Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 28 September 2013

INTAN DELAILA -SITI ROZILAH

BAB 4

MATAHARI mencarak di kepala. Sinarnya menyengit dan memeritkan kulit halus si gadis berkurung merah bata berbunga tabur itu. Dia kelihatan gelisah. Acapkali dia mengelap peluh yang merenik di wajahnya dengan tisu sehingga ronyok tisu terakhir itu dikerjakannya. Rambutnya yang tadi dibiarkan lepas kini telah diikat ekor kuda.
Urusan di bahagian pendaftaran ternyata mencabar kesabarannya. Hampir satu jam setengah dia terpaksa beratur daripada mula sehinggalah selesai segala urusannya. Selepas segala urusan pembayaran di buat dan kunci bilik asramanya diperolehi, barulah fuh... dia mampu menarik nafas lega.
Zarinna yang menantinya di luar dewan itu juga kelihatan gelisah. Kulitnya yang putih melepak telah mula kemerahan akibat tidak tahan dibakar kepanasan matahari. Papanya pula kelihatan tenang menunggu di bawah redup sepohon pokok kecil, jauh daripada simpang-siur manusia yang pelbagai ragam dan kerenah.
“Tak ada yang pengsan ke kat dalam dewan tu, Mel?” soal Zarinna kepada anak gadisnya sebaik-baik sahaja Camelia tercongol di hadapan matanya. Wajah anaknya yang putih bersih itu juga telah kemerah-merahan menerima tujahan cahaya matahari.
“Kalau setakat beratur panjang kat dewan pendaftaran dah pengsan-pengsan dan tak tahan diuji, mama rasa mereka sesuai ke jejakkan kaki ke menara gading macam ni?” hempuk Camelia walaupun dia sendiri terasa seperti hendak pitam berlamaan berdiri di dewan itu tadi.
Zarinna cebik bibir.
“Bukan main lagi anak mama ni!” getusnya.
“Mel cakap yang betul, ma. Ni baru dugaan yang seciput, terpaksa beratur panjang di hari pendaftaran pelajar baru, belum lagi masuk ke dewan kuliah dan berdepan dengan pensyarah dan pelajaran yang entah bagaimana pula sukarnya.” Sahut Camelia seolah-olah dia adalah orang yang paling gagah dan bersemangat di hari bersejarah tersebut.
Zarinna terkerisin.
“Bersemangat nampaknya anak mama ni. Jangan di hari pendaftaran aje bersemangat setinggi Everest Mel, hari-hari yang mendatang pun harus bersemangat macam ni tau.”
Bebelan yang macam ni yang buat aku lemah ni, desis hati Camelia.
“Yelah, mama. Anak gadis mama ni akan ingat pesanan mama tu!”
“Macam tulah anak mama. Mama harap Mel akan berjaya dalam pengajian Mel ni. Ingat... semua ni baru permulaan, jauh lagi perjalanan Mel kat sini nanti. Dan banyak dugaan serta cabaran yang akan Mel tempuhi kelak. Mama rasa anak gadis mama dah cukup matang untuk menangani apa juga masalah yang mendatang, betul tak Mel?” kata Zarinna sambil memeluk tubuh anak gadisnya.
Camelia terpaksa membalas pelukan itu walaupun masya-Allah, tak tertahan hangatnya berbaju kurung merah bata di bawah naungan sinar matahari Khatulistiwa tersebut.
Dalam orang lain kegelisahan dek hawa panas yang menyelubungi persekitaran, Syed Zahari kelihatan selamba saja. Dia tersenyum ke arah anak isterinya yang melangkah menghampirinya.
“Pa, lepas ni kita hantar Mel ke kolejnya. Saya dah telefon Zukry dan dia kata dia akan jumpa kita kat sana. Dia pun sibuk di fakultinya untuk buat pendaftaran mata pelajaran.” Beritahu Zarinna.
Syed Zahari hanya mengangguk. Mereka bertiga melangkah pantas menuju ke tempat letak kereta.
Kolej kediaman yang bakal dihuni oleh Camelia terletak tak jauh dari situ. Tak sampai lima minit, mereka telahpun berdiri di perkarangan kolej tersebut. Rupa-rupanya kesibukan di dewan pendaftaran tadi mengekori mereka sehingga ke kolej. Kelihatan para siswi bersama ibu bapa dan keluarga masing-masing sibuk mengangkat beg-beg besar dan segala macam keperluan lain untuk dibawa ke kolej mereka. Almaklumlah, kolej itu nanti akan menjadi rumah kedua mereka menggantikan rumah yang telah ditinggalkan.
Camelia beruntung kerana dia masih mendapat kemudahan kolej kediaman walaupun asalnya dia adalah golongan berada. Mungkin kemudahan asrama ini akan ditarik balik di semester kedua nanti. Pun begitu dia tidak mahu memikirkan semua kemungkinan tersebut.
Sambil melirikkan matanya ke arah tiga blok bangunan yang setinggi tiga tingkat itu, dia sempat memikirkan siapakah gadis yang bakal mengongsi bilik dengannya nanti. Mampukah dia menyesuaikan dirinya dengan gadis tersebut kelak? Bagaimanakah rupa wajah, sikap dan pembawaannya? Kalau minah kampung yang asyik berbaju kurung dan berkebarung ke sana sini macam mana? Dan soalan-soalan nakal itu datang bertubi-tubi ke fikirannya ketika papa dan mamanya sibuk mengeluarkan beg besarnya dari dalam bonet kereta.
“Mana abang ni? Mel dah penatlah, ma!” dengusnya yang terduduk di tepi parit. Beg pakaian dan barang-barang peribadinya berlonggok di hadapannya.
“Sabarlah, sayang. Dia sibuk lagi agaknya.” Jawab Zarinna.
“Cuba call dia sekali lagi, ma.” Kata Syed Zahari.
“Ha, tu pun abang dah sampai, ma!” jerit Camelia tatkala terlihatkan kelibat motosikal berkuasa tinggi Zukry yang sedang menuju ke arah mereka.
Zukry yang tinggi lampai itu kelihatan hebat. Dia melangkah turun dari motosikalnya. Begitu juga dengan seorang pemuda kacak yang turut membonceng di belakangnya.
“Hai, Camel! Merah muka nampak.” Usiknya ke arah Camelia. Anak gadis itu menarik muka masam.
“Apa khabar, ma, pa? Sorry sebab terlambat sikit.” Katanya sambil bersalam dan mencium tangan papa dan mamanya.
“Macam mana urusan di bahagian pendaftaran tadi?”
“Semuanya okey. Tapi Mellah yang paling penat sebab terpaksa beratur lama.” Zarinna menjawab.
“Biasalah tu, yerk! Kalau beratur kat dewan daftar dah tak larat, balik rumah aje lagi baik, betul tak Camel!”
“Eh, apa abang ni! Jangan panggil Mel macam tulah.” Dengus Camelia. Dia malu pada jejaka kacak yang berdiri di sisi abangnya itu.
Syed Zahari dan Zarinna saling berpandangan. Begitulah keadaannya kalau Camelia dan abangnya telah berjumpa, mereka bagaikan anjing dengan kucing. Pun begitu kemesraan mereka sebagai adik beradik kandung tetap terserlah.
Pemuda yang belum diperkenalkan namanya itu pula hanya tersenyum melihatkan wajah Camelia yang putih bersih itu telah berubah warna. Kemerahan!
“Apa salahnya kalau abang panggil adik abang ni, Camel? Tengok camel kat padang pasir tu, kuat tak, gagah tak bawa barang-barang kat belakangnya? Camel tu tahan panas tau, tak macam Camelia di depan abang ni!” Zukry tidak habis-habis mengusiknya.
Camelia terjerit-jerit kerana abangnya menyamakan dirinya dengan unta di padang pasir.
“Dah, sudah-sudahlah tu! Tak baik panggil Mel macam tu tau, Zukry. Papa tak suka.” Syed Zahari segera campur tangan.
“Err... Zukry minta maaf, pa. Zukry gurau aje dengan Mel ni. Err... lupa lak nak kenalkan kawan sekuliah Zukry, ni Irfan.” Anak muda itu memperkenalkan Irfan kepada mereka bertiga.
Tatkala Camelia menghulurkan tangannya untuk bersalaman dan pandangan mereka berlaga; Irfan bagaikan terpaku memandang mata kecoklatan gadis tersebut.
Isy, apehal mamat ni tenung-tenung aku macamlah nak telan, desis hati gadis itu sambil segera menarik tangannya dari genggaman Irfan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan