Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 7 November 2017

JALAN PULANG - BAB 37



             Kenderaan bertali arus, Sesekali bunyi hon kenderaan menyapa telinga.  Hujan mula turun renyai-renyai.  Zakuan yang sudah setengah jam duduk di dalam keretanya mula gelisah.  Sekejap dia menyandar, sekejap dia duduk tegak.  Kegelisan mula melingkari.  Waktu terus berjalan.  Kalau lambat balik ke rumah, pasti ibunya akan menelefon.  Matanya masih lagi memandang ke arah rumah banglo dua tingkat itu.  Tidak nampak kelibat sesiapa.  Sunyi sepi bagaikan tidak berpenghuni.  Hendak bertanya dengan siapa?  Zakuan mendengus kasar.  Dia ke rumah tersebut dari tempat kerja.  Perutnya sudah mula berbunyi, laparlah pula, detik hati kecilnya.
            Lengan kemeja dilipat sehingga ke siku, tali leher sudah lama dibuka.  Sesekali matanya menyinggah memandang jam di tangan.  Ah! nak tunggu berapa lama? kenapa aku tidak pergi saja ke rumah itu?  Bisik hati kecilnya sendiri. Mahukah mereka menerima kehadirannya?  Tidak pasal-pasal kena halau macam hari itu.    Nasib baik dia sudah solat asar di pejabatnya tadi, kalau tidak pasti dia terlewat solat.
            Tidak mengapa, dia akan tunggu setengah jam lagi. Manalah tahu ada rezekinya nanti.  Zakuan tetap sabar, sambil mengalunkan zikir di bibir, dia setia menunggu.  Sesekali matanya beralih arah juga. Letih memandang ke satu arah.  Lima minit sebelum dia bersedia untuk meninggalkan kawasan tersebut.  Pintu pagar di tolak orang.  Sebuah kereta meluncur keluar.  Zakuan segera membuka pintu keretanya dan berlari keluar.  Dia menahan kereta tersebut.
            “Hoi! Ke tepilah, nak bunuh diri ke?”  tingkap kereta di buka. Terpacul seorang wanita muda, berkaca mata hitam. Dia membuka cermin matanya.  Dahinya berkerut. 
            “Cik Ayu, saya nak jumpa Cik Ayu!” kata Zakuan.
            “Awak!”  Ayu merenung wajah lelaki itu.  Lelaki yang telah datang ke rumahnya bersama dengan lelaki tua yang pernah merogol mamanya.  Siapa lelaki ini?  Apa hubungannya dengan lelaki tua itu?  Ayu mendengus kasar.
            “Saya nak keluar ni, awak nak jumpa saya buat apa? Kita tak ada kena mengena, lagipun keluarga saya takkan maafkan lelaki tua itu.  Tak payahlah awak merayu,” kata Ayu. Itulah kata nenek dan mamanya.  Dia hanya mengikut.  Selayakkah lelaki itu dimaafkan atas perbuatannya yang telah menghancurkan masa depan keluarganya ini. Dan hasilnya, dia telah dilahirkan ke dunia ini, tidak diingini dan tidak diterima kehadirannya.  Hanya neneknya sahaja yang masih sudi memandangnya dengan penuh kasih sayang.  Mamanya?  Pandang dia sebelah mata pun tidak mahu, dia terpaksa berada di situ demi neneknya.  Biarpun kasih ada kepada mamanya, tetapi… Ayu mengeluh kesal.
            “Tolonglah!  Sekali saja, selepas itu saya takkan cari awak,” rayu Zakuan.
            Ayu mengerut dahi.  Dia memandang sekeliling. 
            “Baiklah, awak ikut kereta saya,”  kata Ayu sebelum berlalu meninggalkan kawasan tesebut. 
            Zakuan kembali ke keretanya dan mengikut belakang kereta gadis itu.  Dia tersenyum kelegaan.
            Gadis itu berhenti di sebuah kawasan rumah kedai. Terdapat sebuah restoran mamak.  Dia memakirkan keretanya dan mengamit Zakuan yang berada di belakang keretanya agar memakirkan kereta juga.
            Ayu terus masuk ke dalam restoran tersebut.  Dia mencari tempat duduk yang mudah dilihat orang.  Manalah tahu jika lelaki itu berniat jahat.  Sekurang-kurangnya orang ramai nampak dan dia boleh diselamatnya.  Apa yang berlaku kepada mamanya membuatkan dia lebih berhati.  Begitu juga di rumah, semua jenis sistem keselamatan di pasang.  CCTV pun ada.  Kejadian tersebut telah membunuh jiwa keluarganya.  Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali.
            Zakuan memarkirkan keretanya di sebelah kereta gadis itu.  Setelah mengunci kereta dia melangkah masuk ke dalam restoran tersebut dan terus mendekati Ayu.  Zakuan duduk menghadap gadis tersebut.
            Seorang pelayan kedai mendekati mereka.  
            Zakuan memesan roti telur dan teh tarik. 
            Ayu hanya memesan kopi panas.
            “Apa awak nak?”  Ayu membuka cermin mata hitamnya.  Dia memandang wajah lelaki itu agak lama.  Dahinya berkerut semula.  Wajah lelaki itu sama seperti wajah lelaki tua itu, adakah mereka ada pertalian darah?
            “Saya nak minta tolong awak, pujuk ibu awak maafkan ayah saya,”  kata Zakuan berterus terang.
            Ayu menyandar lalu tersenyum.  Dia sudah agak, lelaki muda itu punya hubungan dengan lelaki tua yang datang ke rumahnya beberapa hari yang lalu.
            “Saya tak mampu nak pujuk mama saya.  Awak ingat dia suka dengan saya?”  Ayu memeluk tubuh. Dia tersenyum sinis.
            “Tolonglah! Ayah saya dah insaf, kalau awak nak dia berkahwin dengan mama awak pun boleh.”
            “Gila! Awak tahu tak, lelaki yang awak panggil ayah tu, dah jahanamkan keluarga saya!”  kata Ayu tegas.
            “Ya, saya tahu.  Dia juga telah memusnahkan hati ibu saya,”  ujar Zakuan.  Dia menunduk seketika.  Hilang seleranya untuk menjamah roti canai telur yang sudah ada di hadapan mata.  Perutnya berbunyi minta di isi.
            “Makanlah dulu, tak usah awak fikirkan masalah orang lain.  Biarlah mereka selesaikan sendiri.”  Ayu mendengus kasar.
            “Awak!”  Zakuan masih berharap.
            “Jamahlah roti awak tu dulu, dah habis kita sembang lagi,”  suruh Ayu.  Dia memerhati Zakuan menghabiskan makanan dan minuman yang dipesan. Lelaki itu mesti baharu pulang dari kerja, melihat caranya berpakaian. Berkemeja dan berluar slack.
            “Apa harus saya buat agar nenek dan mama awak maafkan ayah saya? Ayah saya dah berubah tau, dia dah pun terima hukuman 25 tahun penjara atas perbuatannya serta enam kali sebatan.  Saya rasa itu sudah cukup buatnya,” cerita Zakuan.
            “Kalaupun saya simpati, saya tak boleh membantu.  Hati ibu dan nenek saya sudah lama terluka.  Masih berdarah sehingga ke hari ini, apatah lagi melihat saya setiap hari di hadapan mereka.  Hasil perbuatan ayah awak.  Ibu saya tidak jadi kahwin dengan kekasih hatinya, pertunangannya diputusnya. Dia kehilangan orang yang disayanginya.  Nenek saya pula kehilangan suami.  Saya?  Masa depan saya tidak tahu akan jadi apa,” luah Ayu dengan mata berkaca.    
            “Tapi layakkah ayah awak itu diberi simpati?”  Ayu memandang sinis.
            “Saya faham perasaan awak.  Tapi masa tidak boleh diundur semula.  Kesilapan ayah saya memang tidak boleh dimaafkan.  Setiap orang berhak diberi peluang kedua.”
            “Peluang kedua?  Peluang apa?  Tengoklah perbuatan apa? Kenapa? Dan bagaimana? Kalau sampai melahirkan anak luar nikah, hidup perempuan itu musnah, hancur sama sekali, awak rasa berhak diberi peluang kedua pada orang yang telah memusnahkannya?”  tempelak Ayu.
            “Awak tengok saya ini, saudara mara sebelah ibu, datok dan nenek saya, tak terima saya langsung.  Mereka tak akui kehadiran saya,  saya hanya hidup dengan belas ehsan nenek saya saja,”  cerita Ayu lagi.
            Bagaimana mungkin dia melupakan kehidupannya di masa kecil.  Jika di bawa ke majlis sebelah keluarga neneknya, tiada siapa yang sudi memegang dan mendukungnya.  Neneknyalah yang mendukungnya ke sana ke mari.  Sepupu-sepupunya langsung tidak mahu bermain dengannya.  Kakak dan abang mamanya langsung tidak datang menjengah. Kalau nak bercakap dengan neneknya atau berjumpa, mereka akan datang ambil nenek dan tinggalkan dia dengan pembantu rumah. Begitu hina dirinya.  Dia hanya mampu menangis dalam hati.  Mereka juga tidak benarkan dia dihantar ke sekolah.  Dia pandai membaca kerana neneknya yang ajar.  Neneknya paksa dia membaca buku, dia tidak punya kawan seperti orang lain.  Hidup sendiri-sendiri, sebatang kara.  Tiada saudara mara, tiada kasih sayang orang lain.  Hanya kasih sayang neneknya. 
            “Saya dah lambat ni, nak beli barang dapur. Nanti bising nenek saya. Kalau awak nak juga kemaafan keluarga saya, awak pergilah minta maaf sendiri dengan mereka.  Kalaulah rezeki ayah awak baik, tentu dia akan dimaafkan.  Saya minta diri dulu.”  Ayu bingkas bangun.  Dia meninggalkan Zakuan seorang diri.
            Zakuan terdiam.  Dia faham perasaan Ayu. Kalaulah dia berada di tempat gadis itu, pasti sudah gila jadinya.  Namun, gadis itu kuat semangat, meneruskan hidup seperti tiada apa yang berlaku, terima cemuhan dan penghinaan dengan sabar dan tabah.  Zakuan kagum dengan gadis tersebut.  Haruskah dia berjumpa dengan Puan Maheran dan ibu perempuan itu?  Kalau terpaksa, demi ayahnya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan