Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 19 September 2013

SAYONARA CINTA VS AKU TURUT BAHAGIA




SAYONARA CINTA vs AKU TURUT BAHAGIA?
Sayonara Cinta adalah novel karya Rosa Nur Imani, sementara Aku Turut Bahagia pula adalah karya Asmah Hashim. Kedua-dua novel ini diterbitkan oleh Grup Buku Karangkraf(Buku Prima dan Alaf21).
Sinopsis: SAYONARA CINTA
KADANGKALA musibah hadir dalam bentuk sebuah takdir yang tak tertolak tibanya. Begitulah dengan takdir yang membelit diri Ezra. Dia memiliki pakej yang cukup sempurna sebagai seorang wanita, dengan dibekalkan rupa paras yang bisa saja mencairkan hati lelaki. Pun begitu, di sebalik kecantikan paras wajahnya tiada siapa yang menduga bahawa dia sebenarnya adalah seorang bekas pesakit mental yang terpaksa bergantung kepada bekalan ubat-ubatan untuk kekal waras.

Kondisi penyakitnya yang agak jelik lagi pelik itu membuatkan dia lebih suka mengasingkan diri daripada orang ramai. Pun begitu, hatinya yang sunyi akhirnya disapa juga oleh kehadiran seorang jejaka kacak, Adam Haikal.

Ezra dan Adam Haikal akhirnya berkahwin. Konflik timbul apabila Ezra enggan mengandung kerana khuatir penyakitnya bakal diwarisi oleh anaknya kelak. Oleh sebab itu, dia memaksa suaminya bernikah dengan Julia semata-mata untuk memberikan zuriat yang sihat untuk suaminya.

Sebagai isteri pertama, Ezra mula rasa terancam setelah madunya hamil. Dia rasa kasih sayang suaminya sudah mula terbahagi dua. Dia mula mendesak agar suaminya menceraikan madunya.

Sementara itu; novel AKU TURUT BAHAGIA pula memaparkan kisah tentang Ustaz Amir Khuzaifa yang meminta kebenaran daripada isteri pertamanya untuk bernikah lagi dengan alasan isteri mudanya kelak dapat membantu isteri pertama menguruskan maahad.

“IJA isteri yang baik dan jujur. Abang tak pernah pertikaikan layanan Ija. Cuma, abang perlukan seseorang untuk bantu Ija menguruskan maahad. Oleh itu, Ija mesti izinkan abang berkahwin lagi.” – Amir Khuzaifa.

Ummi Khadeja tergamam. Hanya matanya yang berbicara. Angin tiada, ribut pun tidak, tiba-tiba pokok bergoyang. Selama 16 tahun hidup bersama, hari ini suaminya berterus terang ingin berkahwin lagi. haruskah dia tersenyum?

Demi cinta dan agama, Ummi Khadeja berkorban. Jika suaminya bahagia dengan perkahwinan ini, dia akan turut bahagia asalkan pengorbanan ini tidak disia-siakan.

Sayangnya, tidak semua isteri boleh berkongsi kasih. Saat Ummi Khadeja pasrah dengan takdir hidupnya, Syifa’ Umaira meminta sesuatu yang mustahil. Dia memaksa Amir Hudzaifa menceraikan isteri pertama.

Bagaimanakah kisah selanjutnya? Apakah seorang suami sanggup menceraikan isteri pertamanya yang penyabar dan telah banyak berkorban untuknya semata-mata untuk memuaskan hati isteri mudanya?

Walaupun kedua-dua novel ini kelihatan memaparkan isu yang sama iaitu ‘poligami’ tetapi pendekatan kedua-dua penulis tetap berbeza. Dalam Sayonara Cinta, penulisnya melakarkan tentang isteri pertama yang berpenyakit memaksa suaminya bernikah satu lagi semata-mata untuk mendapatkan anak. Dalam Aku Turut Bahagia pula si suami yang beriya-iya ingin bernikah lain dengan alasan isteri keduanya kelak dapat membantu isteri pertama menguruskan maahad.
Walaupun pada mulanya(sebelum menambah cawangan); kesemua wataknya memperlihatkan sikap yang positif terhadap keperluan berpoligami tetapi rumah tangga mereka mula berantakan sebaik-baik sahaja si suami berkahwin satu lagi.
Di dalam Sayonara Cinta, Ezra(isteri pertama) seringkali mencari-cari alasan untuk tidak membenarkan suaminya balik ke rumah isteri muda. Sampai ke suatu tahap, Ezra sudah tidak tertahan lagi dan memaksa suaminya menceraikan madunya yang ketika itu sudah pun melahirkan anak. Dia mula mengabaikan pengambilan ubat-ubatannya, hingga penyakit mentalnya bertambah buruk.
Begitu juga dengan sikap cemburu keterlaluan Syifa’ Umaira(Aku Turut Bahagia) yang langsung tidak memikirkan perasaan isteri pertama Amir Khudzaifa serta anak-anaknya. Tiba-tiba sahaja dia menjadi tamak hingga sanggup menyuruh suaminya menceraikan isteri pertama.
Bagaimanakah kesudahan kisah kedua-dua rumah tangga yang bergolak ini?
Asmah Hashim lewat novelnya Aku Turut Bahagia, telah memaparkan kisah tentang kehidupan di maahad. Walaupun mungkin watak-watak yang terlibat itu, ustaz dan ustazah, yang tinggi ilmu agamanya tetapi mereka tetap manusia yang mempunyai hati dan perasaan. Penulis juga telah berjaya mencipta konflik di bab-bab terawal novelnya. Ditambah lagi dengan pemilihan gaya bahasa yang menarik serta teratur. Elemen-elemen inilah telah yang menambah rencah dalam novel pertama beliau itu.
Novel ini wajar dibaca oleh setiap kaum Hawa terutamanya yang bakal atau sudah bergelar isteri. Ceritanya digerakkan dengan laju, jadi anda tak akan mengantuk ketika membacanya.
Saya suka membaca novel Asmah Hashim ini. Oleh itu, saya bagi 4 bintang untuk novel ini. Untuk novel Sayonara Cinta pula, biarlah pembaca yang menilainya.
• Perhatian: Letakkan mental anda dalam keadaan bersedia sebelum membaca kedua-dua novel ini.

Cara nak mendapatkan kedua-dua novel ni: http://mall.karangkraf.com/
: Juga terdapat dalam bentuk e-book.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan