I
“Berhenti
kerja? Tapi kenapa bang?” Masila memandang wajah suaminya dengan penuh
tandatanya. Sudah berbelas-belas tahun
bekerja makan gaji , alih-alih hendak berhenti kerja. Sudah buang tabiat ke apa, detik hati kecil
Masila. Dia mengeluh sendiri. Azhar tersenyum manis di hadapannya.
“Sayanglah
bang, gaji pun dah lumayan,” Masila
kurang setuju.
“Kalau
makan gaji sampai bila pun kita tak senang tau.
Abang pun teringin juga nak hidup
senang macam orang lain. Dengan berniaga
semua impian abang akan tercapai,”
kata Azhar bersungguh-sungguh
meyakinkan Masila.
“Buka
Islamic consultan ni Mas, mudah dapat pelanggan. Di sekolah-sekolah, para pelajar yang
inginkan motivasi diri. Selain itu abang akan buka kelas bahasa arab dan kelas al-Quran untuk dewasa. Cuba awak kira seorang pelajar kita kenakan
yuran dalam RM50.00. Kalau ada
sepuluh orang, dah berapa? Itu
untuk satu sesi. Abang yakin, abang
boleh berjaya. Kalau Islamic Camp itu
pula, seorang abang akan kenakan yuran RM150.00, satu-satu sesi minima 200
orang. Cuba awak kira. Modal bukan besar mana pun, sekadar kena
bayar pada fasilitator. Pengisian akan
diisi oleh Ustaz Zahir. Diakan rakan kongsi abang. Tempat disediakan oleh pihak sekolah. Kalau buat di luar pun kita dah kira sekali
dengan yuran yang akan kita kenakan.
Untung tau Mas,” cerita Azhar
penuh yakin.
“Itu
baru satu sekolah, berapa banyak sekolah yang ada di daerah kita ini? Abang rasa kita boleh berjaya dan dapat
untung besar. Abang yakin sekali,” Azhar tersenyum penuh yakin.
Masila masih ragu-ragu dan kurang percaya. Kalau ikut logik akal memanglah boleh
untung. Tengok sahajalah pakar motivasi
di Malaysia ini. Semuanya kaya dengan
buat perniagaan motivasi diri seperti ini.
Tengok sahaja Dr. Hassan Ali, Tengku Iskandar dan beberapa nama lagi. Kalau suaminya yakin akan berjaya kenapa dia
tidak yakin pada suaminya.
“Betul
ke kira-kira abang ni?” soal
Masila. Azhar mengangguk
“Awak
tak nak senang ke? Abang yakin kita
mampu berjaya Mas.” Senyuman masih
terukir di bibir suaminya. Masila
terpaksa akur jika itu sudah kehendak suaminya. Apalah dayanya untuk
menghalang. Jika suaminya sudah buat
keputusan, tiada siapa mampu
menghalang. Tiada guna kata rayu
dan pujuk memujuk. Kalau hitam, hitamlah
ia. Kalau putih, putihlah ia. Dia tiada hak bersuara atau memberi
pendapat. Ikut sahajalah kehendak
suaminya. Kalau berjaya,
Alhamdulillah. Kalau tidak hanya pada
ALLAH SWT sahajalah dia berserah.
“Nak
senang macam mana lagi bang?
Alhamdulillahlah sekarang ni.
Bagi Mas dah cukup segalanya,”
“Awak
orang perempuan, apa yang awak tahu,”
Azhar mendengus kasar. Wajah
muram Masila ditatap seketika. Dia
menjeling tajam. Kurang senang dengan bantahan isterinya itu.
“Bang,
fikirkan balik, bukan mudah berniaga ni.
Abang ada modal ke? Duit simpanan
kita cukup untuk waktu terdesak je,”
cuba memujuk. Azhar masih
mencuka. Masila meraih tangan suaminya
dan diletakkan dipangkuan. Dia berharap
suaminya tidak buat keputusan terburu-buru.
Kesannya nanti pada mereka sekeluarga.
“Awak
jangan bimbang Mas. Saya tahulah apa
yang saya buat. Awak dan anak-anak
takkan kebulur!” kata Azhar tegas.
Masila mencebik.
“Bukan
masalah kebulur atau tak cukup makan, jika gagal macam mana? Abang nak kerja
apa?” Masila tetap tidak setuju. Dia merasa was-was. Suaminya mana pernah berniaga. Kalau tiada pengalaman jangan pandai-pandai
nak cuba.
“Cuba
awak doakan saya berjaya. Kalau saya
berjaya, awak dan anak-anak juga boleh tumpang senang.” Azhar kecewa.
Sepatutnya sebagai isteri Masila memberinya sokongan, bukan membantah.
“Mas
tak nak tengok abang kecewa dan gagal.
Kalau nak berniaga kenalah ada ilmu juga bang. Bukan main terjah je. Kita bukan nak jual nasi lemak di tepi
jalan. Abang nak buka syarikat Consultan. Abang nak jual apa? Nak beri perkhidmatan
apa? Kepada siapa? Untuk apa?” tanya
Masila bertubi-tubi.
“Jangan
nak kecoh-kecohlah Mas. Abang yang nak
berniaga, tahulah abang apa nak buat, awak tu isteri, duduk je di rumah jaga
anak-anak.
Tiga
bulan pertama segalanya berjalan lancar.
Duit modal yang diterima dari seorang kawan digunakan untuk membaik
pulih ruang pejabat. Selain ruang pejabat, ada juga dua buah
kelas untuk kelas bahasa arab dan kelas al-Quran untuk orang dewasa. Pasang air cond, langsir, karpet seluruh
ruang bangunan yang disewa. Meja tulis,
meja pejabat. Komputer. Semuanya lengkap sebagai sebuah syarikat
consultan. T-shirt ditempah untuk projek
Islamic camp. RM50k habis dengan begitu
sahaja . Kalau berbaki pun hanya
berbelas ribu untuk pusing modal sebelum mendapat apa-apa projek. Masuk bulan keenam masih belum dapat apa-apa
projek. Puas Azhar melobi diri dari sekolah ke
sekolah. Masih belum ada
permintaan. Kelas al-Quran dan kelas
bahasa arab pun tidak ramai yang mendaftar.
Masila sudah mula bimbang. Azhar
mula mengeluh. Pulang ke rumah wajahnya
stress sahaja. Kalau silap cakap pasti
mereka bergaduh.
“Macam
mana ni bang? Projek apa pun tak masuk
lagi. Duit modal dah nak habis,” kata Masila.
Azhar menggaru kepala.
“Sabarlah,
nanti adalah tu,” jawab Azhar acuh tak
acuh.
“Hari
tu abang kata senang nak dapat
projek. Ramai akan mendaftar,
ramai orang suka. Sampai ke hari ini
tiada satu sekolah pun yang mendaftar!
Syarikat abang, syarikat baru siapa yang percaya. Sekurang-kurangnya setahun dua baru orang
yakin bang!”
“Jadi? Awak nak salahkan abang?
Semuanya bergantung pada rezeki
Mas, kalau ALLAH tak bagi lagi mesti ada sebabnya. Abang bukan tak usaha. Proposal dah hantar ke sekolah-sekolah. Mungkin belum rezeki kita lagi,” masih positif.
“Rezeki,
rezeki juga. Kalau dah berbulan-bulan
tak ada projek yang masuk, duit yang ada pun boleh habis! Waktu itu abang nak
ambil modal dari mana?” kata Masila
tegas.
“Habis
tu? Abanglah yang salah! Awak hanya tahu cari salah abang, berdoalah
semoga rezeki kita dimurahkan, bukan
berleter pada abang!” marah Azhar
pula. Masila mencebik.
“Abang
kalau bercakap lembut lidah dari gigikan?
Bila dah jadi macam ni, saya pula dikatakan berleter. Siapa yang tidak berleter bang, duit kita
semakin berkurangan. Nak bayar duit
rumah, duit kereta, anak sekolah.
Makan-minum lagi. Ada abang
fikirkan semua ini? Waktu nak berniaga
semuanya bagus, semuanya untung. Bila
dah jadi macam ini, saya pula yang abang marah!” Masila mengetap bibir.
Berita
yang mengejutkan Azhar dan Masila. Rakan kongsi Azhar menarik diri, kerana tidak
sanggup meneruskan perniagaan tersebut.
Syarikat terpaksa ditutup kerana Azhar tidak ada sijil kelayakan sebagai
pakar motivasi. Ustaz Zahir sahaja yang
ada sijil tersebut. Bila Ustaz Xahir
berhenti maka syarikat terpaksa ditutup.
Masila kecewa bukan kepalang.
Azhar bagaikan orang hilang akal.
Membatukan diri. Membisu seribu
bahasa. Hutang terpaksa ditanggung
sendiri. Siapalah yang tidak sakit
hati. Kalaulah suaminya mendengar
kata-katanya pasti hidup mereka tidak jadi begini. Hendak kembali ke tempat kerja lama suaminya
tidak mungkin. Masila mendengus
kasar. Air mata berjujuran mengalir di
pipi.
Ii
“Kita
pindah ke Kuala Lumpur, abang dah dapat kerja,”
kata Azhar dengan wajah riang.
Masila menatap wajah suaminya seketika.
Dia mengeluh kasar. Perniagaan
Consultan yang diusahakan suaminya tidak sampai setahun sudah gulung
tikar. Nak marah pun ada. Rasa nak menangis pun ada. Tidak pasal-pasal tanggung hutang pada
orang. Setelah syarikat gulung tikar, semangat
suaminya pulih barulah suaminya cari pekerjaan lain. Waktu itu bantuan dari kawan-kawanlah yang
banyak membantu. Dua bulan suaminya
menganggur tanpa sebarang pekerjaan.
“Di
sini tak ada kerja ke bang?” Tanya
Masila. Dia suka duduk di Kedah. Dia tidak mahu berpindah ke mana-mana.
“Pasal
tak adalah saya minta kerja di Kuala Lumpur!” lengking suara Azhar.
“Tempat
kerja lama, kenapa tak minta balik?”
“Tak
ada kerja kosong.”
“Itulah
abang, dulu kalau tak berhenti kerja tak
jadi macam ni! Bila berniaga tak berjaya
tak pasal-pasal kena pindah ke Kuala Lumpur.
Mas tak sukalah duduk sana?”
Masila membantah. Azhar menyinga.
“Tak
boleh ke kalau awak tak bantah cakap abang.
Tugas seorang isteri mengikut apa sahaja kehendak suami, kalau abang
kata pindah, kita pindahlah!” masih berkeras.
Masila sebak, rasa mahu menangis sahaja.
Kenapa suaminya sanggup buat begini pada dia dan anak-anak. Tentu mereka juga tidak mahu ke
mana-mana. Mereka sudah serasi duduk di
negari Jelapang Padi itu. Lahir dan
membesar di negeri itu, Tok Wan dan Mak Tok mereka pun ada di sini.
“Kalaulah
abang dengar cakap Mas hari tu, tentu kita masih boleh duduk di sini, rumah
tidak tergadai dan terjual,” Masila mula
menangis. Rumah teres dua tingkat itu
telah pun dijual oleh suaminya gara-gara untuk menampung keperluan hidup dan
membayar hutang perniagaan yang dibuat oleh suaminya.
“Awak
tak percaya dengan qada dan qadar ALLAH ke?
Mungkin bukan rezeki kita lagi.
Apa salahnya kita berhijrah ke Kuala Lumpur, mungkin kehidupan kita
lebih baik di sana.” Kata Azhar
meyakinkan Masila sekali lagi. Masila
mencebik.
“Kerja
apa pula kali ni bang?” tanya
Masila. Kalau ikut hati malas hendak
bertanya. Kalau pujuk atau beri
pandangan pun bukan suaminya terima.
Kenapalah keras sangat hati suaminya hendak menerima nasihatnya.
“Syarikat
IT, bahagian pemasaran juga, macam kerja kat tempat lama,” jelas Azhar. Masila terdiam. Apalah dayanya untuk membantah. Keputusan sudah pun dibuat oleh suaminya. Mahu atau tidak dia wajib ikut. Kalau dia tinggal di situ lagi, nak duduk di
mana? Takkan nak menyusahkan orang
tuanya pula. Rumahnya itu sudah pun dijual. Tuan yang baru hanya menunggu masa mereka
sekeluarga keluar dari rumah tersebut.
Menangis air mata darah sekali pun keputusan di tangan suaminya. Kegagalan pertama dia kehilangan rumah yang
dibeli bertahun-tahun lamanya. Masila
mendengus kasar. Kerana berniaga, rumah
tergadai. Kedegilan suaminya membuat hidup mereka terpaksa bermula dari bawah
kembali. Dia hanya mampu mengeluh dan
mengikut sahaja.
Iii
Masila
berkerut dahi. Jelas suaminya sejak
seminggu dua ini gelisah sahaja. Apa
pula masalahnya kali ini. Hidup di Kuala
Lumpur memerlukan perbelanjaan yang banyak.
Rumah sewa pun mahal. Kalau
hendak murah jauh pula dari tempat kerja suaminya. Kadang-kadang geram juga dia apabila suaminya
berleter dia berbelanja lebih membeli barang dapur. Kalau sudah ikan dan sayur mahal apa dayanya. Anak-anak pula semakin membesar dan kuat
makan. Takkan nak sekat selera
mereka. Itu pun dia sudah banyak
membantu suaminya dengan berjualan secara kecil-kecilan, buat kuih muih, terima
tempahan dari rakan-rakan suaminya di pejabat.
Apa sahajalah asalkan dapat menambah pendapatan. Dia pun sudah mual mendengar leteran suaminya
setiap hari jika ada lauk yang tidak habis.
Susah payah mencari rezekilah.
Dia hanya tahu membazirlah. Masila Jadi takut dengan sikap suaminya
itu. Berkira dan suka mengungkit.
Azhar
berkira-kira. Gaji yang diterima di
tempat baru tidak seberapa. Walaupun dia
ada pengalaman tetapi sebagai pekerja baru dia tidak layak mendapatkan gaji
yang tinggi seperti pekerja lama. Azhar
mengeluh. Kepalanya ligat berfikir untuk
menambah pendapatan. Tawaran dari sebuah
syarikat IT milik bangsa asing membuka mindanya untuk beralih arah. Apa salahnya mencuba. Peluang yang diberi oleh syarikat tersebut kenapa dia hendak
menolak. Gaji juga lumayan malah dia
dijanjikan saham syarikat tersebut.
“Tukar
kerja lagi? Abang!” Masila terkejut dengan keputusan
suaminya. Baru setahun bekerja dengan
syarikat sekarang takkan nak tukar lagi?
Kenapalah dengan suaminya ini.
Tidak fikir ke perasaan dia sebagai seorang isteri.
“Bantah
lagi? Kenapa dengan awak ni, Mas?” Azhar
memandang tajam wajah Masila. Dia
buat keputusan ini bukan untuk dirinya sahaja.
Buat apa tunggu di tempat kerja yang tidak menjanjikan pendapatan tinggi
padanya. Jika ada peluang lain kenapa
tak rebut sahaja. Bukan dia tidak
bekerja. Dia masih bekerja, Cuma mencari
pendapatan yang lebih baik sahaja.
Salahkah keputusannya itu. Kenapa
isterinya harus membantah? Azhar sendiri
tidak faham.
“Fikirkan
kesannya pada kehidupan kita nanti bang, ekonomi sekarang tidak berapa
stabil. Abang pula berani nak ke syarikat yang tidak tahu bagaimana keadaan ekonomi mereka? Syarikat sekarang sudah cukup stabil,
bersabarlah bang. Kalau asyik bertukar
tempat kerja bila nak dapat pendapatan yang tinggi, bang?” Masila mengeluh. Bukan sengaja dia ingin membantah. Dia tidak mahu suaminya menghadapi masalah di masa hadapan nanti. Manalah tahu syarikat yang baru suaminya
nanti hadapi masalah, tentu para pekerja akan
dibuang kerja nanti. Waktu itu apa pula yang akan suaminya lakukan. Dia tidak tahu bagaimana hendak bercakap
dengan suaminya. Nasihat yang diberi
langsung tidak diguna pakai. Sesal dan
kesal menghantui dirinya. Geram dan
sakit hati pun ada. Marah sudah
tentulah.
“Syarikat
tu sanggup beri gaji sekali ganda dari gaji sekarang. Saham syarikat lagi. Awak tak teruja ke?” Azhar bercerita. Masila mendengar. Dalam hati tak mahu percaya. Semakin terhakis keyakinannya pada suaminya
itu. Kegagalan demi kegagalan, janji
demi janji hanya sedap didengar jadi halwa telinga. Hakikatnya tidak seperti yang digambarkan
oleh suaminya. Bak kata indah khabar dari rupa. Malas dia ingin ikut campur atau berleter
tetapi demi masa depan sendiri dan
anak-anak dia harus juga bersuara. Dia
tetap ingin memberi pendapat biar pun dia tahu jawapan yang akan diterima dari
suaminya. Apa sahaja nasihatnya darinya
akan dicantas terus. Kalau pokok pasti
rebah menyembah bumi.
“Awak
duduk diam-diam, saya tahu apa yang saya lakukan. Tak payah awak ambil rungsing. Saya ketua keluarga. Awak apa tahu susah payah kerja saya di luar
tu.” Azhar mencebik.
Masila
menggelengkan kepala. Kalau sudah degil,
nasihat apa pun tiada gunanya. Kalaulah dia jenis isteri yang jahat sudah lama
suaminya dipelangkung. Benarkan
cakapnya sahaja. Hati manalah yang tidak
sakit. Bila susah dia juga yang terpaksa menerima
kesannya. Bila suaminya ada masalah,
semua kemarahan dilepaskan padanya dan anak-anak. Hati siapa yang tidak
marah? Nasihat yang diberi langsung tak
nak dengar, bila bermasalah dia juga yang terpaksa menelan kata-kata suaminya. Semuanya kena berjimat cermat. Semuanya kena sukat dan sekat. Pernah hari raya pun dia tidak beli baju
raya, dahulukan anak-anak. Rimas Masila dengan keadaan kehidupan mereka
sekeluarga. Suaminya pula asyik
marah-marah. Anak-anak semakin
membesar macam-macam permintaan
mereka. Suaminya tidak pernah belajar
dari kesilapan yang lalu. Hanya mengikut
kata hati dan menurut kehendak sendiri.
Bulan puasa sahaja dia terpaksa buat biskut raya untuk jual, dapatkan
duit tambahan, kalau tidak tak adalah baju raya untuk anak-anaknya. Untuk diri sendiri tidak mengapalah, pakai
sahaja apa yang ada. Gara-gara kata
manis suaminya kehidupan mereka tidak juga berubah.
V
“Buka
perniagaan IT? Abang gila ke apa?”
lengking suara Masila. Azhar mengerut
dahi. Terasa hati dengan kekasaran
Masila. Suaminya buat hal lagi. Berani pula hendak berniaga lagi. Perkara yang lepas masih berbaki di
hati. Dia tidak suka berniaga. Cukuplah berniaga kecil-kecil seperti yang
dia buat sekarang. Tetapi suaminya
bercita-cita besar.
“Awak
cakap baik-baik sikit!” marah Azhar.
Masila mendengus kasar. Geram
betul dia dengan sikap suaminya. Hampir
dia tidak percaya lagi dengan janji-janji suaminya . Janji manis meniti di bibir. Mudah sahaja
berkata-kata. Tukar kerja
bagaikan tukar baju. Dari satu pekerjaan
ke satu pekerjaan tiada sedikit rasa pun
rasa bersalah di hati. Bila gagal mudah
sahaja kata, bukan rezeki mereka. Ah!
Lelaki suka mencuba dan mencuba. Tidak
pernah berpuas hati dengan apa yang ada.
“Siapa
pula bagi modal kat abang kali ini?”
soal Masila. Matanya masih
memandang wajah suaminya yang berkeyakinan akan berjaya dalam perniagaan IT.
“Adalah
kawan yang sanggup bagi!” jelas Azhar.
Masila duduk di sofa. Rasa
sebak mula menjalar di hati. Kehidupan mereka semakin tersepit apabila
suaminya bertukar kerja dari syarikat besar ke syarikat kecil yang kononnya
akan memberi pendapatan lebih.
Macam-macam suaminya gula-gulakan dia.
Kononnya majikan baru suaminya
akan memberi saham syarikat, selain keuntungan yang diperolehi akan
diberi sama rata. Besar janjinya itu.
Dia terpaksa menelan sahaja kata-kata suaminya serta keinginan
suami.
Apalah
dayanya. Kalaulah dia ada kelulusan dan
bekerja rasanya dia tidak mahu bergantung hidup dengan suaminya. Minta bekerja tidak dibenarkan. Untuk menambah pendapatan keluarga
terpaksalah dia membuat kuih-muih dan nasi lemak diletakkan di gerai
berhampiran rumah. Kalau harapkan
suaminya asyik berhutanglah mereka sekeluarga lantaran gaji yang diterima tidak
mencukupi memenuhi keperluan harian mereka.
Mana janji-janji manis itu? Mana
dia saham yang dijanjikan? Mana dia
keuntungan syarikat yang akan diterima?
Semuanya hanya cakap-cakap kosong dari majikan suaminya itu. Akhirnya terpaksalah suaminya cari cara lain
pula untuk menambah pendapatan keluarga.
Kalau boleh dia tidak mahu membenarkan suaminya berniaga lagi. Apalah yang suaminya tahu tentang dunia
perniagaan. Tidakkah suaminya tahu nak
buka sebuah syarikat harus ada modal yang besar. Perlu ada modal sokongan. Perlu cekal dan
sabar. Perlu kuat dan berani. Adakah suaminya memiliki semua ciri-ciri
itu.
“Tak
payahlah berniaga bang!” Masila
merayu. Azhar mencebik.
“Apa
kena dengan awak ni Mas? Sepatutnya awak
suka saya berniaga. Untung awak tahu
berniaga dalam bidang IT ni. Projek
mudah dapat. Abangkan ramai kenalan dan
rasanya tidak susah untuk terus mendapatkan projek jika abang berniaga
sendiri. Bayangkan keuntungan yang akan
kita perolehi dengan satu-satu projek yang berjaya kita dapatkan? Awak tak suka ke kita mampu hidup senang,
tahu tak?” kata Azhar meyakinkan
Masila.
“Kira
keuntungan mudah bang. Abang ada kira
kerugiaannya? Abang sudah cukup tenaga
ke hendak bekerja siang dan malam? Abang
penat sikit je dah tak larat nak buat apa-apa?
Macam mana Mas nak percaya pada abang!”
Masila menjeling.
“Orang
luar yakin dengan kemampuan abang, tapi awak sebagai isteri memperlekehkan
kemampuan abang. Isteri jenis apa ni?”
“Orang
luar tidak tahu sikap abang! Tapi Mas
yang duduk bergelumang dengan abang sudah cukup kenal dengan abang!” Masila berkasar. Dia sudah tidak sanggup lagi hidup dalam
angan-angan suaminya. Bercita-cita besar
tetapi tidak mahu berpenat lelah.
“Cuba
abang belajar dulu selok-belok perniagaan, bertanya pada yang arif. Bukan main terjah je,” tegur Masila.
“Awak
ingat saya bodoh sangat ke? Sampai tak tahu apa-apa!” marah Azhar diperkecil-kecilkan oleh isteri
sendiri.
“Bukan
niat saya ingin memperkecilkan kebolehan
abang, tapi dalam hati Mas tetap bimbang.
Janganlah terjadi seperti perniagaan abang yang lalu. Nak berniaga perlu
modal yang besar bang. Sebelum abang
dapat keuntungan, abang perlu duit untuk
hadapi hari-hari waktu projek tak
masuk.”
“Kalau
tak memperlekehkan kebolehan abang, apa namanya tu! Abang tahulah apa yang abang buat! Awak duduk diam-diam sudahlah. Kalau tak nak sokong pun sekurang-kurangnya
jangan memperkecilkan kebolehan
abang!” tegas. Masila
menunduk. Degil tak boleh diajak
berbincang langsung. Cakap dia je yang
hendak didengari. Itulah ayat yang
sering dia dengar. Kalau suaminya hendak
sesuatu, dia akak cakap yang baik-baik sahaja meyakinkan Masila apa yang dia
buat itu adalah yang bagus, baik dan akan berjaya. Bila tidak berjaya mulalah kata bukan rezeki
mereka lagi. Orang lain berniaga juga,
kenapa mereka boleh berjaya. Kenapa
suaminya gagal? Apa yang tidak
kena? Di mana salah dan silapnya?
“Hutang
yang abang buat dahulu pun masih belum selesai dan tidak terbayar. Abang nak buat hutang baru?” Masila tidak mahu mengalah. Dia sudah cukup penat dengan apa yang
terjadi. Tahukah suaminya akan
perasaannya. Kebimbangan di hati.
“Abang
bukan tak nak bayar. Duit tak ada
lagi. Kalau ada duit abang
bayarlah!”
“Senang
ye abang cakap, kalau jadi apa-apa pada abang, Mas ni yang terpaksa tanggung
segala-galanya tau. Mas dahlah tak
bekerja, hanya harap pada abang. Tapi
abang tak pernah fikir akan masa depan kami.
Tak ingat kea bang bahawa kita hidup bukan untuk selama-lamanya. Abang nak Mas dan anak-anak hidup merempat?
Tanggung hutang piutang abang! Nak bayar
dengan apa?” marah Masila.
“Itu
sebab abang nak berniaga sendiri. Kalau
untung boleh bayar semua hutang kita tu,”
Azhar mengendur. Masila mencebik. Meluat dia mendengar janji manis suaminya itu. Kalau boleh dia tidak mahu percaya. Kalau boleh dia tidak mahu suaminya berniaga
lagi. Cukup, cukup sudah.
“Tak
payahlah bang! Serik tau, takut Mas!”
meluahkan isi hatinya.
“Awak
ni kan, kalau nak membantah memang suka, kan?”
Azhar bengang.
“Kalau
abang gagal lagi kali ini, jangan jadikan Mas dan anak-anak sebagai mangsa
leteran abang, sekat makan minum anak!
Mas dan cukup bersabar dengan sikap abang dan mengikut semua kemahuan
abang. Mas bantah kerana apa sahaja yang
abang buat semuanya gagal. Semuanya tak
berjaya. Siapa yang takut!”
“Abang tak usaha ke Mas? Abang duduk saja ke? Kalau tak senang juga
sebabnya bukan masanya lagi. Rezeki
itukan dari ALLAH, tak payahlah pertikai.”
Azhar mengetap bibir. Sakit hati
betul dengan sikap isterinya yang jarang mahu menyokong apa sahaja yang ingin
dia lakukan.
“Memanglah
abang usaha, abang bekerja, tapi sudah cukup kuat ke macam orang lain? Kalau orang lain boleh berjaya, kenapa abang
tak boleh? Mesti ada salah silap di
mana-mana? Abang perlu belajar dari orang yang telah berjaya, tanya mereka, selidiki
apa yang mereka buat untuk berjaya. Ini tidak ikut cara abang je,” Masila menjeling.
“Abang
dah buat keputusan, terserah pada awak, nak
sokong atau nak bantah!” marah
Azhar. Malam itu mereka bergaduh sakan. Masila tidak mahu duduk diam. Dia perlu
tahu akan masa depan dia dan anak-anak, bukan hidup dalam angan-angan
suaminya. Dia tidak mahu bergantung pada
suaminya sahaja.
“Kalau
macam itu, Mas nak bekerja. Mas tak nak
hidup bergantung pada abang. Mas dah
penat tunggu kejayaan abang!” keluh
Masila.
“Tak
boleh!”
“Abang
kejam. Kalau untuk abang, semuanya
boleh. Kalau untuk Mas semuanya abang
nak larang!” geram betul Masila dengan
sikap suaminya.
“Kalau
awak bekerja, anak-anak siapa nak jaga?”
“Hantar
je ke rumah orang,” Masila mendengus.
“Tak
boleh, awak duduk je di rumah. Jaga anak
di rumah. Keputusan abang
muktamad!” Azhar bingkas bangun dan
berlalu pergi. Masila sebak. Kalau ikutkan hati marah dan geram mahu sahaja dia tinggalkan suaminya yang
keras hati dan degil itu. Kenapalah ego
sangat? Kenapalah tidak mahu menerima
nasihatnya? Ah! Lelaki.
Vi
Tangan
di dahi. Wajah muram dan suram. Gelisah.
Itulah sikap suaminya seminggu dua ini.
Masila tidak pernah campur urusan perniagaan suaminya. Pejabat suaminya pun dia tidak pernah
pergi. Malas untuk campur tangan. Dia tidak mahu ambil tahu. Takut dan takut, itu sahaja yang ada di dalam
hati. Tengok keadaan suaminya sahaja
sudah cukup merisaukan dirinya. Diakan
isteri, kalau suami sudah keluh kesah tentu ada sesuatu yang tidak kena. Janganlah terjadi seperti yang sedang dia
fikirkan. Ya, ALLAH, ujian apalah lagi
kali ini, detik hati kecil Masila.
“Abang,
kenapa pula kali ni?” tanya Masila mula
kerisauan. Azhar menoleh. Dia tersenyum, namun hambar.
“Abang nak tutup syarikat IT abang tu.
Abang nak beralih berniaga makanan pula,” lancar sahaja mulut Azhar berkata. Masila terlopong mendengarnya. Dia terduduk.
“Kenapa
pula nak tutup? Perniagaan abang rugi
pula ke?”
“Lebih
kurang macam tulah, tapi bukanlah rugi.
Projek tak ada. Kalau ada pun
duit tak ada nak pusing modal!” cerita
Azhar. Masila mengeluh. Sudah dia agak.
“Ya,
ALLAH. Hutang masih tak berbayar, kini
nak tutup pula. Untung tiada. Lepas tu nak buka perniagaan lain pula? Abang dah fikir habis ke? Nak berniaga makanan? Perniagaan apa yang abang nak buat?”
“Abang
nak buka restoran francise, Kalau IT
tentulah susahkan bukan semua orang memerlukan peralatan IT dan sistemnya
tetapi kalau buka restoran, orang makan setiap hari. Tentu boleh untung dan berjaya.” Penuh yakin Azhar bercerita. Seperti biasa Masila mencebik.
“Mana
abang nak ambil modal nak buat restoran pula bang? Abang ingat senang ke? Lagi susah tau, abang kena bekerja siang dan
malam. Abang kena pantau restoran abang
tu sebaik mungkin. Mas tak setuju. Sebelum buat hutang lagi fikirkan
sebaik-baiknya bang.” Tukas Masila.
“Awak
mana pernah nak sokong abang kalau nak
buat apa pun. Semuanya tak betul dan
salah.”
“Siapa
tak sokong? Memanglah Mas bantah, tapi
ada abang dengar? Kalau Mas cakap pun
abang buat pekak je? Abang tetap buat
apa yang abang nak buat. Mas di rumah ni
jadi tunggul je bang. Bila susah abang
ingat Mas tak terima kesannya ke? Kalau
Mas tak sokong, Mas tak tunggu susah senang dengan abang! Masih setia walaupun hati Mas ni sakit
sangat.”
“Tak
boleh ke awak cakap, Mas akan berada di belakang abang, Mas sokong apa sahaja
yang abang buat walaupun gagal, tak boleh ke?”
mata Azhar membuntang memandang
isterinya. Masila tersenyum sinis.
“Pandai
abang buat dialog ya? Sokong je walaupun gagal? Mas tak nak abang gagal. Mas nak abang berjaya. Tapi kalau tak mampu kenapa berani buat
juga? Kenapa abang degil?” kata Masila kasar. Geram.
Dia tidak mampu berdiam diri lagi.
Satu-satu perancangan suaminya semuanya tidak berjaya. Dia sudah cukup kecewa. Hatinya hancur dengan janji manis suaminya
yang ingin mengubah keadaan hidup mereka.
Dia sudah banyak bersabar. Dia
sudah tidak tahan lagi. Kalau boleh dia
tidak sanggup lagi menghadapi kegagalan suaminya. Tidak sekali lagi. Hutang sekeliling pinggang. Tidak mungkin dia sanggup hadapinya
lagi. Walaupun orang yang memberi hutang
tidak pernah datang menuntut tetapi dia tahu mereka sering menelefon suaminya.
“Abang
dah isi borang, dah buat pinjaman bank.
Bulan depan segalanya selesai,”
kata Azhar.
“Abang
buat keputusan tanpa berbincang dengan
Mas dulu? Abang buat keputusan
sendiri-sendiri je? Abang fikir tak apa
yang ada dalam hati Mas? Abang faham tak
perasaan Mas? Sudah berkali-kali abang
berniaga, tukar kerja, yakinkan Mas kali ini akan berjaya? Tapi mana kejayaannya? Yang ada semuanya kegagalan. Abang buat keputusan sendiri, tak nak dengar
nasihat Mas. Tak nak dengar pendapat
Mas. Abang buat semua itu, pakai modal
tau, berhutang lagi. Selagi abang
bernyawa, mungkin abang sempat membayar, mungkin juga tidak? Pernah tak abang fikir kalau abang mati,
siapa nak bayar hutang-hutang abang tu?
Pernah tak? Ni!! Mas ni yang kena bayar tahu tak!” lengking suara Masila. Hilang kesabarannya dengan sikap suami yang
tidak mahu memahami apa yang sedang berlegar difikirannya.
“Itu
semua kerja ALLAH, kita tidak boleh berfikir sampai ke situ!” Azhar mula meninggi suara.
“Cakap
senanglah bang! Yang nak menanggungnya nanti,” air mata Masila mula
mengalir. Geram dan sakit hati
“Cuba
awak bertenang Mas. Jangan cepat
melatah. Mungkin kali ini kita akan
berjaya, siapa tahu. Ini peluang kita Mas.
Jangan cepat putus asa,” kata
Azhar meyakinkan Masila lagi.
“Tak
larat dah Mas bang! Mas dah tak
sanggup. Abang selalu cakap macam
ni? Tapi akhirnya ke mana kita? Perniagaan hancur, kita tanggung
hutang!” Masila menyeka air mata yang
membasahi pipinya. Azhar mengeluh.
“Berilah
abang peluang sekali sahaja lagi. Kalau
tidak berjaya juga. Kita fikirkan cara
lain, abang akan cari kerja ke, tak kisahlah.
Tapi beri abang peluang berniaga
kali ini. Hanya kali ini,” rayu Azhar.
Masila terdiam. Kalaulah suaminya
faham apa yang sedang mengelodak di dalam hatinya sekarang tentu
dia tidak akan merayu padanya.
“Entahlah
bang, Mas dah tak tahu nak cakap
apa. Abang kalau nak buat sesuatu tu,
abang bukan fikir kesannya pada Mas dan anak-anak.” Masila menunduk. Azhar mengeluh.
“Abang
berjanji kali ini tidak akan ada apa-apa
masalah. Restoran yang kita nak buka
nanti, memang laku. Cawangannya pun memang ramai orang. Pendapatan setiap hari RM5 ribu. Abang yakin kali ini perniagaan kita akan
berjaya. Tidak ragu-ragu lagi,” senyuman manis terukir di bibir Azhar. Masila lemah.
Apalah yang mampu dia lakukan.
Sudah kehendak suaminya. Dilarang
pun tetap akan buat juga.
“Susah
tau bang, nak uruskan perniagaan restoran.
Abang dah bersedia ke? Mas takut
abang tak larat nanti. Macam mana dengan
tukang masak, pelayan, juruwang, pembantu dapur semuanya perlu dicari.”
“Iklan
sudah pun dipasang untuk mencari pekerja.
Nanti adalah yang menelefon. “
kata Azhar.
“Lagi
pun kita francise, tidak perlu tukang masak.
Semuanya sudah siap tersedia.
Cuma perlu masak balik atau tambah apa yang patut,” sambung Azhar lagi. Masila mendengar tanpa ada perasaan penuh minat. Dia tidak mahu lagi berharap. Fobia dia dengan kegagalan demi
kegagalan. Tidak mahu ada lagi kegagalan
dalam hidupnya di masa hadapan.
“Harap
kali ini abang akan berjaya. Mas dah tak
nak lagi dengar alasan-alasan abang. Penat
sangat-sangat. Pening memikirkan
sikap degil abang.”
“Insya-ALLAH
kali ini pasti berjaya. Lagi pun kitakan
ada pekerja, jadi kita taklah penat sangat nak uruskan restoran tersebut. Arah jelah mereka buat.”
“Ialah
bang. Tak penat dan tak perlu buat kerja
ya? Mas nak tengok.” Bukan memperkecilkan tetapi dia mahu suaminya
tahu, bukan semua perkara mudah. Bukan
semua perkara boleh diambil ringan.
“Mas
bantu abang uruskan restoran tu, ya,”
pinta Azhar. Masila tersenyum
sumbing. Tiada jawapan yang keluar dari
mulutnya.
Bukan
senang nak senang. Dan tidak semua
perkara mudah. Begitu juga membuka
restoran. Nampak sahaja mudah dan untung
banyak. Cubalah buka. Jika tidak kuat dari segi fizikal dan mental
janganlah pandai-pandai nak berniaga restoran.
Mungkin lain orang lain pemikirannya.
Dua tahun berlalu. Perniagaan
suaminya sudah mula menurun. Pelanggan
sudah semakin kurang. Bukan restoran dia
sahaja tetapi semua cawangan restoran
francise itu menghadapi masalah. Semakin
hari semakin kurang pelanggan yang datang.
Di tambah pula dengan masalah pekerja.
Susah betul nak dapat pekerja
melayu yang suka bekerja di restoran.
Tangan
sudah mula di dahi suaminya. Hati
Masila mula risau. Suaminya asyik mengeluh. Marah mula bertandang. Pantang silap sikit
pasti dia dimarahi. Kadang-kala kecil
juga hatinya. Bukan dia tidak membantu
suaminya di restoring, tetapi tidaklah boleh selalu. Anak-anak terpaksa tinggal sendirian di
rumah. Mereka belum cukup besar untuk
menguruskan diri sendiri.
“Abang
ada masalah ke?” Masila duduk di sebelah
suaminya. Baru lepas waktu makan
tengahari. Pelanggan sudah berkurangan.
“Pendapatan
kita semakin kurang, tak mampu nak bayar sewa kedai bulan ini. Hutang bank lag, gaji pekerja. Bahan-bahan mentah. Pening kepala abang ni!” adu Azhar.
“Abang
tak simpan ke sedikit pun wang keuntungan perniagaan sebelum ini?” Masila menyandarkan di kerusi.
“Tak,” jawab Azhar sepatah. Masila mengeluh.
“Mana
boleh tak simpan bang, kalau terdesak seperti ini, sekurang-kurangnya kita
ada simpanan yang boleh digunakan,” kata Masila.
“Habis
tu duit tu pergi ke mana? Abang jolikan
ke?” sindir Masila. Geram.
“Cakap
baik-baik sikit!” kecil hati Azhar.
Masila tersenyum sinis.
“Mas
dah cakap, bukan senang nak berniaga, tapi abang degil! Bila ada masalah, Mas kena hadapi sama.”
“Kalau ada masalah semuanya salah abang, kalau
senang nak juga awak tumpang senang!”
ungkit Azhar. Masila
menggelengkan kepala, kesal dengan sikap suaminya. Kalau masalah mula nak cari salah orang
lain. Bukan pada dirinya sendiri.
“Apa
abang cakap ni? Bila abang susah ada
Masila tinggalkan abang ke?” soal
Masila. Azhar menjeling dan membisu
seketika.
“Kepala
saya ni dah cukup sakit tau, jangan tambahkannya lagi.”
“Sakit
buat sendiri, abang tu cubalah dengar nasihat orang sesekali. Bukan fikir diri sendiri je. Itu sebab Mas tak bagi abang berniaga sebab
tahu benar dengan sikap abang, kalau ada masalah Maslah yang akan jadi mangsa
abang. Salah Mas ke yang minta abang
buka restoran ni? Bukankah Mas dah
larang abang berniaga lagi. Abang mana tahu berniaga. Dah makan gaji elok-elok, berhenti
kerja. Bila dah jadi macam ni, apa abang
nak buat?” leter Masila. Hilang rasa sabarnya terhadap suaminya
itu. Degil. Keras hati.
Ego. Sudahlah dia menolong
siang malam membantu di restoran tersebut bila kekurangan pekerja. Dari hujung dapur sehingga ke ruang depan,
semuanya kena periksa dengan teliti. Kata suaminya bila buka restoran mereka
tak perlu susah payah buat kerja, pekerjakan ada, biarlah pekerjanya yang
buat. Bercakap memanglah senang. Tiba
masanya siapa yang kena turun padang juga.
Eee! Geram betul.
“Abang
ingat nak tutup je restoran ni, tak sanggup rasanya nak teruskan. Pendapatan tidak seberapa, keuntungan kena
bayar kat franchisor lagi. Bahan
mentah pula naik melambung-lambung. Gaji pekerja lagi. Nak dapatkan pekerja satu hal. Susah betul.”
Keluh Azhar. Masila terduduk
mendengar kata-kata suaminya. Gila memang gila.
“Tutup? Habis hutang abang dengan bank waktu buka
restoran ini, macam mana? Abang nak
bayar dengan apa? Kalau restoran ini
tutup, abang nak kerja apa? Abang ni
kenapa hah! Buat keputusan gila macam
ni? Tak boleh ke bersabar? Adat orang berniaga ada pasang surutnya
bang!” marah Masila.
“Keputusan
abang muktamad, suka atau tidak, ini keputusan abang!” tegas.
Masila mengetap bibir.
“Ingat
ini bang, sampai bila-bila pun Mas tidak akan percaya pada abang lagi. Kegagalan demi kegagalan yang berlaku bukan
kerana tidak ada rezeki tetapi kerana abang tidak pernah hendak mendengar
nasihat orang lain. Abang tidak mahu
mendengar nasihat Mas. Maafkan Mas,
rasanya tidak sanggup lagi hidup dalam angan-angan abang. Mas tak nak lagi hidup dalam mimpi. Biar Mas cari kehidupan Mas sendiri. Abang dengan jalan abang. Mas dengan jalan Mas. Kita bersama hanya kerana anak-anak. Hati Mas dah cukup kecewa dan hampa dengan
sikap abang.” Masila berlalu pergi
meninggalkan suaminya termanggu sendiri.
Biarlah suaminya sendiri menyelesaikan masalah yang di hadapai. Bukan tidak mahu membantu tetapi tiada
gunanya bercakap dengan orang ego
seperti suaminya itu. Dia sudah cukup
fobia dengan apa yang berlaku. Dia tidak
mahu menghadapi keadaan seperti ini
lagi. Cukup, cukup sudah… !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan