Usai makan malam,
Ummi Khadeeja menghidangkan pula Kek Coklat Moist hasil air tangannya. Waktu makan malam tadi emak, ayah dan mentuanya makan nasi
bertambah-tambah. Sengaja dia masak
makanan kegemaran mereka. Ayahnya, Haji
Naim begitu suka makan Kari Kepala Ikan Merah
Emaknya pula suka Sambal Tumis Udang.
Ayah mentuanya amat suka makan Peria Sumbat isi ikan yang dimasak
kukus Ibu mentuanya pula suka Sotong
Masak Kunyit. Semua lauk kegemaran
kedua-dua orang tuanya disediakan. Sudah
lama mereka tidak menikmati masakannya. Sudah
terlanjur mereka di sini apalah salah sesekali masak lauk istimewa dan yang
menjadi kegemaran orang tua dan mentuanya.
Ummi Khadeejah memotong Kek Coklat Moist dan
meletakkannya ke dalam pinggan. Dihidangkan
bersama teh hijau, air minuman kesukaan
suaminya. Dia menghidangkannya di ruang
tamu di mana mereka semua berkumpul.
Mentua dan orang tuanya sedang rancak berbual bersama suaminya. Sudah berbulan-bulan tidak bertemu tentu
banyak perkara yang ingin mereka
sembangkan. Ummi Khadeejah sengaja
menjemput kedua orang tua dan mentuanya
datang ke rumah. Dia ingin menyelesaikan
masalah yang dia dan suaminya sedang hadapi.
Biarlah masalah ini selesai segera.
Dia tidak mahu lagi menangguh keputusan yang telah dibuat. Sudah
berbulan-bulan perkara itu difikirkannya.
Tidak sanggup dia melihat wajah kusut suaminya. Semakin cepat perkara itu selesai, semakin
tenang hatinya nanti, Insya-ALLAH.
Ummi
Khadeeja duduk di sebelah emaknya, Hajah Rahimah. Amir Hudzaifa mencuri pandang ke arahnya. Dia buat tidak nampak.
Ummi Khadeeja melemparkan senyuman kepada emaknya apabila sahaja bahunya
disentuh. Dadanya berdebar-debar, dia
tidak dapat bayangkan reaksi keluarganya nanti dengan keputusan yang telah
diambilnya. Semoga mereka faham dan redha
dengan keputusannya. Ummi Khadeeja
mengangkat kening memberi isyarat agar suaminya memulakan bicara. Amir Hudzaifa mengangguk lemah. Selemah hatinya sekarang melihat keadaan Ummi
Khadeeja yang tidak bermaya bagaikan orang sakit. Mungkin tidak sakit fizikal tetapi sedang
merana dalam hati. Amir Hudzaifa
mengeluh.
“Maafkan
kami kerana menyusahkan emak dan ayah sampai
terpaksa datang ke mari.” Amir Hudzaifa mula berbicara.
“Tak
apalah. Tak jadi masalah pun. Boleh juga kami berjalan-jalan. Lagi pun dah lama tak datang ke mari. Kali terakhir
kalau tak salah mak, rasa-rasanya tahun lepas,” kata Hajah Rahimah sambil tersenyum. Ummi Khadeeja
yang duduk di sebelahnya dipeluk mesra.
“Iyalah, kami pun
dah lama tak berjumpa. Kali
terakhir waktu kenduri Rafeah kan?”
Sampuk Hajah Faridah. Ummi Khadeeja
tersenyum. Memang lama dia tidak bertemu
mentua dan orang tuanya. Kesibukan
menguruskan maahad dan mengikut suaminya keluar daerah membataskan waktu untuk
di menziarahi mereka. Rafeah adalah adik bongsu suaminya, merangkap adik
iparnya. Ummi Khadeeja memandang kedua
orang tuanya yang kelihatan gembira dapat bertemu dengan besan dan
menantunya. Amir Hudzaifa menantu
kebanggaan kedua orang tuanya. Dada Ummi
Khadeeja sebak tiba-tiba. Dia menarik
nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan.
Semoga dia mempunyai kekuatan untuk menyatakan keputusannya.
“Asyik berbual
terlupa tujuan asal. Apa halnya yang
beriya-iya mengajak kami ke sini? Macam ada perkara besar je?” Hajah Faridah memandang anak menantunya. Wajah Ummi Khadeeja muram dan pucat. Mengandung pula ke? Ke situ pula fikiran Hajah Faridah. Kalau ada bersyukurlah sangat-sangat. Rezeki dari ALLAH SWT jangan ditolak. Amir Hudzaifa pula muram macam orang ada
masalah, berkerut dahi Hajah Faridah memandang Amir Hudzaifa, anak sulongnya
dari empat beradik.
“Tak ada apalah
mak. Dah lama tak jumpa emak dan ayah
itu sebab kami panggil datang ziarah kami ni.”
Amir Hudzaifah tersenyum. Ummi
Khadeeja turut tersenyum. Dia tahu senyumannya itu dibuat-buat bagi menyedapkan hatinya sendiri dan orang di
sekelilingnya. Dia tidak mahu orang
tuanya tahu dia dalam kesedihan.
“Mak, ayah… sebenarnya ada perkara yang ingin Ija dan
abang Amir beritahu. Ija harap emak,
ayah, dapat menerima dengan hati yang terbuka.
Berlapang dada. Apa sahaja yang
Ija cakap datangnya dari hati Ija sendiri.
Bukan paksaan dari sesiapa,” kata
Ummi Khadeeja memulakan kata-kata. Dia
cuba menahan perasaannya. Dia tidak mahu
menangis lagi. Sudah cukuplah air mata ini mengalir mengenangkan apa yang
terjadi antara dia dan Amir Hudzaifa. Suami yang amat dicintai dan amat
disayanginya itu.
“Lain macam je
bunyi cakap kau, Ija? Ada masalah ke kau
dengan Amir?” Haji Ishak mula tidak
sedap hati. Kata-kata menantunya
bagaikan ada perkara besar yang ingin mereka sampaikan kepadanya dan kepada
besannya. Budak-budak ini ada masalah ke?
Fikir Haji Ishak.
“Kau
orang berdua ni kenapa? Risau emak dan
ayah dibuatnya. Macam nak cakap sesuatu
yang besar?” Hajah Rahmah pula
menyampuk. Keadaan mula riuh-rendah
dengan suara emak dan ayahnya saling bercakap sesama mereka. Amir Hudzaifa memandang wajah Ummi Khadeeja,
isterinya menundukkan muka tidak mahu bertentang mata dengannya. Amir Hudzaifa mengeluh. Abang rindukan senyumanmu sayang, bisik hati
kecil Amir Hudzaifa. Namun senyuman yang
diterima daripada Ummi Khadeeja adalah
senyuman tanpa nyawa. Muram dan suram.
“Eee! Main teka-teki pula dengan kami? Cakap je lah apa yang kau orang nak
cakapkan.” Haji Naim memandang wajah
anak dan menantunya silih berganti.
Seorang macam mati bini, yang seorang lagi macam mati laki. Kasar bunyinya. Tetapi itulah hakikat. Lemah bagaikan tidak bermaya. Haji Naim mengeluh.
“Saya nak menikah
lagi, mak… ayah!” Kata Amir Hudzaifa
berterus-terang. Ummi Khadeeja tetap
menunduk. Dia tidak mahu memandang wajah suaminya ketika melafazkan ayat
tersebut. ‘saya ingin menikah lagi’ bagaikan menarik duri dalam daging
begitulah sakitnya hatinya ketika itu.
Tetapi apakan daya. Dia tidak
mampu berbuat apa-apa.
“Apa? Nikah lagi?
Untuk apa ? Dengan siapa? Ya ALLAH,
Amir! Kenapa semua ini terjadi?” Soalan yang bertubi-tubi keluar dari mulut Haji
Ishak. Tersandar dia di sofa mendengar
kata-kata anaknya itu. Hajah Rahmah mula
resah. Haji Naim terdiam tidak terkata
apa-apa. Hajah Faridah menggelengkan kepala. Mereka tidak percaya. Mereka terkejut
mendengarnya. Apakah rumah
tangga anak-menantunya tidak bahagia?
Apakah Ummi Khadeeja ada berbuat salah sehingga terpaksa dimadukan?
“Mak dan ayah
janganlah marah pada abang Amir. Ija
yang setuju abang bernikah lagi.” Ummi Khadeeja memandang wajah mentua dan
orang tuanya. Dia mengharapkan mereka
memahami situasinya. Dia berharap mereka
akan menjadi orang yang mampu menyejukkan hatinya yang sedang sakit ini. Gelisah.
Resah. Risau.
Bimbang silih berganti.
“Kau dah gila ya,
Ija? Kau ingat senang hidup berkongsi
suami dengan perempuan lain?” Marah Hajah
Faridah. Dia seperti tidak percaya
menantunya mengizinkan anaknya berkahwin lagi.
Apa kekurangan menantunya itu sehingga tergamak anaknya ingin bernikah
lagi. Sukar untuk dia mempercayai apa
yang sedang berlaku.
“Betul kata Kak
Faridah! Jangan buat kerja gila? Mak tak setuju Amir. Apa dosa anak emak, kau buat begini? Kalau dah tak suka, hantar aje pulang pada
emak! Tak payah kau siksa hati dan
perasaan dia. Apa yang kurang lagi? Atau kau teringin nak dapatkan anak
perempuan pula? Ija… kau dah tak boleh mengandung ke?” Lengking suara Hajah Rahmah.
Keadaan menjadi tegang. Ummi
Khadeeja serba salah. Dia memanggil mentua dan orang tuanya adalah
untuk menyelesaikan masalah. Bukan
menambah masalah. Amir Hudzaifa meraup
wajahnya dengan kedua belah tangannya.
Dia menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya.
“Mak, Amir tak
bermaksud nak lukakan hati dan perasaan Ija.
Amir buat semua ini demi masa depan maahad dan dakwah. Amir nak ada orang yang menjaga maahad waktu
Amir keluar daerah. Amir tidak mahu
berterusan membebankan Ija. Sekurang-kurangnya isteri muda Amir nanti boleh
membantu Ija menguruskan maahad ini.
Hanya itu sebabnya mak, ayah.
Amir harap sangat emak dan ayah faham dengan keadaan Amir,” kata Amir
Hudzaifa panjang lebar. Dia berharap
sangat mentua dan orang tuanya memahami keadaan dirinya.
“Kan dah ada
Ustaz Din yang membantu kau menguruskan maahad ini?” Haji Naim kurang senang
dengan keputusan menantunya itu.
Takkanlah kerana urusan dakwah sehingga hendak kahwin lagi. Kalau kerana maahad, Ustaz Din sudah cukup
membantu. Bukankah boleh dicari orang lagi
yang boleh membantu menguruskannya.
Alasan yang tidak cukup kuat.
Tidak boleh diterima oleh akal.
“Tak sama bapa! Kalau boleh Amir nak ahli keluarga Amir
sendiri menguruskannya. Bukan orang
lain,” jelas Amir Hudzaifa. Seboleh-bolehnya dia ingin meyakinkan orang
tua dan mentuanya agar mereka menerima cadangannya itu. Dia tidak mahu perkahwinannya nanti tidak
direstui oleh mereka.
“Mak tetap tak
setuju!” Lantang Hajah Rahmah
bersuara. Dia tidak mahu anak bongsunya
itu dimadukan. Dia tidak sanggup melihat
anak kesayangannya itu berkongsi kasih dengan orang lain. Dia juga perempuan. Kalaulah suaminya bernikah lagi tentu hancur
hatinya. Mungkin itu juga yang dirasakan
oleh Ummi Khadeeja .
“Mak…!
Ija dah setuju. Ija rela abang bernikah
lagi. Ija redha mak. Ija ikhlas mengizinkan abang bernikah lagi,”
perlahan saja suara ummi Khadeeja.
Mereka semua terdiam. Wajah redup Ummi Khadeeja ditenung dengan penuh
sayu. Patutlah wajah itu muram dan
suram. Tidak bermaya. Rupanya ada duka yang tersembunyi di hati. Terpancar di mata. Tersandar mereka semua mendengar pengakuan
Ummi Khadeeja.
“Ija… jangan buat
keputusan terburu-buru, nak,” kata Hajah
Faridah sayu. Ummi Khadeeja melemparkan
senyuman kepada emak mentuanya.
Saya tidak terburu-buru mak,
kalau dah suami meminta apalah daya, detik hati kecilnya. Ummi Khadeeja memeluk emaknya yang ada di
sisi. Mahu sahaja air matanya mengalir
keluar. Janganlah mengalir air mata,
bisik hati kecilnya.
“Insya-ALLAH mak,
Ija ikhlas,” itulah yang mampu
dikatakannya. Semoga hatinya
ikhlas. Mampukah dia ikhlas hanya ALLAH SWT jua yang mengetahuinya.
“Amir, Apa dah kau buat, nak? Ayah dan emak tidak akan menghalang. Menyuruh pun tidak. Jika inilah kehendakmu. Ija, emak dan ayah tidak akan masuk campur
dalam urusan kalian. Tapi pesan ayah,
apa pun terjadi banyak-banyaklah bersabar.
Kalianlah yang telah memilih jalan ini.” Haji Ishak menggelengkan
kepala. Kecewa pun ada. Dia lelaki, siapalah yang tidak mahu
beristeri lebih dari satu. Kalau ditanya
pada semua lelaki pasti mereka mahu tapi mampukah untuk berlaku adil kepada
isteri-isteri yang dikahwini nanti. Wajah Amir Hudzaifa dan Ummi Khadeeja
dipandang silih berganti. Ya, ALLAH… KAU
tabahkanlah hati anak menantuku dalam menempuh cabaran dan dugaan yang
mendatang, doa Haji Ishak dalam hati.
“Ija!” Hajah Rahmah memeluk erat Ummi Khadeeja. Dia menangis.
Sayu hatinya memikirkan nasib
anak bongsunya nanti. Poligami memang dibolehkan
dalam Islam. Terdetik hati kecilnya mampukah Amir Hudzaifa
berlaku adil? Mampukah Amir Hudzaifa memberi kasih sayang yang sama rata. Berat hati Hajah Rahmah untuk menerima
keadaan ini.
Ummi Khadeeja membalas pelukan emaknya. Dia menahan air matanya dari keluar. Kalau ikhlas buat apa sedih? Kalau ikhlas
kenapa harus berduka? Wahai, hati cerialah kau, kata ummi Khadeeja dalam
hati. Mampukah dia ceria seperti
dulu? Mampukah dia berlagak biasa dengan
suaminya. Mampukah dia tersenyum semanis
dulu? Semua itu bermain di kotak
fikirannya.
“Amir, ingat
pesan ayah ini. Jangan kau sia-siakan
Ija dan anak-anak kau. Biar empat sekali
pun isterimu. Jagalah hati dan perasaan
mereka. Sama rata, sama adil! Ingat tu!
Rasulullah SAW telah bersabda
yang bermaksud: Mana-mana lelaki yang mempunyai dua orang isteri tetapi
tidak berlaku adil antara kedua-duanya, dia akan datang (dibangkitkan) pada
hari akhirat dalam keadaan separuh
badannya senget sebelah ( Riwayat Al-Tirmizi), jangan sesekali kau lupa
itu, Amir!” Haji Naim mengeluh. Amir
Hudzaifa menunduk.
“Maafkan emak,
Ija,” kata Hajah Faridah. Dia merasa bersalah kerana anak lelakinya
sanggup menduakan menantunya yang baik dan penyayang itu.
“Mak…! Mak tak
ada salah pada Ija, kenapa nak minta maaf,”
sayu hati Ummi Khadeeja. Hajah
Faridah menangis. Dia bagaikan terasa
dirinya pula yang dimadukan. Dia juga
perempuan tentulah dia dapat memahami perasaan seorang perempuan. Kalau dia, tak mungkin dia sanggup berkongsi
kasih dengan perempuan lain. Tidak
mungkin! Bukan menentang tapi terasa
diri tidak kuat untuk menghadapinya.
Semoga menantunya ini kuat dan tabah.
Amir Hudzaifa
memandang wajah orang tuanya dan mentuanya.
Wajah yang penuh kesedihan. Dia harap mereka faham dan mengerti kenapa
dia berkahwin lagi. Amir Hudzaifa
bersyukur akhirnya Ummi Khadeeja bersetuju juga. Biarlah mengambil masa yang lama untuk
isterinya itu berfikir, apa yang penting persetujuan dari iserinya telah
diperolehi. Kedua emaknya masih lagi
menangis. Isterinya pula memujuk
mereka. Amir Hudzaifa tersenyum dalam
hati. Kedua ayahnya hanya memerhati dan tidak berkata apa-apa lagi. Semoga rumahtangga baru yang akan dibinanya
nanti akan membawa lebih banyak rahmat dalam hidupnya dan hidup keluarganya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan