Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 29 Oktober 2017

JALAN PULANG - BAB 29



Maheran, itulah nama wanita  itu.  Anak arwah Tuan Harun yang telah dirosakkan.  Kekesalan tidak akan pernah padam selagi dia tidak meminta maaf kepada wanita itu.  Mahukah wanita itu memaafkannya?  Itulah persoalan yang sedang bermain difikirannya. Hatinya bertambah terluka apabila diberitahu Maheran telah mengalami tekanan jiwa sejak dia dirogol oleh Malek.  Berderai air mata Malek sewaktu sujud kepada Yang Esa.  Terlalu banyak dosanya kepada manusia lain.  Dosanya kepada Allah, mungkin akan terampun selagi dia tidak menyekutukan Allah swt.  Tetapi, bagaimana dosanya dengan Maheran serta anak yang terlahir atas perbuatan jijiknya itu?  Mahukah mereka memaafkannya? Mengampunkan segala dosanya?
            Malek juga telah mendapatkan alamat tempat tinggal keluarga Maheran di Kuala Lumpur.  Dia sudah bersedia untuk dihukum kerana perbuatannya yang lalu.   Semoga Allah mempermudahkan urusannya.  Biarpun hatinya takut untuk berhadapan dengan masalah yang baharu itu, tapi dia terpaksa demi ketenangan dirinya.  Dia tidak mahu mati dalam keadaan menanggung dosa yang tidak terampun oleh Allah swt kecuali dimaafkan oleh Maheran dan keluarganya.         
            “Wan temankan ayah!” pelawa Zakuan.
            Malek menoleh.  Dia mengeluh. Kalau boleh dia tidak mahu melibatkan ahli keluarganya.  Biarlah dia sahaja yang berhadapan dengan dosanya yang lalu.  Biarpun pada mulanya Zakuan berkeras membantah rancangannya untuk berjumpa keluarga arwah Tuan Harun, setelah diterangkan sebabnya, akhirnya Zakuan redha dan tidak membantah lagi.
            “Tak apalah Wan, pergilah balik, biar ayah selesaikan masalah ayah ini,”  ucap Malek.  Bekas makanan tengahari yang dibawa oleh Zakuan sudah dibasuh bersih. Hampir setiap hari Zakuan datang singgap di rumahnya.  Biarpun berasa serba salah, bukan dia tidak suka?  Tetapi rasa malu yang menebal di hati melihat layanan yang diberi Zakuan kepadanya.  Ringan sahaja mulutnya ingin melarang Zakuan datang mengunjungi dan membawa makanan untuknya.
            “Ayah nak pergi dengan apa?  Teksi?  Motor buruk ayah tu?”  Zakuan memandang wajah Malek tidak berkedip.
            “Tak kisahlah dengan apa, asalkan sampai,”  ujar Malek.  Dia berlalu ke ruang tamu dan duduk di sofa.
            “Kenapa ayah selalu menolak pertolongan Wan?  Ayah tak suka dengan Wan ya?  Wan tahu, ayah tak senang Wan datang sini, kan?  Benci sangat ke ayah pada Wan?  Jahat sangat ke Wan ni, ayah?”  luah Zakuan.
            Malek terdiam.    Dia merenung wajah Zakuan yang mula keruh.
            “Wan… ayah tidak pernah bermaksud nak melarang Wan ke mari.  Wan pun tahu bagaimana dengan emakkan?  Emak tak suka Wan selalu jumpa ayah.  Wan tak kasihan ke dengan emak? Hatinya sudah cukup berduka dan terluka Wan, usah ditambah lagi.”
            Zakuan mendekati Malek. Dia duduk di hadapan Malek, dipandang wajah ayahnya lama.
            “Wan tahu, ayah malu dengan Wan.  Wan sudah kehilangan kasih sayang ayah sejak 25 tahun yang lalu.  Cukuplah!  Wan hanya ingin ada ayah seperti orang lain.  Wan hanya ingin menumpang kasih ayah.  Benarkanlah Wan jadi anak ayah sepenuhnya.  Izinkan Wan berbakti kepada ayah selagi ada nyawa ayah dan Wan masih bernafas,”  luah Zakuan.
            Malek terus menekup mukanya.  Kata-kata Zakuan benar-benar menghiris halus hatinya. Menuang garam ke atas luka yang masih berdarah.  Kenapalah anak itu terlalu baik?   Terhenjut-henjut bahunya menahan tangis. 
            “Maafkan ayah, Wan!” ucap Malek dalam tangisannya.
            “Wan dah lama maafkan ayah,” ujar Zakuan, lalu memeluk  erat tubuh tua itu.
            Kedua anak beranak itu saling berpelukan.
            “Wan ikut ayah ya?”  Zakuan tidak mengalah.
            Malek mengesat air mata yang jatuh di pipinya.  Keegoaannya kalah juga dengan sikap baik anak lelakinya itu. 
            “Baiklah Wan, jika Wan dah mendesak.”  Malek mengalah.
            Petang itu Malek dibawa Zakuan menuju ke rumah keluarga Maheran berpandu dengan alamat yang diberi oleh Pak Su Haji Shukri.  Deretan kereta yang bertali arus, jalan yang sentiasa sesak, itulah Kuala Lumpur.  Mereka akan menuju ke Taman Melawati.  Keluarga Maheran telah menetap di situ setelah keluar dari kawasan Kampung Seberang.  Semakin dekat dengan kawasan perumahan itu, semakin berdebar hatinya.  Semakin seram sejuk tubuhnya.  Masuk penjara pun tidak setakut ini.
            Mereka berhenti di sebuah rumah banglo setingkat yang berbentuk lama.  Kawasannya berpagar sepenuhnya, keadaan biasa di kawasan perumahan di Kuala Lumpur.  Di sekeliling rumah kelihatan pokok-pokok kecil dan rendang ditanam untuk mencantikkan lagi kawasan yang sebesar setengah ekar itu. Ada beberapa buah kereta di halaman rumah. 
            Zakuan meletak kenderaannya di tepi kawasan rumah tersebut.  Mereka menunggu seketika.  Zakuan menoleh memandang wajah ayahnya yang kelihatan gugup.
            “Ayah, kalau tidak bersedia lagi, baik tak payah berjumpa mereka dulu,” kata Zakuan.
            “Tidak Wan, ayah mesti bertemu mereka.  Ayah perlu hadapi perkara ini.  Ayah tidak mahu mati dalam keadaan membawa dosa-dosa ayah yang banyak, cukuplah dosa ayah dengan emak Wan.  Ayah tidak mahu menambah lagi,”  terang Malek.
            Zakuan mengangguk tanda faham.  Dosa dengan Allah akan mudah diampunkan jika hambanya meminta ampun, tetapi dosa dengan manusia tidak akan terampun selagi tidak dimaafkan oleh orang yang telah dianiaya.
            Degupan jantungnya semakin berdegup kencang.  Hembusan nafasnya  berasa sesak.  Malek cepat-cepat menarik nafas perlahan-lahan.  Dia segera beristighfar dan berdoa, semoga langkah yang diambil ini adalah yang terbaik dalam hidupnya.
            Zakuan sudah pun mematikan enjin kereta.  Dia melangkah keluar.  Berdiri  tegap, sebenarnya hati dia juga berdebar-debar. Entah bagaimana penerimaan keluarga wanita itu nanti apabila terlihat kelibat ayahnya.  Biarpun mereka kemungkinan tidak mengenali atau mengecam wajah ayah, tetapi jika sudah diberitahu akan tujuan, tentulah keadaan pasti akan jadi kecoh nanti.  Semoga Allah permudahkan urusan ayahnya yang telah berusaha mengubah kehidupannya ke jalan yang lebih baik. 
            “Ayah!” panggil Zakuan.
            Malek menoleh.  Dia melakarkan senyuman. 
            “Mari kita keluar,” ajak Zakuan.
            Malek mengangguk perlahan.  Dia membuka pintu kereta dan berdiri tegap. Terasa lembut lututnya.  Biarpun berpakaian kemas, berbaju kemeja, dan berseluar slack, tidak mampu menenangkan hatinya.  Orang bersalah, inilah keadaannya.  Berasa takut dengan bayang-bayang sendiri.   Dengan lafaz Bismillah  Malek terus melangkah mendekati pintu pagar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan