Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 18 Oktober 2017

JALAN PULANG - BAB 25



Alhamdulillah, akhirnya dapat juga dia menyewa sebuah rumah dengan harga yang berpatutan.  Rumah kampung, satu bilik.  Cukuplah untuk dirinya yang memang tinggal bersendirian.  Gajinya sebagai seorang pengawal keselataman cukup untuk melunaskan sewa rumah, bayar bil dan duit makan.  Dia boleh masak sendirian, kalau beli makanan di luar, tentulah mahal.  Hidup seorang duda, beginilah.
            Rumah papan yang kecil itu terletak tidak jauh dari kawasan Masjid Kampung Seberang, mudahlah dia berjemaah di masjid nanti.  Pak Su Shukri yang tolong carikan rumah sewa itu untuknya.   Dia tidak menolak, asalkan bukan pak sunya yang membayar sewa rumah itu.  Biarpun penduduk kampung sudah mula boleh menerima kehadirannya, namun tetap tidak sama penerimaan ahli keluarga sendiri.  Dia akan berasa gembira, jika bekas isteri dan anaknya Zara dapat menerima kehadirannya. Entah bila keadaan itu akan hadir dalam hidupnya.
            Urusan pembersihan tanah yang pernah menjadi tempat penagihan dadah di kampung itu pun sudah berjalan lancar.  Sebuah padang bola sepak akan dibina di kawasan tersebut.  Pihak Majlis Bandaran akan ambil alih tempat itu untuk dibangunkan.   Orang kampung ramai yang berasa lega.  Mereka yang terlibat dengan penagihan dadah sudah pun diserahkan kepada pihak polis oleh ahli keluarga masing-masing, hanya menunggu hari perbicaraan. 
            Bukan mudah menjaga sebuah kampung dengan barisan manusia yang pelbagai perangai dan gelagat.  Tidak semua yang mahu beri kerjasama.  Namun, Pak Su Shukri yang bertindak sebagai ketua kampung, bertegas untuk menghantar para penagih dadah ke pusar serenti.  Anak-anak kampung yang ‘kaki ponteng’ sekolah, sudah diberi nasihat dan hukuman yang setimpal.  Mereka disuruh membersihkan Masjid Kampung Seberang selama sebulan, setiap hari selepas waktu sekolah.  Ibu dan ayah mereka tidak berani membantah, takut benar mereka dengan Malek. Dia tidak berniat untuk menakut-nakutkan mereka.  Tetapi tugas yang disandangnya seperti satu amanah yang mesti ditunaikan, apatah lagi itulah permintaan Pak Su Shukri, bapa saudaranya sendiri. 
            Cukuplah dia berbuat jahat sebelum ini.  Sudah tiba masanya dia belajar berbakti kepada masyarakat pula.  Sejarah hitam yang terpalit, tidak mungkin akan terpadam dengan mudah.  Tidak ada siapa yang akan melupakannya dengan begitu mudah segala kejahatannya dahulu.   Penjara banyak mengajarnya menjadi manusia.   Berada di dalamnya, terkurung, memang satu hukuman.  Dalam hukuman itu ada sesuatu yang disediakan Allah swt untuk orang-orang sepertinya.  Ilmu agama yang tidak pernah putus diberi kepada para banduan.  Pengajian yang tidak berhenti.  Pelbagai ilmu dibentangkan kepada mereka.  Ilmu yang diperolehi banyak memberi ruangnya untuk muhasabah diri dan mencari jalan pulang yang terbaik buatnya.  Untung, nyawanya masih panjang lagi, sempat bertaubat. 
            Itu hanya dosanya kepada Allah dan keluarganya, tetapi mampukah dosanya diampunkan oleh keluarga arwah Tuan Harun?  Gadis yang dirosakkan itu sedang merana di hospital sakit jiwa dan seorang anak yang dilahirkan  atas perbuatan terkutuknya.  Mampukan dia mengaku kepada anak gadis itu, bahawasanya, dialah yang telah menyebabkan seluruh keluarga anak gadis itu merana.  Allah!  Orang jahil agama akan berbuat apa sahaja jika bertuhankan nafsu.
            Suara azan maghrib memecah lamunannya.  Malek bingkas bangun menuju ke bilik air.  Ambil wuduk dan bersiap ke masjid untuk solat berjemaah.    Beberapa orang kampung menegurnya.
            “Ayah!”
            “Zakuan?”  Malek melakarkan senyuman.
            Zakuan terus memeluk Malek erat.
            “Berhari-hari Wan cari ayah.  Ayah tinggal di mana?” tanya Zakuan.
            “Tu…”  Malek menunjukkan ke arah sebuah rumah papan kecil di hadapan jalan utama.  Rumah kosong milik seorang penduduk kampung yang sudah pun berhijrah ke Kuala Lumpur.
            “Alhamdulillah, tinggal di kampung  ini juga.  Wan ingat ayah dah pergi jauh dari sini,” luah Zakuan.
            “Ayah takkan ke mana-mana Wan, usah risau ya,”  jawab Malek, sambil menepuk bahu anak sulongnya itu. Mereka beriringan menuju ke Masjid.  Malek hanya mampu menangis dalam hati, melihat wajah anak sulongnya, perasaan bersalah bertubi-tubi menumbuk hati. Kalaulah masa boleh diputar kembali kebelakang. Pasti dia tidak akan memilih jalan hidup yang membunuh seluruh kehidupannya. Dia tidak akan tergila-gila mencari kekayaan yang mudah.  Bagaimana dia hendak meminta ampun kepada anak arwah Tuan Harun serta anak yang lahir atas perbuatan terkutuknya itu.  Pelbagai perkara menempek di kepalanya.  Malek mengeluh kesal. 
            Matahari pagi bersinar cerah, warna keemasan mentari itu memancar terang di seluruh kawasan Kampung Seberang. Tiupan angin pagi terasa mendamaikan.  Ketenangan desa begitu terasa di hati.  Liuk lentuk pokok kelapa melambai-lambai mesra, seperti mengucapkan salam pada alam. Malek menyapu daun-daun kering yang bertaburan di laman rumah sewanya.   Pagar yang rosak akan diperbaiki perlahan-lahan. 
            “Ayah!” sapa Zakuan, di tangannya ada plastik berwarna merah.
            “Wan?”  Malek mengeluh.  Bukan dia tidak suka anak sulongnya itu datang menziarahinya.  Dia risau bekas isterinya akan marah Zakuan.  Dia tidak mahu hubungan anak ibu itu tegang kerananya.
            “Ayah seperti tidak suka Wan datang?”  Zakuan mendekati Malek dan bersalaman dengan lelaki itu. 
            “Wan tak kerja ke?” tanya Malek, dia berhenti menyapu dan duduk di kerusi yang ada di tepi pintu rumah. 
            Zakuan turut melabuhkan punggung di sebelah Malek.
            “Ayah dah sarapan? Wan ada beli kuih dan nasi lemak, kita sarapan sama-sama,”  ajak Zakuan.
            Malek tersenyum.  Siapa dia hendak melarang Zakuan hadir di rumahnya. 
            “Mari masuk, ayah buat air.” Malek bingkas bangun dan melangkah masuk ke dalam rumah.  Tiada perabut mewah, hanya ada kusyen kayu yang masih elok, meja makan empat segi dan ada dua buah kerusi. Semua perabut yang ada adalah milik tuan rumah, sengaja ditinggalkan.  Malek berasa lega, tidaklah perlu dia membeli perabut.  Dapur pun ada.  Bolehlah dia gunakan untuk memasak buat diri sendiri.
            “Selesa juga rumah ayah ni, bersih.  Ayah kemas ya?”  Zakuan meletak makanan yang dibeli di atas meja makan.  Dia duduk sambil memerhati sekeliling rumah itu. 
            “Bolehlah Wan, asalkan ada tempat tinggal,”  jawab Malek.  Dua mug berisi air nescafe o diletakkan di atas meja.  Pinggan dan sudu diserahkan kepada Zakuan untuk diisi kuih muih yang ada. 
            “Mak Wan apa khabar?  Zara macam mana?”  Malek membuka bungkusan nasi lemak yang dibeli Zakuan, bau haruman daun pisang mengusik hidungnya.  Lauk ayam rendang, lauk kegemarannya.  Malek tersenyum puas.
            “Mak, Alhamdulillah.  Zara sibuk dengan kerjanya,”  jawab Zakuan sambil menyuap nasi lemak ke dalam mulutnya.
            “Sesekali bolehlah Wan tidur sini, ya ayah?”   pinta Zakuan.
            Malek memandang wajah Zakuan.  Dia tersenyum dan mengangguk perlahan.  Dia tidak akan mengajak, juga tidak akan menghalang.  Bertuah dirinya mendapat anak sebaik Zakuan.  Apa yang dia pernah berikan kepada anak itu?  Hanya benih yang menyebabkan Zakuan lahir ke dunia.  Sebak dada mencengkam jiwa. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan