Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 20 September 2013

INTAN DELAILA - SITI ROZILAH


1

KEHIDUPAN INI taklah semudah menolak gebar ke hujung kaki setiap pagi, desis hati Intan Delaila, sambil menguis selimut tebal ke hujung kakinya. Dia menguap malas dan menggeliat bagaikan anak kucing sebelum bingkas dari katil. Tidurnya malam tadi amat nyenyak sehinggakan mimpi indah pun tak hadir untuk mengganggu lenanya.
Hari yang baru harus didepani dengan semangat yang baru dan lebih berkobar-kobar daripada hari semalam yang ditinggalkan, begitulah kata-kata seorang motivator terkenal yang masih melekat di ruang ingatannya. Awal pagi harus dimulai dengan azam dan semangat yang kuat untuk terus maju ke hadapan. Awal pagi harus dimulai secara positif agar aura positif ini akan menguasai minda sehingga ke malam harinya. Jika hari dimulakan dengan rasa tak bersemangat, malas dan lesu maka sepanjang harilah diri kita tak akan bersemangat, malas serta lesu. Jika ini berlaku, bayangkan bagaimana kita mahu berjaya?

Dia beralih ke tingkap. Tangan melepaknya menyelak langsir biru. Angin sejuk menyapa wajahnya membuatkan dia sedikit tergigil. Dia merenung ke luar, ke arah alam yang masih diselubungi kegelapan. Tetapi hanya seketika saja kerana sebentar nanti matahari akan menyinari bumi dengan cahayanya yang gilang gemilang.
Intan Delaila mahu jadi seorang wanita yang berjaya suatu hari nanti, dan berjaya saja tak cukup kalau tak diiringi dengan hati yang bahagia. Dia mahu jadi seorang yang bahagia hari ini, esok malah selama hayat dikandung badan.
Duit memang penting, kata ibu, tapi hati yang tenang dan bahagia itu adalah nikmat yang tak ternilai. Duit memang penting untuk meneruskan kelangsungan hidup, mempastikan keselesaan, untuk tujuan makan minum, membayar segala bil dan pelbagai titik bengik lagi. Tapi menurut ibu, duit berkepuk di bank dan mendiami banglo tersergam di lereng bukit, tak semestinya menjanjikan hati yang bahagia.

Dia ingat setiap kata-kata ibu. Kerana ibu adalah idolanya. Manusia yang paling hampir dengan dirinya. Malah dia juga amat mengagumi cara ibunya berfikir; kerana ibu amat positif orangnya. Mungkin kerana taraf pendidikan ibu sebagai seorang pendidik yang sewajarnya memiliki segala ciri-ciri positif untuk dipaparkan kepada anak didiknya.
Tanpa ibu, siapalah Intan Delaila. Dia mahu menjadi seperti ibunya dengan memandang hari-hari yang mendatang sebagai suatu hari yang penuh bermakna dan sewajarnya dihargai.
“Delaila, kita hidup di dunia ni tak lama. Oleh itu kita tak harus mempersiakan kehidupan kita dengan perkara-perkara yang negatif. Kita harus berbaik sangka dengan semua orang hatta orang yang paling jahat dengan kita sekalipun.” Itu adalah kata-kata ibu yang melekap utuh di hati Intan Delaila sehingga kini.

“Kita harus belajar untuk memaafkan orang lain walaupun berkepuk kesalahan orang tu pada kita. Ingat tu, Delaila!”
Dia tak tahu mengapa ibu perlu menuturkan kata-kata itu padanya namun dia kagum. Dia terpegun kerana ibu masih mampu menuturkan kata-kata sebegitu tatkala Malaikat Maut menyeringai di hadapannya. Sayang seribu kali sayang... usia ibu tak panjang. Tak sampai beberapa bulan selepas menuturkan kata-kata itu, ibu menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit barah payudara yang telah mengazamatkan seluruh kehidupannya selama ini. Namun dia tahu, sel-sel barah yang berkembang biak di dalam tubuh ibunya tak mampu merenggut semangat dan daya juangnya untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan dengan lebih bermakna.

Intan Delaila mahu menangis, mahu meratap di pusara ibu yang masih basah. Dia tertanya-tanya kenapa ibu perlu pergi meninggalkan dirinya tatkala dia masih mengharapkan kasih sayang seorang ibu, tatkala dia masih mendambakan kata-kata motivasi yang merangsang minda.
Sebagai anak remaja yang amat perlukan dorongan dan kasih sayang seorang wanita bergelar ibu, Intan Delaila berasa amat-amat kehilangan.
Tapi dia tak menangis di pusara ibu. Dia hanya meratap di dalam hati. Kerana dia tahu roh ibunya akan terseksa jika dia terus-terusan meratap.
Bunyi azan yang berkumandang membuatkan dia tersedar. Air mata yang menubir di juring matanya, disapu dengan hujung jari. Dia mahu tenggelam di dalam dakapan Yang Maha Esa dan mendoakan kesejahteraan ibunya di sana.

“PA, tengoklah anak dara awak tu, pa!” suara Zarinna hinggap ke copeng telinga Syed Zahari.
Dia menoleh ke arah anak daranya yang melenggang turun dari tingkat atas sambil menjinjing dua buah beg besar, di kiri kanan tangannya. Anak dara manja itu kelihatan amat manis dengan blaus putih dan seluar ketat yang menirus ke hujung, menyaluti tubuhnya.

“Kenapa pulak, ma?”
Zarinna geleng kepala.
“Hari ni kan hari pendaftaran untuk pelajar baru. Mana boleh pakai baju macam tu. Sekurang-kurangnya pakailah baju Kebangsaan kita. Mel, baju kurung yang kita tempah dulu tu, kan lebih sesuai dipakai?” terjah Zarinna tak puas hati melihatkan penampilan anaknya.

Anak manja berkulit cerah dengan rambut keperangan itu sekadar mencebik bibirnya yang merah ranum. Apa? Camelia harus berbaju Kebangsaan... berbaju kurung? Argh, tak mungkin!
“Apa salahnya kalau Mel pakai macam ni, ma?” soalnya sambil meletakkan kedua-dua buah beg besar ke atas permaidani berketebalan mewah, dan meneliti tubuhnya.
“Cantikkan Mel macam ni? Nilah gaya gadis kota yang sofisticated, ma. Trendy tapi masih kekal ayu.” Sahutnya sambil terkekeh-kekeh melihatkan wajah Zarinna yang cemberut. Sebenarnya dia mengambil ayat, ‘trendy tapi masih kekal ayu’ tersebut daripada majalah fesyen terbitan Karangkraf yang dibacanya beberapa minggu lalu.

Camelia, berbaju kurung atau kebarung itu terlalu kolot baginya dan hanya dipakai pada hari Jumaat, itupun kalau terpaksa bekerja di jabatan kerajaan macam mama. Baju kurung atau kebarung adalah pakaian anak dara kampung. Atau hanya wajar digayakan sewaktu hendak menghadiri majlis kenduri kahwin!

Dia anak gadis kota, yang dilahir dan dibesarkan di perut kota. Seumur hidupnya dia tak pernah menjejakkan kaki ke kampung. Suasana kampung hanya dilihatnya di kaca televisyen ataupun jika terpaksa menyusuri jalan yang merentasi kawasan perkampungan. Suasana kampung hanya diketahuinya melalui novel-novel Melayu yang dibacanya, itupun sesekali sahaja.
Dia tidak minat membaca novel-novel Melayu yang dikarang oleh penulis-penulis tempatan yang... entahlah... susah hendak diterangkan. Lebih memualkan lagi apabila kedai-kedai buku sekarang dilambakkan dengan novel-novel cinta yang membosankan. Kisahnya stereotaip; gadis kampung di ceruk desa yang hidup terhimpit oleh kemiskinan dan hampir-hampir menjadi mangsa kerakusan bapak saudara, bapak tiri atau mereka yang seangkatan dengannya, lalu dengan begitu cekal hati melarikan diri ke kota dan setelah melalui pelbagai halangan, menemui cinta sejatinya. Atau kisah budak sekolah yang cintan-cintun dan asyik berebut kekasih aje kerjanya. Ataupun cerita tentang poligami yang heeei... kalau mama baca mesti tension berhari-hari!

Dia lebih cenderung membaca nukilan penulis-penulis dari luar negara sejak dari kecil lagi. Dahulu, mama selalu membelikannya novel-novel Enid Blyton. Sekarang setelah usianya semakin meningkat, dia membaca novel-novel nukilan Stephen King, Sidney Sheldon, Virginia Andrews dan beberapa orang penulis lagi. Tetapi penulis yang dia paling minat adalah Stephen King, si penulis novel seram. Sebut aje novel apa yang tidak dimilikinya; The Stand, Salem’s Lot, Pet Sematary, Dolores Clairbourn, Carrie... dan yang seangkatan dengannya, semuanya telah dimiliki. Semuanya tersimpan kemas di dalam storage box di bilik bacaan yang dikongsinya dengan abangnya, Zukry. Di banglo tersebut, ada dua buah bilik bacaan sebenarnya; satu khusus untuk Syed Zahari dan Zarinna dan sebuah lagi untuk kegunaan kedua beradik tersebut.

Syed Zahari yang mendengar jawapan selamba yang terkeluar dari bibir anak gadisnya, tergelak kuat. Isterinya dan Camelia memang tak boleh duduk dekat, asyik bercekau saja kerjanya macam anjing dengan kucing. Namun dia tahu bahawa kedua-dua insan itu saling sayang menyayangi, cuma kadangkala tidak sependapat.
Camelia anak manja. Yang dibesarkan dengan sepenuh kasih sayang dan kesenangan hidup. Begitu jugalah dengan anak lelaki tunggal mereka, Zukry. Cuma mungkin Zukry sebagai seorang lelaki, kurang terserlah kemanjaan dan kedegilannya berbanding dengan anak gadis seperti Camelia.
Zarinna menoleh ke arah suaminya, kurang senang mendengar dekahan tersebut.

“Kenapa awak ketawa, pa?” soal isterinya.
“Ni perkara serius tau. Seorang anak gadis Melayu tapi tak suka berbaju Kebangsaan, tak ke pelik!” tempelak Zarinna.
Syed Zahari memekup mulutnya. Dia menahan gelak dan cuba tampil serius di hadapan isterinya.
“Dah dari kecil awak biasakan dia dengan seluar dan skirt, ma. Kalau dari kecil dulu awak biasakan dia berbaju kurung atau yang seangkatan dengannya, taklah masalah ni timbul. Kata pepatah, kalau melentur buluh biarlah dari renungnya. Kalau dah jadi buluh macam ni, nak buat macam mana? Tak dapek den nak nolong do...” Tingkah Syed Zahari. Dia menoleh ke arah anak gadisnya.
“Papa! Sampai hati papa samakan Mel macam buluh.” Camelia terpekik.
Syed Zahari berdekah lagi. Zarinna yang tadinya serius semacam, juga tergelak kecil.
“Bukan buluh lagi... tapi buluh betung!” usik Syed Zahari membuatkan Camelia terkekau.

Anak gadis itu meluru ke arah papanya. Tetapi sebelum sempat tangannya hinggap ke dada, Syed Zahari menarik Camelia ke dalam pelukannya. Begitulah mereka anak beranak, penuh dengan gurau senda dan kemesraan tanpa sempadan



Tiada ulasan:

Catat Ulasan