Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 16 November 2014

TOLONG CARI SUAMIKU- BAB 21






Adrian memandang wajah Katrina dengan hati yang sebal. Sehari dua ini perempuan itu asyik mengganggunya. Menunggu di rumah dan di tempatnya bekerja. Sudah puas dijelaskan bahawa dia ingin memutuskan sahaja hubungan mereka. Tiada guna bersama perempuan yang tidak punya apa-apa. Tujuannya berbaik dengan Katrina selama ini tidak lain tidak bukan hanya kerana harta. Kini perempuan itu tidak punya apa-apa. Harta arwah suaminya sudah pun menjadi milik orang lain. Harta sendiri menanti habis dan bungkus semuanya. Dia tidak membela manusia yang akan menjadi beban buat dirinya. Dia ada agendanya tersendiri.
“Kenapa Rian buat Rina macam ni? Rina serius sayangkan Rian, tapi Rian?” tanya Katrina.
“Rian dah cakap berkali-kali, antara kita tak ada apa-apa lagi! Tak faham ke?!” tengking Adrian, hampir hilang sabar. Meluat pun ada.
“Amboi! Minggu lepas bukan main lagi ajak Rina kahwin. Hari ini sedap aje halau Rina, ya? Ini mesti kerana perempuan itukan? Ingat Rina tak tahu rancangan Rian? Rian jangan main gila!” ujar Katrina. Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia mengerat lidah Adrian yang bercabang itu. Sakit benar hatinya. Untung dia tidak menyerahkan apa-apa kepada lelaki yang hidup bertunjangkan harta orang lain itu. Dasar pemalas. Hendak hidup senang dengan titik peluh orang lain. Dasar buaya darat tak sedar diuntung.
“Ajak-ajak ayam! Sudahlah! Pergi balik. Baca surah Yasin ke... sedekahkan kepada arwah suami Rina ada juga faedahnya,” sindir Adrian.
“Dasar lelaki tak guna! Kau ingat senang kau nak goda madu aku tu? Kau ingat senang kau nak dapatkan harta dia? Jangan harap! Aku akan bongkar rahsia kau!” ugut Katrina dengan hati yang membuak rasa marah. Tidak mampu ditahan lagi. Ingatkan Adrian akan setia di sisi, rupanya tidak.
“Kau jangan nak kecoh di sini ya, Rina! Baik kau berambus sebelum aku halau kau macam anjing kurap!” halau Adrian.
Buat kesekian kalinya, Katrina menampar pipi Adrian. Geram benar hatinya. Dibuang bagaikan sampah. Dibenci tanpa sebab. Apa yang telah merasuk lelaki itu sehingga sanggup menghalaunya? Sudah lupakah kisah cinta mereka dahulu? Bertahun-tahun dia membela lelaki itu kerana sayang dan cinta. Lantaran tamak, dia sanggup kembali kepada Ashraf arwah suaminya untuk mendapatkan harta warisan.
Kini semuanya menjadi abu. Dia terkapai sendiri. Harta tiada, kekasih lari, suami pula meninggal dunia. Masuk angin keluar asap, itulah nasibnya sekarang. Untung ada ibu mertua yang sudi membantu. Dia memandang wajah Adrian tidak berkelip.
‘Kau tunggulah kebangkitan aku dan kejayaanku dalam dunia perniagaan. Waktu tu, jangan harap aku akan terima kehadiran kau kembali,’ detik hati kecilnya sebelum melangkah pergi. Tidak usah merayu kepada yang tidak sudi. Buang masa dan menghabiskan beras sahaja. Dia akan pastikan Adrian tidak akan dapat mendekati Mastura. Janda kaya itu pula sudah menunjukkan taringnya.

Di rumah, Halijah terintai-intai di sebalik pintu, tercari-cari bungkusan kuning yang digantung di pintu bilik Mastura. Ke mana pula perginya? Dia memang ada letak barang tersebut di situ. Tidak mungkin jatuh? Dia ikat dengan kuat. Hatinya sudah mula mendekati resah. Kebimbangan mula menerja. Seperti ada yang tidak beres sahaja. Hangus duitnya seribu ringgit gara-gara tangkal tersebut. Tujuan untuk memperbodohkan menantunya. Jika sudah hilang bermakna usahanya gagal dan sia-sia. Membazirkan wang sahaja.
“Ibu cari apa?” sergah Mastura yang sejak tadi memerhati perbuatan ibu mertuanya dari sebalik dinding ruang rehat.
Halijah mengurut dada lantaran terkejut. Dia menoleh.
Mastura membuka telapak tangan. Bungkusan kuning tersebut kemas di tangan.
Halijah terkedu. Bagaimana barang tersebut berada dengan Mastura?
“Ibu, sudahlah... cukup-cukuplah buat dosa. Ibu dah tua. Rumah kata pergi, kubur kata mari. Buat-buatlah insaf dan sedar diri. Nanti tidak cium bau syurga. Bau syurgapun tak mampu nak cium, nanti Syurga pun tak merasa nak pijak,” sindir Mastura. Tidak habis-habis hendak menyusahkan hidupnya. Sudahlah paksa arwah suaminya menceraikan dirinya dan berkahwin lain, kali ini pula ingin memperbodohkan dirinya.
“Bagi balik barang tu!” pinta Halijah kasar.
“Saya akan buang benda ni. Kalau saya jumpa lagi. Saya tak teragak-agak halau ibu keluar dari rumah ni. Walaupun ini rumah ibu tetapi kini Maria adalah pemilik harta ini dan saya pemegang amanahnya, ibu jangan lupa dan tolong sedar diri. Sekarang ini ibu menumpang dengan saya,” leter Mastura. Bukan niat ingin kurang ajar tetapi sikap seperti ibu mertuanya harus diajar.
“Kau jangan nak ugut aku! Kau ingat aku akan biarkan harta ini jatuh ke tangan kau! Aku akan rampas semula, tahu!’ tegas. Dia tidak akan berdiam diri. Harta itu adalah miliknya. Dia menyerahkan kepada arwah Ashraf kerana menyangka anak lelakinya tidak akan membuang dirinya dan dia tahu Ashraf pandai mengembangkan harta dan perniagaannya. Namun kehendak ILAHI, umur anaknya itu pendek.
“Ibu nak buat apa? Dalam wasiat arwah abang, sudah tercatat semuanya. Cubalah duduk diam-diam dan buat amal ibadat, dapat juga pahala,” sindir Mastura lagi. Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia mengungkit semuanya. Bila difikirkan untuk apa? Bercerita dengan orang tidak punya hati tiada ertinya. Tidak akan faham.
“Kau bijak ya! Kau bunuh suami kau. Lepas itu kau rampas semua hartanya! Licik sungguh permainan kau, Mastura.” Halijah menggenggam penumbuk. Ikut hati mahu sahaja dia menyerang menantunya itu. Memikirkan kudratnya tidak sekuat waktu usia muda dia mematikan cadangan sendiri.
“Saya bunuh arwah? Ibu cakap apa ni? Jangan main tuduh. Pihak polis sedang siasat kes ni.” Mastura mengetap bibir. Kurang senang dengan butir bicara ibu mertuanya.
“Kau ingat aku tak tahu? Kau upah orang merosakkan brek kereta anak aku!” tuduh Halijah.
Mastura berkerut dahi. Kata-kata ibu mertunya menusuk jantung hatinya. Dia menahan rasa. Geram semakin menebal di dinding sanubari. Hantu apa pula yang telah merasuk diri ibu mertuanya. Sedap mulut hendak berkata.
“Ibu! Cukuplah sakitkan hati saya. Saya masih boleh bersabar kerana hormat ibu sebagai orang tua dan bagaikan ibu kandung saya sendiri. Tak payahlah letakkan kesalahan ibu kepada saya. Ibulah penyebab kematian arwah suami saya, anak ibu sendiri! Ibu sombong dan ego sehingga sanggup memisahkan saya dan arwah. Saya tak minta harta ibu hatta harta arwah sekalipun. Saya hanya ingin tempat menumpang kasih dan membesarkan zuriat saya. Tapi ibu rampas kebahagiaan kami tanpa ibu sedar!” ujar Mastura. Siapalah yang ingin menjadi anak derhaka? Namun sikap keterlaluan ibu mertunya telah mencabar kesabarannya. Dia hanya manusia biasa punya hati dan perasaan. Selama mana dia harus membiarkan dirinya dihina dan dicaci?
“Amboi! Lancangnya mulut kau. Kau fikir aku akan diamkan semuanya ni? Kau tengoklah nanti, aku akan rampas kembali semua yang menjadi hak aku!” kata Halijah tegas.
“Ibu dah lupa? Kalau harta ni jatuh ke tangan ibu, semuanya akan menjadi milik Baitulmal!” Mastura tidak mahu mengalah. Sudah puas mengalah sebelum ini. Tetap tidak dipandang. Malah perasaan benci semakin menebal di hati.
“Aku akan cari bukti, Mastura. Aku yakin kau yang bunuh Ashraf!”
“Carilah, ibu.” Mastura menggeleng kesal. Wajah kusam iu mertunya ditatap seketika. ‘Bukalah hatimu untuk menerima diri ini,’ bisik hati kecilnya
“Ya! Aku akan cari!”nekad Halijah. Kenapa sukar benar dia hendak menyukai menantunya itu. Perasaan benci semakin hari semakin tumbuh mekar di hati. Lebih-lebih lagi semua harta diletakkan nama Mastura sebagai pemegang amanah. Apa agaknya yang sudah merasuk anak lelakinya sehingga sanggup buat keputusan sesingkat itu? Itu harta warisan. Harta milik arwah suaminya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan