Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 15 November 2014

AKU TURUT BAHAGIA - BAB 3

BAB 3
            Syifa’ Umaira   tidak sabar-sabar lagi  hendak ke kelas Ustaz Amir Hudzaifa.  Sudah acap kali dia mengikuti kelas  tersebut.   Maklumlah kelas diadakan enam bulan sekali.  Itu pun hanya dua minggu sahaja.  Selalunya kuliah diadakan di luar dewan atau di kawasan lapang berhampiran dengan asrama  kolejnya.  Ramai pelajar dari Malaysia dan Indonesia akan mengikut kuliah yang diadakan.   Syifa' Umaira duduk di bahagian paling hadapan.   Dua ruang disediakan, satu untuk pelajar lelaki dan satu ruang lagi untuk  perempuan.  Kalau boleh dia mahu  menatap wajah  lelaki yang sudah mula bermain di minda dan fikirannya.   Ketampanan wajah Ustaz Amir Hudzaifa membuatkan hatinya terpaut.  Kacak orangnya.  Cantik namanya.  Keilmuan yang tinggi.  Begitu juga keimanannya.  Ciri-ciri lelaki idamannya ada pada Ustaz Amir Hudzaifa  membuatkan dia jatuh cinta pandang pertama.   Bertuah sungguh orang yang menjadi isteri Ustaz Amir Hudzaifa.  Dunia dan akhirat di tangannya.  Syifa' Umairah mengeluh.  Setahu dia, Ustaz Amir Hudzaifa sudah beristeri.  Kalaulah ustaz kacak itu duda sudah tentu dia akan berusaha mendekati dan cuba memilikinya
           Syifa' Umaira tersenyum sendiri,  aku ini  mahu menuntut ilmu atau nak tengok wajah kacak ustaz itu, katanya dalam hati.  Ah! Pedulilah, yang penting perasannya ketika ini.  Siang dan malam hanya wajah Ustaz Amir Hudzaifa yang kacak itu sahaja yang terbayang di mata.  Senyumannya.  Tutur katanya.  Nada dan tonansi suara Ustaz Amir Hudzaifa bagaikan boleh dihafal di kepala.  Memang benar dia sedang angau dengan ustaz tersebut.  Angau sendiri.  Dia tahu, dia hanya bertepuk sebelah tangan.  Biarlah, asalkan hatinya puas.  Setiap kali sesi soal jawab diadakan dia pasti akan mengambil bahagian.  Dia ingin Ustaz Amir Hudzaifa melihat dirinya.  Berinteraksi dengannya walaupun hanya sekadar menjawab soalan.
           Syifa' Umaira menyimpan sendiri perasannya itu.  Bercerita dengan kawan-kawannya, tidak sama sekali.  Biarlah tersimpan kemas di sanubari.  Apa yang tersimpan di hati biarlah rahsia, macam tajuk lagu Siti Nurhaliza pula.  Syifa' Umaira tersenyum sendiri.  Biar semua orang tidak tahu.  Dia tidak mahu menjadi bahan ejekan.  Dia tidak mahu menjadi bahan sindiran rakan-rakannya apabila mereka tahu dia jatuh hati pada Ustaz Amir Hudzaifa.  Dari mata jatuh ke hati.  Hendak  buat macam mana.  Bukan dia memaksa hatinya menyukai ustaz tersebut.  Cinta tiada paksaan.   Cinta akan  lahir sendiri.
            Wajah yang jelita kacukan  melayu-arab.   Hidung mancung bak seludang.   Bibir mekar bak delima.  Pipi pauh dilayang.  Siapa sahaja akan mudah jatuh cinta padanya.  Namun hatinya telah diberikan kepada Ustaz Amir Hudzaifa.  Dia teruja memandang wajah Ustaz Amir Hudzaifa.  Hatinya akan berdegup kencang apabila cerita tentang Ustaz  Amir Hudzaifa menjadi perbualan mereka.  Wajahnya akan berseri-seri.  Hatinya akan bernyanyi riang apabila mendengar nama Ustaz Amir Hudzaifa disebut-sebut.  Umur bukan penghalang untuk dia menyintai ustaz tersebut.
             Dia belum pernah jatuh cinta.  Hatinya tidak pernah dimiliki oleh mana-mana lelaki.  Dia tidak pernah berani bermain mata dengan mana-mana lelaki sejak di zaman sekolah lagi.  Entah kenapa sejak pertama kali terpandangkan Ustaz  Amir Hudzaifa  hatinya terus jatuh cinta.  Syifa’ Umaira tersenyum sendiri.  Memang sejak akhir ini dia mudah tersenyum sendiri.   Kadang-kala  ketawa sendiri.   Sudah macam orang gilalah pula.   Nasib baik kawan-kawannya tidak perasan akan  perubahan dirinya.  Pandai makan kenalah pandai simpan, detik hati kecilnya.
            “Pengumuman! Pengumuman! Kepada sesiapa yang ingin menjadi isteri Ustaz Amir Hudzaifa sila hantar permohonan!” kata Jama'yah rakan sebiliknya.  Dia yang sedang menyiapkan tesisnya segera meninggalkan kerjanya dan mendekati Jama'yah.  Riuh rendah bilik yang dihuni empat orang siswazah itu.  Wajah Syifa' Umaira berkerut.  Dia tidak faham maksud Jama'yah .
            “Ustaz Amir Hudzaifa sedang mencari calon isteri!  Sesiapa yang berminat dipersilakan!”  sambung Jama’yah lagi.
             “Calon isteri?  Jadi Isteri? Isteri Ustaz Amir Hudzaifa dah  meninggal ke?” tanya Syifa' Umairah meminta kepastian.   Dahinya berkerut. Kepalanya ligat berfikir. Jama'yah menepuk dahi Syifa' Umaira.
            “Kalau bercakap tu hati-hatilah sikit, Mai. Tak baik mendoakan orang yang masih hidup meninggal dunia, tau,” tegur Jama'Yah.  Mereka berempat duduk mengadap antara satu sama lain.  Azidah  memeluk lengan Jama'yah.
            “Tadi kau yang cakap, Ustaz Amir Hudzaifa mencari calon isteri, tentulah isterinya dah tak ada lagikan? Itu sebab dia cari isteri baru.” Azidah mengangkat kening ke arah Syifa' Umaira meminta persetujuan akan kata-katanya tadi.  Syifa' Umaira mengangguk dan memandang Jama'yah semula.  Jama'yah mencebik dan tersenyum semula
            “Orang lelaki cari isteri lagi takkan kerana sebab isterinya dah meninggal.  Tentulah sebab nak kahwin lagi.  Tadi  saya ke rumah Ustaz Baharom.   Isterinya, Ustazah Bariah yang bercerita tentang keinginan Ustaz Amir Hudzaifa mencari calon isteri di kalangan pelajar di sini.  Nak cari yang kuat pegangan agamanya dan berpendidikan  tinggi untuk dijadikan isteri kedua,” cerita Jama'yah.  Masing-masing mengangguk tanda faham atas maklumat yang disampaikan oleh Jama'yah.
   “Ooo…  jadi isteri kedua,”  Rahimah mengangguk tanda  faham.  Syifa' Umaira mendengar  penuh minat.  Terlintas difikiran dia ingin menguji kawan-kawannya manalah tahu ada di antara mereka turut menyimpan perasaan yang sama terhadap Ustaz Amir Hudzaifa.  Pujaan hatinya itu.
     “Jadi, awak dah setujulah?”  tanya Syifa' Umaira.  Jama'yah memandang wajah Syifa' Umaira begitu juga kawan-kawan yang lain.  Jama’yah menggoyang-goyangkan tangan.
      “Nau’zubillah!  Minta dijauhkan ALLAH SWT,” jawab Jama'yah.  Dia tidak percaya akan keharmonian dalam rumah tangga yang berpoligami.  Bukan menentang.  Kalau sudah jodohnya suatu hari nanti dengan lelaki yang sudah beristeri dan dia tidak  dapat menolaknya akan diterima dengan redha.  Tetapi seboleh-bolehnya dia akan menolak jika ada jalan keluar yang lain.  Biarlah jodohnya dengan lelaki bujang yang tidak langsung ada cita-cita untuk menambah isteri. Seronok sangat ke mempunyai ramai isteri?  Detik hati kecilnya.  Ja’mayah mengeluh.
            “Awak Rahimah?  Takkan tak nak?”  Syifa' Umaira terus bertanya.  Rahimah mengangkat bahu dan menggelengkan kepala.  Tidak mungkin dia akan bersetuju berkongsi suami dengan orang lain.
             “Tidak sama sekali!  Bagi aku dalam poligami selalu berlaku ketidakadilan.  Aku sendiri melihat kesengsaraan kakak aku yang dimadukan oleh suaminya.  Kalau boleh aku tidak mahu menempuhnya,” jawab Rahimah berterus-terang.
            “Azidah?  Awak macam mana pula?”  Syifa’ Umaira terus bertanya.  Azidah menggelengkan kepala.  Tidak sanggup.
            “Kalau Ustaz Amir Hudzaifa duda bagaimana pula?” sambung Syifa' Umaira lagi.  Kawan-kawannya saling berpandangan dan mereka ketawa serentak.
           “Kalau macam tu,  boleh dipertimbangkan,”  jawab Jama'yah sambil ketawa.
            “Yang kau ni asyik bertanya ni kenapa?  Jangan-jangan kau sendiri ada perasaan pada Ustaz Amir Hudzaifa tak?  Kau nak jadi calon ke?  Mana tahu terpilih.”  Jama'yah  memandang wajah Syifa' Umaira yang merah padam  diusik.   Syifa' Umaira serba-salah.  Dia tidak mahu perasaan cintanya pada Ustaz Amir Hudzaifa diketahui oleh kawan-kawan.
             “Eh! Mana ada? Saya saja je bertanya, takkan tak boleh?” Syifa' Umaira tersengih menyembunyikan perasaannya sendiri.  Kalau boleh sekarang juga dia  bertemu dengan Ustazah Bariah untuk menawarkan diri menjadi calon isteri kedua Ustaz Amir Hudzaifa.  Kedua pun
kedualah yang penting berkahwin dengan orang yang dicintainya.  Berkongsi pun berkongsilah asalkan impiannya tercapai untuk hidup bersama orang yang dikagumi dan dimimpikan setiap hari.
“Bertanya atau tak sabar-sabar nak menawarkan diri.” usik Azidah tanpa mengetahui hati dan perasaan sebenar   Syifa’ Umaira.  Mereka ketawa serentak.  Syifa' Umaira mencebik.  Dia kurang selesa diusik oleh kawan-kawannya kerana usikan itu benar belaka.
            “Kau sanggup ke nak menghancurkan perasaan seorang perempuan apatah lagi perasaan isteri Ustaz Amir Hudzaifa?  Kak Ummi Khadeeja baik orangnya.  Kalau aku suka sekali pun dengan Ustaz Amir Hudzaifa, aku takkan sanggup melukakan hati Kak Ummi Khadeeja.  Entah apa yang sedang dia rasakan ketika ini, sudah berbelas-belas tahun hidup bersama alih-alih suami nak cari lain.  Masya-ALLAH semoga Kak Ummi Khadeeja kuat menghadapi ujian ini,”  tiba-tiba hatinya sebak, terasa dirinya pula yang akan dimadukan. Jama'yah menundukkan muka.  Matanya mula berkaca.  Terasa perasaannya dihiris-hiris walaupun bukan terjadi pada dirinya namun dia juga perempuan dan tidak mungkin dia akan sanggup diduakan.
            “Janganlah emosi,  mungkin isteri beliau setuju itu sebab Ustaz Amir Hudzaifa mencari isteri baru,”  Syifa' Umaira memandang wajah Jama'yah   yang muram.  Rahimah yang membisu sejak tadi menggelengkan kepala.  Dia pernah bertemu dengan isteri Ustaz Amir Hudzaifa.  Pernah berbual dan dia dapat meneka sikap Ummi Khaeeja.  Tidak mungkin  dia menjadi orang ketiga dalam hidup  keluarga ustaz itu.
            “Tak sangka ya, Ustaz Amir Hudzaifa tu nak kahwin lagi?  Apa kurangnya  Kak Ummi Khadeeja?   Cantik juga dan lembut orangnya. Baik dan peramah pula tu.  Merendah diri,  tidak kekok bergaul dengan kita.  Bagi aku tiada cacat celanya,” kata Rahimah.  Dia tidak faham kenapa sanggup Ustaz Amir Hudzaifa menduakan  isterinya sedangkan semuanya dimiliki oleh Ummi Khadeeja.  Tiada yang kurang.
             “Diakan ustaz,  tentulah nak ikut sunah Rasulullah s.a.w.” sampuk Syifa' Umaira.
            “Fakta yang tidak pernah dikaji oleh sesiapa atau mungkin tidak perasan. Rasulullah s.a.w. berkahwin, berpoligami setelah kewafatan Syaidatina Khadijah ra.  itu pun setelah tiga tahun, barulah Rasulullah s.a.w. berkahwin lagi.  Dua puluh lima tahun Baginda s.aw.  mempunyai seorang isteri dan hanya sepuluh tahun Baginda s.aw. berpoligami,” kata Jama'yah dengan penuh perasaan.  Dia tidak percaya poligami adalah sunah Rasulullah  s.a.w. sedangkan dia pernah terbaca bahawa masyarakat jahiliyah sebelum kedatangan Islam telah pun mengamalkan berkahwin lebih dari satu malah ada yang mempunyai berbelas-belas isteri sehinggalah kedatangan Islam yang hanya membenarkan seorang lelaki mempunyai empat isteri dalam satu masa.  Kedatangan Islam telah  mengubah segala-galanya.  Provokasi barat sahaja yang mengatakan Islamlah yang mula-mula menghalalkan poligami sedangkan hakikatnya tidak begitu.
            “Terletak pada hati masing-masinglah.  Kalau dah ditakdirkan hidup bermadu, nak buat macam mana kan?  Takkan nak lawan ketentuan ILAHI,”  hujah Syifa' Umaira.  Jama'yah mengerutkan dahi, lain macam sahaja bunyi cakap kawannya yang seorang ini.  Ah! Buat apa fikir perasaan dan pandangan  orang lain.  Dia ada pandangannya sendiri.
Syifa' Umaira bingkas bangun dan mencapai tudungnya.  Hatinya berlagu riang.  Kalau boleh dia mahu menjerit dan melompat kegembiraan.  Pucuk dicita, ulam mendatang.  Mata mengantuk disurungkan bantal,  apa ditunggu lagi.  Ustaz Amir Hudzaifa,  lelaki awal 40-an itu pasti akan menjadi miliknya. Syifa' Umairah bernyanyi riang.
            “Kau bersiap ni, nak ke mana?”  tanya Azidah. Matanya memerhatikan sahaja tingkah laku kawannya itu.   Jama'yah sudah pun merebahkan  dirinya di atas katil.  Dia memandang wajah Syifa’ Umaira yang sedang bersiap.   Rahimah kembali menaip di komputer ribanya.  Tidak berminat hendak ambil tahu.  Keadaan dalam bilik itu sunyi semula.
             “Nak keluar kejap! ada urusan peribadi.”  Syifa' Umaira melangkah keluar.  Dia ingin segera bertemu dengan Ustazah Bariah.  Dia ingin mendapatkan  kepastian tentang cerita yang didengarinya  dari Jama’yah  tadi.  Kalau benar, dia ingin menawarkan dirinya menjadi isteri kedua Ustaz Amir Hudzaifa.  Biarlah dia menjadi perigi mencari timba.  Dia tidak peduli.  Perasaan kasih dan sayangnya pada Ustaz Amir Hudzaifa  tidak mampu ditahan-tahankan lagi.  Siang malam dia berdoa agar suatu hari nanti dia akan menjadi milik Ustaz Amir Hudzaifa.  Terasa bagaikan ALLAH SWT telah memperkenankan doa-doanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan