Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 27 Oktober 2017

JALAN PULANG - BAB 27



Bunyi deruman enjin jentolak memunggah tanah yang bersemak samun itu membingit telinga.    Sejam dua lagi lapanglah tanah itu.  Haji Shauki menarik nafas lega.  Kegiatan penagihan dadah tidak lagi bermaharajela di kampungnya itu.  Semua kawasan semak samun  yang berpaya sudah dibersihkan.  Tanah yang tidak bertuan, digunakan untuk bercucuk tanam, projek terbaharu untuk anak-anak muda di kampung itu.  Sebahagian tanah lagi yang ada bekalan air sungai dijadikan tempat penternakan itik.  Semuanya idea Malek.  Haji Shauki menarik nafas lega.  Malek juga sudah berhenti sebagai pengawal keselamatan di kilang tempatnya bekerja sebelum ini.  Dia akan memantau semua projek yang sedang berjalan.
            Malek juga berasa lega, penagihan dadah di kampung itu juga sudah dapat dibanteras.  Para pengedar juga dengar kata tidak lagi kelihatan merayau di kampung tersebut.  Malek berharap perkara itu akan berterusan baik.  Dia tidak akan membiarkan anak-anak muda di kampungnya itu dirosakkan oleh mereka yang hanya tahu mencari keuntungan semata-mata.  Biar anak bangsa sendiri mati asalkan dapat duit yang banyak.  Memang dasar tidak guna punya manusia. 
            “Alhamdulillah Malek, banyak perkara berubah di kampung ini. Terima kasih kerana bantu pak su,”  ucap Haji Shauki dengan wajah penuh ceria.
            “Saya yang sepatutnya berterima kasih dengan pak su kerana mempercayai orang seperti saya ini,” luah Malek dengan wajah sendu.  Siapalah sudi menerima kehadiran penjenayah kejam sepertinya?  Nasib baik bapa saudaranya itu sudi mengutipnya dan memberi tempat yang sewajarnya dalam masyarakat kampung kelahirannya itu.  Biarpun ada yang membenci, itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berbakti kepada penduduk kampungnya sendiri. 
            “Kau anak saudara aku Malek, takkan aku nak biarkan kau merempat? Yang lepas usah dikenang, biarlah menjadi tauladan dan sempadan,” nasihat Haji Shauki.
            Malek hanya tersenyum, dalam hati tetap berasa bersalah.  Kesilapan masa lalu yang tidak boleh diubah sejarahnya.  Dia boleh diterima oleh penduduk kampung, tetapi tidak bekas isterinya, rasa dendam terpaku teguh di hati Salmah, tidak mampu ditanggalkan dengan mudah, biarpun dikopek dengan menggunakan mesin yang paling canggih di dunia ini.  Apa lagi dayanya untuk memujuk. Keperitan yang tidak mampu diucapkan dengan kata-kata.  Onar yang dilakukan telah memusnahkan seluruh kehidupannya.
            “Pak su harap sangat, Malek akan terus bantu pak su di sini,” ucap Haji Shauki.  Terasa segala impian dan cita-citanya ingin menjadikan kampung itu sebuah kampung contoh dan terbaik akan berjaya. 
            “Insya-Allah pak su, selagi ada nyawa saya,”  jawab Malek.
            Mereka masih lagi memandang kerja-kerja meratakan tanah dijalankan. Jentolak berwarna kuning yang dipandu oleh seorang lelaki Cina rancak bekerja.  Dibantu oleh lima ke enam orang pekerja yang lain, memotong dan menebang pokok yang sudah tumbang dengan menggunakan gergaji eletrik.  Kayu-kayu itu dikumpulkan dan akan dibakar.  Tanah seluas dua ekar itu sekejap sahaja dibersihkan. 
            Di kejauhan, tidak jauh dari kawasan yang sedang diratakan, di dalam sebuah kereta  mewah, beberapa orang lelaki sedang memerhati dengan perasaan marah. 
            “Tak guna!  Habis semua kawasan semak di kampung ini diratakan?  Mana lagi tempat yang sesuai para penagih nak buat sarang?”  kata Man Cengal dengan wajah bengisnya. 
            “Tempat nak menghisap tak jadi masalahlah!  Masalahnya, barang-barang kita tak laku!”  kata Buncit keras.
            “Kita nak buat macam mana ni boss?” tanya Man Cengal.
            “Nak buat macam mana lagi?”  Buncit sendiri mati akal.  Bukan mudah hendak mendapatkan penagih baharu.  Uh!  Dia menumbuk-numbuk kusyen kereta.  Pasti ketuanya akan naik angin juga.
            “Sudah ambil gambar lelaki tu?” tanya Buncit.
            “Sudah boss!” jawab Man Cengal sambil membelek  gambar yang diambil tadi dengan menggunakan telefon bimbitnya.
            “Bagus! Jom berambus dari sini,” ajak Buncit.  Dia mengeluh berat.  Strategik baharu terpaksa difikirkan untuk meneruskan perniagaannya.  Takkan nak berniaga nasi lemak?  Berapa sangat pendapatannya?  Manalah dia tahu memasak nasi lemak?  Buncit mencebik.  Pengedar utama kawasan daerah Seberang nak jual nasi lemak?  Pasti dia akan diketawakan oleh konco-konconya nanti.  Buat malu kumpulan gangster sahaja!
            Malek menoleh memandang kereta yang baharu sahaja berlalu pergi.  Dahinya berkerut.  Siapa mereka?  Rasanya bukan penduduk kampung ini?  Mungkinkah orang Majlis Bandaran?  Kalau mereka, kenapa tidak turun tadi? 
            “Kenapa Malek?” tanya Haji Shauki, turut menoleh memandang ke arah kereta yang sudah bergerak jauh dari kawasan itu.
            “Tak ada apa-apa pak su,”  jawab Malek. 
            Hatinya dipagut resah, melihat keadaan kampungnya yang sudah berubah, sudah tentulah para pengedar dadah di kawasan itu tidak akan duduk diam.  Perniagan mereka diganggu gugat, keuntungan mereka sudah  berkurangan.  Rugi besar!  Malek mengeluh.  Dia akan aturkan anak-anak muda kampung yang berjaya dalam pelajaran dan berpendidikan  baik untuk membimbing anak-anak remaja kampung itu yang bermasalah dalam pelajaran atau ada masalah disiplin di sekolah.  Dia tidak mahu mereka ketinggalan dalam pendidikan.  Biarpun susah untuk membentuk mereka, dia tidak akan putus asa.  Malek tidak mahu anak-anak itu menjadi sepertinya. Yang malas, akan diajar supaya rajin.  Yang lemah dalam pelajaran akan diajar biar pandai. 
            Ya, mereka semua anak-anaknya.  Anak-anak kawan-kawannya.  Hampir sebahagian daripada mereka, Malek kenali sejak daripada kecil lagi.  Tidak mungkin dia akan membiarkan anak-anak kampungnya rosak akhlak mereka.  Anak-anak gadis pula diberi pendidikan sains rumah tangga, memasak dan menjahit serta kerja tangan yang lain.  Duit Masjid Kampung Seberang digunakan sebaik mungkin untuk mengupah guru-guru yang sesuai mengajar anak-anak kampung itu.
            “Bila stadium ini sudah siap,  adalah tempat buat anak-anak kampung ini beriadah dan bermain  sukan yang mereka minati,”  kata Haji Shauki gembira.  Dia tahu, apa yang dilakukan oleh anak buahnya itu adalah berkat kesedaran setelah melalui kehidupan yang penuh dengan kepahitan.  Keinsafan telah membawa perubahan besar dalam hidup anak buahnya itu.  Orang seperti Malek perlukan sokongan dan kekuatan untuk berubah dan bergaul semula dalam masyarakat. 
            Bukan mudah penduduk kampung hendak menerima kembali kehadiran Malek, tetapi melihat apa yang dilakukan oleh Malek telah berjaya dan terbukti membuat mereka buka mata dan sedia memaafkan dirinya.  Haji Shauki cukup berasa lega dengan apa yang berlaku. Kehadiran Malek biarpun pada mulanya dipandang membawa bencana tetapi jika diatur dengan betul, pasti membawa sesuatu yang bermanfaat.  Orang yang ingin berubah, pasti akan berubah.  Hanya mereka yang suka hidup dalam dunia kegelapan akan kekal dengan sikap lama mereka, terus melakukan jenayah tanpa berasa bersalah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan