AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 10 November 2017

JALAN PULANG - BAB 39



            Usai mengemas dalam masjid, menutup semua lampu dan hanya membiarkan lampu di kawasan koridor dan tandas sahaja terbuka, Malek terus melangkah pulang ke rumah.  Perut sudah kenyang, kerana ada jamuan setelah selesai majlis ilmu di masjid tersebut.  Dia menarik nafas lega anak gadisnya selamat bertunang dengan pemuda pilihan Zara sendiri.  Malek juga berasa lega kerana keluarga pemuda bernama Taufik menerima Zara seadanya. 
            Malek membuka pintu rumah yang berkunci.  Biarpun dekat, tidaklah dia akan membiarkan pintu rumah tidak berkunci.  Biarpun tiada harta berharga.  Malek menguap beberapa kali.  Terasa letih seluruh badannya.  Lampu  dipasang.  Belum sempat dia duduk di kusyen kayu, seseorang telah mencekak lehernya dari belakang.  Malek meronta.
            “Hey! Kenapa ni!”  Malek cuba melihat wajah orang yang telah mencekak lehernya.  Dia cuba mengalihkan lengan orang itu daripada lehernya.  Terasa sukar untuk bernafas, semakin lama semakin kuat orang itu mencekak lehernya, semakin lama seperti  hendak mencekiknya pula.
            Malek menggunakan kekuatan yang ada untuk menarik keluar tangan orang tersebut.  Siapa dia?  Malek memusingkan tangan tersebut.  Dipulasnya pula. Malek menghalakan tangannya ke belakang lalu  menolak muka orang tersebut.  Dia mengangkat kakinya dan memusingkannya ke belakang. Dengan sekuat hati, Malek menendang ‘anu’ orang tersebut.  Terdengar jeritan dan orang itu melepaskan tangannya dari leher Malek.  Sepantas kilat Malek menolak orang itu dan menjauhkan diri.
            Malek menoleh. Seorang lelaki sedang mengerang kesakitan sambil membongkok.
            “Rocky!” Malek mendengus kasar.  Dasar lelaki tidak berguna! Marah Malek dalam hati.
            “Apa kena dengan kau ni?  Apa hal kau datang rumah aku? Kau nak apa?” jerkah Malek.  Dia mengurut  lehernya, terasa perit.  Bagaimana lelaki itu masuk?  Dia  memandang ke arah pintu belakang rumahnya, terkopak.  Tahulah dia, Rocky masuk melalui pintu belakang.
            “Kau yang pasang perangkap sehingga orang-orang aku ditangkap?  Kau memang tak guna!” marah Rocky.
            “Orang kau?  Aku tak faham?”  Malek buat tidak tahu. 
            “Hey! Jangan buat bodohlah!”  Rocky menempik.
            “Hey, Rocky!  Baik kau berambus!” halau Malek. 
            “Kau seharusnya matilah Malek!  Kau menyusahkan aku!”  Rocky mengeluarkan pistolnya.
            “Hey, anak jantan mana boleh bunuh orang yang tidak bersenjata.  Kalau nak anak jantan, baik kita berpadu tenaga. Kalau aku kalah, kau boleh bunuh aku. Kalau kau pula kalah, aku berhak bawa kau ke balai polis!”  Malek menyengih.
            “Kau fikir aku pengecut?”  Rocky meletakkan pistolnya di atas meja kopi kecil berhampirannya.  Dia mendekati Malek.
            Malek sudah bersedia untuk mengalahkan  lelaki tidak berguna itu.  Mana pula perginya pengawal peribadi lelaki itu?  Takkan datang sendirian?
            “Mana pengawal peribadi kau?”  Malek memandang kiri dan kanan, takut-takut mereka bersembunyi dan hanya menunggu masa untuk membunuhnya.
            “Buat apa kau nak tahu?”  Rocky mendengus kasar.  Pengawal peribadinya ditangkap polis sewaktu menghantar bekalan dadah di satu kawasan pengedarannya.  Tinggal dia sendirian. Pihak polis sedang menjejakinya.  Dia tidak tahu hendak lari ke mana, hanya teringatkan Malek.  Dahulu, lelaki itu adalah rakannya, sekarang sudah menjadi musuhnya.  Dia harus membunuh lelaki itu, kerana lelaki itulah perniagaannya terjejas dan orang-orangnya ditangkap oleh pihak polis. Perniagaannya terjejas teruk. 
            “Hoi! Berangan pula?”  jerkah Malek.
            Rocky terus menerpa ke arah Malek, satu tendangan dilepaskan. 
            Malek sempat mengelak. 
            Rocky tersembam ke dinding kayu.  Rambutnya yang kusut masai semakin tidak terurus.  Baju t-shirt leher bulat yang dipakai kelihatan amat lusuh. 
            Malek menggeleng.  Benar-benar sudah jatuh mufliskah lelaki itu?  Detik hati kecil Malek.  Teruk benar rumah lelaki ini. 
            Rocky melayangkan penumbuk sebelah kiri, kemudian kanan.
            Malek mengelak dan menepis.  Malek mengangkat kaki kanannya dan menendang perut  Rocky, mengangkat pula kaki kiri, menendang muka lelaki itu bertubi-tubi.  Melayangkan penumbuk kiri dan kanan ke muka lelaki itu. 
            Rocky yang diasak bertubi-tubi jatuh ke lantai.
            Malek menarik Rocky bangun, ditumbuk lagi, ditendang sekuat hatinya. 
            Rocky masih cuba melawan. 
            Malek tidak memberi peluang, sebelum Rocky menyerangnya, baiklah dia menyerang lelaki itu terlebih dahulu. Sebaik saja Rocky cuba bangun, Malek terus menumbuknya. Tendangan juga dilepaskan.
            Rocky tidak mengaku kalah biarpun mukanya sudah bengkak dan berdarah.  Dia mengerang kesakitan.
            “Sudahlah Rocky, menyerahlah!”  kata Malek tercungap-cungap.
            Rocky menerpa ke arah meja yang diletakkan pistolnya tadi.  Dia mengacu pistol tersebut  ke arah Malek.  Dia menyengih.
            “Dengan ini, kau akan kalah!”  kata Rocky sambil ketawa.
            “Itu main kotor namanya!”  Malek berlari laju  ke arah Rocky.   Tangan Rocky yang memegang pistol ditolak ke atas.  Sekali lagi, perut Rocky menjadi sasaran Malek.  Pistol tersebut terlepas dari pegangan tangan Rocky.  Jatuh ke lantai. 
            “Malek!  Malek!!” laungan dari luar rumah.
            Malek dan Rocky saling berpandangan.
            “Malek!  Buka pintu!  Rocky keluar kau!” jerit seseorang dari luar rumah lagi. 
            Malek mengerut dahi, bagaimana mereka tahu Rocky ada di dalam rumahnya?  Malek mengambil pistol yang jatuh di lantai dan mengacukan ke arah Rocky. 
            “Angkat tangan kau!” arah Malek. 
            “Jauh dari pintu!”  suruh Malek.
            Rocky mendengus kasar.  Dia bergerak perlahan-lahan. Kesakitan di muka dan tubuhnya cukup terasa.  Terasa pedih di bahagian mata, sukar untuk dia membuka mata.
            Malek mendekati pintu dengan berhati-hati, matanya masih memandang ke arah Rocky, takut lelaki itu lari.  Dia tidak teragak-agak untuk menembak jika lelaki itu berniat untuk lari.
            “Malek! Kau kena lepaskan aku! Maafkan aku, aku takkan cari kau lagi, lepaskan aku!” rayu Rocky.
            “Lepaskan kau? Supaya kau bina empayar jahat kau kembali? Kau memang gila kalau aku akan biarkan kau bebas Rocky? Kau tak merasa merengkok di penjara.  Aku akan pastikan kali ini kau merasakannya!”  Malek membuka pintu rumah. 
            Haji Shauki dan beberapa anggota polis melangkah masuk.
            Rocky masih berdiri kaku, bagaimana polis tahu dia berada di situ? Adakah mereka mengikut jejaknya sehingga ke rumah Malek?  Mereka sengaja memasang perangkap untuk menangkapnya?  Rocky mendengus kasar.  Cis!  Tak guna! Kalaulah dia tahu dia dijejaki, dia takkan datang ke rumah Malek!
            “Serahkan pistol itu Malek!” arah Haji Shauki.
            Dua orang anggota polis berpakaian biasa mendekati Rocky dan menggarinya.
            Malek menyerahkan pistol tersebut kepada pihak polis.
            “Macam mana pak su tahu lelaki jahanam ini ada di dalam rumah saya?”  Malek kepenatan.  Boleh tahan sakit juga tubuh badannya.
            “Kami memang memerhati gerak geri Rocky sejak pengawal peribadinya di tangkap.  Kami mengikut dia sehingga ke rumah En. Malek.  Kami tidak terus menahannya, kami mencari Haji Shauki dan mengkhabarkan tentang Rocky,” cerita salah seorang anggota polis tersebut.
            “Dia bersenjata, nasib baik dia tak tembak saya,” ujar Malek lalu menarik nafas lega.
            “Maafkan kami kerana bertindak lambat,” kata anggota polis itu lagi.
            “Tak mengapa tuan, terima kasih,” ucap Haji Shauki. “Nasib baik kau tak apa-apa Malek,”  kata Haji Shauki kelegaan.
            “Kau kenal lelaki tadi?” tanya Haji Shauki setelah pihak polis menahan Rocky dan meninggalkan rumah Malek.
            “Dulu kami sama-sama merompak rumah orang pak su,” cerita Malek dengan nada sedih. Kalau boleh dia tidak mahu ingat perkara tersebut. Biarlah berkubur selamanya.
            Haji Shauki mengangguk perlahan dan menepuk-nepuk bahu  anak buahnya. Alhamdulillah, Malek tidak dicederakan.  Haji Shauki menarik nafas lega. 

No comments:

Post a Comment