Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 12 Oktober 2017

MASIH ADA HARAPAN - ASMAH HASHIM



 kredit: Gambar Google

Tanah gersang dan kering kontang itu dipandang lama.  Tidak berkedip matanya memandang dada langit. Memerhati awan yang berarak lembut, terang benderang cuaca. Deburan halus berterbangan ditiup angin.   Panas matahari membahang, membakar tubuhnya yang berkulit sawo matang.  Degupan jantungnya beralun perlahan.  Angin berpuput lembut menyapa pipinya yang sudah diusik waktu.  Tunggu tulang belulangnya sahaja ketika dan saat untuk  mereput ditelan bumi.  Terasa lelah memandang tali air yang merekah tanahnya.  Sudah berbulan-bulan hujan tidak menitiskan airnya membasahi bumi tercinta.  Merajukkah ia? Sehingga tidak sudi lagi menyinggah dan menyapa kawasan yang tiba-tiba tandus jadinya.
                Sungai mengalir lesu, airnya tidak lagi berkocak riang, menampar jiwa untuk bermandi-manda.  Wajah anak-anak pulang dari sekolah melekit menahan kepanasan dibasahi peluh sendiri.  Kepenatan jelas terpancar di wajah mereka.  Kelesuan jelas terlihat di sebalik senyuman yang layu itu. 
                “Bila agaknya kita boleh membajak ni, pak su? Tali air kering kontang, hujan asyik tidak jadi, nampaknya tahun ini lambatlah kita menanam,” keluh Rahim, anak buah Pak Su Hashim.
                “Cuaca di tangan Allah Rahim, hanya Dia yang mampu mengubahnya!” ujar Pak Su Hashim dengan wajah berombak resah.  Hati siapa yang tidak resah, pendapatan hanya diperolehi dengan tanam padi, tiga kali setahun, dengan hasil itulah dia membesarkan anak-anaknya.
                “Kenapalah tahun ini teruk sangat kemaraunya pak su?  Tahun lepas ada jugalah el-ninolah, el-nanalah.  Tetapi tidaklah seteruk tahun ini. Sampai terbakar padang sekolah Syed Alwi.  40 darjah Celsius, boleh mati terbakar kita!  Selama saya hidup belum pernah berasakan teriknya matahari sebahang ini.  Seperti Allah menimpakan amarahnya, amukan yang mampu buat kita gelabah separuh gila!” bebel Rahim sambil mengeluh deras.
                “Jangan  buruk sangka dengan ALLAH! Apa yang berlaku, baik atau buruk, terima dengan redha dan hati terbuka.  Adalah hikmahnya.  Kita ini, kadang-kadang lupa diri. Tidak sedar hidup bukan sendiri-sendiri, ada ‘Tuan’ yang memerhati.  Buat seenaknya, tanpa ada perasaan takut, semuanya kita langgar, biarpun terluka parah, kita tidak ambil pusing pun,”  terang Pak Su Hashim.  Dia mencangkung, menggenggam tanah sawah yang halus dan berdebu itu. 
                “Sebab ‘Tuan’ tidak nampak, itu yang sering tidak perasan, pak su!”  Rahim menyengih.
                “Buat tidak perasan itulah yang harunya!” Pak Su Hashim bingkas bangun, dalam senyuman yang terlakar. Bergelodak jiwanya kebimbangan. Kalau sebulan lagi hujan tidak turun, alamat terpaksalah dia mencari pekerjaan lain untuk menyara keluarganya sementara menunggu cuaca kembali berhujan dan berpanas.          Alam kadang-kadang bercakap dengan bahasanya sendiri. Manusia pula kadangkala lupa dan alpa.  
                “Pihak Mada akan buat apa agaknya, pak su?” soal Rahim.  Dia menyepak-nyepak tanah yang tandus itu.  Sudah seperti berada di Gurun  Sahara pula.  Nasib baik hembusan angin ada dan mampu menyegarkan tubuh, biarpun matahari mengigit dengan garangnya.
                “Mungkin akan buka saliran empangan air di Timah Tasohlah agaknya.  Itupun kalau tidak kering juga seperti di tempat lain,” luah Pak Su Hashim.  Kalau Rahim bimbang, dia apatah lagi.  Rahim ada jugalah sumber pendapatan lain.  Jual ikan segar dan buat belacan untuk dijual.  Dia pula hanya menanam padi semata-mata.  Kenapa cuaca panas keterlaluan? Kenapa tidak ada hujan?  Murkah Allahkah?  Ah! mudahnya dia membuat spekulasi.  Allah bukan kejam, Allah itu Maha Penyayang.  Dia mengeluh berat.  Keyakinan dalam diri terhadap Penciptanya serapuh daun kering yang mudah diterbangkan angin.   Mudah goyah. Mudah koyak.  Kalau daun kering tentulah tidak mudah dijahit semula seumpama kain ketika koyak dan rabak mudah dicantum semula.
                “Pak su, saya balik dululah.  Ada pesanan  belacan dari kampung sebelah,” ujar Rahim dan melangkah pergi.
                Keluhan yang terlahir bagaikan tidak lepas dari kerongkongnya. Mematah semangat seorang pak tani yang berharap kepada turunnya hujan.  Merapuhkan semangat seorang pak tani yang bergantung hidup pada pertanian.  Hujan bagaikan rahmat buat para petani sepertinya. Air satu keperluan utama dalam hidup manusia, tanpa air manusia tidak akan mampu hidup.
                Begitulah harapannya yang tinggi terhadap air.  Selain memberi sumber manusia dan makhluk Allah yang lain, air memberi kehidupan kepadanya sekeluarga. Bagaimana dia hendak menanam  semula jika air tiada. Bagaimana air hendak ada jika hujan  tidak turun-turun juga. Rajukkah hujan? Dia tidak puny acara untuk memujuk agar langit mampu menurunkan hujan.  Kepanasan semakin membahang. Semakin mejerut seluruh tubuhnya.  Ala bisa tegal biasa, berpuluh tahun bermain dengan hujan dan panas.  Perlukah ada perasaan risau dan bimbang ketika kepanasan masih sudi bergurau senda dengannya? Kerisauan melanda hatinya kerana hujan sudah tidak sudi lagi bermain, bergurau senda dengan dirinya. Hujan seperti membenci dan berjauh hati.
                Tercari-cari salah sendiri, di mana silapnya? Hashim melepaskan keluhan berat.  Perlahan-lahan langkah di atur kembali ke rumah.  Kisah Nabi Yusuf menjawab mimpi  seorang raja membuatkan dia berfikir.  Adakah kemarau ini akan lama lagi berlaku?  Dia bukan pandai sangat dalam hal-hal tentang cuaca.  Hanya pandai memerhati melihat dan  membaca keadaan angin serta langit. Kepandaian orang kampung sepertinya yang menampung hidup dengan ketertiban cuaca.  Keadaan telah berubah cuaca tidak lagi tertib dan mengikut alirannya yang sebenar.  Bercelaru, seperti sudah terlalu jauh dari landasan yang sebenar. 
                Masih memandang dan masih mengharap. Harapan seorang insan kerdil seperti dirinya.    Tidak mampu mengubah keadaan. Hanya mampu berdoa dan meminta. Berharap dan menanti, turunnya hujan mampu memujuk rasa hati yang sedang galau sejak beberapa bulan yang lalu. Tidak pernah surut, sesurut air di sungai ketika ini. 
                Dia meraup mukanya yang dibasahi peluh. Kepenatan dan kelelahan yang tidak tertanggung oleh hati dan perasaan.  Tidak pernah dia seresah ini.  Tidak pernah dia serisau ini.   Anak-anak masih belajar, masih memerlukan pembiayaan yang bukan sedikit.  Lima anak yang sedang membesar.  Kalau tahun ini kurang penghasilan, kurang pula pendapatan.  Ya Allah!  Kembalikanlah ketenangan hatiku, doa Hashim dalam hati.  Hidup tidak indah jika tiada ujian.  Kehidupan dan ujian seperti aur dengan tebing.  Kalau tidak diuji, bukan hidup namanya.  Kalau dua bulan  lagi tidak hujan, bagaimana dia hendak mula menanam?  Akan adakah air untuk membasahi sawah padi?  Akan adakah pendapatannya untuk musim ini?  Pelbagai perkara bermain di fikiran.  Keresahan yang meribut di hati tidak pernah hilang. Masih terus tumbuh subur di hati.
                “Abang,” suara yang lembut dan perlahan menyapa telinganya.
                Hashim nenoleh.  Wajah isteri kesayangan berdiri di muka pintu dapur sambil melakarkan senyuman. 
                “Abang dari mana?” tanya Naemah, isteri yang setia. Susah senang bersama.
                “Dari sawah, kalau hujan tak juga turun, nampaknya tahun ini, kuranglah pendapatan kita,” luah Hashim akan kebimbangan di hatinya.
                “Tak usahlah bimbang sangat bang, cuaca bukan hak kita.  Kita cuba cari cara lain untuk tambah pendapatan,”  ujar Naemah.
                “Kita nak buat apa?”  Hashim mengeluh berat.
                Kepalanya masih berserabut memikirkan keadaan yang sedang berlaku.
                “Anak-anak masih belajar Mah, abang tak tahu nak buat apa?  Along, belanjanya di kolej, bukan sedikit.  Duit air, eletrik dan telefon, semuanya kena bayar.” Keluhan rakyat biasa sepertinya.  Bukan ada gaji beribu, bukan ada pendapatan jutaan ringgit.  Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.  Cukup-cukup makan untuk menyara keluarganya.
                “Rezeki itukan milik Allah, tahulah Allah mengaturnya.  Takkanlah Allah kejam sangat sampai tidak langsung memberi?  Sedangkan orang yang tidak beriman diberi kenikmatan hidup, inikan kita yang tidak pernah culas sujud padaNYA,”  nasihat Naemah.
                Sujud padaNya?  Keluhan terlahir di bibirnya.  Benarkah dia sujud kepadaNYA? Atau sudah lama melupakan Yang Esa?  Mencari jawapan dalam dirinya sendiri.  Muhasabah setiap langkahnya sehari-harian.  Sebelum subuh sehinggalah malam  merangkak pergi.  Ah! kepenatan alasan yang sering diberi. Sehingga terlupa akan tanggungjawabnya yang satu.  Melupakan yang punya hak untuk disembah.
                “Mungkin abang dah lama tak sujud padaNYA,” luah Hashim dengan hati yang kesal. Kepenatan menguruskan bendang sering dijadikan alasan. Sering menangguhkan waktu solatnya dengan tidur dahulu sehinggalah dia terlepas waktu-waktu yang berharga itu.
                “Apa maksud abang?” tanya Naemah kehairanan.
                “Sejak sawah kita ada berpuluh relong, abang sering pulang dalam keletihan. Abang culas  dan leka, itu sebab agaknya hujan tidak turun lagi. Allah murka dengan abang,”  cerita Hashim dengan penuh kekesalan.  Itulah yang sedang bermain difikiran. Tidak mustahil. Dia hanya manusia biasa yang tidak kuat imannya.  Melengah dan mengambil mudah dalam semua perkara hatta amal ibadatnya.
                “Ya Allah, janganlah berperasangka buruk terhadap Allah, bang.  Biarpun kita culas, tapi pintu taubat masih terbuka.  Usahlah abang bimbang.  Janji takkan buat lagi,” nasihat Naemah.
                Hashim terdiam.  Dia bukan berperasangka buruk, tetapi sedar akan kealpaannya.  Dia yang salah, tidak sedar diri. Setiap hembusan nafas, kesihatan dan kehidupan yang diberi adalah milik dan kurniaan Ilahi.  Nikmat Allah yang manakah yang harus dia nafikan?  Selama ini hidupnya serba sempurna biarpun tidah mewah. Cukup makan, cukup pakai.  Anak-anak baik dan bijak-bijak pula.  Isterinya pula setia dan tidak pandai meminta-minta kecuali untuk anak-anak.  Rumah ada, tanah ada, diuji sedikit mulakan hilang rasa syukur.  Mulalah berkeluh kesah sedangkan senafas udara dihirup tidak terbalas dengan emas setinggi Gunung Kinabalu. 
                “Mah ada cadangan, kalau musim akan datang kita tak boleh menanam, apa kata kita berniaga kecil-kecilan, buka warung tepi jalan.  Sekurang-kurangnya dapat menambah pendapatan kita.  Sementara menunggu  hujan turun semula.  Kalau pihak Mada ada jalan dan memenuhkan tali air, mungkin masih boleh menanam juga musim ini.  Abang jangan bimbang sangat.  Pasti ada jalan.  Kitalah yang kena berdoa dan berharap, bertawakal hanya padaNYA.  
                “Buka warung? Nak jual apa?” tanya  Hashim sedikit bimbang, Dia mana pernah berniaga. Apatah lagi isterinya.
                “Waktu panas-panas ini apa yang paling laku?” tanya Naemah berteka-teki.
                “Minuman? Orangkan mudah kehausan dengan cuaca terik ini.” Hashim memandang wajah isteri tercinta.
                “Kita jual cendol, air batu campur dan goreng pisang,”  cadang Naemah teruja.
                “Cendol?  Betul juga, awakkan pandai buat. Selama ini makan sendiri saja,” ujar Hashim dengan wajah penuh ceria. Hidup jangan sempitkan fikiran.  Perlu berusaha memikirkan dan mencari jalan  untuk memperbaiki hidup.  Cadangan isteri tersayang amatlah baik. Kenapa dia tidak memikirkannya. Tidak ramai yang berniaga cendol dan air batu campur di kampungnya.  Biarpun terpaksa mengeluarkan modal, apalah salahnya.  Perniagaan apa yang tidak memerlukan modal, hatta modal air liur sekalipun. 
                “Jangan bimbang ya bang.  Allah masih beri kita jalan untuk terus hidup,”  nasihat Naemah sekali lagi sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.
                Hashim tersenyum bahagia.  Terima kasih Allah kerana memberi kesempatan untuk meneruskan hidup tidak kira ketika susah dan senang.  Selagi nyawa dikandung badan, Allah tidak pernah melupakan hamba-hambaNYA, hanya hamba-hambaNYA yang sering lupa dan alpa. Dalam keresahan masih ada harapan yang menggunung.

Tiada ulasan:

Catat Komen