AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 3 November 2017

JALAN PULANG - BAB 33



Salmah mengetap bibir, menahan rasa marah yang berapi-api.  Wajah tenang Zakuan dipandang lama.  Sekejap ada, sekejap menghilang.  Ke mana sahaja anak sulongnya pergi?  Takkan cari ayahnya?  Dahinya berkerut.  Lengan baju kurung pesak yang tersarung di badannya yang kurus ditarik sehingga ke siku. Rambutnya yang beruban dan panjang disanggup kemas.  Kain batik jawa yang tersarung dibetulkan ikatannya.  Dia duduk menghadap Zakuan yang sedang menikmati sarapan yang disediakan oleh Salmah.  Nasi goreng kampung.           
            “Ibu tak makan sama ke? Asyik perhati Wan dari tadi, kenapa?  Rindu sangat ke dengan Wan?” seloroh Zakuan lalu melakarkan senyuman manis buat ibu tersayang.
            “Wan ke mana? semalam dulu tak tidur di rumah.  Kelmarin sehari menghilang.  Wan tak beritahu ibu pun Wan keluar ke mana-mana.  Ibu risau tau,” hambur Salmah dengan wajah serius.
            “Wan ada aje di kampung ni.  Wan tidur di rumah ayah dan ikut ayah buat kerja sukarelawannya itu.  Ibu tahu, banyak perubahan sudah berlaku di kampung ini, semua kawasan semak samun sudah ditebas dan dibersihkan.  Kawasan tasek terbiar dijadikan tempat menternak ikan air tawar dan kawasan rekreasi mengikut kesesuaian tempat.  Abak-anak kampung ini tidak lagi suka melepak dan ponteng sekolah. Skuad mencari dan memantau mereka yang ponteng sekolah dan bermasalah dalam pelajaran sudah pun digerakkan.  Wan bangga dengan ayah.  Ayah benar-benar berubah, ibu,” cerita Zakuan penuh semangat.
            Salmah hanya mendengar, tiada sebarang reaksi di wajahnya.  Tidak sedikit pun terkesan di hatinya dengan cerita kebaikan yang dilakukan oleh bekas suaminya itu.  Hatinya masih sakit, dendamnya masih menebal.  Luka yang ada begitu sukar untuk sembuh. 
            “Ibu, maafkanlah ayah ya?”  pinta Zakuan setelah selesai menjamah sarapannya.
            Salmah memandang ke arah lain.  Zakuan fikir semudah itu?  Sesenang itu dia akan memaafkan orang yang telah menghancur leburkan hatinya? Ah! sakitnya masih ada, tidak sembuh-sembuh.  Kenapa Zakuan tidak mahu faham? Leter Salmah dalam hati. Dia mendengus kasar.
            “Ibu!”  Zakuan menanti jawapan pasti dari mulut ibunya.
            Salmah masih buat tidak dengar. Tak mungkin! Jerit Salmah dalam hati.  Kalau diluahkan pasti Zakuan akan membebel padanya.   Biarlah dia pendam luka semalam itu dalam hatinya. Kemaafan? Masih jauh lagi.
            “Dah habis makan?  Tolong kemas ya,”  pinta Salmah sebelum berlalu ke laman rumah.  Dia mencapai penyapu lidi yang tersangkut di dinding sebelah dapur rumahnya.  Daun-daun kering yang mula berserakan di laman rumah dibersihkan.  Pokok-pokok bunga yang tumbuh subur di tepi pagar dan laman rumahnya disiram serta dicantas daun-daun yang sudah kering dan mati.  Tanahnya yang keras digembur, baca bunga dan pokok diletakkan agar pokok-pokok itu tumbuh subur. 
            “Ibu, selama mana ibu nak mengelak?” tanya Zakuan.  Dia mengambil pencakar rumput dan mencakar daun-daun kering.  Sengaja dia mencari ruang dan peluang untuk memujuk ibunya agar memaafkan ayahnya.  Biarpun dia tahu, ibunya tidak suka.  Hari minggu yang penuh cerita, bisik hati kecilnya.    Beberapa hari yang lalu, dia ambil cuti. Esok sudah mula bekerja semula.  Kalau boleh, dia mahu ibunya memaafkan ayahnya.  Biarpun mereka tidak kembali bersama, cukuplah mereka masih boleh berkawan dan menjadi seperti saudara.
            “Boleh tak Wan tidak bercakap tentang lelaki itu?  Sakit hati ibu, tau!” Salmah menghempas penyapu lidi ke tanah.  Geram bercampur baur dengan marah.  Tidak habis-habis Zakuan sengaja mencuit rasa amarahnya.
            Bunyi hon kereta membuatkan mereka menoleh serentak.  Kereta berjenama syarikat milik negara it uterus masuk ke laman rumah dan diparkir berhampiran pokok mempelam Sala yang sedang berbunga lebat.  Keluar seorang perempuan muda sambil melukis senyuman manis.
            “Zara!’ sapa Salmah, wajahnya dimaniskan biarpun hatinya sedang marah menyala-nyala.
            Zara berjalan mendekati Salmah dan memeluk ibunya erat. 
            Zakuan berdiri tegak memandang kedua-dua wanita yang amat disayanginya itu.
            “Abang!” sapa Zara lalu menyalami Zakuan.
            “Dah lama tak balik?  Hari ini tak sibuk ke?” sindir Zakuan.  Wajah tenang adik bongsunya dipandang sekali imbas.
            Zara tersenyum.  Dia memeluk bahu ibunya dan duduk di pangkin yang terletak di bawah pokok rambutan yang rendang di tepi laman rumah sebelah kanan.
            “Zara sehat?”  tanya  Salmah,  tidak mahu Zakuan mengusik nakal adiknya itu.
            “Alhamdulillah, ibu sehat?” tanya  Zara   kembali.
            “Sudah sarapan?”  Salmah mengusap lembut tangan Zara.  Terubat rasa rindu terhadap anak bongsunya itu.
            “Sudah ibu,” jawab Zara.
            “Ibu… tujuan Zara balik ini ada perkara nak bincang dengan ibu,” beritahu Zara. Wajahnya bertukar serius.  Dia memegang kedua belah tangan Salmah. 
            Zakuan sudahpun mendekat setelah menyelesaikan kerjanya mengumpulkan daun-daun kering tadi. Tunggu hendak dibakar sahaja.
            “Macam serius saja bunyinya?” sampuk Zakuan.
            Zara mengerling.
            “Soal masa depan Zara, nak tunggu abang, entah bila akan berjumpa calonnya,” usik Zara.
            “Jadi?’ Salmah teruja.  Dia menepuk-nepuk lengan Zara, senyuman terlahir di bibirnya.  Dia mengucapkan syukur.  Kemudian, dia serius kembali, wajahnya bertukar muram. 
            “Mereka tahu siapa ayah Zara?  Sudikah mereka terima Zara?  Mereka tidak kisah bermenantukan anak bekas ban…” Salmah berhenti menuturkannya.
            “Ibu! Itu cerita lama, usah diungkit.  Ayah sudah  pun dihukum!” Zakuan kurang
 selesa dengan  persoalan yang diajukan oleh ibunya. 
            “Hakikat Wan!  Hakikat!” jerkah Salmah. Geram.  Kenapalah dia  berkahwin dengan seorang perompak?  Kalau dia tahu Malek akan menjadi perompak dan perogol, dia tidak akan sudi berkahwin dengan lelaki itu.  Anak-anaknya tidak akan menjadi mangsa keadaan.  Hidupnya juga tidak akan menjadi cemuhan orang lain.  Mungkin hatinya tidak akan terluka begini dan tidak seperit ini rasa sakitnya.
            “Zara belum berani beritahu mereka ibu,” kata Zara dengan wajah muram.  Dia hampir terlupa akan siapa ayahnya.  Dan lelaki itu masih hidup lagi.  Bakal menjadi walinya.
            “Kalau mereka tahu, bagaimana?  Zara?”  Salmah memandang wajah Zara yang mula menunduk.
            “Ibu, usah fikir yang bukan-bukan,  biar mereka datang dulu,”  ujar Zakuan.  Kurang senang dengan tindakan dan reaksi ibunya. 
            “Kau boleh cakaplah apa saja, tak ada orang yang nak bermenantukan anak  bekas banduan!” kata Salmah keras.
            Zakuan mengeluh.  Masyarakat masih memandang hina akan bekas banduan terutama seperti kes ayahnya yang merompak dan merogol.  Apa dayanya untuk mengubah keadaan? 
            Usai solat dan sedikit tazkirah daripada Tok Su Shukri, semua jemaah bersurai.  Masih awal sebelum Zakuan ke tempat kerja.  Dia mendekati ayahnya yang menyambung membaca al-Quran pula.  Menjadi penghuni penjara, banyak mengajar ayahnya hidup beragama.  Ayah sudah pandai mengaji dan solat dengan sempurna. Alhamdulillah.  Kadangkala yang buruk kita nampak tetapi banyak terhidang kebaikan padanya.
            Zakuan menunggu sehingga selesai ayahnya habis membaca surat al-Waqiah.
            “Wan?”  Malek tersenyum nipis.
            “Jom kita pergi sarapan ayah, Wan belanja. Nak ajak tok su sekali, ada perkara penting nak kita bincangkan, Wan nak minta pandangan ayah dan tok su,” kata Zakuan sambil matanya melirik ke arah Tok Su Shukri yang sedang berbual dengan beberapa orang jemaah yang masih lagi ada di dalam masjid.
            “Serius bunyinya, penting sangat ke?”  Malek bingkas bangun dan meletakkan kembali naskah al-Quran ke tempat yang disediakan.
            “Serius ni ayah. Melibatkan masa depan Zara,”  ujar Zakuan.
            Malek memandang wajah Zakuan. Dia mengeluh. Anak bongsunya itu sekalipun tidak pernah datang bertemu dengannya.  Dia tidak salahkan Zara.  Dia sendiri tidak sedar akan kehadiran anak itu sewaktu di penjarakan. 
            “Pak su, jom sarapan,” ajak Malek.
            “Zakuan nak belanja ni,” sambung Malek lagi.
            Mereka beriringan menuju ke kereta Haji Shauki yang diparkir di hadapan masjid.

No comments:

Post a Comment