Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 7 November 2014

SIAPA SALAH 2



Salah siapa?  Mereka?  Guru-guru?  Atau kita sebagai ibu dan ayah?  Kita bagaikan tidak kenal anak-anak kita apabila meningkat dewasa sikap dan cara bertindak terus berubah.  Sebagai seorang ibu tentu kita dapat berasakan perasaan ibu yang anaknya dibuli dan perasaan seorang ibu yang anaknya membuli.  Menghina dan melabelkan anak-anak itu mampu kita lakukan. Namun berapa ramai yang tampil untuk membantu dan bertanya kenapa anak-anak itu membuli?  Dahulu ada satu kes sampai mati pelajar tersebut dibuli, akhirnya yang membuli disabit kesalahan dan dihukum.  Bagaimana dengan masa hadapan mereka?  Apa agaknya perasaan orang tua mereka?  Kecewa? Sedih? Hampa? Malu?  Tentu ada semuanya. 

Dia kita lahirkan, kita besarkan.  Setiap pagi kita mandikan, sarungkan pakaian yang bersih, sentiasa kemas bergaya.  Apa sahaja kehendaknya kita turuti. Apa sahaja kemahuannya kita penuhi.  Seekor nyamuk pun kita tidak benarkan menggigitnya.   Kita tatang bagaikan minyak yang penuh.  Sakitnya kita jaga. Makan minumnya terjaga rapi.    Cukup umur kita hantarnya ke sekolah dengan harapan dia akan belajar menulis dan membaca.  Setahun berlalu, mulalah dia melangkah ke alam persekolahan yang sebenar.  Kita turut hadir menghantar dan ada sesetengahnya menunggu sehingga berminggu-minggu, berbulan-bulan pun ada.  Kita ambil tahu tentang pelajarannya.  Kita bangga jika dia mendapat keputusan cemerlang.  Kita bercerita dengan kawan, teman dan adik beradik betapa pandainya anak kita ini. 
Kita cari sekolah yang terbaik buat mereka.  Kita pastikan dia diberi pendidikan yang baik.  Kita hendak melihat dia berjaya dalam pelajaran.  Berjaya menjadi orang berguna.  Dia semakin membesar di hadapan kita.  Bagaikan tidak percaya, anak yang pernah kita kendong sudah menjadi anak gadis atau anak bujang yang kacak, cantik dan comel.  Biarpun kadang-kadang anak kita di mata orang, tak elok mana pun, namun di hati kita, wajah itu cukup menarik di hati.  Itulah zuriat kita, darah daging kita.  Biar tak cantik, tubuh macam tong drum, namun tetap indah di mata kita, tetap menawan di hati kita. 

Masa terus berlalu,  dia semakin besar, malah lebih tinggi daripada kita.    Kita tersenyum sendiri.  Bangga melihat dirinya yang sudah meningkat remaja.  Bagaikan tidak percaya dengan diri sendiri.  Ketika ini dia sudah pandai berkawan, dia sudah pandai bercinta. Dia sudah punya perasaan, jiwanya tidak lagi sama seperti kita.  Keinginannya berbeza dengan jiwa dan keinginan kita.  Jurang antara kita dan dia jauh berbeza.  Bagaimana hendak berpermikirann seperti mereka?  Persoalan yang tergantung di akal kita yang semakin menua, namun matang dalam bertindak. 

Dia berjaya dalam peperiksaan, dia berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR, PMR atau SPM.  Kita hantar dia ke asrama.  Dalam hati kita dia begitu baik.  Kita berdoa semoga dia selamat dan rajin belajar.  Itulah harapan kita sebagai orang tua.  Ingin melihat dia mengenggam segulung diploma, ijazah atau sehingga ke peringkat yang lebih tinggi, PHD.   Besar sungguh harapan kita  terhadap dia. 

Ada kawan-kawannya yang kita kenal, ada juga tidak.  Kita tidak menghalang atau menyekat dia bergaul dengan kawan-kawannya.  Biarlah, bukan dia hendak buat perkara yang tidak baik.  Itulah perkara yang sering berdetik di dalam hati kita.
Dia tinggal di asrama, kita tumpang gembira kerana dia masukkan ke  sekolah berasrama.  Sekolah untuk budak pandai.  Lagi baguslah pelajarannya nanti sebab ada orang yang pantau dan dia terjaga dengan baik, sekali lagi harapan kita sandarkan.

Kita sibuk bekerja, kita biar dia membesar sendiri dengan memberi apa sahaja yang dikehendaki asalkan dia tidak menganggu gugat kerja kita.    Kita tidak lagi menjaga makan pakainya, kalau nak makan panaskan sahaja lauk pauk yang sudah dimasak di awal pagi.  Kadang-kadang goreng sahaja  makanan segera yang ada dan sentiasa ada stok di rumah.  Kita sudah jarang makan bersama, satu meja dan saling bertegur sapa.  Dia mula bosan tinggal di rumah seorang diri.  Dia yang telah kita didik dengan pendidikan yang baik akhirnya sudah pandai memberontak lantaran kebosanan. Salah kitakah?

Kita ada misi untuk anak-anak kita, kita ada impian untuk mereka.  Kita sandarkan harapan kita kepada mereka.  Namun sering kali kekecewaan menyinggah di jiwa.  Kehampaan menghenyak hati kita.  Punah segala harapan, musnah segala impian.  Hancur sudah angan-angan.  Bukan masuk pusat pengajian tinggi, tapi menjadi penghuni pusat serenti.  Bukan berjaya menjawat jawatan tinggi tetapi menjadi penganggur duduk rumah goyang kaki.  Tidak cukup duit kita pula dijadikan sasaran sebagai bank tidak bertauliah.  Kalau tak dapat juga, maka jalan mudah diambil segera, asalkan terpenuh kehendak di hati.  Ketika  itu siapa yang akan menangis?

Kenapa anak yang ketika kecil begitu baik dan comel, apabila besar menjadi sebaliknya?  Apa yang mengubah sikapnya?  Kenapa dia jadi begitu?  Sedangkan bukan begitu cara kita mendidiknya?  Salah sekolahkah?  Salah cikgu-cikgukah?  Salah persekitaran kitakah?   Atau salah kitakah?   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan