Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 17 Julai 2013

DIA RELA SENDIRI










                Ridzuan hanya mampu mendengar leteran ahli keluarganya.  Sakit juga hatinya mendengar kata-kata mereka.  Sindiran tidak henti-henti.   Pantang berjumpa, ada sahaja bebelan mereka.  Diri dia, ikut suka dialah.  Kenapa mereka sibuk sangat.  Bukan dia minta makan dari mereka.  Bukan dia mengharap apa-apa pun dari mereka. 
                “Kau nak membujang sampai bila Ridzuan?  Umur dah hampir 40-an?  Kau bukannya  tak  Berjaya.  Berpangkat tinggi, rumah dah ada, kereta mewah.  Cuma tak kahwin je lagi,”  leter Hajjah Rahmah. Penat dia bercakap.  Anak bongsunya itu buat pekak telinga sahaja.  Macam bercakap dengan tunggul.  Balik kampong hampir setiap minggu.  Bukan buat apa pun, memerap dalam rumah.  Hajjah Rahmah menggelengkann kepala. 
                “Saya bukan susahkan sesiapa pun,”  jawab Ridzuan.  Suratkhabar ditangan terus dibelek satu persatu.
                “Memanglah tidak menyusahkan sesiapa, tapi menyusahkan mata kami yang memandang.  Waktu emak bernyawa ini masih ada orang yang sudi ambil tahu hal kau.  Kalau mata emak sudah terpejam?  Siapa nak jaga kau nanti?”  lengking suara Hajjah Rahmah geram.  Arwah suaminya dulu pun turut risaukan anak bongsunya itu.  Kerana seorang perempuan, hati Ridzuan terus tertutup rapat untuk berkahwin atau mengenali perempuan lain.
                “Mak tak suka Wan balik ya?”  Tanya Ridzuan tegas.  Hajjah Rahmah yang sedang  membaca buku yang baru dibelinya menoleh.  Wajah Ridzuan yang semakin dimamah usia ditenung lama.
                “Emak mana yang tidak suka melihat anaknya berkahwin dan mempunyai keluarga Wan?  Itu juga harapan emak pada kau.  Kenapa kau hukum diri kau sendiri hanya kekecewaan semalam?   Cinta akan hadir kalau kau buka pintu hati kau tu untuk perempuan lain.  Kalau tiada pilihan sendiri, emak sedia mencarikan jodoh untuk kau.  Mak nak kau ada keluarga.  Mak tak nak tengok kau dalam keadaan begini, keseorangan sentiasa.  Sampai bila?”    Hajjah Rahmah sebak.  Kalaulah Ridzuan faham perasaannya tentu anak bongsunya itu tidak akan berkata   seperti itu.
                “Maafkan Wan.  Tolong jangan paksa Wan berkahwin.  Wan suka kehidupan Wan sekarang.  Wan sudah cukup bahagia,”  kata Ridzuan tegas.  Hajjah Rahmah kecewa.   Kata-kata yang sering didengarinya sejak dua puluh tahun dahulu.
                Rumah riuh rendah dengan suara kaum kerabat membuat persediaan pertunangan Ridzuan dengan gadis pilihannya.  Dia tersenyum bahagia.  Gadis yang dicintai sepenuh jiwa raganya.  Gadis yang menjadi pilihan hatinya adalah jiran dan juga rakan sekolahnya.  Siapa sangka hubungan cinta mereka akan  berpanjangan sehingga menyatukan dua buah keluarga.   Mazlinda gadis manis, cantik menawan.  Menjadi  kegilaan pemuda-pemuda kampong dan di sekolah juga.  Dia beruntung kerana Mazlinda memilih dirinya menjadi kekasih hati.
                “Wan cintakan Maz.  Wan harap Maz  akan setia di sisi Wan sehingga ke akhir hayat.”  Harapan Ridzuan pada Mazlinda. 
                “Insya-ALLAH Wan.  Maz akan setia hanya pada Wan seorang.  Tiada dua dan tiga di hati Maz.  Hanya Wan yang Maz cintai sepenuh jiwa raga Maz,”  lafaz Mazlinda.  Ridzuan tersenyum bahagia.   Jari-jemari Mazlinda diramas perlahan.     Mereka saling  bertatapan, mata saling bertentangan.  Hanya mata berbicara mencurahkan apa yang sedang dirasa.  Cinta yang sedang membara.  Bak kata orang, kentut pun berbau wangi.  Siang  malam masanya dihabiskan bersama Mazlinda.  Sementara menunggu  jawapan  tentang permohonannya menyambung pelajaran ke luar Negara, dia banyak menghabiskan masa bersama Mazlinda yang turut menunggung jawapan untuk menyambung pelajaran.
                Keluarga Mazlinda tidak membantah.  Ikatan percintaan akhirnya dipanjangkan oleh keluarganya dengan memimang Mazlinda.  Hubungan  percintaan yang direstui oleh kedua belah pihak.  Siapalah  yang tidak bahagia.  Tiada siapa yang menghalang.
                “Wan bahagia sangat. Tidak sangka  kita akan bertunang,”  Ridzuan memandang wajah Mazlinda tidak berkelip.  Wajah yang sering ditenung hampir setiap hari, tiada rasa jemu.  Kalau boleh buka sahaja mata wajah itulah  yang ingin ditatap setiap waktu dan masa.  Mazlinda sentiasa  berada di sisi.  Itulah harapannya.  Itu jugalah doanya. 
                “Maz juga begitu Wan.  Hanya Wanlah di hati.  Hanya Wan satu-satunya  lelaki yang bertahta di hati dan jiwa Maz,”  kata Mazlinda.  Jari mereka saling bertaut.  Masih mampu menahan nafsu muda yang memberontak.  Masih ingat dosa dan pahala.  Tidak pernah terlintas di hati ingin melakukan lebih dari itu.  Biarlah ijab Kabul yang akan menyatuhkan mereka.
                “Wan!  Pergilah balik, dah dekat maghrib ni,”  jerit Hajjah Leha dari anjung rumah.     Ridzuan dan Mazlinda saling  berpandangan dan akhirnya tersenyum.  Hajjah Leha menggelengkan kepala.  Kalau ikutkan hati mahu sahaja disatukan mereka secepatnya tetapi Ridzuan tidak mahu.  Dia ingin menghabiskan dahulu pelajarannya barulah mereka bernikah.  Itu jalan yang terbaik.    Dia yakin Mazlinda tidak akan menduakan dia.  Dia percaya pada Mazlinda.  Hati dan jiwa mereka sudah bersatu.  Tidak ada yang mampu memisahkan mereka selain dari takdir  ILAHI.
                “Balik dulu  Mak Leha.  Esok Wan datang lagi ya,”  kata Ridzuan pada bakal mentuanya.
                “Iyalah,”  jawab  Hajjah Leha.  Malas menghalang tetapi tetap  ada batasnya.  Dia tidak mahu terlalu mengongkong, lagi pun mereka sudah bertunang.  Walaupun bukan tiket untuk keluar bebas.  Itu sebab dia lebih suka mereka bertemu di rumahnya atau di rumah Ridzuan sendiri, sekurang-kurangnya mereka ada di depan mata.
                “Wan, balik dulu ya.  Esok kita jumpa lagi.”  Ridzuan tersenyum bahagia.  Kalau boleh dia tidak mahu berpisah dengan Mazlinda, namun apakan daya.  Bersabarlah hati.  Ridzuan menghidupkan enjin motosikalnya dan berlalu pergi meninggalkan Mazlinda di laman rumahnya.  Mazlinda memerhati sehingga Ridzuan hilang dari pandangan mata.  Hajjah Leha menggelengkan kepala.
                “Masuklah, dah senja,”  kata  Hajjah Leha.  Mazlinda menyengih.
                “Mak suruh nikah cepat, tak nak.  Nak tangguh.  Nak habis belajarlah dulu.  Hari-hari jumpa, tak jemu ke?”  Tanya Hajjah Leha.  Mazlinda  menyengih lagi.
                “Lecehlah mak, sedang belajar sudah bergelar isteri orang.  Setakat menjadi tunangan tu, biasalah.”  Mazlinda duduk di sisi  Hajjah Leha.
                “Bukan apa, mak bimbang bila sudah duduk  jauh nanti, ada hati yang berubah,”  tukas Hajjah Leha.
                “Insya-ALLAH, mak.  Hati kami bagaikan satu.  Mazy akin Wan seorang yang setia,”  penuh yakin.
                “Maz pula macam mana?  Boleh setia?”  Tanya Hajjah Leha lagi.  Mazlinda terdiam.  Mampukah dia setia.  Setakat ini dia setia dengan Ridzuan.  Hatinya tidak sedikit pun tergugat dengan lelaki lain.  Walaupun ada yang merisik namun jiwa dan raganya sudah diserahkan kepada Ridzuan.  Nafasnya ada  Ridzuan.  Matanya ada Ridzuan.  Telinganya  hanya mendengar suara Ridzuan.  Mulutnya hanya menyebut  nama Ridzuan.  Kakinya hanya melangkah mencari Ridzuan.  Tangannya hanya menyentuh  Ridzuan.  Bukan orang lain.  Tidak mungkin orang lain.
                “Maz cuba mak, Insya-ALLAH.”  Mazlinda tersenyum lagi. Hajjah Leha mengangguk.  Dia berharap begitulah.  Lima tahun mereka  akan menunggu antara satu sama lain.  Mampukah mereka.  Itu persoalan yang berputar dibenak fikirannya.   Dia yakin hubungannya dengan Ridzuan akan kekal sehingga ke jinjang pelamin.
                Ridzuan hanya mampu mengeluh.  Permohonannya untuk sambung belajar di sebuah universiti di luar negara sudah diterima.  Lagi dua minggu dia akan bertolak ke UK.  Mazlinda pula hanya mendapat peluang sambung belajar di universiti dalam negara sahaja.  Permohonannya di universiti yang sama dengan Ridzuan telah ditolak.  Mazlinda gagal melayakkan diri.  Ridzuan benar-benar kecewa.  Namun dipendamkan sahaja.  Mungkin bukan rezeki tunangnnya itu.
                “Kenapa termenung ni?  Risau nak berjauhan dengan Maz?  Maz tak kisah Wan.  Asalkan Wan tetap setia dengan Maz.  Belajar jauh-jauh ni cabaran banyak.  Di UK tu ramai perempuan yang cantik-cantik, menggoda dan seksi.  Maklumlah negara orang putih.  Tidak ada segan silu.  Wan janji dengan Maz, akan  tetap setia dan jujur dengan Maz.”  Tangan Ridzuan diraih ke dalam pelukannya.
                “Kita nikah Maz, lepas tu Maz ikut Wan ke UK.  Di sana nanti Maz buat permohonan baru,”  cadang Ridzuan.  Memang  dia redha dengan keputusan yang ada tetapi dia tidak sanggup berjauhan dari tunangnya itu.
                “Hish!  Lima tahu je pun, lagi pun Wan akan balik selalu, kan?  Sabar ya?”  pujuk Mazlinda.  Siapa yang tidak ingin berkahwin dan bernikah dengan orang yang disayangi apatah lagi mereka sudah pun bertunang.  Tetapi menyambung pelajaran dengan status isteri takut dia tidak mampu dan tidak kuat menghadapinya.  Besar tanggungjawab sebagai pelajar, besar lagi tanggungjawab sebagai seorang isteri.  Dia masih belum bersedia menjadi seorang isteri.   Biarlah mereka sama-sama  menyelesaikan kuliah.  Baru bernikah.  Baru aman dan tenteram.  Tidak terkejar-kejar dengan tesis dan peperiksaan.
                “Kita akan berjauhan selama lima tahun  Maz.  Wan bimbang ada diantara kita yang berpaling tadah.”  Luahan Ridzuan.  Mazlinda tersenyum.
                “Wan, Insya-ALLAH, Maz akan tetap setia sehingga ke hujung nyawa.”  Janji Mazlinda.  Ridzuan tersenyum puas.  Puas dengan kata janji dari mulut tunangnya.  Dia yakin pada dirinya sendiri.  Dia boleh setia dengan Mazlinda.  Dia pasti sangat-sangat.  Hatinya telah diserahkan sepenuhnya pada Mazlinda.  Mazlindalah jiwa raganya.  Mazlindalah nyawanya.  Nafasnya berdenyut dengan nama Mazlinda.
                “Maz kena lapor diri bila?”  Ridzuan beralih ke topik lain pula.  Dia tidak mahu terlalu memikirkan soal hubungannya dengan Mazlinda.  Mereka sama-sama masih belajar, biarlah fokus mereka tertumpu pada pelajaran  dahulu.
                “Dua hari selepas Wan berangkat.”  Mazlinda hiba.  Dia akan berjauhan dari kekasih hatinya.  Mereka tidak lagi boleh selalu berjumpa, duduk berdua-duaan seperti sekarang.  Mereka tidak lagi akan saling menatap wajah masing-masing.  Mereka tidak akan saling tersenyum.
                “Tabah ya,  ini dugaan untuk menguji kesetiaan cinta kita berdua.  Wan berjanji akan sering  hubungi   Maz.”  Janji   Ridzuan.  Mazlinda mengangguk.  Dia takut berpisah dengan Ridzuan. Dia bimbang bila sudah berjauhan lain pula jadinya.  Tidak!  Perasaan negatif itu harus dibuang jauh-jauh.  Cinta mereka utuh seteguh gunung kinabalu.
                “Wan janji tidak akan curang pada Maz.”
                “Wan janji.  Wan sumpah akan setia pada Maz.”
                “Jangan bersumpah pula, tak baik tau.  Kalau tidak tertunai kan berdosa?”  Mazlinda menutup mulut  Ridzuan dengan dua jarinya.
                “Tidak, Wan tidak takut di makan sumpah jika Wan tidak tetapi janji Wan,”  Ridzuan membelai lembut  pipi gebu Mazlinda. 
                “Maz, juga bersumpah akan setia  pada Wan.  Hanya Wan yang akan jadi teman hidup Maz.  Hanya Wan,”  kata Mazlinda pula.  Ridzuan tersenyum puas.  Janji sudah dimeterai antara mereka.  Lagi pun mereka sudah pun bertunang.  Pertunang mereka menguatkan lagi rasa cinta dan kasih di hati. 
                “Lima tahun tau kita berpisah.  Kena kuatkan hati dan minda. “  Ridzuan masih memandang wajah Mazlinda.  Matanya tidak berkelip memandang wajah ayu itu.  Wajah yang akan ditatap hanya seminggu dua sahaja lagi.  Selepas itu mereka akan  berpisah jauh.  Jauh dari mata namun sentiasa dekat di hati.
                “Wan pun sama tau, jangan main mata dengan mana-mana minah salleh kat sana nanti.  Maz cemburu tau.  Gadis melayu pun tak boleh tau.”  Mazlinda merenggek manja.  Ridzuan ketawa kecil.
                “Maz jauh lebih ayu dari minah-minah salleh yang seksi tu tau,”  puji  Ridzuan.  Mazlinda mencebik.  Mereka sama-sama ketawa.    Riang di hati, gembira di wajah.  Namun jauh di sudut hati sudah tumbuh perasaan rindu yang membuak-buak lantaran akan berjauhan tidak lama lagi.
                Hari perpisahan yang ditunggu akhirnya tiba juga.  Wajah Mazlinda dan Ridzuan jelas terpancar kesedihannya.   Kedua orang tua mereka tidak mampu berkata apa-apa.  Orang sedang mabuk asmara itulah keadaannya.  Ridzuan mendekati  ahli keluarganya yang tidak dapat turut serta menghantarnya  ke  KLIA.  Hanya emak, ayah dan dia sahaja.  Begitu juga Mazlinda.  Dia tidak mahu  melihat Ridzuan pergi meninggalkannya.  Biarlah mereka berpisah di rumah itu dan bertemu juga di rumah itu. 
                “Jaga diri baik-baik waktu di sana nanti ya,”  pesan bakal mentuanya.  Ridzuan mengangguk perlahan.  Dadanya mula sebak.    Dia cuba menahan agar air matanya tidak mengalir.  Buat malu sahaja.  Dia anak lelaki.  Berpisah hanya lima tahun sahaja.  Mungkin ada rezeki setiap tahun dia boleh balik bercuti.
                “Mak Leha jaga Maz baik-baik ya,”    Ridzuan memandang wajah Mazlinda.  Wajah redup itu muram dan suram.  Siapa yang ingin berlakunya perpisahan.  Dia sendiri tidak mahu iyanya terjadi.  Kalau boleh dia tidak mahu langsung berpisah dengan Mazlinda.  Kalau boleh dia ingin membawa Mazlinda bersama, tetapi apakan daya.  Dia pergi tidaklah lama.  Dia pergi untuk mencapai cita-cita.  Dia pergi bagi memenuhi impiannya untuk menjadi seorang engineer.  Biarlah dia mencapai impiannya dahulu kemudian memenuhi impiannya memiliki Mazlinda zahir dan batin.
                “Wan, pergi dulu ya, Maz belajar baik-baik.  Panjang umur kita jumpa lagi,”  Ridzuan menghulur tangan.  Mazlinda menyambut dan menciumnya.  Air mata sudah cukup bercerita tentang perasaan dua sejoli yang sedang mabuk asmara ini.    Perpisahan yang  tidak pernah dirancang dan diduga akan terjadi.  Ridzuan melambai lemah kea rah Mazlinda sehingga hilang dari pandangan.  Air mata mula menitis membasahi pipinya.  Dia menyeka dengan hujung jari.  Nafas ditarik lama kemudian dilepas perlahan. 
                “Ayah dan emak akan tengok-tengokkan Mazlinda.  Wan jangan risau, ya.  Wan tumpukan pada pelajaran.  Soal di sini serahkan pada kami, tahulah kami menjaga amanah Wan tu.”  Pujuk Hajjah Rahimah.  
                “Terima kasih mak,”
                “Jangan difikirkan sangat.  Ayah  pasti Maz tahu menjaga diri.  Dia gadis yang baik itu sebab kami sudi mengambil dia menjadi bakal isteri Wan.  Wan tu pun kenalah jaga diri, jangan nak curanglah pula.  Bila sudah berjauhan begini, sudah bertunang pula tu.  Darah orang bertuang ni manis, dugaan pun banyak, jadi berhati-hati.  Jaga diri dan tingkahlaku.  Duduk luar negara jangan jadikan diri itu terlebih mat salleh pula.” Nasihat Haji Rizal.
                “Insya-ALLAH ayah, emak.  Doakan Wan supaya kuat semangat duduk di tempat orang tu.” 
                “Mak dan ayah akan sentiasa mendoakan kejayaan kau Wan.”  Air mata Hajjah  Rahimah mula mengalir.  Maklumlah berjauhan dengan anak kandung sendiri.  Belum pernah mereka berpisah jauh seperti itu.  Beratus ribu batu jauhnya.  Sudah keinginan Ridzuan belajar di UK.  Dapat pula peluang tidak mungkinlah  Ridzuan menolak.
                “Terima kasih mak, ayah,”    Ridzuan memegang bahu ke dua orang tuanya.  Kereta meluncur laju meninggalkan perkarangan rumah dan menuju ke KLIA.  Ridzuan memejamkan mata hanya wajah Mazlinda di ruangan mata.  Belum pun jauh kakinya meninggalkan bumi Malaysia, malah belum keluar dari bumi Malaysia pun, dia sudah merindui tunangannya itu.  Ya, ALLAH, KAU panjangkanlah jodoh kami, amin.  Doa Ridzuan di dalam hati.
                ‘Wan akan balik, bersama segulung Ijazah, Maz.  Kau akan menjadi milik Wan yang abadi,’ kata Ridzuan  dalam hatinya sendiri.   Matanya memandang awan yang memutih.  Bumi  Malaysia semakin jauh ditinggalkan.  Tinggal keluar dan orang tersayang.  Tinggalkan negara  tercinta demi mencari ilmu di tempat orang.  Dia akan belajar bersungguh-sungguh.  Dia akan membawa pulang kejayaan untuk dirinya dan keluarga.   Dia akan mencapai impiannya untuk bersama orang tersayang.  Ridzuan tersenyum sambil memejamkan mata.
                Hari pertama melangkahkan kaki di menara gading membuatkan dia tersenyum bangga.  Walaupun tidak belajar keluar negeri namun dia bersyukur kerana masih berpeluang menyambung pelajaran.  Mazlinda  menapak menaiki tangga  untuk ke asramanya.  Berjumpa ramai kawan-kawan baru.  Namun rindunya pada Ridzuan bagaikan menyiat-nyiat jantung hatinya.   Baru beberpa hari mereka berpisah sudah terasa rindu yang amat sangat.   Selama ini setiap hari Ridzuan sentiasa ada di sisi menemaninya.  Kini tidak lagi. Pandai-pandailah dia hidup berdikari untuk tahun-tahun mendatang sebagai seorang pelajar.
                 Setiap hari ada sahaja sms dari Ridzuan. Pengubat rindu.  Dia hanya mampu menahan rasa rindu pada tunangnya itu.  Tidak sabar menunggu lima tahun berlalu, untuk mereka  hidup bersama-sama. Untuk menghilangkan rasa rindu pada Ridzuan Mazlinda menyibukkan dirinya dengan aktiviti universiti dan persatuan.  Setiap hari ada sahaja aktiviti yang dia ikuti.  Masanya terisi dan penuh sehingga dia jarang pulang ke kampong.  
                “Maz…  Maz…  Mazlinda!”   panggil seseorang.   Mazlinda menoleh.  Hanizad mendekati gadis manis itu.  Dia tercungap-cungap.  Hanizad mengurut dada kepenatan.  Dahi Mazlinda berkerut.  Wajah pemuda yang menjadi  Pengerusi Persatuan  Kebudayaan itu dipandang dengan kehairanan.
                “Kenapa Ijad?”  Tanya   Mazlinda.
                “Malam ini kita ada mesyuarat  tergempar untuk program Malam Kebudayaan kolej kita, awak datang ya?”  senyuman terukir di bibir  Hanizad.  Mazlinda berfikir sejenak.  Ada  tugasan yang belum selesai.  Dia juga sudah berjanji hendak  Ridzuan untuk berchating mala mini.  Mazlinda mengetap bibir.
                “Kalau saya tak pergi, tak boleh ke?”  Mazlinda memandang tepat wajah Hanizad.  Temannya itu mengeluh.
                “Janganlah macam tu?  Awak ada banyak tugasan yang belum siap ke?” 
                “Adalah, itu sebab saya  tanya awak.  Kalau saya tak pergi, bolehkan?”  Mazlinda masih berharap dia tidak turut serta.  Dia ingin sangat menatap wajah Ridzuan,  Sudah setahun mereka tidak bersua muka.  Tidak mungkin dia  melepaskan peluang tersebut.
                “Datang ya, saya berharap sangat,” dengan wajah mengharap.  Mazlinda mengeluh.  Serba salah di hati.  Di sana kekasih hati, di sini tanggungjawab menanti.
                “Tengoklah nanti.”  Mazlinda melangkah pergi.  Hanizad memandang kelibat Mazlinda berlalu pergi.  Dalam diam hatinya terpaut pada gadis tersebut.  Biar pun gadis itu bagaikan  jinak-jinak merpati.
Hanizad tersenyum sendiri.  Dia akan berusaha memiliki gadis yang sudah mula bertahta di hatinya.  Dia tidak pernah melihat Mazlinda dengan mana-mana lelaki di universiti  itu.  Dia pasti Mazlinda masih belum berpunya.
                Masa  terus berlalu.  Ridzuan semakin sibuk dengan kuliahnya.   Dia perlu  lulus cemerlang.   Dia berharap Mazlinda tetap setia, seperti mana dia setia terhadap tunangannya itu.   Dia tidak pernah lupa membeli hadiah untuk kekasih hatinya itu.  Dia juga bekerja waktu cuti semester.  Dia tidak mahu pulang kerap ke Malaysia, duit yang ada perlu disimpan untuk majlis perkahwinannya nanti.  Dia tidak boros berbelanja, pandai dia berjimat demi  Mazlinda.
                “Kau tak balik kampong lagi raya ni, Wan?”  tanya Karim kawan sebilik  Ridzuan.
                “Tak kot, aku nak bekerja cuti semesta ini Karim.  Nak kumpul duit beli cincin perkahwinan aku di sini.  Nostalgia.”  Ridzuan ketawa.  Karim menggelengkan kepala. 
                “Kau tak kesian ke kat tunang kau tu?  Tentu dia rindu sangat dengan kau.  Dah 3 tahun kau tak balik,”  Karim duduk mengadap Ridzuan yang sibuk menyiapkan  kerja rumahnya.
                “Aku dah bagi tahu dia.  Dia faham.  Kenalah sama-sama berkorbankan.  Baru bererti kasih sayang kami.” 
                “Ikut suka kaulah, orang perempuan ni cepat terasa sunyi.  Kalau setakat setahun dua, mungkin dia boleh bersabar, ini sudah  3 tahun?”  Karim menggelengkan kepala.  Ridzuan tersenyum.
                “Aku tahu Karim, dia akan setia dengan aku.  Aku benar-benar sayang pada dia,”  Ridzuan tersenyum lagi, bagaikan orang  angau.
                “Aku kagum dengan kau, jujur dan setia.  Semoga kau perolehi kebahagian yang kau harapkan itu Wan, amin.”  Karim menepuk bahu Ridzuan. 
                “Amin,”  sambung Ridzuan.  Mereka saling tersenyum.
                Mazlinda  mengeluh.  Sudah  3 tahun  Ridzuan tidak balik.   Dia pula ada tempoh setahun lagi.   3 tahun di universiti  Teknologi Mara.  Ramai kawan dan kenalan.  Tidak kurang juga kawan baik.  Kawan istimewa juga ada.  Namun  hanya kawan.  Hanizad semakin hari semakin  mesra dengan dia.  Kekosongan hatinya    terisi dengan kehadiran Hanizad.  Dia tidak pernah memberitahu Hanizad yang dia sudah bertunang.  Berjauhan bukan lagi mendekatkan hatinya pada Ridzuan,malah semakin jauh.  Tunangannya itu sudah jarang menghubunginya.    Mungkin sibuk belajar.  Dia tidak mahu menganggu Ridzuan.  Lagi pun tunangnya sudah berpesan,  agar tidak menghubunginya,  Ridzuan yang akan menghubunginya.  Setiap hari dia menunggu panggilan atau sms dari Ridzuan namun hampa. 
                Dia berkawan dengan  Hanizad sekadar untuk mengisi kekosongan hatinya sahaja.  Dia tidak mahu keseorangan sedangkan kawan-kawan yang lain sibuk dengan pasangan masing-masing.  Ada juga terbit rasa cemburu melihat kegembiraan di wajah kawan-kawannya.  Malu hendak mengaku yang dia sudah berpunya. Nanti diketawakan pula.
                “Maz…  Ijad ada perkara nak cakap pada Maz,”  Hanizad menyedut air  sirap yang terhidang di depannya dengan  penuh sopan.  Sengaja dia mengajak Mazlinda keluar malam itu.  Dia ingin menyuarakan isi hatinya pada  Mazlinda.  Tidak lama lagi mereka akan habis belajar dan mula melangkahkan kaki ke alam pekerjaan.  Sudah sampai masanya dia  menyatakan isi hatinya pada gadis idaman kalbu.
                “Cakaplah, buat apa malu-malu.  Macam tak biasa?”  Mazlinda menjeling manja.  Hanizad menunduk dan tersenyum malu.
                “Kita dah lama berkawan, siang malam kita bersama.  Buat kerja tugasan sama-sama.  Ke mana sahaja bersama.  Apakah tiada sedikit pun rasa sayang pada Ijad?”  Hanizad menatap wajah  Mazlinda.  Mengharap.
                “Cuba cakap bagi jelas, tak payahlah berbunga-bunga,”    Mazlinda mencebik.  Hanizad  menyengih.  Hish!  Bukan senang nak meluahkan perasaan cinta pada seorang walaupun sudah biasa dengan  gadis tersebut.
                “Maz, saya sayang dan cintakan awak?  Saya harap awak juga ada perasaan yang sama terhadap saya,”  Hanizad memandang dengan penuh harapan.  Mazlinda  terkejut.  Dia menyandar di kerusi.  Wajah Hanizad dipandang seketika.  Dia menunduk. Dalam diam dia juga menyimpan perasaan  yang sama.    Keprihatinan,  keakraban mereka tidak memungkinkan tiada sedikit pun perasaan pada  pemuda tersebut.    Bagaimana dengan Ridzuan?  Semakin hari semakin pudar perasaan tersebut.  Dia tidak lagi menyintai tunangnya itu.  Mudah benar hatinya berubah.  Apakah kerana jarang bertemu membuatkan hatinya semakin jauh pada tunangnya sendiri. 
                “Ijad,  Maz tak sangka sama sekali.  Boleh tak beri Maz masa untuk memikirkannya,”  Mazlinda tidak mahu terburu-buru menerima dan terburu-buru menolak.  Dia sudah bertunang.  Tiada siapa tahu yang dia sudah bertunang, itulah masalahnya.  Dia tidak boleh salahkan Hanizad jika pemuda itu jatuh hati padanya.  Bukan dia menggoda.  Entahlah dia sendiri tidak tahu keadaan dirinya ketika dan saat itu. Fikirannya buntu.  Antara tunang dengan pemuda yang menyayanginya, dia belum mampu memberi jawapan atau membuat keputusan.
                “Okey, Ijad tidak mahu memaksa.  Ijad akan beri Maz masa untuk memikirkannya.  Kalau Maz  setuju, habis sahaja belajar  Ijad bercadang hendak masuk meminang.  Ijad tidak mahu tunggu lama-lama.   Ijad takut Maz diambil orang,”  cadang Hanizad.  Mazlinda hanya mendengar tanpa ada sebarang reaksi darinya.
                “Beri Maz masa ya, Ijad,” pinta Mazlinda.  Hanizad mengangguk perlahan.  Walaupun dia mengharapkan jawapan yang segera, kalau boleh hari itu juga dia inginkan jawapan dari Mazlinda.  Dia tidak boleh memaksa.  Dia tidak boleh terburu-buru dan tergesa-gesa.  Mazlinda perlu juga memikirkan perkara yang bersangkutan dengan masa depannya.
                “Okeylah, Ijad akan tunggu jawapan dari Maz.”  Hanizad menghabiskan mee goreng di dalam pinggan.  Senyuman terukir namun sumbang.  Dalam hati bergelodak, takut dan bimbang.  Suka dan sedih.  Dia tidak tahu apa yang ada di dalam hati Mazlinda lebih-lebih lagi tentang dirinya.  Sukakah?  Bencikah? Dia sendiri tidak tahu.  Kalau benar  dia ada jodoh dengan  Mazlinda, dia tidak perlu bimbang apa-apa.  Pasti ada.  Jika tiada jodohnya dengan Mazlinda, dia tidak boleh memaksa. Pada ALLAH dia berserah.
                Malam itu mereka habis masa bersama.  Hampir tengah malam baru mereka pulang ke asrama.  Mazlinda cuba berlagak biasa.  Berhadapan dengan pemuda yang dalam diam menyimpan perasaan padanya membuatkan hatinya berdebar-debar.  Jantungnya berdegup kencang.  Seram sejuk.  Dia takut akan mengecewakan  Hanizad.  Dia juga takut akan mengecewakan Ridzuan,tunangannya.  Keluarganya?  Apa kata mereka nanti?  Keluarga Ridzuan?   Mazlinda melepaskan keluhan.
                Pening kepalanya memikirkan perkata tersebut.  Dia tidak tahu pada siapa dia harus mengadu.  Mazlinda berjalan  menuju ke dapur.  Hajjah  Leha mengangkat kening.  Mazlinda mendekati emaknya.  Dia duduk di kerusi sambil mengadap emaknya yang sedang memotong sayur untuk masak tengahari.
                “Kenapa ni? Gelisah semacam je?  Ada masalah dengan pelajaran?”  Hajjah Leha  berhenti memotong sayur kangkung.  Matanya tepat memandang wajah anak gadisnya.
                “Sepanjang Maz belajar, belum pernah Maz beritahu kawan-kawan yang Maz sudah bertunang.  Maz sengaja merahsiakan perkara itu.  Bukan ada niat apa-apa pun.  Mereka pula tidak pernah bertanya pada Maz,”   Mazlinda memulakan bicara.  Hajjah Leha mendengar dengan penuh minat. 
                “Ada orang suka pada Maz?”  serkap jarang.  Mazlindan membeliakkan mata.  Hajjah Leha tersenyum.
                “Itu perkara biasa di mana-mana Maz.  Mereka yang seusia Maz sedang mencari cinta, mencari pasangan hidup,” sambung Hajjah Leha.  Mazlinda mengeluh.
                “Maz tak tahu nak cakap apa?  Kalau berterus terang tentu orang itu akan menjauhkan diri dari Maz, sedangkan dalam hati Maz…  “ Mazlinda terdiam.  Hajjah  Leha mengerutkan dahi.
                “Maz suka budak tu?”  lembut tutur kata Hajjah Leha.  Mazlinda menunduk.
                “Yang dekat di sayang, yang jauh dikenang, mak,”  perlahan suara Mazlinda menuturkannya.  Hajjah Leha mengeluh.
                “Itu sebab, mak suruh Maz dan Ridzuan bernikah dulu, lepas tu ke luar negara bersama.  Orang yang berkahwin lagikan berubah bila sudah berjauhan,  inikan hanya menjadi tunang.  Ridzuan sudah 3 tahun tidak balik.  Hati kita bagaikan pantai Maz, sekali dilanggar ombak sekali pasir berubah.  Hanya mereka yang benar-benar kuat hatinya  mampu bertahan dan sabar menunggu, setia sehingga ke hujung nyawa,”   tutur Hajjah Leha.  Mazlinda sebak.
                “Ridzuan ada telefon atau hantar sms?” 
                “Tak mak, kali terakhir enam bulan lepas.”
                “Mungkin dia sibuk belajar agaknya, kan tinggal 2 tahun sahaja lagi.”
                “Agaknya mak.”  Tiada lagi perasaan membuak-buak untuk bertemu Ridzuan.  Ya, ALLAH hatiku sudah berubahkah?
                Ridzuan tersenyum bangga.  Segulung  ijazah sudah di tangan.  Hanya wajah Mazlinda yang terbayang di ruangan  mata.   Tidak sabar-sabar rasanya hendak sampai ke rumah.  Sengaja dia merahsiakan hari kepulangannya kepada kedua orang tuanya.  Hatinya berbunga-bunga riang.  Terasa lambat sahaja untuk sampai ke rumah.  Selama di luar negeri dia berusaha bersungguh-sungguh  agar hatinya tidak beralih arah.  Bukan mudah untuk dia melawan arus.  Gadis-gadis di universitinya cantik-cantik belaka.  Ada juga mencintainya dalam diam, namun hatinya tetap pada Mazlinda.
                Rindu pada negaranya sendiri.  Rindu pada kampong halaman.  Rindu kepada kedua orang tuanya.  Rindu dengan masakan emaknya dan yang paling penting hatinya tidak sabar-sabar ingin bertemu tunangannya.  Lima tahun  berpisah, sepanjang masa itu hanya sekali sahaja dia pulang   bercuti.  Kesibukan dengan kuliah membataskan masanya untuk menghubungi Mazlinda.  Hanya surat dan email sahaja pengganti diri. 
                Hajjah Rahmah dan  Haji Ramlee terkejut tidak terkata.  Kemunculan Ridzuan di waktu yang tidak sepatutnya.  Sepatutnya Ridzuan pulang lagi 2 bulan.  Kenapa awal pula kepulangan anak bongsunya itu.   Wajah riang Ridzuan ditenung lama.  Hampir luluh hatinya melihat wajah  itu.  Haji Ramlee menepuk bahu isterinya.  Mereka saling berpandangan.    Ada kerisauan di wajah mereka berdua.
                “Wan nak ke rumah Maz.  Tentu dia terkejut  tengok Wan, kan mak?”  Ridzuan tersenyum lagi.  Hajjah Rahmah mengeluh kasar.  Apakah dia harus memberitahu Ridzuan.  Apakah dia harus menyatakan apa yang telah terjadi?.
                “Esok,esok je le.  Wan kan baru sampai rumah,”  Haji Ramlee menghalang. 
                “Lima tahun ayah.  Lima tahun   Wan menyimpan perasaan rindu pada Maz,”  Ridzuan menunduk. 
                “Mungkin dia di tempat kerja.  Tak balik lagi,”  tukas Haji Ramlee.
                “Hish!   Ayah ni, hari inikan hari sabtu,”  Ridzuan menggelengkan kepala.  Hajjah Rahmah serba salah.
                “Wan pergi dululah.  Tentu Maz tidak menyangka Wan balik awal dari tarikh yang sepatutnya, kan.”  Ridzuan  bingkas bangun dan mendekati pintu.  Hajjah Rahmah cuba menghalang.
                “Tak  payahlah Wan!  Wan kan  baru sampai.”
                “Kenapa ni mak?  Macam tak suka je Wan jumpa Maz?”  Ridzuan kehairanan.  Haji Ramlee memegang  bahu isterinya.  Dia mengangguk.  Biarlah Ridzuan tahu sendiri.   Tiada guna mereka menghalang.  Esok lusa pasti Ridzuan tahu juga.
                “Biarlah dia pergi,”   kata Haji Ramlee, matanya memerhatikan sahaja motosikal yang dipandu oleh Ridzuan meninggalkan perkarangan rumah.  Hajjah Rahmah terduduk di sofa sambil menangis.    Haji Ramlee hanya mampu mengeluh.
                Ridzuan memasuki perkarangan rumah Mazlinda.  Kelihatan beberapa buah khemah sudah di pasang di hadapan rumah tunangannya itu.  Kenduri apa pula ini?  Kerusi meja sudah pun tersusun kemas.  Makanan terhidang.  Beberapa buah kereta banyak di tepi jalan menuju ke rumah Mazlinda.   Siapa yang kahwin?  Setahu dia semua abang dan kakak Mazlindan sudah berumahtangga.  Dia memberhentikan  motosikalnya di bawah pokok mempelam tidak jauh dari rumah Mazlinda.  Dia menapak mendekati rumah tersebut.  Beberapa mata yang amat dikenali memandangnya dengan penuh rasa hairan.    Ridzuan bersalaman dengan mereka.  Tiada sebarang kata yang keluar dari mulut mereka.
                Mazlinda sudah pun bersiap bersimpuh di hadapan pelamin yang telah dibuat khas untuk majlis akad nikahnya.  DIa tersenyum riang.  Para tetamu sebelah pihaknya dan sebelah pihak lelaki  sudah pun memenuhi ruang tamu rumah orang tuanya.  Tok Kadi yang akan menikahkan mereka sudah pun duduk bersila di hadapan pengantin lelaki.  Mazlinda menunduk, menunggu dengan sabar majlis akad nikah berlangsung.  Hanya sekali lafaz, dia sah menjadi isteri Hanizad.  Hampir menitis air matanya.  Air mata gembira.  Hanizad menyarungkan cincin perkahwinan ke jari Mazlinda.   Gadis idaman hati kini sudah bergelar isterinya.  Dia mencium dahi Mazlinda lembut.  Mazlinda menunduk untuk mencium tangan Hanizad.
                “Maz!”  jerit seseorang dari muka pintu.  Semua mata memandang kea rah pintu.  Hajjah Leha terkejut melihat kemunculan Ridzuan.  Kenapa Ridzuan ada hari ini?  Bila dia sampai ke tanah air?  Bukankah lagi dua bulan baru Ridzuan pulang ke tanah air.    Mazlinda pucat.  Hanizad terkejut.  Para tetamu mula bercakap sesama sendiri. 
                “Wan!  Mari masuk.  Bila balik?”  Hajjah Leha cuba beramah.  Ridzuan memandang wajah Hajjah Leha dengan penuh kehairanan.
                “Maafkan Maz, Wan.”  Mazlinda menangis.  Hanizad mendekati Ridzuan.
                “Pertunangan awak dan Mazlinda telah diputuskan enam bulan yang lalu.  Takkan keluarga awak tidak beritahu?”  Hanizad cuba mententeramkan Ridzuan yang cuba mendekati Mazlinda.  Dia tidak akan benarkan.  Mazlinda kini adalah isterinya.  Ridzuan tidak percaya apa yang dia dengar dari mulut lelaki yang  berbaju melayu di hadapannya itu.  Mungkin mereka sengaja mempermainkannya.  Tidak mungkin Mazlinda sanggup memutuskan pertunangan mereka?  Dia tidak percaya.
                “Maz, cuba jelaskan pada Wan, apa semuanya ini?”  tegas.  Mazlinda masih menangis.  Dia tidak tahu apa yang harus dia katakan pada bekas tunangannya itu.  Keadaan mula kecoh.
                “Wan, Maz dah lama memutuskan pertunangannya dengan Wan.  Hatinya telah terpikat pada orang lain.  Wan dah lama tak hantar berita.  Maz sunyi, itu sebab hati Maz beralih alah,”  jelas Hajjah Leha.  Mazlinda masih tidak berkata apa-apa.  Air matanya laju mengalir. 
                “Sunyi?  Hanya itu sahaja alasannya?  Wan setia dengan Maz, walaupun berada jauh dari keluarga.  Kenapa Maz sunyi sedangkan Maz dikelilingi oleh ahli keluarga?  Kenapa tak beritahu awal yang Maz  tidak cintakan Wan lagi.  Sampai hati Maz buat Wan begini.  Wan pulang dengan seribu harapan.  Wan pulang dengan segulung Ijazah.  Wan pulang awal dengan berharap kita boleh bersatu.  Wan tidak hantar berita bukan tanda Wan lupa pada Maz.  Wan sibuk dengan kuliah lebih-lebih lagi akhir tahun.  Kenapa Maz buat Wan begini?   Hanya kesalahan yang kecil sanggup Maz hancurkan hati dan cinta  Wan?  Kenapa Maz?”  Ridzuan tidak percaya semudah itu Mazlinda berubah.  Dia juga belajar, dia juga mempunyai ramai kawan perempuan tetapi dia masih boleh menahan  hatinya dari jatuh cinta pada orang lain.  Kenapa semuda itu Mazlinda berubah hati. 
                “Pulanglah Wan, jangan ganggu majlis orang,” kata salah seorang jiran yang turut berada di majlis tersebut.
                “Wan bukan menganggu.  Wan ingin penjelasan,”   Ridzuan sebak.  Mazlinda  langsung tidak memandang wajahnya.  Kenapa tergamak Mazlinda buat dia begini?  Kenapa kedua orang tuanya merahsiakan perkara ini?  Kenapa ini hadiah yang diterima setelah bertahun meninggalkan tanah air dan kampung halaman tercinta.  Inikah balasannya di atas kesetiannya selama ini.
                “Maz dah tak cintakan Wan lagi,”  kata Mazlinda dengan sedu sedannya.  Terlopong Ridzuan mendengarnya.  Mudahnya?  Ridzuan mengerutkan dahi.
                “Sampai hati Maz,”  Ridzuan melangkah lemah meninggalkan perkarangan rumah Mazlinda dengan hati yang hancur luluh.  Air matanya  mengalir, sedih dan kecewa.  Tergamak Mazlinda buat dia begini.  Kesetiannya hanya sia-sia.  Harapannya hancur.   Lain yang diharapkan, lain pula yang berlaku. 
                Motorsikal dipandu laju meninggalkan kawasan rumah Mazlinda.  Ridzuan terus pulang ke rumah.  Wajahnya sugul.  Sisa air mata diseka dengan hujung jari.  Dia melangkah laju masuk ke dalam rumah.  Hajjah Rahmah mendekati anak bongsunya.  Ridzuan menghempaskan punggung di sofa.  Wajah emak dan ayahnya dipandang dengan penuh kecewa.
                “Maafkan emak dan ayah, Wan.”  Perlahan tutur kata Haji Ramlee.  Ridzuan mengetap bibir.  Dia tidak boleh memarahi kedua orang tuanya.  Mereka tidak bersalah.  Mazlinda yang bersalah.  Lelaki yang menjadi suami Mazlinda juga bersalah.  Menggoda tunangan orang. 
                “Apa salah Wan, mak?”  soal Ridzuan.  Hajjah Rahmah menggelengkan kepala. 
                “Hatinya sudah terpaut pada orang lain, Wan.  Maz ada datang memohon maaf pada emak dan ayah.  Dia sudah cuba untuk setia pada Wan, tapi apakan daya.  Kenapa Wan membisu tiada sebarang berita pun untuk Maz,”  Hajajh Rahmah kesal.  Ridzuan tersenyum sinis.
                “Alasan mudah untuk melepaskan diri, mak.   Wan juga belajar.  Ramai gadis-gadis cuba merapati Wan, tapi Wan tolak.  Cinta Wan hanya untuk Maz.  Inikah  balasannya pada Wan?”  Ridzuan benar-benar kecewa.  Tiada kata yang mampu dikatakan untuk menggambarkan perasaannya yang hancur itu. 
                “Sabarlah Wan, mungkin bukan jodoh Wan dengan Maz.  Kita cari sahaja gadis lain ya?”  pujuk   Hajjah Rahmah. 
                “Ialah Wan.  Ramai lagi anak gadis di kampung ini yang cantik dan boleh dijadikan isteri.  Biarlah Mazlinda bahagia dengan pilihannya sendiri.  Kalau Wan nak beritahu saja.  Mak dan ayah akan pergi meminang.  Anak  bongsu ketua kampung pun sudah besar panjang. Baru lepas SPM, cantik dan manis orangnya.  Kalau Wan setuju, kita masuk meminang je,”  kata Haji Ramlee masih memujuk.
                “Hati Wan hanya untuk Mazlinda mak, ayah.  Biarlah sampai ke tua pun Wan tak kahwin.  Fobia Wan dengan perangai perempuan ni.  Tidak tahu nak setia pada seorang lelaki.  Mudah sahaja jatuh cinta.  Alasan dicipta hanya  untuk menyedapkan hati.  Sampai bila-bila pun Wan tidak akan lupa dengan apa yang terjadi.  Cukuplah  sekali sahaja hati Wan hancur.  Wan tidak sanggup hadapinya lagi.”  Tegas kata-kata Ridzuan. 
                Hajjah Rahmah mengeluh.  Itu peristiwa dua puluh lima tahun dahulu.   Sehingga suaminya meninggal Ridzuan tetap dengan keputusannya tidak mahu berkahwin.  Wajah suram anaknya dipandang dengan hampa dan kecewa.   Mazlinda bahagia dengan kehidupannya.  Malah sudah bermenantu pun.  Tetapi anaknya menyulam duka sehingga ke hari ini.   Dia hanya mampu berdoa semoga suatu hari nanti hati Ridzuan terbuka untuk beristeri. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan