Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 9 Julai 2014

TOLONG CARI SUAMIKU!

Petikan dari novel TOLONG CARI SUAMIKU!

Bilik itu luasnya 10 kaki x 10 kaki. Terdapat sebuah katil bujang dan sebuah almari. Langsirnya begitu usang dan buruk. Kata rumah orang kaya dan berada, kenapa keadaan bilik itu begitu daif kelihatannya. Kipas pun tiada. Mahu mandi peluh dia dua beranak.

Mastura melangkah masuk. Dia membuka tingkap. Habuk di sana sini. Dia tidak boleh merungut. Duduk sahajalah di mana ditempatkan asalkan ada tempat untuk merehatkan mata sudah cukup buatnya. Untuk sementara.
Maria duduk di birai katil sambil merenung wajah Mastura. Katrina entah ke mana menghilang. Bayang mertuanya juga tidak kelihatan. Tiba-tiba mereka menghilang.

“Kenapa kita tinggal kat bilik ni, mak?” Maria mula bersuara.

“Jangan merungut. Esok kita ubah semuanya.” Mastura mengerling manja.
Maria akur bagaikan mengerti maksud emaknya.

Mastura terus membersihkan apa yang patut sebelum keluar membeli barang keperluan. Tidak mungkin dia tidur di dalam keadaan berhabuk dan kotor begitu. Katil pun sudah hampir roboh. Sebelah dari pintu almari sudah hampir tertanggal. Mastura menarik nafas panjang. Banyak kerja yang harus dia lakukan. Kalau hendak selesa, kenalah usaha sendiri. Biar rumah orang, kenapa tidak buat seperti rumah sendiri. Keselesaan untuk diri sendiri juga. Telefon bimbit diambil dari dalam beg tangannya. Dia mahu menghubungi seseorang.

“IBU! Siapa ada pesan perabot dan barangan elektrik ni?!” laung Katrina dari luar pintu utama. Jenuh dia bertengkar dengan pemandu lori berbangsa India yang menghantar barang-barang tersebut.

Halijah bergegas mendapatkan menantunya. “Mana saya ada pesan perabot dan barang elektrik!” Dahinya berkerut seribu. Dia kehairanan. Set bilik tidur, penghawa dingin dan kipas. Televisyen pun ada. Bertambah kehairanan menghenyak fikirannya.

“Mak cik saya datang nak pasang Astro,” beritahu seorang lelaki yang muncul tiba-tiba.

“Astro? Bukan ke rumah ni dah ada Astro?” Katrina sendiri bingung seketika.

“Mahu pasang satu lagi,” kata lelaki berbangsa Cina itu.

Mastura muncul sebaik terdengar kekecohan yang berlaku. “Maaf... Mas yang pesan. Err... awak boleh bawa masuk ikut pintu dapur. Bilik di belakang, ya? Astro pun di bilik belakang juga,” arahnya. Wajah mereka yang memandangnya dengan penuh tanda tanya langsung tidak dihiraukan. Dia terus beredar ke belakang.

Membuntang mata Katrina dan Halijah.

“Dia... Dia beli perabot baru? Pasang Astro pula tu.” Mendidih darah Halijah mendengar dan melihat situasi tadi. Dia sengaja menyediakan bilik yang tidak selesa untuk menantunya itu. Alih-alih menantunya menjadikan bilik itu lagi selesa dengan barangan yang dibeli.

“Macam mana ni, ibu? Dia lebih bijak daripada kita.” Katrina merengus kasar. Sakit juga hatinya. Dia ingatkan Mastura akan berasa terdera dan terseksa, rupa-rupanya tidak. Perempuan itu lebih pandai. Menempah perabot untuk keselesaan sendiri. Pandai-pandai sahaja dia membuat keputusan tanpa bertanya. Lain yang diharapkan, lain pula yang terjadi.

*Siapa yang lebih bijak? Kalau hendak tahu kisah keseluruhannya, jom dapatkan karya ini. Boleh Pm saya jika berminat!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan