Karya yang disiarkan dalam majalah WADAH SISWA bil 16/2014
Aku melangkah bangga. Terasa diri ini bagaikan berada di
awang-awangan. Dewan yang besar dan luas
itu terasa amat akan serinya. Dadaku berdegup
kencang. Bagaikan boleh terdengar di cuping telinga degupannya. Kerlipan lampu-lampu yang berwarna putih
kelihatan seperti berwarni –warni bak pelangi.
Udara sejuk menyegarkan tubuh, bau semburan pewangi Lavender mengasyikan.
Deretan manusia yang sebahagiannya amatku kenali menambah rasa bahagia
di hati. Di pentas utama sudah tersusun
kerusi berbalutkan kain berwarna putih bereben warna biru untuk barisan tetamu
jemputan dan dif kehormat. Bunyi muzik
gamelan menambah rasa bahagia di sanubari.
Dengan jubah berwarna merah hati di tubuh, topi pelengkap acara menambah
girang di jiwa. Di bahagian belakang
barisan perjuang-perjuang ilmu duduk megah.
Ibu dan bapa perjuang, menunggu dengan sabar dan penuh bangga.
Sambil
kaki melangkah, aku mencari kelibat seseorang.
Lambaian tangan insan yang amat aku kenali menarik perhatianku, dia
sudah berkaca mata, sudah tinggi melebihi diriku. Cantik manis bertudung litup menutup
sebahagian dadanya. Jubah dihiasai labuci dan sulaman penghias
tubuhnya. Alangkah bahagianya
kurasa. Insan yang telah banyak berjasa
selama ini. Wajahnya terukir senyuman
memandangku. Berbeza sekali dengan wajahnya dahulu. Murung, sugul dan senyuman bagaikan keras di
bibirnya. Ratapan, raungan histerianya
yang lalu membingitkan telinga sewaktu
aku mengenalinya lima tahun dahulu. Senyuman
yang amat bererti buatku. Aku membalas lambaiannya. Dia mengenyitkan mata. Dadaku sebak. Sayu menghimpit diri. Dia adalah antara insan teristimewa di
lubuk hatiku. Besar jasanya
kepadaku. Kehadirannya bagaikan rahmat
buatku. Biarpun berkali-kali dia
menegaskan bahawa akulah yang memberi kehidupan baru kepadanya.
Dia semakin tinggi daripadaku, badannya sedikit berisi hadir bersama
sejambak bunga ros di tangan. Hati ini berlagu riang. Pelukan semakin erat. Seerat kasih di hatiku dan hatinya. Air mata mengalir di tubir matanya dan
mataku. Bukan dibuat-buat, bukan juga
air mata lakonan. Air mata gembira dan
terharu. Tiada kata seindah bahasa mampu aku lontarkan kepadanya tanda ucapan
terima kasihku kepadanya. Tiada gambar
seindah lukisan yang mampu aku lakarkan
untuknya. Dia menghulurkan tangan, aku
menyambutnya. Dia menunduk dan
menciumnya dengan penuh hormat.
Bertambah terharu hati ini. Aku
bukan sesiapa kepadanya. Aku hanya insan
biasa yang menabur bakti tidak sebesar mana.
Hanya sekecil kuman namun sudah dianggap bagaikan menabur segunung emas
untuknya. Aku benar-benar merasa
dihargai, disayangi dan dihormati.
“Kak Rina…” dia memanggilku.
“Rahida,”
nama itu tetap segar di bibirku.
Bagaimana mungkin aku melupakan semua yang berlaku terhadap
dirinya. Kejadian tersebut menerjah ingatanku
kembali. Waktu itu aku baru sahaja
bekerja di Rumah Kebajikan Anak Yatim
Miskin Rokiah. Aku tersentak, nafasku
terasa hendak berhenti. Suara para
pelajar sedang mengaji menjadi halwa telinga, itulah aktiviti mereka di waktu
malam sebelum melaburkan mata. Di blok asrama
pula terdengar suara seorang pelajar perempuan terjerit-jerit, meraung dan
menangis bagaikan orang hilang arah. Aku
berlari-lari anak menuju ke ruang asrama pelajar perempuan, meninggalkan
pelajar yang sedang mengaji tadi.
Aku tatap wajahnya yang sugul. Matanya bengkak, bibirnya terketar-ketar
menahan tangis. Aku cuba memujuk
dan mendekatinya. Cuba menyelami
hatinya, mengenal siapa dirinya. Tangannya kuraih dan kubelai lembut. Tubir matanya digenangi air. Masih berbukukah
lagi hatinya? Masih kesalkah dengan apa
yang terjadi? Mujur maruahnya tidak tercemar
dan tidak tergadai. Aku mengeluh
sendiri. Jangan ikutkan hati, nanti
mati.
“Perkara sudah terjadi, Rahida tidak boleh berterusan begini? Sampai bila hendak bermuram durja? Menangisi nasib diri? Biar buruk di pandangan manusia namun ALLAH mengetahui apa yang terjadi.”Nasihatku kepadanya.
Dia tidak berkutik. Masih berwajah kelat, masih membisu. Bagaikan mulutnya sudah terkunci tidak mampu bersuara lagi. Puas dipujuk oleh puan pengurus rumah anak yatim tersebut namun tidak dilayannya. Rakan-rakan pula menjuihkan bibir dan menjeling sinis kepadanya. Dia menarik muka mencuka dan kelihatan kecewa. Aku cuba memahami beban yang sedang ditanggungnya. Menyelami diri mereka yang telah dicabul secara paksa seperti dirinya, bolehkah aku selami hatinya jika aku sendiri tidak pernah mengalaminya.
Ah!
Bukan orang lain yang melakukannya tetapi rakan-rakan sekolah menengahnya
sendiri yang terkenal dengan nakalnya.
Dia telah melakukan kesilapan dengan mengikut mereka pulang ke rumah
salah seorang rakan mereka. Dia tidak mensyaki apa-apa kerana mengenali
mereka semua. Aku melihat sendiri rakaman yang telah dibuat. Dia ditarik berbaring di atas lantai
beralaskan karpet. Sungguh keji
perbuatan mereka. Tangan mereka merayap
disetiap inci tubuhnya. Dia meraung dan
merayu langsung tidak dipedulikan.
Dengan bantuan jiran sebelah rumah yang mendengar jeritannya telah
menyelamatkan dirinya. Jiran tersebut
telah memanggil pihak polis.
Dia selamat
tetapi kejadian itu sudah disebarkan
oleh salah seorang pelajar yang terlibat dengan menggunakan telefon bimbit yang
turut mengambil gambar kejadian itu. Daripada seorang pelajar ke seorang pelajar
kejadian itu terus merebak sehingga hampir ke semua mengetahuinya. Dia menanggung malu. Di sekolah dia dikeji dan dihina oleh mereka
yang menganggap sebagai sudah rosak
diri, sudah hilang kegadisannya. Pada
hakikatnya tiada apa yang berlaku kerana
aku sendiri telah membawanya ke hospital
untuk pemeriksaan doktor.
Alhamdulillah harga dirinya masih
terpelihara. Namun rakan-rakan
sekolah terus menerus menghina dan
mencaci dirinya. Setiap hari itulah aku
melayan walangnya. Bahuku menjadi tempat
dia meluahkan apa yang dirasa.
Menangislah sepuas hatimu, detik hati kecilku. Bebanan yang ada biar kita sama-sama
menanggungnya. Lama kelamaan dia semakin
erat denganku. Sudah mula mahu dan
berani membuka hatinya untukku, bercerita tentang apa yang dirasa.
Gelora
di jiwa terubat sedikit demi sedikit beransur berlalu. Syukur Alhamdullilah. Beberapa hari kemudian aku dengan senang
hati pulang ke kampung untuk menziarahi
keluargaku yang sudah lama tidak aku kunjungi dan ingin menghilangkan rasa
rindu di kalbu.
Semasa
ketiadaanku, aku fikir mampu memberi ruang yang banyak untuk dia berfikir
tentang diri dan perjalanan hidupnya.
Perkara itu tidak terjadi, khabarnya dia bagaikan orang hilang arah,
mencari tempat berpaut, melepaskan rasa sakit dan dendam di jiwa. Aku dipanggil
pulang segera oleh Puan Pengurus Rumah Kebajikan Anak Yatim Rokiah
melalui telefon bimbitku. Terdiam aku
tidak terkata apa-apa. Baru beberapa
waktu bersama keluarga untuk menghabiskan cuti tahunanku sudah dipanggil pulang
kembali. Bagaimanapun, aku tetap akur
kerana di situlah tempat aku mencari rezeki untuk menambah kewangan keluarga
agar adik-adikku seramai tujuh orang dari usia 16 hingga 7 tahun dapat
menyambung pelajaran. Huh, asal mereka
jangan jadi sepertiku, belajar hanya
sekerat jalan lantaran pendapatan keluarga yang tidak cukup makan, kais pagi
makan pagi, kais petang makan petang!
“Kenapa
Kak Rina pergi? Tinggal Rahida
sendiri?” Marahnya kepadaku waktu
aku melawatnya di asrama.
Aku mengeluh
sendiri, mataku memerhati sekeliling,
tiada siapa di situ. Para pelajar yang lain berada di surau sedang mengaji . Hari semakin mendekati malam. Hujung minggu mereka hanya mengulangkaji
pelajaran atau bebas dengan aktiviti sendiri.
Aku memandangnya semula. Beratnya
beban insan yang menjadi mangsa seksual terpaksa dan dipaksa. Hilang keyakinan
diri lantaran rakan sekeliling terlalu muda dan serba naïf tentang perkara itu untuk memahami. Kalaulah aku seorang juri sudah tentu aku
akan mengenakan hukuman berat, sudah
tentu sebatan. Sekurang-kurangnya 10
kali. Penjara 25 tahun. Biar menjadi iktibar kepada mereka yang lain
agar tidak melakukan perkara yang sama terhadap rakan sebaya atau sesiapa
sahaja. Aku tidak menyalahkan pelajar itu sepenuhnya. Bukankah pendidikan bermula di rumah? Ibu dan ayah zaman ini hanya tahu mengejar kesenangan hidup dan
memenuhi keperluan material anak-anak sehingga mengabaikan keperluan
rohani. Lihatkan apa yang telah
terjadi. Ada anak seusia pelajar sekolah rendah sudah
berani merogol rakan sebaya. Sungguh
sedih mendengarnya. Kalau ikutkan hati
mahu sahaja aku turut menghukum kedua orang tua mereka. Biar mereka sedar bahawa kegagalan mererka
mendidik anak-anak mereka.
“Kenapa Rahida?”
tanyaku dengan mesra biar apapun yang
bergelora di dalam dadaku.
Dia memandangku dengan mata yang berkaca. Aku seperti melihat air terjun Niagara yang tidak berhenti
mengalir. Bawah matanya menggelap lebam
seakan tidak cukup rehat, fikir
hatiku. Itulah yang aku alami apabila
emak dan ayah tidak membenarkan aku meneruskan persekolahan semasa di tingkatan
4. Hancur lebur hatiku, jiwaku kosong,
geram, marah saling bercampur. Kepada
siapa harus aku lempiaskan rasa kecewa ini?
Kepada siapa harus aku lepaskan rasa marah yang mula berapi-api. Hanya
air mata pengubat dukaku yang lara. Air
mata bagiku teman setia. Demi adik-adik
aku mengorbankan impian dan cita-citaku.
Aku menjunamkan pandangan ke wajah gadis itu semula.
“Setiap hari Rahida
dihina oleh kawan-kawan. Kononnya Rahida
bohsia menjual maruah diri. Malu Kak Rina! Pedih hati ini! Rahida masih ada
maruah dan harga diri! Kenapa mereka
sanggup menghina begini? “ luahnya, apa yang dia rasakan ketika itu.
“Bukankah itu
dirimu, Rahida?” sindir seorang rakan yang tiba-tiba berada di dalam asrama itu.
Mataku dan matanya memandang ke arah pelajar tersebut. Pelajar itu mencebik. Mendadak dia meraung sekuat hati. Bagaikan hendak mati. Meronta-ronta, menendang-nendang apa sahaja yang berada di hadapan dan sisinya. Aku terkejut dan cemas melihat keadaannya. Hiba benar bunyinya. Aku sebak. Dia bagaikan orang terkena hysteria, dia terus menjerit dan menangis. Beberapa rakannya yang berumur 13 tahun, seusia dengannyan. Terganggu dengan jeritannya bergegas datang dan mula mengumandangkan ayat-ayat suci al-Quran dengan penuh perasaan. Aku memeluknya erat. Beberapa orang lain rakan-rakannya di rumah anak yatim itu menjuihkan bibir. Aku menjegilkan mata ke arah mereka. Tekanan yang keterlaluan membuatkan dirinya tidak tentu arah. Sakit benar hatiku melihat perilaku mereka. Aku bingkas bangun dan meleraikan pelukanku. Aku mengejar rakan-rakannya dengan rotan di tangan. Mereka harus diajar agar menghormati orang lain. Aku benar-benar marah. Rakan mereka dalam kesusahan ditambah dengan penghinaan, bagaikan orang tiada perasaan. Perbuatanku membuatkan dia berhenti meraung. Dia memerhatikanku. Dahiku berkerut.
Mataku dan matanya memandang ke arah pelajar tersebut. Pelajar itu mencebik. Mendadak dia meraung sekuat hati. Bagaikan hendak mati. Meronta-ronta, menendang-nendang apa sahaja yang berada di hadapan dan sisinya. Aku terkejut dan cemas melihat keadaannya. Hiba benar bunyinya. Aku sebak. Dia bagaikan orang terkena hysteria, dia terus menjerit dan menangis. Beberapa rakannya yang berumur 13 tahun, seusia dengannyan. Terganggu dengan jeritannya bergegas datang dan mula mengumandangkan ayat-ayat suci al-Quran dengan penuh perasaan. Aku memeluknya erat. Beberapa orang lain rakan-rakannya di rumah anak yatim itu menjuihkan bibir. Aku menjegilkan mata ke arah mereka. Tekanan yang keterlaluan membuatkan dirinya tidak tentu arah. Sakit benar hatiku melihat perilaku mereka. Aku bingkas bangun dan meleraikan pelukanku. Aku mengejar rakan-rakannya dengan rotan di tangan. Mereka harus diajar agar menghormati orang lain. Aku benar-benar marah. Rakan mereka dalam kesusahan ditambah dengan penghinaan, bagaikan orang tiada perasaan. Perbuatanku membuatkan dia berhenti meraung. Dia memerhatikanku. Dahiku berkerut.
“Kalian jangan tahu
menghina! Bayangkan diri kalian berada di tempatnya? Apakah mahu juga dihina seperti ini? Sebagai rakan dan kawan sepatutnya memberi
perangsang dan membantu memulihkan semangatnya semula. Bukan menjadi penghasut dan penfitnah!”
jerkahku kepada mereka. Wajahku masam
mencuka, mataku membuntang memandang mereka.
Rasa mahu telan seorang
demi seorang.
“Cepat minta maaf kepada Rahida!” arahku tegas.
Masing-masing yang berpenampilan berpakaian lengkap bertelekung bagi pelajar
perempuan. Berbaju melayu bagi pelajar
lelaki. Mereka menunduk ketakutan bagaikan melihat singa di hadapan
mereka. Tidak langsung berani
memandangku. Mereka akur. Seorang demi seorang menghadirkan diri
memohon maaf kepada Rahida. Rahida
terkejut dengan tindakan rakan-rakannya.
Dia cuba bertenang. Benarkah apa yang dia lihat? Mereka mahu meminta maaf kepadanya.
Dia benar-benar terharu. Biarpun
terpaksa, asalkan mereka akur.
“Mulai malam ini,
Kak Rina tidak mahu dengar lagi kalian menghina, menyindir atau mengusiknya. Faham!
Kalian di sini bagaikan adik-beradik.
Hormatilah antara satu sama lain!” tegasku.
“Maafkan
kami Kak Rina,” kata salah seorang pelajar.
“Kami
berjanji akan menjaga Rahida seperti adik kami!
Perkara yang berlaku tidak akan terjadi lagi,” sampuk yang lain pula.
Aku
tersenyum bangga. Merekalah
adik-adikku. Aku tidak mahu mereka
menjadi seperti anjing dan kucing, asyik bercekau sahaja. Pagi itu aku ke sekolah. Pihak sekolah harus aku temui. Aku tidak mahu nasib Rahida terus dihambat kecewa. Aku tidak mahu nasib Rahida seperti aku yang
tidak berpendidikan lantaran tidak mahu ke sekolah. Biarlah tebal muka, asalkan Rahida
terpelihara maruah dan harga dirinya.
Dia tidak bersalah lantaran khilafnya dia mengikut sahaja apabila diajak
oleh kawan-kawan ke rumah tanpa syak apa-apa.
Siapa sangka kawan disangka kawan sanggup berlaku durjana? Rahida menjadi mangsa manusia yang tidak
bertanggungjawab dan tidak jujur. Dia
bukan penjenayah, dia adalah mangsa keadaan.
Sepatutnya dirinya dibantu bukan terus dihina dan diperlekehkan. Tidaklah mereka sedar betapa ruginya apabila
seorang pelajar secemerlang otak Rahida
yang kini sudah ternyata tidak mahu ke sekolah lagi. Tidak mahu
ke sekolah lantaran malu dengan
apa yang berlaki dan sikap rakan-rakan sekolah yang asyik mencari salahnya. Dirinya merasa terpinggir.
“Saya mohon sangat-sangat kepada cikgu, tolonglah
buat sesuatu. Rahida bukan sengaja
hendak mengikut, dia ingatkan niat mereka baik, mana tahu mereka berhati
syaitan. Walaupun usia masih muda sudah pandai ingin merosakkan rakan
sendiri.” Aku merayu.
“Baiklah
Cik Rina, saya akan memanggil pelajar yang sering mengejek dan mengusik
Rahida. Awak jangan bimbang. Pihak sekolah tahu Rahida tidak bersalah. Dia menjadi manga kerakusan rakan sebaya yang
tidak tahu mengenal dosa dan neraka.”
Kata PKHEM Cikgu Zahir, cuba
meyakinkan aku, sambil mengangguk tanda memahi.
Menurut PKHEM itu lagi pelajar yang terlibat sudahpun ditahan dan
kini sedang menjalani hukuman sebagai
penyenayah juvana. Mereka ditempatkan di
sekolah kanak-kanak dan remaja nakal.
Usai
selesai urusanku di sekolah tempat Rahida belajar, aku terus melangkah pulang
ke Rumah Kebajikan Anak Yatim Miskin
Rokiah. Kepada Rahida aku khabarkan
berita, bahawa cikgu sekolahnya akan bertindak terhadap mereka yang mengejek
dan mengusiknya. Dia tersenyum gembira
kelegaan lalu memelukku dengan erat.
Ternyata gembira sungguh dia.
Kemudiaannya rakan-rakan di asrama sudah mampu bergurau dan
menemaninya. Dia sudah mahu berbual
mesra. Aku bangga dengan perubahan
sikapnya sangat-sangat.
Suatu
hari semasa aku sedang mengemas kawasan
laman rumah kebajikan itu, dia duduk memandang wajahku yang sedang tekun
mencabut rumput di sekeliling pokok bunga kertas yang tumbuh subur. Aku mengerutkan dahi. Dia tersenyum. Aku meneruskan kerjaku sambil
ditemaninya. Semakin hari semakin rapat hubunganku dengannya. Dia juga sudah berani ke sekolah dan diterima
baik oleh rakan-rakan di sekolah. Jika ada yang mengusik pasti rakan-rakan di
asrama akan membantunya. Dia
berkeyakinan kembali. Aku gembira dan
bersyukur dengan apa yang berlaku.
“Kenapa Kak Rina
tidak sambung belajar? Kenapa hendak bekerja di rumah anak yatim ini?” tanyanya
kepadaku.
“Kenapa akak tidak
sambung belajar? Ah, jika ada rezeki
nanti, akan akak sambung. Kenapa hendak
bekerja di rumah anak yatim ini? Wah,
tidakkah dapat kamu teka? Tidakkah dapat
kamu teka wahai adikku yang tersayang?
Hah, jawapannya mudah; kalau bukan kerana akak sayang semua adik-adik
akak di sini, kerana apa lagi?” jawabku sambil tersenyum mendengar
kata-katanya.
Siapa yang tidak mahu sambung belajar? Impian dan cita-citaku adalah untuk
mengenggam skrol ijazah. Namun apakan daya, aku terpaksa berhenti sekolah
ketika di tingkatan 4 lantaran memberi peluang kepada adik-adik meneruskan persekolahan
mereka. Mungkin sudah takdir diriku
tidak mampu menyambung pelajaran lagi.
Dengan pertolongan kawan emak aku berjaya mendapatkan pekerjaan di rumah
anak yatim itu. Dengan pendapatan yang
tidak seberapa itulah aku membantu emak dan ayah di kampung. Kerana itulah aku kurang berbelanja dengan
wang gajiku. Biarlah aku berkorban
asalkan adik-adik tidak menjadi sepertiku.
Melihatnya, hilang rasa rindu kepada adik-adik di kampung.
“Terima kasih Kak Rina, walaupun masih terasa
kotor dan tidak mampu melupakan apa yang berlaku, namun Rahida bersyukur kerana
ada Kak Rina dan kawan-kawan yang memberi semangat untuk Rahida meneruskan
hidup ini.” Katanya tersenyum gembira.
Aku turut tersenyum sambil tanganku memicit bahunya. Mereka hampir meragut maruah dan mahkota dirinya.
Aku turut tersenyum sambil tanganku memicit bahunya. Mereka hampir meragut maruah dan mahkota dirinya.
Hujung minggu adalah hari santai
untuk kami semua. Aku sibuk melayan
adik-adik dengan kerja sekolah masing-masing.
Hari itu kami menerima tetamu.
Kehadiran sepasang suami isteri yang sudah berumur berpenampilan menarik,
berbaju kemeja batik, yang wanitanya
berbaju kurung juga menggunakan kain batik sutera, bergaya sungguh mereka membuatkan aku, para karyawan
dan penghuni rumah anak-anak yatim terkejut.
Mereka saling berpandangan sesama sendiri. Saling bercakap antara satu sama lain. Wajah
penuh tandatanya. Apatah lagi
melihat kenderaan yang digunakan oleh pasangan tersebut. Mercedez 4 siri. Berwarna hitam dan berkilat, bersih. Bukan kerana tidak pernah ada tetamu yang hadir tetapi kali ini berlainan
sekali. Kian terkejut apabila mereka
memperkenalkan diri.
“Itu
datuk dan nenek Rahida!” kata Rahida.
Dia menerpa mendekati pasangan tersebut.
Aku memandang wajahnya, kehairanan. Aku sangkakan dia tidak mempunyai keluar
setelah kedua orangtuanya meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya. Aku mengucapkan syukur sekurang-kurangnya dia
masih ada keluarga. Kehadiran mereka
adalah hendak mengeluarkan Rahida dari rumah anak yatim itu. Aku berasa sedih akan kehilangan dia, tapi
aku bahagia bagi pihak dia kerana akan kembali ke pangkuan keluarga
tercinta. Dia sudah kuanggap seperti
adikku sendiri. Rupanya keluarga Rahida
sebelah ayahnya bukan orang biasa-biasa.
Beruntung sungguh Rahida dilahirkan di dalam keluarga yang sangat-sangat
berharta dan berada.
Selang
beberapa minggu kemudian, aku dipanggil puan pengurus rumah anak-anak yatim
itu. Riak muka puan pengurus serius
sahaja. Risau pula aku melihatnya. Adakah kerana kesalahanku pagi tadi terlewat
mengejutkan para pelajar bangun untuk
solat subuh, atau kesalahanku mengajak beberapa orang pelajar keluar ke kedai
berhampiran. Puan pengerus menyerahkan
sepucut surat kepadaku. Semakin kuat
debar di dadaku. Adakah aku dikenakan
apa-apa tindakan atas kesalahan yang telah aku lakukan? Tanganku terketar-ketar mengambil surat
tersebut. Pernafasanku jadi tidak
menentu, terlalu takut dan bimbang. Aku
terus membuka surat tersebut. Bertambah
seram sejuk tanganku apabila melihat
surat tersebut datangnya dari pejabat peguam. Ya ALLAH, kesalahan apakah yang telah aku
lakukan sehingga mendapat surat dari pejabat peguam?
Aku membuka surat itu perlahan-lahan. Gugup aku seketika. Wajah puan pengurus langsung tidak beraniku
pandang. Biasiswa? Aku terkejut.
Dalam surat itu tertulis bahawa
pejabat peguam itu adalah wakil
daripada datuk Rahida. Isi
kandungan itutentang biasiswa bagi membolehkan aku melanjutkan pendidikan
sehingga setinggi yang aku mampu.
Benarkah apa yang aku baca.
Berulang-ulang kali aku melihat
dan membacanya. Subhana-ALLAH hanya
perkataan itu lahir di bibirku. Jika ada
Rahida berada di hadapanku sekarang sudah tentu aku akan peluknya dengan
erat. Pasti Rahida telah mengadu tentang apa yang
berlaku kepadaku, kepada datuk dan
neneknya. Tentu mereka sudah menyiasat latar
pendidikkanku. Pasti inilah cara mereka
membalas budiku! Puan Pengurus rumah
anak yatim yang duduk memandangku turut bersama merasa gembira. Malah aku diberi peluang untuk bercuti ketika
perlu.
***
Lima tahun sudah berlalu, dia, gadis itu
sudah besar panjang dan bakal mendaki ke puncak menara gading. Aku bangga
dengan dirinya. Dalam kekecewaan dia bangun, bangkit kembali. Kini dia tinggal
bersama-sama datuk dan neneknya. Dia melihat kejayaaku. Dia melihat
kesungguhanku. Dia bersungguh-sungguh meyakinkan datuk dan neneknya untuk
menyara diriku sehingga aku berjaya. Sepenuhnya aku menerima bantuan dari
keluarganya. Tidak terbalas jasa mereka kepadaku. Bukan besar mana jasaku
kepadanya. Namun dibalas dengan penuh bererti buatku dan keluargaku jua.
Walaupun aku sudah menyambungkan pelajaranku,
aku ada juga melawat ke rumah anak-anak
yatim itu. Kebetulan universiti tempat aku menyambung pelajaran
tidak berapa jauh dari rumah anak yatim tersebut. Setiap hujung minggu aku akan menghabiskan
masa bersama-sama dengan adik-adik itu.
Seminggu sekali aku dan beberapa rakan sekuliahku akan memberi kelas
tambahan percuma kepada mereka. Aku juga
ingin melihat mereka berjaya dalam pelajaran dan menjadi manusia berguna di
dunia dan akhirat.
Bunyi alunan irama gamelan menarik
hatiku ke duniaku sekarang. Dewan yang
tadi hanya ada beberapa orang kini sudah penuh. Wajah-wajah riang jelas
terpancar di sana-sini. Paluan gendang
reban ubi mula kedengaran bergema memenuhi dewan itu. Sedetik itu sebarisan manusia berpakaian
serba indah, lengkap bersamping bersama cokmar melangkah masuk. Diiringi
dif-dif kehormat dan tetamu jemputan yang juga berpakaian serba mewah lagi
anggun. Semakin berdebar hatiku. Semakin seram sejuk tangan dan kakiku. Saat-saat
yang aku tunggu dan nanti-nantikan. Lima
tahun bergelumang dengan nota, tesis dan buku, akhirnya berjaya juga
mengenggami impian segunung intan, mengapai cita-cita selautan mutiara. Bertambah bahagia apabila ditemani
insan-insan tersayang. Walaupun bukan
semua yang boleh melangkah masuk ke dalam dewan namun kehadiran mereka sudah
cukup untuk memberi semangat dan meraikan kejayaan bersama. Kejayaan yang penuh bererti di dalam hidup
ini.
Aku
berbaju kurung lengkap berjubah yang dipinjamkan oleh pihak universiti. Kami berbaris melangkah masuk ke dalam dewan
dan mengambil tempat masing-masing.
Setiap kerusi sudah bertanda. Namaku dipanggil. Aku mengatur langkah dengan penuh sopan
mengikut irama lagu yang sedang berkumandang.
Letak kaki mengikur irama gamelan yang sedang dimainkan. Aku melemparkan senyuman. Ijazah milikku bertukar tangan. Aku menahan sebak di
dada. Tidak mahu menangis di hadapan
dif-dif kehormat. Ucapan tahniah
kuterima bertalu-talu lantaran aku pelajar cemerlang kebanggaan mereka.
Di
luar dewan sudah menanti sanak saudara
begitu juga dirinya terus menerpa sebaik
sahaja ternampak kelibatku. Jambangan
bunga besar menjadi milikku. Ciuman
bertalu-talu dihadiahkan untukku. Datuk
dan neneknya hadir bersama begitu juga kedua orangtuaku yang turut berbangga
dengan pencapaianku.
“Terima
kasih atuk, nenek. Rahida juga.” Aku
memeluknya lagi.
Mereka
memandangku dengan rasa bangga. Kedua orangtuaku tersenyum gembira. Ijazahku bertukar tangan. Biar menjadi tatapan ayah dan emak. Inilah anak mereka yang bercita-cita
besar walaupun diriku kecil sahaja.
Impian menjadi kenyataan ketentuan ILAHI
jua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan