Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 24 November 2014

TOLONG CARI SUAMIKU- BAB 22


Katrina duduk bersila di ruang rehat berhampiran kolam renang. Dia memandang ke arah Mastura yang sedang mandi-manda bersama anak perempuannya. Hatinya bernanah parah. Terluka dan tidak mampu diubati. Kenapa perempuan itu dapat semua haknya? Perempuan itu merampas orang yang dia sayang. Perempuan itu merampas harta yang sepatutnya menjadi miliknya. Malang sungguh nasibnya. Dia mendengus kasar. Geram dan marah dengan sikap arwah. Sampai satu pun tidak ditinggalkan untuknya. Memang tidak patut! Kemarahan muncul semula. Menghenyak jantung hatinya. Entah-entah sudah membengkak atau terluka akibat terlalu sakit hati.
Bunyi telefon bimbitnya membuatkan dia segera berpaling. Telefon bimbit yang terletak di atas meja sudut di tepi dinding dicapai segera. Terpampang pada skrin nama mamanya. Katrina mengeluh lagi.
“Ya, mama… ada apa?” tanyanya lemah. Malas sebenarnya hendak menjawab panggilan tersebut. Dia tahu apa yang akan ditanya oleh mamanya. Pasti tentang duit. Keluhan yang tidak lepas di kerongkong. Pedih dan perit. Terasa tonsilnya membengkak. Bukan membenci mamanya sendiri tetapi sikap tidak bertanggungjawab kedua orang tuanya yang suka berfoya-foya. Dia bagaikan lubuk emas kepada mereka. Bila tiba masa digali dan digali. Syarikat papanya juga sudah dijualkan kepada pekerja syarikat itu juga. Dari dibiar muflis, baik beralih kuasa. Buat malu sahaja.
“Mama ingat, senang ke nak dapatkan kembali harta-harta tu? Ini bukan hak Rina lagi! Sudah ditukar milik. Jangan paksa Rina buat kerja tak baik, mama.” Kepalanya mula berdenyut. Sakit mula menyerang. Beban yang tidak sepatutnya dikandar.
“Tak boleh, mama!”
Kenapalah sukar benar mamanya hendak memahami keadaan dirinya.
“Rina cuma dapat RM1500 aje sebulan. Mana nak cekau duit sebanyak yang mama minta? Cubalah faham! Duit dari jualan syarikat tempoh hari takkan dah habis? Mama buat apa? Sudah-sudahlah berjalan tu. Baliklah ke Malaysia.” Dia tidak mampu lagi membantu kedua orang tuanya. Duit simpanan di dalam bank tidak seberapa. Waktu ada, semuanya hendak dijolikan. Kalau boleh biar habis cepat. Bila susah, sendiri terpaksa tanggung. Dapat suami kaya tetapi habuk pun tidak ada. Cekap arwah suaminya. Dia tertipu dengan permainan ini.
“Ikut suka, mamalah. Jangan telefon Rina lagi. Rina tak ada duit. Papapun masih kuat lagikan? Suruh aje papa bekerja.” Dia mematikan panggilan. Menyandarkan tubuh di kerusi malas sambil matanya masih lagi memandang ke arah Mastura dan anaknya Maria. Gembira sungguh mereka. Kau tunggulah hari yang penuh derita dan kesengsaraan, Mastura, detik hati kecil Katrina penuh dendam di hati. Dendam yang mampu mencairkan rasa kasih dan sayang yang tumbuh subur dalam hati setiap manusia.
Marahnya bertambah apabila terkenangkan Adrian. Lelaki yang tidak tahu malu dan tidak ada harga diri. Tahunya mengikis harta perempuan. Kenapalah lelaki seperti itu yang menawan hatinya? Mungkin ketampanan dan kekacakan serta karisma yang ada pada lelaki itu membuatkan dirinya terbuai rasa sayang menggunung di hati. Kenapa dia begitu bodoh mencintai lelaki seperti itu yang tidak menguntungkan langsung? Malah menjadi beban pula.
Bersama dengannya hanya kerana wang. Hartanya sudah tiada, maka lelaki itu berterbangan pergi mencari dahan yang lebih kuat dan teguh. Dia dibiarkan terkapai sendiri. Pandai-pandailah hendak hidup. Semakin difikirkan, semakin sempit rasa hatinya.
“Apa yang kau menungkan, Rina?” Halijah mendekati menantu keduanya. Wajah sugul perempuan itu menggamit rasa ingin tahu. Dia duduk di samping Katrina. Pandangannya turut terarah pada Mastura dan cucu yang tidak pernah diakui. Dia mencebik. Wajah riang itu menggamit resah di hatinya.
“Ibu tengok tu. Gembira... riang! Rina? Berduka, sedih, merana, kecewa,” luah Katrina.
“Sabarlah! Ibu tahulah apa nak buat. Rina jangan risau,” pujuk Halijah. Di dalam hatinya sudah berdetik resah yang semakin menggunung. Tidak satu pun rancangannya berjalan lancar. Malah memakan diri. Dia mengetap bibir menahan marah. Kalau digigit lidahnya pasti berdarah luka, sedalam luka di hati.
“Rancangan... rancangan... rancangan! Rancangan apa lagi yang ibu ada? Tak satu pun yang menjadi?” sindir Katrina.
“Kau tak percayakan ibu?” Halijah kurang selesa dengan nada suara Katrina.
“Bukan tak percaya, cuma tak yakin.” Senyuman sumbing terukir di bibir Katrina. Kalau tidak kerana dia sudah papa kedana, dia tidak akan menunggu di rumah itu lagi. “Duit yang ibu janjikan dengan Rina, mana? Takkan nak duduk peluk tubuh aje?”
“Esok kita ke bank. Ibu keluarkan duit simpanan ibu. Jangan kau berjoli pula dengan duit itu. Kalau nak berniaga, baik buat bersungguh-sungguh,” pesan Halijah. Dia kenal benar dengan menantunya itu. Suka membeli-belah, tidak suka bekerja, tetapi suka melawa dan makan angin. Entah apa yang merasuk diri hendak berniaga pula? Dia akan sokong. Hanya itu sahaja cara untuk dia menebus kembali kesalahannya terhadap Katrina. Janji hanya tinggal janji. Anak sendiri mengkhianati. Menikam, biar tiada luka namum mampu mencabut nyawanya.
“Betul ke, ibu? Rina janji akan berusaha bersungguh-sungguh!” janji Katrina dengan senyuman manis. Gembira bukan kepalang. Baik dia menyibukkan diri. Biarpun tidak pandai sangat selok-belok berniaga, kalau tidak dicuba tidak akan tahu hasilnya.
“Pasal perempuan tu. Kita akan kenakan dia cukup-cukup!” Halijah menyengih.
“Yalah ibu.” Katrina memerhati gelagat Mastura dan anaknya. Kebencian membuak-buak menikam jantung hatinya.
“Sudahlah! Tak perlu tenung lama-lama. Semakin sakit hati kita,” kata Halijah.
Katrina memandang wajah ibu mertuanya yang semakin dimamah usia. Simpati menyinggah. Dalam keadaan usia yang meningkat terpaksa pula menghadapi masalah yang dicipta sendiri. Inilah padahnya jika menanam rasa benci dan dendam. Tidak mungkin berbunga kasih dan sayang.
Rumah agam itu semakin sepi rasanya. Masing-masing buat hal sendiri. Dia tidak tahu berapa lama dia mampu bertahan tinggal di situ. Kalau perniagaannya sudah berjaya dia akan melangkah pergi. Buat apa ditunggu? Dia masih muda. Dia juga ingin berkeluarga seperti orang lain. Punya anak dan suami. Naluri biasa seorang manusia. Naluri perempuan ingin dibelai, dikasih dan disayang.
Dengan ibu mertuanya, tidak semua perkara boleh dikongsi. Silap hari bulan memakan diri. Rahsia tetap rahsia. Kenapa dia di sini juga ada agendanya tersendiri. Biar tertanam kukuh di hati.
Halijah bingkas bangun apabila telefon bimbitnya berdering. Menjerit minta dijawab. Dia berlalu dari ruang itu.
Berkerut dahi Katrina. Siapa pula yang menelefon ibu mertuanya? Tidak bolehkah bercakap di sini. Apa yang rahsia sangat? Lantaklah. Pandai-pandailah mengatur hidup. Pandangannya berpaling kembali ke arah Mastura dan Maria. Untung cermin gelap yang dipasang maka tidak perasanlah diri diperhatikan. Apalah yang dipandang oleh arwah suaminya terhadap Mastura? Hendak kata cantik, taklah sangat. Tidak juga pandai bergaya. Biasa-biasa sahaja. Tidak pandai melawa, setakat letak bedak dan gincu bibir. Dia memerhati tubuhnya sendiri. Lebih seksi dan bergaya. Jauh lebih baik daripada Mastura. Malas hendak menyelongkar. Lelaki terlalu banyak rahsia tersenbunyi yang tidak mampu dirungkai.

Halijah menjawab panggilan tadi dengan hati yang panas. Apa sudah Mastura lakukan? Kenapa akaunnya dibekukan? Itu simpanan peribadi, tiada kena mengena dengan harta warisan. Rasa terbakar seluruh tubuhnya. Dia melangkah laju menuju ke kolam renang.
“Mastura! Apa dah kau buat?!” tengking Halijah bagaikan orang hilang akal. Siapa pun akan hilang akal jika harta sendiri juga hendak dirampas.
Mastura yang sedang berenang dengan Maria menoleh. Dia melambai ke arah Suti supaya datang mengambil Maria.
“Bawa Maria masuk, mandi dan salinkan bajunya. Lepas tu beri dia minum petang,” arahnya tanpa memandang ibu mertuanya yang sedang mengamuk itu.
Halijah menendang air kolam. Terpercik ke muka Mastura yang berada tidak jauh dari tempat Halijah berdiri.
Mastura mengelap mukanya. Dia melangkah keluar dari kolam renang itu.
“Kenapa, ibu? Mengamuk tak tahu hujung pangkal?” dahi Mastura berkerut Wajah ibu mertua dipandang lama.
“Apa dah kau buat? Kenapa bekukan akaun aku?!” marah Halijah.
“Untuk kebaikan ibu juga. Kalau dibiarkan, nanti ibu boros belanja pula. Ibu, itu hak ibu sendiri, saya tahu. Tapi Mas tak nak ada orang ambil kesempatan atas kebaikan ibu.” Mastura mengelap wajah dan badannya yang basah dengan tuala. Dia duduk di kerusi rehat yang terdapat di situ samil menikmati jus oren berais yang disediakan oleh pembantunya.
“Kebaikan? Kebaikan apanya? Kau nak aku jadi pengemis ya? Mengemis dan meminta-minta dengan kau?”
“Ibu selalu berfikiran negatif terhadap saya. Niat saya baik ibu. Ibu nak buat apa dengan duit sebanyak itu? Kalau ibu perlukan apa-apa, minta saja dengan saya. Sehari ibu tak boleh keluarkan duit lebih dari RM2000. Yalah, mana tahu ibu nak beli barangan berjenama. Tak boleh lebih ya, ibu.” Mastura menyengih. Telefon bimbit dicapai. Rakaman cctv yang dipasang di ruang rehat berguna juga. Semakin lebar senyumannya. Pasti Katrina akan menangis sayu mendengar khabar berita tersebut. Kalau mereka berdendam dan membencinya, apakah akan timbul rasa sayang di hatinya? Sebelum mereka yang bertindak, lebih baik dia mengapai peluang yang ada.
“Bijak kau, ya? Kau permainkan aku! Aku tak perlukan duit kau!” tengking Halijah.
“Kalau ibu tak ambil duit yang saya beri, ibu nak dapat duit dari mana? Cuba beritahu saya.” Mastura menyandar. Wajah ibunya yang kemerahan kerana marah ditatap.
“Kau!” Halijah menggenggam penumbuk. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia melayangkan penumbuk ke muka Mastura. Biar dia rasa sakit, sesakit hatinya sekarang ini.
“Ibu nak buat apa? Cederakan saya?” Mastura menyengih.
Halijah melangkah laju. Sudah tidak tahan lagi berdiri di situ memandang Mastura yang mentertawakan dirinya.
Mastura ketawa sendiri. Langkah Halijah diperhati dengan ekor matanya. Mereka fikir, mereka bijak. Dia lagi bijak. Hampir semua ruang di dalam rumah itu dipasang cctv. Agaknya mereka tidak perasan. Setiap butir bicara dan langkah mereka diperhatikan setiap masa. Dia tidak akan membiarkan dirinya ditipu dan tertipu lagi. Tidak kali ini.
Nasib baik dia pandai berlakon, kononnya akaun ibu mertuanya telah digodam. Sebilangan besar wang sudah dipindah milik ke akaun orang lain. Maka pihak bank telah membekukan akaun tersebut. Dia juga memberitahu pihak bank bahawa ibu mertuanya sudah diugut dan tidak dibenarkan memberitahu pihak polis. Mahu atau tidak pihak bank terpaksa bekerjasama.
Kalau ibu mertuanya ingin mendapatkan duitnya dia perlu memberitahu Mastura dahulu. Permainan baru bermula. Mastura mengangkat kening. Nasib baik dia ada kenalan di dalam bank tempat ibu mertua menyimpan wang simpanannya. Mudahlah dia mengayat.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan