Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 11 Julai 2014

AKU SAYANG IBU - ASMAH HASHIM


AKU SAYANG IBU…

                Mata aku memerhatikan sahaja ibu melakukan kerja rumah sejak pukul 5.00 pagi sehinggalah hampir pukul 8.00 pagi.  Adik-adik pula hanya tahu meminta itu dan ini.  Ada yang kehilang stokin, ada yang baju sekolah entah di mana dicampakkan.  Ada yang tidak sempat menyiapkan jadual dan kerja sekolah.  Ibu memenuhi semua  kehendak adik-adik tanpa mengira besar dan becil.  Ibu menyediakan sarapan pagi dan makan tengahari.  Lauk tengahari disimpan di dalam periuk, nanti kakak sulong aku pulang dari sekolah, dia akan panaskan.  Nasi juga sudah siap ditanak.  Ibu ke bilik air pula.  Baju yang telah siap dibasuh menggunakan mesin baju dimasukkan ke dalam bakul dan disidai di luar rumah, sehingga selesai.  Kemudian masuk semula ke dalam rumah.  Bagaikan kipas kudung, pantas sekali ibu melakukan tugas-tugasnya di dalam rumah itu.  Ibu mengemas ruang tamu, bilik adik-adik yang sudah tentu tidak berkemas.  Puas ibu menjerit meminta adik-adik mengemas bilik mereka sendiri, namun tiada langsung tindakbalas daripada mereka.  Kalaulah kakiku tidak sakit mahu sahaja aku tarik telinga adik-adik.
                Kemudian ibu masuk semula ke dalam bilik air, bersiap untuk menghantar adik-adik ke sekolah pula.  Ibu boleh memandu tetapi tiada lesen kereta.  Setakat ini tidak pula kena saman atau ditahan polis.  Mungkin ALLAH membantu ibu sebab tahu ibu dalam kesusahan dan tiada daya untuk mengeluarkan duit bagi belajar memandu atau mengambil lesen memandu.  Aku yang duduk di ruang tamu sambil membaca buku, hilang  penumpuan melihat gelagat ibu beberapa hari ini,  Sebagai anak lelaki kedua dalam keluarga, aku sering bertanya sendiri.  Ayah ke mana?  Tetapi tidak berani bertanya kepada ibu atau ayah sendiri.  Kejadian disiram dengan air panas di lengan masih terbayang dan  terdapat bekas di tanganku.  Gara-gara aku menolong ibu dari ditampar ayah yang berang tanpa sebab. 
                                Sambil menjamah sarapan pagi, mata aku melirik ke arah ibu yang berwajah selamba bagaikan tiada terasa keletihan setelah hampir beberapa jam menguruskan rumah dan anak-anaknya, tiada rungutan.  Mata aku melekat pada wajah ibu yang masih mampu tersenyum mekar.
                “Kenapa  Haris?  Hidung ibu berlubangkah?”  gurau ibu.  Aku hanya tersenyum, mungkin dia perasan aku asyik sahaja memandangnya.
                “Tak ada apalah ibu,” jawab aku dan terus menghabiskan nasi goreng di dalam pinggan.
               “Ibu, esok rasanya  Haris dan boleh ke sekolah, kaki yang terseliuh dan kurang bengkaknya, terasa sikit sahaja sakitnya,” kataku, sudah seminggu aku bercuti, lantaran terjatuh dari basikal sehingga  kaki aku tersliuh dan membengkak. 
                “Betul ke dah tak rasa sakit lagi?  Kalau masih sakit tak payahlah ke sekolah lagi.  Kalau rasa sudah baik, bolehlah pergi.  Lagipun lama sangat cuti banyak pelajaran akan tertinggal,”  ibu tersenyum.
                “Ibu, ayah ke mana?”  tanya aku ingin benar tahu  apa yang berlaku.
              “Tak perlulah  Haris ambil tahu, ini urusan orang tua.  Tak serikkah?” tanya ibu seperti  tidak mahu aku mengambil tahu apa yang berlaku antara ayah dan ibu.
                Aku terdiam.  Ya, aku tidak perlu ambil tahu apa yang berlaku, melihat ibu bekerja siang dan malam membuatkan hati aku  hiba.  Ibu bekerja di stesen minyak berhampiran, masuk pukul 2.00 petang, jam 11.00 malam baharulah ibu sampai rumah.   Mengemas  rumah kembali setelah disepahkan oleh adik-adik aku seramai 5 orang.  Kak long pula langsung tidak membantu.  Hanya tahu meminta duit dan merungut jika ibu tidak masak makanan yang memenuhi seleranya.
*** 
                Hujung minggu  sehari sebelum Ramadhan ayah pulang dengan wajah mencuka.    Aku langsung tidak berani menegur ayah.  Cepat-cepat aku berlari masuk ke dalam bilik tidur.  Begitu juga adik-adik.  Bagaikan tiada kemesraan antara kami dan ayah.  Ayah pula bagaikan memusuhi diriku sejak aku membela ibu dari menjadi tempat melepaskan  rasa marah ayah, apa agaknya yang ada di dalam kepala ayah?  Sudah hilangkah rasa sayang di hati ayah terhadap ibu dan kami, adik beradik? 
                Dari luar bilik tidur utama, rumah kampung empat bilik itu jelas kedengaran suara ayah bertengkar dengan ibu.  Aku hanya membatukan diri di bilik. Tidak berani keluar.  Suara adik-adik juga tidak kedengaran, mungkin juga sudah keluar bermain atau sama seperti aku, mengurungkan diri.
                Beberapa minit kemudian, kedengaran daun pintu dihempas kuat dan bunyi enjin kereta  dihidupkan dan kenderaan itu berlalu pergi.  Aku mencari kekuatan untuk keluar melihat ibu.  Adakah ibu dalam keadaann baik? 
                “Ibu…” sapaku, ibu sedang mengemas rumah.  Wajah ibu tetap selamba. 
                “Ya, Haris?” tanya ibu. 

                “Ayah dah pergi?” tanyaku kembali.
                Hanya anggukan yang ibu berikan jawapan atas pertanyaanku tadi.
                “Ibu tak apa-apa?” soalku lagi.  Berasa tidak puas di hati.  Aku tahu ibu simpan duka sendiri.  Kenapa?  Kenapa ibu tidak mahu kongsikan dengan aku dan adik-adik. Kak long juga perlu tahu kesusahan ibu.
                “Kenapa  Haris tanya?”  ibu menyoal aku semula. 
                “Tak ada apa-apa.”  Aku berlalu  meninggalkan ibu sendiri.  Bilikku bersebelahan dengan bilik ibu.  Ruang atas tidak bertutup, maka aku boleh mendengar setiap butir bicara ayah dan ibu.  Ayah minta duit daripada ibu.  Duit simpanan ibu buat belanja Hari Raya nanti, beli pakaian untuk adik-adik.  Sudah  berbulan-bulan ibu kumpul duit tersebut, senang-senang sahaja ayah merampasnya daripada ibu.  Kalaulah aku sudah dewasa, aku tidak akan membiarkan ibu menderita seperti itu.  Kenapa dengan ayah?  Aku sebagai anak lelaki bagaikan tidak memahami diri ayah lagi. 

                Ramadhan yang datang  bagaikan hilang kegembiraan di hati kami adik beradik.  Ayah tidak tampak batang hidungnya.  Ibu pula semakin  kuat bekerja, siang dan malam.  Ada ketika keluar waktu pagi, tengah malam baharu pulang ke rumah.  Balik pula, ibu bukan boleh berehat, mengemas lagi. Ke dapur menyediakan  makanan untuk sahur esok pula.  Hampir gugur air mata aku melihat ibu.  Kak long mana? Kenapa dia tidak membantu, pasti sudah membungkang di dalam biliknya.  Malasnya kakak.
                “Apa ini mak… lauk telur lagi? Sahur semalam, mak goreng ikan sahaja, hari ini goreng telur pula, bosanlah!”  kata kak long dengan wajah marah. 
                “Kak long!  Jangan kurang ajar!” Geram pula hati aku mendengar sikap kurang ajar kak long sejak akhir-akhir ini terhadap ibu. 
                “Ibu  tak cukup duit, kak long.  Bertahanlah ya, nanti ada duit lebih, ibu beli lauk lain,” kata ibu, langsung tidak marah.
                “Itulah ibu, ayah ada di rumah asyik hendak marah sahaja, itu sebab ayah malas nak balik!”  kak long menolak pinggan dengan kasar dan berlalu masuk ke dalam biliknya.  Daun pintu dihempas kuat, protes.
                “Sudah! yang lain makan!”  suruh ibu.
                Aku menjamah nasi berkuahkan kicap dan berlaukkan telur goreng, air tangan ibu tetap sedap ditekakku.  Adik-adik yang lain laju sahaja menghabiskan nasi mereka.
                “Bila kita nak makan lauk ayam, ibu?”  tanya adik bongsuku yang sudah berumur 7 tahun.
                “Nanti ada duit, ibu beli ya,” kata ibu sambil mengusap lembut rambut adik perempuanku paling kecil.
                Aku tidak berani menegur ibu.  Wajah yang selamba, senyuman yang tidak pernah suram itu membuatkan hati aku takut melihatnya.  Apakah ibu menyimpan duka di hati?   Hanya ALLAH dan ibu sahaja yang tahu.  Aku menahan sebak di hati.  Hish, aku lelakilah, mana boleh menangis.
*** 
                Di ruang bilik yang sedikit terbuka, aku ternampak ibu seperti mengira sesuatu.  Duit!  Untuk apa?  Aku mengeluh.  Daun pintu aku tolak perlahan.  Mata ibu membuntang memandang aku dengan wajah terkejut.
                “Maafkan, Haris.  Bilik ibu terbuka sedikit…”  kata aku tidak menghabiskan ayat seterusnya.
                “Ibu  nak ajak adik-adik beli baju baharu, ibu tak nak kecewakan adik-adik.  Sekurang-kurangnya ada sepasang, sudah cukup membuatkan mereka tersenyum, kan?”  kata ibu kepada aku yang sedang cuba belajar menjadi matang.
                “Kalau ibu tak ada duit, tak payahlah belikan kami baju.  Duit yang ada kita buat belanja sahaja,” kataku.
                “Tak boleh Haris, ibu bukan selalu beli baju baharu untuk adik-adik.  Kalau Hari Raya tak bertukar, mereka nak pakai apa?  Baju yang ada  pun sudah lusuh semuanya.”  Nada suara ibu bertukar  rentak.  Ada sendu di suara itu.  Ada sedih yang melekat di hati.
                “Kami 6  orang ibu, besar belanjanya,”  kata aku.  Kalau ada ayah, tentulah ayah yang keluarkan belanja.  Kini hampir sebulan ayah tidak pulang, Ramadhan yang hadir  akan berlalu tanoa ayah.
                “Haris jangan bimbang ya, kalau Haris sudah besar, jadilah lelaki yang bertanggungjawab kepada keluarga tau, jangan sesekali ambaikan keluarga, ya,” pesan ibu.  Ada air mata di tubir mata ibu.  Aku menunduk. 
*** 
                Kak Long  seperti biasa wajahnya masam sahaja sebab tidak dapat membeli baju yang dia berkenan.  Ibu hanya membelikan baju kurung sahaja untuknya.  Adik-adik pula ketawa riang kerana dapat baju baharu untuk Hari Raya nanti. 
                “Apalah ibu, beli baju kurung murah sahaja harganya, kain pun keras!” leter kak long bagaikan orang tidak berperasaan.  Hari-hari merungut.  Membantu tidak.  Umur sudah 15 tahun tetapi tidak juga matang.  Ingat ibu cap duit agaknya.
                “Kalau ada ayah tentu seronok!”  kata kak long lagi. 
                “Kak long!” jeritku, aku sudah hilang sabar dengan kelakukan kak long yang tidak mahu menghormati ibu.   
                “Apa!”  Kak long berdiri, mencekak pinggang memandang aku dengan mata membuntang.
                “Ibu dah beli baju untuk kita, kira dah cukup baik! Asyik tahu merungut sahaja! Kalau nak pakai cantik-cantik, belilah dengan duit sendiri!”  marahku.
                “Sudah jangan bergaduh!  Kak long… pergi masuk!   Ibu dah belikan baju sudah kira  beruntung tau!”  lengking ibu.  Mungkin rimas mendengar kami bergaduh.
                Aku senyap semula.  Kak long berlari masuk ke dalam biliknya.  Baju baharu ditinggalkan sahaja di atas lantai ruang  tamu.  Ibu kedengaran  mengeluh.  Aku memandang wajah ibu sekali imbas.  Terpancar kekecewaan di wajah itu.
                “Baju adik-adik semua ada, baju Haris pun ada, mana baju ibu?”  tanyaku.  Aku perasan ibu tidak membeli baju untuknya.  Mungkin ibu tak cukup duit, agaknya.
                “Ibu tak perlu, Haris.  Baju lama masih elok lagi,”  jawab ibu sambil  berlalu masuk ke dalam biliknya.  Pintu ditutup rapat. 
                Aku mendengus kasar.  Ibu tak  beli baju  baharu?  Tahun lepas pun begitu, ibu suruh ayah belikan untuk kami adik beradik sahaja.  Tahun ini ibu tidak bertukar baju baharu lagi?  Aku  hiba.  Besar pengorbanan seorang ibu untuk anak-anaknya.  Mampukah aku berbuat begitu kepada ibu suatu hari nanti. Melebihkan dirinya lebih dari diri aku sendiri?  Mampukah aku?  Soalan yang  tiada kepastian.  Tidak berani berjanji kepada diri sendiri.  Takut tidak mampu menunaikannya.  Tetapi aku berjanji akan menjadi seorang anak yang baik kepada ibu.
*** 
                Minggu yang penuh cabaran buatku.  Aku mengambil upah membantu seorang jiranku berniaga di bazar Ramadhan.  Dapat upah sehari  RM10.00, sedikit makanan buat ibu dan adik-adik.  Hampir sepuluh hari aku bekerja.  Ibu tidak tahu.  Sengaja aku merahsiakannya daripada ibu.  Kalau diberitahu pasti ibu melarang.    Puasa yang berbaki sehari lagi, duit yang terkumpul cukup untuk menunaikan hajat aku.  Aku tersenyum gembira.  Hajatku akan tercapai.  Aku berlari riang menuju ke sebuah kedai pakaian yang terletak tidak jauh dari tempat bazar Ramadhan.  Aku membeli sepasang baju kurung yang cantik, berwarna merah hitam, warna kegemaran ibu.  Aku membayar harganya.  Baju itu aku bawa kembali ke bazar Ramadhan tadi.  Aku simpan di bawah meja.  Tidak sabar  hendak pulang dan menunjukkan kepada ibu.  Aku ingin melihat senyuman di bibir ibu apabila melihat baju yang aku beli. 
                “Abang Mail, Haris balik dulu!” kataku setelah tugasanku selesai.  Hampir maghrib.  Aku menghayun langkah secepat mungkin.  Ingin pulang segera, ingin tunjukan baju yang aku beli untuk ibu.  Langkahku semakin laju sehinggakan aku tidak menoleh kiri dan kanan…
***
                “Haris!”  suara lembut itu menyapaku.  Suara yang ingin sangat dia dengar dan wajah yang ingin sangat dia tatap.  Suara ibu.
                “Ibu,”  jawabku.  Mata aku buka perlahan. 
                “Nasib baik cedera sedikit sahaja, kalau tak Haris tak boleh beraya,” sampuk Abang Mail yang duduk di sebelah ibu. 
                “Haris di mana?” tanyaku.
                “Di rumahlah, hampir sahaja Haris dilanggar motosikal tadi, nasib baik pemandu dia mengelak,”  cerita Abang Mail. 
                “Baju! Mana baju?” tanyaku, tidak aku hiraukan cerita Abang Mail, walaupun kepalaku berdenyut tetapi ingatanku masih kuat.  Baju baharu yang aku belikan untuk ibu?  Hilangkah? 
                “Ada…  terima kasih Haris,”  kata ibu gembira.  Terukir senyuman di bibirnya.  Lantas memeluk dan mencium aku.  Malu pula rasanya apatah lagi dilihat oleh Abang Mail dan beberapa orang jiran tetangga yang datang melihat keadaanku.
                “Malulah ibu!” kataku.  Semua ketawa.
                “Mana Haris dapat duit beli baju untuk ibu?” tanya ibu.
                “Sudah sepuluh hari Haris tolong saya di bazar Ramadhan kak.  Dia tak bagi saya beritahu akak…  katanya nak buat kejutan untuk akak.  Rupanya hendak beli baju raya untuk akak.  Baiknya Haris,”  puji Abang Mail sambil mengusap rambutku. 
                Aku tidak minta dipuji.  Aku hanya ingin menggembirakan ibu.  Kalau ayah, kak long hanya tahu sakitkan hati ibu, dan jika aku juga sakitkan hati ibu, siapa pula hendak jaga hati ibu?  Aku ingin lihat ibu bahagia, senyuman ibu buat hatiku gembira.  Aku sayang ibu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan