Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 21 September 2013

CINTA DORAYAKI - IZZA ARIPIN



                TAJUK                   :               CINTA DORAYAKI (ISBN 9789831248775)
                PENULIS               :               IZZA ARIPIN
                PENERBIT             :               ALAF 21
                TERBITAN             :               2013
                MUKASURAT       :               581
                HARGA                 :               RM23.00
               
                                Pertama kali berjumpa penulis ini di jualan gudang tahun lepas.  Waktu itu hanya melihat sahaja karya beliau.  Jumpa buat kali kedua apabila novel  kami keluar dalam bulan yang sama.   Buat janjitemu untuk mengambil novel masing-masing di Alaf 21.  Ramah dan mesra orangnya.  Kalau tengok macam sombong rupanya tidak.  Seronok berbual dengan beliau.  Macam-macam cerita dan idea. 
                Ini karya  beliau yang ketiga  menjadi koleksi saya.  Tukar suka sama suka.  BERBALOI.
                Durratul Nawwarah  jatuh cinta pandang pertama pada Zharif yang menjadi ketuanya.  Dia tidak bertepuk sebelah tangan apabila Zharif juga menyintai Durrah.  Buku  nota Durrah yang jatuh ke tangan Zharif memberi peluang pada Zharif mendekati gadis tersebut.  Cinta sentiasa sahaja ada halangannya.  Keluarga Zharif menentang perkahwinan Zharif dengan Durrah.  Rupanya Zharif bukan  anak teruna tetapi duda tiada anak.  Status itu tidak langsung mematahkan cinta Durrah terhadap lelaki tersebut.  Hubungan mereka turun naik sehinggalah Zharif tekad untuk mengambil Durrah sebagai suri hatinya.  Namun keluarga Zharif menentang perkahwinan tersebut.  Kalau sudah jodoh tidak ke mana.  Akhirnya mereka bersatu walaupun tanpa restu mommy Zharif. 
                Kehadiran Adele  bagaikan racun dalam rumah tangga Zharif.  Durrah cemburu dengan pembantu Zharif itu.  Kedatangan Elmi menggantikan tempat Zharif  membawa cerita baru dalam hidup Durrah apabila lelaki itu tidak segan silu menagih  kasih Durrah walaupun tahu  wanita itu sudah bersuami dan bakal menimang anak pertama.
                Hidup Durrah terus diuji apabila suami tersayang bagaikan biskut chipsmore, sekejap ada, sekejap tiada.   Hatinya benar-benar kecewa, dia bertanya pada dirinya sendiri, apakah perkahwinannya ini satu kesilapan.  Benarkah Zharif mencintainya sepenuh hati atau sekadar menanam tebu di tepi bibir.  Dalam keadaan susah payah, mabuk dan sakit waktu mengandung, Elmi banyak membantu mengguruskan segala keperluan Durrah tika suami tiada di sisi.  Elmi pula bertekad untuk merampas Durrah dari sepupunya itu. 
                Kenapa Mommy Zharif menghalang perkahwinan anak terunanya dengan Zharif?  Siapa Adele dan  apa hubungannya dengan Zharif?  Benarkah Elmi sepupu Zharif?  Kenapa tergamak Elmi ingin merampas isteri sepupunya sendiri?  Kenapa Zharif sering menghilangkan diri? Siapa dirinya yang sebenar?  Apa yang membuatnya tidak pernah betah di rumah?  Setiakah Durrah dengan Zharif?  Di antara Zharif dan Elmi siapa pilihan Durrah?  Masihkan dia menerima kehadiran Zharif?  Masih adakah cinta di hati Durrah untuk Zharif yang dirasakan tidak bertanggungjawab?  Semuanya akan terjawab dalam CINTA DORAYAKI.
                Kalau hendak ketawa berguling-guling dapatkan novel ini.  Gaya bahasa yang santai dan humor.  Memang terbaik.  Mata yang mengantuk pun akan hilang ngantuknya.  Bukan  CINTA BIASA.  Hah!  Itulah yang istimewanya.  Dalam cinta ada dunia penyiasatan.  Dunia risikan.  Bagaimana tu?  Kalau nak tahu Dapatkan jawapannya dalam CINTA DORAYAKI.  Tahniah Izza. Garapan yang menarik dan menghiburkan.  Kepada peminat-peminat novel melayu, dapatkan buku ini.  Tidak rugi melabur.  Satu pelaburan yang berbaloi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan