INTAN DELAILA - SITI ROZILAH
BAB 2
INTAN DELAILA meninggalkan ruang biliknya dengan perasaan sayu. Dua buah beg besar telah berada di ruang tamu, ayah yang mengangkat dan meletakkannya di sana sementara menanti dia bersiap.
Dia kelihatan ayu dengan baju kurung biru tersarung di tubuh tinggi lampainya. Dia memilih kurung biru untuk dipakai pada hari bersejarah tersebut kerana nilai sentimentalnya. Walaupun telah agak lama tersimpan di dalam almari, namun kurung tersebut adalah hadiah daripada arwah ibunya.
“Kita orang Melayu harus berbangga mengenakan baju Kebangsaan kita, Delaila,” kata-kata arwah ibu menusuk kembali ke sanubarinya.
“Kita harus megah... harus bangga menjadi orang Melayu. Kita harus berani membawa budaya dan semangat keMelayuan kita ke mana aje kita pergi.”
Begitulah nasihat ibunya yang memang terkenal sebagai seorang wanita yang mempunyai semangat patriotisme yang kuat. Malah dia telah dilatih oleh ibunya untuk memakai baju kurung dan kebaya ke tubuhnya, sejak kecil lagi. Kini, setelah alam kanak-kanak ditinggalkan, dia masih mengenakan baju kurung sebagai pakaian pilihannya. Di antara deretan baju kurung di dalam almari pakaiannya, dia memilih untuk mengenakan baju kurung biru itu ke tubuhnya.
Encik Samad memandang megah ke arah anak gadisnya yang melangkah keluar dari bilik. Wajah dan bentuk tubuh itu mengingatkannya kepada seseorang yang pernah menghangatkan asmaranya suatu ketika dahulu. Kini orang tersebut telah lama meninggal dunia, namun kenangan bersamanya masih kekal segar dan indah di sudut sanubari paling dalam. Kerana cinta pertama akan kekal sehingga mati!
Walaupun kini tempat arwah isterinya telah diambilalih oleh seorang wanita lain pula, tetapi mana mungkin dia melupai arwah isterinya.
“Wah, bukan main cantik lagi anak dara yang seorang ni!” kata-kata Puan Kalsom membuatkan kenangan Encik Samad terhadap hari-hari indah bersama arwah isterinya, terbang entah ke mana. Dia menoleh ke arah wanita yang kini berada di sampingnya... wanita yang juga bergelar isteri.
“Tengoklah siapa ayahnya!” dia berlagak.
Puan Kalsom mencebik. Intan Delaila hanya mampu tergelak kecil.
“Dah siap semuanya, Delaila?” soal Puan Kalsom.
Intan Delaila mengangguk.
“Kalau macam tu, marilah kita bertolak sekarang. Elok bertolak awal sikit dan sampai awal di sana. Entah-entah sekarang ni pun siswa-siswi baru dah mula beratur di meja pendaftaran.” Kata Encik Samad kepada anak gadisnya.
“Yelah, ayah.” Sahut Intan Delaila. Dia melangkah ke arah ibu tirinya lalu menyalam dan mencium tangan wanita itu.
Puan Kalsom membelai rambut Intan Delaila dengan sepenuh kasih sayang seorang ibu. Dada Intan Delaila terasa sejuk dengan belaian tersebut. Tetapi realitinya, sentuhan seorang ibu tiri tetap tak mampu menyamai sentuhan ibu kandung sendiri.
“Belajar rajin-rajin, tunaikan impian arwah ibu Delaila yang mahukan anak gadisnya yang seorang ni berjaya mencapai impian dan cita-citanya.” Nasihat Puan Kalsom.
Intan Delaila mengangguk. Dia bertolak keluar dari rumah itu dengan berbekalkan semangat serta impian untuk berjaya mencapai cita-citanya. Semangatnya ketika itu bulat, mungkin sebulat bumi.
CAMELIA melangkah turun dengan wajah cemberut. Zarinna dan suaminya memandang dengan mata tak berkelip ke arah si gadis yang kelihatan menawan berbaju kurung merah bata berbunga tabur warna putih.
Wajahnya yang masam mencuka tak mampu mengenyahkan keayuannya ketika itu.
“Cantiknya anak mama!” pujian ikhlas Zarinna hinggap ke copeng telinga Camelia.
Anak gadis itu menjelingnya dengan ekor mata. Hisy, garangnya!
“Wah, cantiknya Mel pakai baju kurung!” suara Mak Piah, pembantu rumah mereka yang digaji untuk khidmatnya di waktu siang hari sahaja, hinggap ke telinga mereka.
“Tengoklah anak gadis siapa, Mak Piah.” Sahut Zarinna. Ada nada bangga di hujung kata-katanya.
“Yelah, anak dara Puan Zarin dan Pak Syed katakan. Mestilah cantik!” puji Mak Piah lagi.
Syed Zahari tergelak lantang.
“Mak Piah ni kenapa, nak naik gaji lagi, ke? Setahu saya baru dua bulan lepas saya naikkan gaji Mak Piah.”
Mak Piah tergelak kecil.
“Tak adalah, Pak Syed. Mak Piah memuji ikhlas sebab Melia memang patut dipuji.” Kata wanita itu.
“Tupun bukan main susah nak paksa dia pakai baju kurung, Mak Piah.” Adu Zarinna.
Camelia membatu. Wajahnya masih lagi masam mencuka.
“Eh, sarapan dah Mak Piah siapkan. Melia nak tahu tak, Mak Piah masak apa hari ni?”
“Mak Piah masak apa? Nasi lemak sambal udang ke?”
“Iye! Makanan kegemaran Melia kan?”
“Yahoo!” Camelia melompat lalu bertempik.
“Hey, anak dara yang berbaju kurung akan hilang keayuannya kalau terlompat-lompat macam beruk tau!” hempuk Zarinna.
“Dah berbaju kurung macam tu, kenalah bersopan sikit!”
“Mama ni, bosanlah! Semuanya tak boleh.” Dengus Camelia sambil membuntuti Mak Piah ke dapur.
“Mel tak suka berbaju kurung kan? Tapi Mel suka makan nasi lemak kan?” desis Mak Piah ke telinga anak gadis manja itu.
Camelia mengerdipkan matanya.
“Tu tandanya lidah Mel masih lidah orang Melayu!” Mak Piah mengekel.
“Mak Piah, jangan naikkan darah Mel pagi-pagi buta ni boleh tak?”
Mak Piah menutup mulutnya dengan telapak tangan. Camelia tersenyum. Dia tak marah dengan segala usikan dan gurauan tersebut sebenarnya, tapi sengaja berpura-pura marah. Tinggal di rumah besar itu bersama mama seperti Zarinna dan pembantu rumah seperti Mak Piah, membuatkan telinganya telah lali dengan teguran dan sindiran mereka. Bak kata orang, telinganya dah jadi telinga kayu!
Semerbak nasi lemak yang wangi dan sambal udang yang merah menyelerakan membuatkan selera makan Camelia terbuka. Dia tambah dua pinggan nasi sehingga Zarinna riuh menegurnya.
“Kalau nak makan tupun ingat-ingatlah sikit. Nanti sakit perut pulak kat sana... susah nak rebut jamban dengan pelajar baru yang bukan sorang dua jumlahnya tu.” Katanya membuatkan Camelia mengambil keputusan untuk menghentikan suapannya.
Camelia, Zarinna dan Syed Zahari melangkah keluar dari perut banglo mereka setelah selesai bersarapan. Mereka bertiga sibuk memasukkan beg-beg Camelia ke dalam bonet kereta.
“Mama rasa Abang Zukry tunggu kita kat sana tak?” soal Camelia sambil mengelap peluh yang mercik di hujung hidung mancungnya dengan tisu.
“Manalah mama tahu. Tapi dah dekat-dekat nak sampai nanti, kita calllah dia. Mana tahu, mungkin dia pun sibuk juga untuk mendaftar mata pelajarannya. Almaklumlah semester baru...”
Camelia yang bersandar kemas di tempat duduk belakang kereta mewah itu hanya mengangguk. Fuh, lega rasanya dapat mencicip kedinginan hawa di dalam kereta berbanding dengan keadaan panas di luar sana tadi walaupun hari masih pagi.
Syed Zahari yang sempat menjeling tingkahlaku anak gadisnya melalui cermin pandang belakang, hanya mampu tersengih memanjang.
“Belajar rajin-rajin tau, Mel. Selain daripada abang kau, hanya Mel ajelah harapan mama dan papa.” Tutur Zarinna yang duduk di sebelah suaminya yang memandu.
“Mel tahulah, ma!”
“Jangan nak bercinta aje pulak nanti. Pelajaran lebih penting tau!”
“Mel tahu...”
Zarinna menoleh ke belakang, memandang anak gadisnya yang memiliki paras jelita itu. Sudah tentu dengan memiliki bentuk tubuh dan wajah yang begitu rupa, Camelia akan menjadi igauan kumbang-kumbang di kampusnya kelak. Dia tak kisah kalau anak gadisnya hendak bercinta. Tetapi adab susila sebagai gadis Timur harus dijaga. Tumpuan kepada pelajaran juga harus diutamakan. Itu yang lebih penting.
“Tapi jangan dah sampai kat sana nanti, Mel lupa semua nasihat mama.” Desis Zarinna.
“Apalah mama ni! Mel tahulah jaga diri. Lagipun sampai bila mama nak kurung Mel dalam banglo tu? Suatu hari nanti Mel akan terbang juga untuk melihat dunia luar.” Sahut Camelia semberono tanpa menyelami gelojak di hati seorang wanita bergelar mama.
“Dah, sudah-sudahlah bertekak tu. Awak ni pun ma, tahulah anak kita tu jaga diri.” Sampuk Syed Zahari sambil mengerling ke arah isterinya.
Camelia yang duduk di belakang hanya ketawa kecil. Suka hatinya apabila dimenangkan oleh papanya.
Sambil itu dia membayangkan bagaimanakah suasana baru yang bakal ditempuhinya nanti. Tentu ramai siswa-siswi baru sedang beratur untuk mendaftar diri di hari pendaftaran tersebut. Siapakah yang akan ditemuinya nanti? Dan siapakah yang akan menjadi teman-temannya di sana kelak?
Hmm... aku harap aku dapat menyesuaikan diri dengan suasana baru, di tempat yang baru, bersama orang-orang baru dan dengan semangat yang baru pula, desis hatinya dengan penuh harapan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan