Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 2 November 2014

ARTIS PENJURU ALAM ( APA )

ARTIS PENJURU ALAM (APA)
Sebuah grup teater yang amat aktif di tahun 1982.  Kini sudah 30 tahun kumpulan ini berada di dalam dunia seni teater tanah air.  Ditubuhkan oleh insan-insan seni yang amat meminati dunia teater, puisi, lagu-lagu puisi dan taridrama.  Inilah  kumpulan yang semua ahlinya mampu menari, berlakon dan membaca puisi.  Bagaimana saya terlibat dengan grup ini saya sendiri sudah terlupa.  Apa yang pasti, ketika itu saya minat sangat dengan dunia tarian.  Dengar orang kata, kalau hendak masuk grup tarian, pergilah ke Panggung Drama di Jalan Bandar.  Ketika itu banyak grup teater  membuat latihan di tempat tersebut.    Antaranya Kumpulan Kopratasa antara ahlinya Sani Sudin dan Siso.  Kumpulah Hidayah, ketuanya Kamarul AR, antara ahlinya Jalaludin Hassan dan Azman Jantan.  Tidak dilupakan grup teater yang diterajui oleh arwah Mustafa Noor. 

Pada mulanya saya masuk grup  Artis Penjuru Alam bersama arwah Fatimah Aman yang ketika itu kami dalam tingkatan 4 dan minat dengan tarian.  Beberapa bulan menjalani latihan, akhirnya saya terpaksa berhenti kerana tidak dibenarkan oleh arwah abah.  Ketika itu masih belajar.  Maklumlah orang tua, jika sudah anak daranya balik ke rumah di waktu malam tentulah dia tidak berkenan.  Saya berhenti.  Lupakan niat dan keinginan saya untuk menjadi seorang penari.

Ketika waktu tingkatan 5, saya lagi sekali beranikan diri pergi ke Panggung Drama, dalam hati ini lagi masuk kumpulan yang pernah saya masuk dahulu.  Rupanya APA masih ada, tetapi bahagian tarian sudah tiada, sebab tenaga pengajarnya sudah berhenti.  Walaupun hati kecewa, namun saya terus bertahan di grup tersebut.  Di situlah saya mengenali ramai orang seni yang berkarya tanpa mengharapkan bayaran.  Hanya duit tambang bas, makan sekeping roti canai dan segelas teh tarik. 
Dalam tempoh 2 tahun saya bersama grup tersebut, pelbagai pengalaman saya perolehi.  Suka, duka dilalui oleh kami bersama.  1986-1988 Central Market bagaikan milik kami.  Setiap bulan pasti ada slot persembahan untuk kami.  Antara kumpulan teater yang paling aktif di Kuala Lumpur satu ketika dahulu.  Sehingga Kementerian Kebudayaan sendiri mengiktiraf keujudan grup APA. 

Persembahan pertama yang saya ikut serta adalah DAUN-DAUN BERGUGURAN yang diadakan di Dewan  DBKL Kuala Lumpur sempena Hari Wilayah.  3 hari berturut-turut.  Persembahan yang berjaya.  Selepas itu grup Artis Penjuru Alam terus bergerak laju.  Persembahan, teater, taridra, lagu-lagu puisi, pentomen, semua diadakan demi cinta kami terhadap dunia seni teater dan persembahan.

 Grup Artis Penjuru Alam ditubuhkan oleh En. Latif Arif bersama Amran Nasaruddin, Mohsin dan beberapa orang lagi 30 tahun dahulu.
Kami bagaikan sebuah keluarga.  Saling bantu membantu.  Saling menyokong antara kami.  Saya rapat dengan Siti Rafeah yang kami gelarkan  Angah, Rosnani kami gelarkan Along dan Ani  dipanggil Busu dan ketika itu saya yang paling muda, adik panggilan manja untuk saya.  Terasa diri disayangi. 

Selepas  Panggung Drama ditutup dan hanya dikhaskan untuk  DBKL, maka semua  kumpulan teater dipindahkan oleh  pihak Kementerian ke  sebuah tempat latihan di Jalan Merbuk yang sekarang ini ASWARA berdiri teguh di situ.    Setiap hari saya akan berjalan kaki dari Bus Stand Klang ke Jalan Merbuk, masih muda langkah pun laju.  Saya hanya bertrack-suit dan berbaju kemeja, rambut panjang ditocang dua.  Seminggu 3 kali, APA mengadakan latihan bermula jam 5.30 petang sehingga 8.30 malam.  Melainkan ada persembahan pentas di mana-mana, latihan akan dilipat gandakan.

Kami juga mempunyai emak angkat yang juga jururawat di HKL.  Mak Salmah tinggal di Cheras.  Beliaulah yang menjadi ibu penasihat kepada kami semua.  Jika ada masalah, maka emaklah yang dicari oleh sesetengah ahli APA dan kekal sehingga kini, beliau tetap di hati kami.

APA telah melahirkan beberapa orang artis yang berbakat antaranya Lizawati Hamdan, Shahriza Mahmod  dan Zila Bakarin.  Zila berlakon dengan kami sejak dia dibangku sekolah rendah lagi.  Memang cita-citanya hendak jadi insan POPULAR.  Maka sudah berhasil.

Kumpulan Artis Penjuru Alam sering mendapat liputan akhbar di waktu itu, terutama akhbar Utusan dan majalah-majalah keluaran syarikat tersebut.  Terima kasih kepada  Ku Seman Ku Hussin yang telah memberi ruang tersebut kepada Kumpulan Artis Penjuru Alam.  Saya tumpang glamorlah. 

Di dalam grup ini jugalah saya bertemu dengan suami.  Kami dalam kumpulan yang sama, kami pasangan kedua yang berjodoh di dalam grup ini.  Ahli kumpulan ini jugalah yang hadir waktu pertunangan dan perkahwinan saya.  Emak Cheraslah yang menjadi orang tua kepada suami saya sewaktu peminangan.  Keluarga suami jauh di Perlis. 

Terus terang, saya tidak minat berlakon, sering menolak jika di suruh berlakon.  Lebih menumpukan perhatian kepada tarian.  Jika ada persembahan melibatkan tarian, sayalah orangnya dan bersama dua orang lagi kawan, Shimah Saad dan Siti Rafeah Baharom. 

Selepas bertunang, saya dah suami mula mengurangkan aktiviti bersama grup Artis Penjuru Alam.  1988 kami tidak lagi aktif.  Namun grup ini tetap di hati.  Kerana terlalu banyak perkara yang saya belajar ketika bersama mereka.  Erti kasih sayang seorang abang, kakak dan adik.  Di sini saya mengenali hati budi manusia.  Kami belajar erti tolak ansur serta kreativiti ketika berada di pentas.  Bukan mudah berlakon pentas.  Jika pelakon lain terlupa dialog kita kenalah pandai menutup kelemahan tersebut.  Kerjasama itu penting.   Dalam teater tiada  DIVA.  Kami saling memerlukan antara satu sama lain. 

Hari ini 2hb November setelah berpuluh tahun tidak bertemu, kami berkumpul semula.  Terharu, teruja dan tidak sabar untuk bertemu semuanya berbau rasa.  Semuanya sudah berubah, bukan sikap atau perangai tetapi wajah yang semakin dimamah usia, namun tetap ceria.  Apa yang penting, 8 buah novel yang dibawa, habis terjual.

Semoga ukhwah kami berpanjangan.  Bila sudah berjumpa, perut yang lapar terasa kenyangnya.  Bercerita dan bertanya khabar tanpa henti.  Saling bertanya dan bertukar maklumat.  Kegembiraan terpancar di wajah masing-masing.  Maklumlah sudah berpuluh tahun tidak bertemu dan bersua muka.  Terima kasih kepada AJK yang terlibat sehingga mampu menemukan kami semua.   Semoga ada pertemuan di masa hadapan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan