Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 28 Oktober 2017

JALAN PULANG - BAB 28



Kenderaan bertali arus di hadapan Restoran Mamak  Ali Maju yang terletak di pekan kecil Kampung Seberang.  Ledakan hon kereta yang sesekali berbunyi kadang-kadang membuatkan para pelanggan Restoran mamak Ali Maju itu menoleh dan melihat.  Malek akan singgah makan di situ sekali sekala jika dia teringin menjamah roti canai dan teh tarik.  Sedang leka menikmati hidangan kegemarannya, seorang lelaki yang hampir sebaya dengannya terus melabuhkan punggung menghadapnya.
            Malek mengangkat kepala, wajah lelaki yang berada di hadapannya dipandang seketika.  Dia tersenyum sinis.  Lelaki yang pernah jadi kawan dan sahabat konon.  Sewaktu dia ditangkap, lelaki itu berjaya melarikan diri entah ke mana. Akhirnya dia seorang yang disumbat ke dalam penjara.  Lelaki itu?  Lepas bebas dengan semua duit rompakan.  Hari ini, lelaki itu tiba-tiba muncul di hadapannya?  Bagaimana lelaki itu tahu dia berada di sini? 
            “Apa khabar sahabat?” tanya lelaki itu setelah memesan secawan kopi panas.
            “Sahabat?  Kau masih anggap aku sahabat?”  soal Malek sambil menghabiskan suapan roti canainya yang terakhir.
            “Kau sahabat aku dunia dan akhirat, maaflah tak ziarah kau waktu di penjara,”  ujar lelaki itu.
            “Sudahlah Rocky!  Tak payah berpura-pura, kenapa kau cari aku?  Aku dah cuci tangan, takkan laku kerja-kerja terkutuk itu lagi,” jelas Malek, jika itulah tujuan Rocky datang mencarinya.  Rambut yang diwarnakan perang, cermin mata hitam, gigi yang masih rapi, cara berpakaian seperti seorang  ahli perniagaan yang berjaya, sudah tentu Rocky cukup kaya dan berjaya.
            “Kenapa kau tak cari aku? Aku masih simpan harta benda kau,”  beritahu Rocky.
            “Aku tak perlukan harta haram itu Rocky,”  kata Malek. 
            “Wah!  Sudah insaf?  Terkejut aku, penjara mampu buat kau jadi manusia?”  sindir Rocky.
            “Kau nak apa sebenarnya ni Rocky?” Malek mula meninggi suara.  Bercampur dengan orang jahat, pasti jadi jahat juga jika tidak kena gayanya. 
            “Aku nak kau bekerja dengan aku, mahu tak?  Gaji lumayan aku akan bayar kau, takkan kau nak hidup miskin sampai ke tua?”  pelawa Rocky.
            “Kerja apa yang kau boleh tawarkan pada aku?  Aku miskin?  Aku bahagia dengan kehidupan aku sekarang ni Rocky!”  Malek mendengus kasar.
            “Hey, kawan!  Setakat jadi pengerusi belia kampung, tak kemana perginya, aku nak kau jadi pengawal peribadiku merangkap rakan kongsi,”  pelawa Rocky.
            “Rakan kongsi? Pengawal peribadi?  Tu, dah ramai pengawal peribadi kau, dua buah kereta, penuh, tak cukup lagikah?” sambil bibirnya menjuih keluar restoran.  Dua buah kereta BMW bersiap sedia di hadapan restoran tersebut. Menunggu dan menanti serta memerhati.
            “Itu lain, mereka kuli aku!” kata Rocky dengan bangga.
            “Kau buat kerja apa pula kali ini? Masih merompa?” Malek meneliti wajah lelaki itu.  Kedutan sudah terlihat dengan kasarnya, tetapi masih lagi tidak insaf.
            “Merompak?  Lambat nak kaya dan banyak masalah, aku sekarang ni dah jadi ahli perniagaan, pendapatan aku boleh tahan, itu sebab aku nak ajak kau turut serta, makan tujuh keturunan tak habis-habis tau,”  kata Rocky dengan penuh bangga.
            “Berniaga apa tu?  Kayu balak?” 
            “Kayu balak lama-lama habis juga, kau ingat tebang pokok, lama-lama pokok tu tak pupus?  Mana ada kelas!”
            “Habis tu? Setahu aku kau SPM pun tak lulus, dulu kerja kau meragut, merompak saja, takkan sekarang dah jadi ahli perniagaan?  Perniagaan apa yang kau uruskan?” Malek tidak berpuas hati.  Lelaki itu bukan seorang yang bijak, kalau ia pun dia berniaga, perniagaan apa yang dia tahu buat selain meragut dan merompak.
            “Kau jangan pandang rendang dengan aku sahabat! Masa boleh berubah, ilmu boleh cari, setakat berniaga jual kacang rebus tepi jalan sesiapa pun boleh buat, tak perlu sekolah tinggi,” kata Rocky.
            “Takkan jual kacang rebus boleh guna khidmat pengawal peribadi?”  Malek menyengih, sinis.
            Rocky mendekatkan dirinya hampir dengan Malek, “Aku jadi pengedar dadah terbesar di kawasan Kuala Lumpur dan di kampung ini, kerja senang sahabat, kaki banyak, duit pun mudah dapat,”  kata Rocky dengan bangga.
            “Dadah?  Kau jadi pengedar pula?”  Malek mengerutkan dahi.  Rupanya, selama ini Rockylah perosak anak penduduk kampungnya, sudah tentu kehadiran lelaki itu ada tujuan yang besar. Ditambah keadaan Kampung Seberang sudah jauh berubah. 
            “Perniagaan kau tergugat ke?” 
            Rocky menyengih.     
            “Kau sahabat aku, aku tahu perbuatan kau telah menghancurkan perniagaan aku di sini, kalau kau bekerjasama dengan aku, kita mampu bina empayar perniagaan yang hebat di sini.” Rocky menyengih. Dia pasti sangat, Malek tidak akan menolak/
            “Hey, Rocky, kalau kau berniaga perniagaan yang halal, tak rosakkan anak bangsa sendiri, tak hancurkan sebuah keluarga, aku akan sokong kau sepenuhnya.  Takkanlah sebodoh itu kau tidak tahu perniagaan yang kau jalankan menghancurkan anak bangsa kita?”  Malek mengetap bibir. Wajah selamba Rocky menambah sakit di hatinya.
            “Apa aku peduli! Yang penting duit sahabat! Kau juga pentingkan duit, kan?”  Rocky menyengih lagi.
            “Aku takkan bekerjasama dengan manusia banjingan seperti kau Rocky! Kau raih kekayaan di atas kesengsaraan orang lain?  Baik kau jadi penyapu sampah, lebih mulia kerja mereka, daripada kau yang jadi penjahanam anak bangsa sendiri!”  Malek sudah bingkas bangun.  Dia tidak mahu berlama dengan manusia tidak tahu diri itu. 
            “Kau jangan hina sangat aku Malek, kau tu apa kurangnya?  Kau sama banjingan dengan aku, kau rosakkan anak arwah Tuan Harun sampai jadi gila! Kau dah lupa ke?  Atau kau ingin aku ingatkan?”  sindir Rocky, sejarah lama diungkit.
            Malek mengenggam erat buku lima.  Lelaki itu memang sengaja mencari nahas. Peduli apa dia dengan konco-konco Rocky yang setia menunggu di luar restoran.  Peristiwa hitam itu usah disebut, dia sedang cuba melupakannya.  Biapun tidak terampun dosanya yang lalu, namun mengenang kembali peristiwa itu sudah cukup mencair leburkan hatinya.
            “Rocky! Aku takkan biarkan kau ganggu keamanan penduduk Kampung Seberang!  Kalau nak nak jahanam, jahanamlah seorang diri, kau tak perlu pelawa aku!”  Malek menjegilkan mata.  Lelaki itu tidak layak dihormati. 
            “Hey, Malek!  Kau tidak tahu dengan siapa kau berurusan, ini Rockylah!” kata Rocky sambil mendabik dada.
            “Aku akan pastikan kau ditangkap dan ke tali gantung! Hidup pun tak guna, hanya tahu merosakkan orang lain!” Malek berlalu pergi setelah membayar harga makanan.  Sempat dia menjeling ke arah kereta BMW yang ada di hadapan Restoran Mamak Ali Maju. 
            Rocky menyengih dan turut bangun meninggalkan restoran tersebut.
            Malek terus menaiki motosikalnya dan berlalu pergi dari situ.  Jika benarlah, selama ini Rocky adalah pengedar besar di kawasan kampungnya, dia  tidak akan biarkan lelaki itu merosakkan penduduk kampungnya lagi.  Lelaki itu harus disumbatkan ke dalam penjara atau dihapuskan terus dari muka bumi ini.  Kalau hidup hanya tahu menyusahkan orang lain, baik mati sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan