Nanti kita dekati budak-budak tu. Suka sangat melepak kat tempat seperti ini.  Rasanya tasek ni kita boleh gunakan sebagai tempat reakreasi. Nanti saya bincang dengan pak su,”  kata Malek sambil matanya meliar memerhati kawasan tasek yang terletak tidak jauh dari kampung mereka.  Kawasan lain yang tidak digunakan dan terbiar sudah diguna pakai sepenuhnya.  Tinggal kawasan tasek itu sahaja lagi.  Boleh buat kawasan memancing dan beriadah untuk penduduk persekitaran Kampung Seberang.
            “Baik cadangan abang tu, saya setuju aje.  Nanti kita ajak penduduk kampung bersihkan kawasan ni, kalau tidak jadi tempat melepak budak-budak ponteng sekolah,”   kata Hassan pula.
            Mereka terus mengintip dan memerhati sehinggalah ketiga-tiga lelaki itu berlalu.  Tinggal beberapa orang pelajar yang duduk bersantai sambil menghisap rokok.  Hari masih awal, tentu mereka ponteng sekolah. 
            Malek mengeluh kesal.  Para pengedar ini tidak tahu duduk diam, masih juga hendak kacau anak-anak muda kampung ini.  Mereka hendak apa sebenarnya?  Masih tidak puas hati lagi merosakkan ramai manusia yang lain?  Tidak sudah-sudah menyusahkan penduduk kampung ini.
            “Bang! Mereka dah pergi,”  kata Hassan, sambil menguit lengan Malek.
            “Tunggu sampai mereka menghilang.  Nanti kita fikirkan bagaiman nak perangkap mereka.  Selagi tidak ke tali gantung, hidup mereka hanya tahu menyusahkan orang!”  Marah Malek.
            Malek menunggu dengan sabar, biarpun kepalanya berat dengan masalah yang sedang dihadapinya sendiri, tapi dia juga tidak boleh melupakan tanggungjawabnya kepada masyarakat kampungnya itu.  Masalahnya dengan Maheran akan diselesaikan juga nanti, bagaimana hanya Allah yang Maha Mengetahui.  Melihat keadaan Maheran membuatkan jiwanya tidak tenteram. Perempuan itu sudah terlalu banyak terseksa kerana perbuatan dirinya. Oleh kerana itu, dia tidak mahu ada manusia lain yang jadi sepertinya. Dosa yang dilakukan jika tidak dimaafkan akan dibawa sehingga ke neraka. Ketika itu penyesalan tiada gunanya lagi. 
            “Bang!” tegur Hassan.
            Malek menoleh.  Para pelajar itu masih lagi melepak sambil menghisap rokok.
            Malek dan Hassan keluar dari tempat persembunyian mereka.  Mereka berjalan mendekati para pelajar sekolah menengah yang masih berpakaian seragam, beg sekolah diletakkan di tanah, mereka bersandar di perdu pokok sambil menghembus asap rokok dengan rakusnya.  Seronok sangat nampaknya.
            Malek memegang bahu salah seorang pelajar tersebut.  Tersentak kesemuanya, terkejut melihat kelibat Malek yang bermuka garang, memandang tajam ke arahnya mereka.
            Hassan  pula memegang salah seorang pelajar  yang cuba melarikan diri.
            “Ini kerja kau orang ya?  Tak pergi sekolah? Ponteng?  Hisap rokok?  Keluarkan semua barang dari dalam beg kamu semua!” Malek mengetap bibir.  Cukuplah dia dan ramai lagi yang menjadi sampah masyarakat.  Dia tidak akan membiarkan lima pelajar itu menambah jumlah mereka yang telah rosak akhlaknya.
            “Maaf pak cik!  Kami melepak aje!”  kata salah seorang pelajar yang ditangkap itu.
            “Melepak apanya jam 10 pagi ni?  Belum habis waktu belajar, kan?”  marah Malek.
            “Kau ni anak Daud, kan?  Mak ayah kau tak ke kau ponteng sekolah?” teka Malek lagi.  Wajah pelajar yang berdiri di hadapannya dipandang seketika. Sahlah, ini anak Daud, kawan sekampungnya yang baik.
            “Ya, ya… pak cik! Tolong jangan beritahu ayah saya pak cik!” rayu pelajar itu, berambut pendek, baju sekolah sudah berada di luar seluar.  Tali leher sudah diletakkan di dalam beg.  Mukanya penuh dengan jerawat. 
            “Tahu takut?  Kalau takut kenapa ponteng sekolah?” Malek mencubit perut pelajar itu.
            “Sakit pak cik!” jerit pelajar itu.
            “Sakit?  Kau tahu bagaimana sakitnya hati orang tua kau nanti bila tahu kau ponteng sekolah dan  merokok?”
            “Kawan-kawan saya ni ajak ponteng pak cik!  Mereka juga yang ajar saya merokok,”  alasan  pelajar itu.
            Malek ketawa.
            “Jangan salahkan orang!  Kalau kau tak nak, orang takkan paksa!   Diri sendiri yang tak tahu nak jaga diri, pandai pula nak letakkan kesalahan pada orang lain?”  getus Malek.  Mahu sahaja penampar naik ke muka pelajar itu.  Apa yang berlaku kepadanya dahulu, dia juga tidak boleh menyalahkan orang lain.  Dia sendiri yang membuat pilihan
            “Tiga lelaki yang datang dengan kamu tadi tu siapa?  Apa mereka nak?”  Malek terus bertanya. Para pelajar itu sudah pucat mukanya.  Ramai anak muda di kampung itu takut dengan Malek apatah lagi tahu siapa Malek sebelum ini.
            “Mereka, mereka suruh kami cuba benda  ini,”  kata seorang lagi pelajar yang asyik menunduk sejak tadi.  Langsung tidak berani angkat muka.
            “Bak sini!”  Malek mengambil bungkusan  tersebut.  Dia membukanya.
            “Kau orang nak buat apa dengan benda ini? Kau orang tahu tak, apa bendanya ini?”  Malek menunjukkan bungkusan berisi serbuk seperti Kristal itu.
            “Jenis ada tu bang?” tanya Hassan.
            “Syabu Hassan, mahal harganya ni!”  Malek mengetap bibir. 
            “Kau orang tahu tak ini dadah?”  soal Malek.
            “Tak tahu pak cik!  Kata pak cik-pak cik tadi, ini ubat stress, kemurungan, dan boleh menggembirakan,” jelas salah seorang pelajar itu lagi.
            Malek menggeleng kekesalan. Lima orang pelajar tingkatan tiga itu dipandang seorang demi seorang.   Umur masih muda, sudah berani ponteng kelas dan merokok.  Ada pula yang menawarkan dadah secara percuma, apabila para pelajar ini sudah ketagih mulalah mereka menjualnya pula.  Bijak strategic para pengedar dadah ini jalankan pemasaran mereka.  Merka umpan dahulu, sudah mengena, mereka akan tangkap terus sehingga penagih baharu itu akan ketagihan yang amat sangat. Ketika itu amat sukar untuk menyelamatkan mereka atau menghilangkan ketagihan yang dialami.
            “Ini dadah!” jerkah Malek.  Geram pula hatinya. 
            “Benarlah, ketiga-tiga lelaki tadi itu, pengedar.  Apa kita nak buat ni bang? Nanti mereka cari lagi budak-budak ni!”  Hassan pula gelisah.
            “Kita gunakan budak-budak ni perangkap ketiga-tiga lelaki itu.” Malek tersenyum.
            “Kau orang kena bantu pak cik, kalau tak pak cik sumbat kau orang dalam lokap!”  ugut Malek.
            “Tak nak pak cik!” laung mereka berlima.
            “Sekarang, jom pergi ke sekolah semula.  Kena denda pun kenalah, kau orang dah buat salah.  Terima saja hukuman. Jangan nak besar kepala.  Bila ketiga-tiga lelaki itu nak datang lagi?” 
            Para pelajar itu menceritakan temu janji seterusnya dengan pengedar dadah itu.  Mereka juga diberi ganjaran jika mampu ajak ramai lagi kawan-kawan beli barang tersebut. 
            Malek mengetap bibir.  Ini sudah melampau! Mereka menggunakan pelajar sekolah untuk pujuk pelajar lain jadi penagih pula.  Mereka tidak akan dibiarkan.  Malek memandang persekitaran tasek terbiar itu.  Tempat itu akan di bangunkan sebagai pusat reakreasi.  Biar bermanfaat.  Dibiarkan terbiar, ada saja makhluk asing yang sudi singgah terutama yang jenis kaki ponteng sekolah.
            “Lepas ini pak cik tak nak tengok muka kau orang berlima ponteng sekolah lagi! Faham?” 
            “Bbb… baik pak cik!” janji kelima-lima mereka.
            Malek dan Hassan mengiringi para pelajar itu kembali ke sekolah.  Boleh tahan jauhnya mereka berjalan kaki.  Kebetulan Malek dan Hassan hanya menaiki motosikal.  Terpaksalah mereka berjalan kaki bersama para pelajar tersebut. 
            “Kita mesti kekang masalah ponteng sekolah ni bang.  Mula-mula ponteng, lepas itu mulalah rancang yang bukan-bukan pula.”  Hassan mengeluh kekesalan.
            “Nanti kita ajak pak cu pergi berbincang dengan pihak sekolah.  Tentu ada cara untuk mengatasinya.  Kita tak boleh biarkan anak-anak bangsa kita terus tercicir dalam pelajaran dan terlibat dengan anasir tidak sehat,”  cadang Malek.  Itulah yang akan dilakukannya nanti.   Dia sudah nekad tidak akan membiarkan golongan remaja dan muda ini menjadi sampah masyarakat.  Hasilnya berjaya atau tidak, itu bukan haknya.  Yang penting dia akan berusaha dahulu untuk mengubah keadaan.  Setiap benda, kalau tidak digerakkan, takkan bergerak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan