AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 8 November 2014

REZEKI YANG BERKAT



Sering kita dengar istilah rezeki yang berkat.  Kadang-kadang terfikir apa itu berkat?  Dan bagaimana dikatakan berkat itu.   Dahulu saya sendiri tertanya-tanya, bagaimanakah dikatakan berkat itu?  Biar saya kongsikan di sini.  Bukan berniat membangga diri atau hendak menunjuk-nunjuk.  Saya pernah bekerja, pernah ada restoran sendiri.  Waktu saya bekerja dahulu, gaji saya bukanlah besar sangat.  Saya bekerja di sebuah  badan NGO, gaji yang diterima kalau saya cerita tentu orang takkan percaya.  Tapi itulah pendapatan bulanan saya.    Jika kita menjalankan tanggungjawab kita dengan jujur, bertanggungjawab dan ikhlas, gaji yang kecil terasa besar nilainya.  Malah cukup sehingga cukup bulan.  Mungkinlah saya hanya menampung  keperluan saya sendiri. Apa yang boleh kita buat dengan gaji hanya RM390 sebulan? 

Sikitkan?  Tapi cukup untuk saya  sendiri.  Saya bukan seorang yang boros dan  suka membeli.  Amat berhati-hati.  Maklumlah kita tahu setakat mana pendapatan kita.  Jangan belanja lebih dari pendapatanlah.  Barulah cukup.  Bukan tiada keinginan seperti wanita-wanita lain tetapi itulah saya, sederhana orangnya.    Dengan gaji sebanyak itulah saya membayar duit pengasuh anak, belanja kawan yang mengasuh dan buat belanja ketika di tempat kerja.   Untung saya bekerja dengan badan NGO, sarapan pagi dan makan tengahari disediakan.  Malah kadangkala boleh bawa balik rumah.  Itu kira rezeki jugalah, kan.
Tahun 2009 saya bekerja di sebuah rumah anak yatim di Sg. Merab.  Gaji yang saya terima  juga tidaklah besar mana.  Namun berbaloi.  Malah cukup untuk saya dan bayar yuran sekolah tadika anak bongsu.  Di situlah jelas kelihatan keberkatan rezeki yang ALLAH kurniakan kepada saya.  Cukup segalanya.   Ukur baju dibadan sendiri.  Pasti cukupkan?  Berbelanjalah  secara berhemah.  Kalau kita amalkan sikap bersederhana pasti tiada masalah kewangan.  Lain orang lain caranya, kan?

Apa yang ingin saya kongsikan adalah bagaimana kita hendak pastikan rezeki kita itu berkat.  Saya mula menulis sejak tahun 1999, tapi hanya cerpen sahaja yang menjadi nukilan saya.  Tahun 2012 barulah saya berani menulis novel.  Langkah entah berapa kali baru membuahkan hasil.  Karya pertama saya dalam bentuk novel berjaya diterbitkan di bawah label Alaf 21.  Syukur Alhamdulillah.  Tahun 2012 itu saya dah suami telah pun membuka sebuah rumah anak yatim sendiri.  Rumah anak yatim Tahfiz.  Alhamdulillah sudah 3 tahun kami beroperasi.  Berbalik kepada  bidang penulisan.  Karya pertama tidaklah dikatakan mendapat sambutan sangat.  Biasa-biasa sahaja.     Tidak juga diulang cetak, namun setiap hasil usaha saya itu berbalas dengan jumlah royalti yang dibayar oleh syarikat.  Biar tidak banyak jumlahnya, namun saya amat berbesar hati dan ternampak jelas keberkatan rezeki yang saya terima.  Mungkin salah satunya sebab saya menjaga, memasak dan memberi makan anak-anak yatim tahfiz yang dibawah jagaan saya dan suami.  Jumlah yang kecil itu saya mampu membeli laptop baru, laptop lama sudah nazak.  Dengan duit royalti jugalah saya mampu membeli dua utas rantai tangan untuk kedua cucu saya.  Duit itu jugalah saya beri kepada emak dan emak mertua.  Duit itu jugalah saya membeli hadiah untuk sahabat saya.  Duit itu jugalah saya belanja anak-anak yatim jagaan saya dan suami.  Duit royalti itu jugalah saya boleh buat facial di New York Solution di CURVE , sudah bayar tetapi jarang pergi.   Kekangan waktu dan masa membuatkan saya  jarang berkesempatan untuk ke sana.

Dahulu saya selalu masuk pertandingan atau sayembara penulisan skrip dan novel, tetapi tidak pernah menang.  Tidak pula saya putus asa.  Masih tetap masuk jika berkesempatan.  Alhamdulillah mungkin atas keberkatan saya menjaga anak-anak yatim ini, akhirnya saya menang juga, malah mendapat tempat kedua.  Jumlah hadiah yang diterima pun berpatutan.  Alhamdulillah.  Benarlah jika kita  bersyukur dengan kurniaan ILAHI, maka rezeki yang ada pasti digandakan.  Itulah yang saya rasa.  Hari ini sekali lagi duit royalti itu saya gunakan untuk menjadi Ahli Kelab Golden Horse, kerana dibayar secara bulanan, suami menyuruh saya ambil, siapa yang percaya, duit royalti yang tidak seberapa itu mampu memberi keselesaan kepada kami seisi keluarga.  Dengan menjadi ahli kelab pelbagai kemudahan saya perolehi malah saya boleh bawa anak-anak angkat saya itu ke sana, mandi dan bermain.   Tidakkah  itu ertinya rezeki yang sama terima diberkati ALLAH swt.  Saya seorang yang kedekut dengan diri sendiri, tetapi saya tidak kedekut mengeluarkan duit untuk membeli buku dan berbelanja sedikit untuk keluarga. 

Besar ertinya royalti yang saya terima untuk seisi keluarga saya dan anak-anak angkat  yang kami sekeluarga jaga.  Jumlah sikit tetapi semua dapat rasa.  Berbanding jumlah besar tetapi tidak juga cukup dan tidak ada apa-apa.  Selagi apa yang kita buat ini ikhlas, bertanggungjawab, jujur dan semuanya kerana ALLAH SWT, pasti ada ganjaran daripada-NYA.   Inilah erti keberkatan bagi saya.  Saya dapat berkongsi dengan  orang yang saya sayang.  Malah masih berbaki lagi. Berapa sebenarnya jumlah royalti yang saya terima?  Hanya orang yang buat akaun   royalti  di Karangkraf sahaja yang tahu.  Tentu ada yang tidak percaya, tak mengapa.  Tetapi itulah hakikatnya.    Ada sahaja rezeki untuk saya.  Berbuat baik dan memberi makan  dan berbakti dengan anak-anak yatim juga adalah sebab dan punca rezeki saya diberkati.  Rezeki yang diperolehi janganlah kedekut untuk kita sedekahkan sedikit daripadanya kepada mereka yang memerlukan.

 Jadi apa sahaja yang kita lakukan, tanamlah dalam diri untuk berlaku jujur, ikhlas dan bertanggungjawab kerana di situ ada keberkatan rezeki untuk kita.  ALLAH itu Maha Pengasih dan Penyayang serta Maha Pemberi.  Menjadi manusia yang baik, jujur dan ikhlas adalah tuntutan agama kita.  Maka jadilah kita seperti yang dikehendaki, untuk mengejar kehidupan yang  hakiki.

No comments:

Post a Comment