Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 10 Oktober 2017

ADUHAI ISTERI - KISAH 9



            Aku memeriksa dahi Aiman yang benjol.  Usianya sudah 11 bulan, sudah berjalan jatuh.  Aku menggeleng kekesalahan.    Aiman terjatuh ketika bermain di padang permainan petang tadi.  Aku memandang wajah Liya yang berkerut.  Aku mendengus kasar.
            “Liya sibuk bersembang ya?  Biarkan Aiman bermain dengan anak Kak Kiah, anak Kak Yam?  Liya tidak perhatikan Aiman betul-betul?” leterku.  Penat pulang dari tempat kerja tidak hilang, ditambah penat melihat dahi Aiman yang benjol sebesar telur ayam.
            “Liy… Liya tak perasan bang!”  kata Liya dengan wajah penuh bersalah.
            Aku mengetap bibir, pantang benar aku, jika Liya leka dengan hal lain, Aiman yang sepatutnya menjadi tumpuan utama, dibiarkan bermain dengan kanak-kanak, biarpun sudah besar, tetapi kudrat mereka tidak sama dengan orang dewasa.
            “Liya mana boleh biarkan Aiman sendirian dengan budak-budak lain!  Kalau ada orang jahat tadi, macam mana?  Mana tahu, dia culik Aiman, Liya bukan sedar pun!  Sibuk mengumpat agaknya sampai anak jatuh pun tidak sedar!”  bertambah bebelanku.
            “Abang!  Kenapa cakap macam itu?   Ingat kami duduk bersembang tu, mengata orang saja ke?  Tak ada hal lain ingin kami bualkan? Abang jangan samakan Liya dengan orang lain!  Abang tak kenal Liya ya?”  Liya memandang wajahku tidak berkedip.
            “Tak betul ke?  Orang perempuan kalau berkumpul, bukan ada kerja lain nak buat kalau tak mengumpat hal keluargalah, hal suami, hal jiran setaman,” kataku, wajahku serius sepanjang kami berbual.  Hatiku masih berasa marah atas kelalaian Liya tadi.
            “Habis itu, orang lelaki tak mengumpat ke?” tempelak Liya. 
            “Abang bukan kisah Liya nak berkawan dengan siapapun.  Berkawanlah, bergaullah, tapi anak tu perhatikan! Aimankan baru belajar berjalan.  Kan dah jatuh sebab mamanya sibuk bersembang!”   Aku mendengus kasar. Masih tidak berpuas hati. Biarpun baru pertama kali Aiman terjatuh, dan hanya mengalami benjol di dahi,  tapi tidak boleh dibiarkan.  Liya tidak boleh membiarkan perkara itu berlaku.
            “Biarlah dia belajar jatuh dan bangun bang!  Itukan pengalaman untuk mengajar jiwanya menjadi kental apabila dah besar nanti, terutama Aiman lelaki, bukan boleh dimanjakan sangat,”  luah Liya.        
            Dia duduk menyandar di sofa.  Kulihat wajahnya sudah keruh.  Matanya semakin dikecilkan.  Takkan nak menangis? Bisik hati kecilku.  Sensitifnya jiwa seorang perempuan? Penatlah kalau begini?  Takkan tidak boleh tegur jika dia buat salah atau kesilapan?  Uh!  Orang perempuan!
            “Jatuh boleh! Tapi jangan sampai cedera, kalau bergegar otak Aiman, bagaimana?  Nasib baik dia tidak muntah-muntah, kalau tidak kenalah bawa ke hospital.  Inipun kena bawa ke klinik, takut ada luka dalaman, mana kita tahu?”
            “Abang!  Jauh sangat abang menyimpang tu!” tegur Liya.
             Suaranya masih mengendur, tidak terlalu berkeras.  Mungkin, masih menjaga adabnya sebagai seorang isteri ketika bercakap denganku, biarpun kutahu hatinya mesti panas membara.
            “Abang tidak peduli! Lepas ini, kalau tidak mampu jaga Aiman ketika di luar, baik tak payah bawa Aiman bermain di padang.  Duduk saja di rumah!”  kataku, tegas.
            “Abang! Abang nak anak kita jadi apa?  Takut dengan dunia luar?  Hanya kerana takut jatuh?  Abang nak suruh Liya kurung Aiman?  Biar dia terperuk dalam rumah saja?  Abang ingat, di rumah Aiman tidak boleh jatuh ke?”  lengking Liya. 
            Matanya sudah berkaca. Aku mengeluh kasar.  Hembusan angin daripada kipas angin yang berpusing tidak mampu menyejukkan hatiku.  Mungkin juga hati Liya panas membara.  Keletihan tubuh masih terasa, belum sempat melunjurkan kaki sudah dikhabarkan berita yang kurang menyenangkan.
            “Demi keselamatan Aiman!”  kataku lagi.
            Liya tersenyum sinis.
            “Liya,  mamanya bang.  Jika abang sayangkan Aiman, Liya lagilah.  Liya yang mengandung dan melahirkannya.  Baru  11 bulan berlalu, masih terasa sakitnya sewaktu melahirkan Aiman.  Liya juga inginkan yang terbaik untuk  Aiman.  Takkan Liya nak biarkan Aiman tercedera, terjatuh dan sebagainya.  Liya tahu tanggungjawab sebagai seorang ibu, bang!”  luah Liya.
            Aku memandang wajah Liya, kulihat air mata sudah membasahi pipinya.  Ya, Liya mama Aiman, tentulah Liya juga inginkan yang terbaik buat Aiman.  Kenapa aku terlupa?  Ibu mana yang ingin melihat anaknya terluka atau tercedera?  Tentulah inginkan yang baik-baik buat anaknya.   Aku mengeluh perlahan.  Kesal dengan sikap sendiri.  Menuduk Liya yang bukan-bukan tidak akan menyelesaikan masalah.  Mungkin, Liya sendiri tidak mahu Aiman terjatuh.  Mengurung mereka bukan penamat semua perkara buruk.  Di dalam rumah pun boleh berlaku macam-macam kejadian.  Apa penting, pemantauan yang berterusan.    Aku dan Liya sama-sama menjaga kebajikan Aiman.  Bukan hanya membiarkan Liya seorang menjalankan tugasnya.  Biarpun aku bekerja, tetapi Aiman anakku juga. 
            Liya pula seharian tinggal di rumah.  Kawannya, hanyalah jiran tetangga kami.  Kalau dia tidak keluar bergaul dengan mereka, dengan siapa Liya akan berkawan?  Mengurung Liya juga tidak menyelesaikan masalah, malah aku  bersikap kejam dengannya.  Dia perlu ada kawan, untuk berbual dan berkongsi cerita.  Cuma, aku pesan, usah bercerita hal rumah tangga sendiri, keluarga dan orang lain.  Berkongsilah ilmu yang bermanfaat,  usah bercakap besar di hadapan orang lain.  Biarpun kami serba ada, belum tentu jiran tetangga kami mampu ada semuanya.  Hormati perasaan orang lain.   Aku yakin dengan sikap Liya, dia seorang yang terpelajar, tahu bawa diri.
            “Okay, lain kali Liya harus berhati-hati, boleh?”  pesanku.
            “Insya-Allah bang.  Tahulah Liya jaga Aiman.  Liya bukan budak kecil  tau.  Sudah jadi isteri dan ibu pun.”  Jawabnya.
            Wajah Liya tenang semula.  Isteriku memang seorang yang mudah sejuk, tidak mudah melatah apabila ditegur.  Aku beruntung mempunyai isteri yang tahu menjaga adabnya  di hadapanku.  Biarpun marah, tapi tutur katanya tetap lembut, namun tegas.  Mampu meluahkan perasaannya langsung tidak mengguris hatiku.  Aku  yang sepatutnya mengawal emosi amarahku.  Maklumlah orang lelaki, nak tunjuk ego dan keras di hadapan isteri sendiri.  Aku tersenyum dalam hati, terasa bodoh sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan