Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 3 Oktober 2017

ADUHAI ISTERI - KISAH 5 - ASMAH HASHIM



Aku sudah berkira-kira, tahun ini akan pulang ke kampung halamanku untuk sambut Syawal. Sudah lama tidak pulang ke kampung, bertemu kedua orang tuaku dan juga kaum keluarga yang lain.  Teruja dan bersemangat rasanya. Tidak sabar-sabar ingin segera pulang.  Sudah terasa masakan enak emakku di tekak. Ya ALLAH! Ya ALLAH! Masakan emak adalah yang terbaik di dunia, walaupun hanya ikan goreng atau nasi goreng yang dicampur dengan sambal belacan semalam.  Tiada tandingan seantero dunia.  Restoran mahal pun kalah.
            Hujung minggu aku mengajak Liya keluar membeli keperluan hari raya.  Selalunya dia membeli pakaian yang sudah siap sahaja. Aku tidak membantah, ikut selera dialah.  Kuih atau biskut raya, dia buat sendiri.  Adalah beberapa jenis.  Dibuat juga untuk dibawa pulang ke kampung.  Kulihat, dia juga teruja menyiapkan keperluan anak kami.  Beberapa pasang pakaian baharu dibeli untuk Aiman.
            Isteriku juga sibuk mengemas rumah, mengganti langsir baharu.  Dia jahit sendirilah.  Aku cuma tukang beli kain sahaja, itu pun isteriku bayar separuh.   Sikap yang amat kupuji, isteriku seorang yang pandai berjimat cermat.  Setiap bulan ada sahaja duit simpanannya untuk membeli barang keperluannya sendiri.  Senyap-senyap dia berniaga dalam talian.  Jual apa?  Apa lagi, ambil upah menjahit langsirlah.
                “Abang, petang semalam. Mak ada telefon.  Dia minta kita balik raya ni, raya kedua ada orang datang meminang Ani, mak nak sangatlah semua adik beradik berkumpul. Lagipun ayahkan dah tak ada, jadi mak minta tolong abang sebagai wakil kepada kami,”  ujar Liya.
                Hah?  Balik kampung isteri aku?  Aku sudah merancang pelbagai aktiviti waktu pulang berhari raya di kampung nanti. Kenapa tiba-tiba tukar rancangan ini?  Aku mengeluh berat.  Apa pula kata orang tua aku nanti.  Aku sudah berjanji dengan mereka. Tidak mungkinlah aku menghampakan mereka.
                “Mana boleh macam itu Liya.  Kita sudah rancangkan, akan pulang ke kampung abang. Nanti apa kata emak,”  jelasku.
            “Abang, Ani… adik bongsu Liya.  Mak minta tolong.  Takkan nak hampakan permintaan dia.” 
            “Kenapa buat waktu hari raya?  Kenapa tak pilih hari lain.”  Aku mendengus kasar. 
            “Sudah permintaan pihak lelaki bang.  Waktu itu sahajalah mereka ada masa.  Mereka berniaga, bang.”  Liya memegang lenganku.
            “Hish, kenapalah menyusahkan orang lain dalam waktu perayaan seperti ini!” bantahku keras.
            “Abang!” tegur Liya dengan wajah mencuka.
            Aku melepaskan keluhan.  Serba salah jadinya.  Nanti apa pula kata emakku.  Aku sudah berjanji akan pulang ke kampung.  Tidak seronoklah pagi raya tidak berkumpul dengan adik-beradik.  Sudahlah aku jarang pulang ke kampung.  Aku berlalu meninggalkan isteriku sendirian di bilik yang digunakan sebagai tempat menjahit.  Sakit hatiku memikirkan rancangan yang terpaksa aku ubah demi memenuhi permintaan orang lain. 
            Petang itu aku menelefon emak dan ayah di kampung. Aku menceritakan apa yang berlaku dan aku tidak dapat pulang berhari raya bersama-sama dengan mereka.  Kuluahkan rasa kecewa akan sikap keluarga mertuaku yang buat perancangan tanpa merujuk terlebih dahulu.  Aduh! Bukan mereka yang kena marah, tetapi aku.  Kata emakku, keluarga Liya adalah keluargaku juga.  Sebagai menantu sulong sudah tentu menjadi tanggungjawabku membantu apa yang perlu, apatah lagi, Liya sudah tidak punya ayah.  Emak dan ayah tidak kisah, jika aku tidak pulang berhari raya dengan mereka.  Bukan aku sengaja tidak berjumpa mereka.  Aku ada sebabku tersendiri.  Mereka redha. Mereka mahu aku melakukan tanggungjawab yang sudah diamanahkan kepadaku.  Buat yang terbaik, jadilah anak menantu yang baik, nasihat ayah pula.
            Aku terdiam, kata-kata mereka ada benarnya.  Aku menantu sulong dalam keluarga isteriku.  Seperti ketua keluarga pada mereka jugalah.  Tanggungjawab yang terpikul di bahu, harus aku penuhi dan jalankan.  Kata emak, selesai segalanya, baharulah pulang ke kampung halamanku.  Nasihat yang baik daripada mereka, dan mereka tidak berasa terkilan kerana aku tidak ada di pagi hari raya.  Bertolak ansur, kata ayah lagi.
            Perkongsian hidup suami dan isteri bukan hanya di ranjang tetapi merangkumi seluruh kehidupan seharian.  Kadangkala ahli keluarga di kedua-dua belah pihak memerlukan pertolongan, tidak salah jika membantu, bantuan yang dihulur akan menambahbaikan hubungan yang sedia terjalin.  Saling bantu membantu, tolong menolong sesama ahli keluarga. Berkat dan mendapat rahmat daripada ILAHI, sambung ayah sewaktu berbual denganku di telefon.
            Aku mencari isteri tercinta.  Masih marah atau merajuk dengan akukah?  Aku menuju ke bilik kerjanya. Dia tidak ada di situ. Ke mana pula perginya?  Takkan melarikan diri? Uh! Ada sahaja fikiran jahat yang bermain dibenakku.  Aku mengeluh berat.  Nampaknya tidak dapatlah merasa masakan emak di pagi hari raya.  Tidak mengapa, setelah urusan majlis pertunangan dan meminang itu selesai, aku akan pulang ke kampung halamanku. 
            “Liya!” laungku. 
            “Ya, Liya ada di belakang rumah,”  jawabnya.
            Aku menuju ke belakang rumah.  Buat apa pula isteriku di situ.
            “Sayang buat apa?” tanyaku sambil memerhati tanaman yang tumbuh subur di belakang rumah kami. Tanah sekangkang kera itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh isteriku. Ada kangkung, bayam, sawi, cili besar dan cili padi.  Daun kesom, daun kunyit, daun kari juga ada.  Ya ALLAH! Ya ALLAH! Rajinnya isteriku.
            “Sayang tanam semua ini?” tanyaku teruja dan kagum.
            “Dengan kawan-kawan setaman,” jawabnya, sambil tersenyum senang.
            “Wah! Tidak sia-sia jadi ahli mesyuarat tingkap ya?  Berbaloi. Boleh jimat duit belanja dapur lagilah ya,” usikku.
            “Jangan kata surirumah yang berkumpul hanya tahu mengumpat dan buat kerja sia-sia.  Macam-macam projek kami sudah rancang bang.  Tidak boleh beritahu sekarang.  Masih dalam perancangan.  Kalau sudah selesai segala urusan, baru Liya beritahu abang perkembangannya,”  ceritanya dengan penuh semangat.
            “Ya?”  Rasa kagumku semakin bertambah.  Isteriku seorang yang berpelajaran.  Begitu juga jiran tetanggaku.  Mereka tidak bekerja kerana berkorban untuk keluarga.  Menjaga dan menguruskan anak-anak dan suami.  Pengorbanan yang hanya ALLAH mampu membalasnya.  Jika mereka merancang untuk melakukan sesuatu, pasti perkara itu bersangkutan untuk menambah ekonomi keluarga.  Wah! Hebat seorang surirumah tangga.
            “Jadi, di rumah  teman mesyuarat tingkap sayang juga ada tanam-menanamlah ya?” tanyaku.
            “Adalah, kami buat bersama-sama, bergotong-royong,”  jawabnya.
            Ya ALLAH! Ya ALLAH, jiran sepakat membawa berkat.  Hebatnya mereka.  Alahai isteriku.  Tidak sia-sia duduk di rumah.
            “Abang cari Liya, kenapa?” tanyanya sambil tanganya mengutip cili padi yang sudah mula berbuah.
            “Kita balik kampung sayang, lusa ya,”  kataku.
            “Betul bang? Mak dan ayah tak marahkah?” tanyanya agak ragu-ragu.
            “Tak, tapi selepas majlis selesai, kita terus balik ke kampung abang, boleh?” 
            “Tentulah boleh.  Terima kasih bang.”  Laju Liya memelukku.
            Ya ALLAH, aku telah menggembirakan hatinya.  Aduhai isteriku. Kaulah penenang hatiku.

Tiada ulasan:

Catat Komen