Jam
di dinding sudah beberapa kali berbunyi, dia masih lagi tidak bergerak dari
tempat tidurnya. Kemalasan menghambat
diri. Fikirannya kosong, langsung tiada
apa di minda. Apa yang ada huruf
kosong. Buku latihan yang masih belum
disiapkan masih berselerak di lantai.
Langsung tidak menarik minatnya untuk menyusun dan mengemas buku-buku
tersebut. Dia mengeliat, meluruskan
tulang belulang yang masih muda dan kuat itu, namun jika tiada semangat yang
muda pun terasa tuanya.
“Rahim!
Tak bangun lagi?” jerit emaknya dari luar pintu bilik.
Alahai,
baru nak merehatkan minda, mengembalikan semangat yang telah hilang dan lenyap
ditelan bumi. Ditelan bumikah? Biarlah.
Lambat-lambat dia bangun.
Kenapalah perasaan malas ini langsung tidak mahu pergi. Bagaikan suka pula menghimpit diri. Serasi dan seia sekatalah pula. Rahim menyengih sendiri.
Daun
pintu dibuka perlahan. Tuala sudah pun tersangkut di lehernya yang keding
itu. Kurus bukan sebab tidak cukup
makan, sememangnya tubuh sudah sebegitu sejak dari kecil. Terima sahajalah ketentuan ILAHI, kalau
gemuk, buruk pula rupanya. Orang kata,
mereka yang bertubuh gemuk yang malas, kenapa dia yang kurus juga malas? Memang sudah dasar pemalas.
Dia mengutuk diri sendiri.
Orang
malas, kalau melangkah pun lambat.
Begitulah keadaan dirinya.
Entahlah, susah betul hendak memotivasi diri sendiri, bagaimana hendak
menjadi seorang yang rajin dan tekun
terutama belajar.
“Hah! Jalan pun dah macam siput!” jerit emaknya
dari muka pintu dapur.
Dia
mengurut dada. Terkejut dia mendengar
suara emaknya yang garang macam singa lapar itu. Bukan Mak Lijahlah kalau tidak menjerit di
dalam rumah itu.
“Apalah
mak ni, kalau Rahim ada sakit jantung, dah tentu rebah ke lantai!” Rahim
mencebik.
“Banyaklah
kau punya jantung, jantung aku yang berdegup kencang kerana susah hati pasal
kau, kau tak ambil kira!” jerkah Mak Lijah, geram dengan sikap anak bongsunya
itu. Anak-anaknya yang lain berjaya dalam
pelajaran. Tinggal yang kecil ini, buat semak perut dan hatinya sahaja. Selalu kena panggil ke sekolah, bukan kerana
pandai atau dapat anugerah tetapi kerana
rajin ponteng dan tidak buat kerja rumah.
SPM tidak berapa lama lagi, belajarnya entah ke mana. Apa yang tahu melepak kat tembok depan kedai
Ah Seng. Melalak dengan gitar
tongnya. Eee… ikut hati yang marah
hendak sahaja dihempuk gitar itu sampai pecah.
Bila fikir balik, dia juga yang belikan.
Sudah permintaan anak bongsunya, diturutkan sebagai upah agar pergi ke
sekolah. Hendak ke sekolah pun kena bagi
‘rasuah’. Mak Lijah menggeleng
laju. Kesal menebal di hati. Geram tidak usah kira, membukit di sanubari. Kalau dileterkan pun, anaknya tetap seperti
itu.
Usai
mandi, Rahim bersiap hendak ke sekolah.
Dalam fikiran sudah tertanam perasaan kurang enak. Pastilah dia akan didenda kerana kerja
sekolah yang tidak sempat disiapkan.
Cuti dua hari dihabiskan dengan melepak.
Rahim mengeluh. Salah diri
sendiri. Hari Isnin yang memang
membosankan. Setiap hari Jumaat,
guru-gurunya akan memberi kerja rumah, sepatutnya hari Isninlah kerja tersebut
diserahkan. Biarlah.
***
Wajah
cemberut Cikgu Muhamad sudah diketahui sebabnya. Sudah pastilah kerana dia tidak menyiapkan
kerja sekolah. Rotan sudah ada di tangan
guru matematiknya itu. Rahim menunggu
sahaja hukuman dijalankan. Dia menunduk,
mengaku kesalahan diri sendiri. Tangan
diangkat bagi menerima hukuman yang bakal berlangsung. Langsunglah sangat. Wajah kawan-kawan sekelas yang memandang ke
arahnya dengan pandangan mengejek langsung tidak terkesan di hati. Ejeklah puas-puas, kata Rahim dalam hati.
“Rahim,
sampai bila saya hendak menghukum awak? Setiap minggu pula tu.” Cikgu
Muhamad memandang wajah selamba pelajarnya itu. Langsung tiada rasa
bersalah, langsung tiada kesal kerana didenda.
“Cikgu
nak hukum saya ke tidak ni?” tanya Rahim, masih menunggu dengan tangannya
menghadap Cikgu Muhamad.
“Untuk
apa saya menghukum awak? Awak tetap
seperti ini, tiada perubahan. Manusia
yang malu dan ingin mengubah hidupnya, tidak akan melakukan kesalahan yang sama
berulang-ulang kali, walaupun setelah dihukum.
Awak faham maksud saya?” Cikgu
Rahim mencengkak pinggang.
“Hukum
sahajalah saya, cikgu.” Rahim mengeluh.
“Satu
hari awak akan menyesal, Rahim,” kata Cikgu Muhamad sebelum kelasnya berakhir.
Rahim
masih tidak bergerak. Dahinya berkerut
kerana Cikgu Muhamad tidak menghukumnya
hari ini. Dia memandang langkah Cikgu
Muhamad meninggalkan kelas. Dia menoleh
ke arah kawan-kawannya. Masing-masing
mencebik dan mengangkat bahu tanda tidak tahu apa yang sedang berlaku. Hanya Cikgu Muhamad sahaja yang tahu.
***
Rahim pulang dari sekolah, seperti biasa meja makan dan tudung saji menjadi tempat pertama yang dia singgah. Beg sekolah dicampakkan ke dalam biliknya. Di mana jatuhnya, bukan urusannya. Hah! Tiada makanan? Kenapa pula? Emak ke mana? Rahim melilau mencari emaknya. Setiap ruang di dalam rumah, langsung tidak kelihatan. Ke mana pula emaknya pergi? Selalunya emaknya akan berada di rumah waktu begini. Rahim gelisah. Perutnya yang lapar minta diisi sudah menjerit-jerit.
Rahim pulang dari sekolah, seperti biasa meja makan dan tudung saji menjadi tempat pertama yang dia singgah. Beg sekolah dicampakkan ke dalam biliknya. Di mana jatuhnya, bukan urusannya. Hah! Tiada makanan? Kenapa pula? Emak ke mana? Rahim melilau mencari emaknya. Setiap ruang di dalam rumah, langsung tidak kelihatan. Ke mana pula emaknya pergi? Selalunya emaknya akan berada di rumah waktu begini. Rahim gelisah. Perutnya yang lapar minta diisi sudah menjerit-jerit.
“Mak!” laung Rahim.
Dia menjengah ke luar pintu dapur.
Manalah tahu emaknya ke rumah Mak Timah di sebelah. Dia melaung, memanggil emaknya. Namun tiada sahutan.
“Mak
Timah! Mak Timah!” panggil Rahim.
“Apa
halnya Rahim?” Mak Timah yang sedang
memasak, menjongol keluar melalui pintu dapur.
“Mak
Rahim mana? Mak Rahim tak ada di rumah,” terang Rahim. Mengelabah
sendiri.
“Hish,
emak kamu hendak ke mana pula?” Mak
Timah sendiri kehairanan. Dahinya yang
sudah terlihat kedutan bertambah berkedut. Hairan pula dengan kehilangan jiran
sebelahnya Tidak pernah ke mana-mana
selain menjaga anak bongsunya itu.
Urusan belanja dapur semuanya diuruskan oleh anak-anak jirannya yang
sudah bekerja.
“Emak
mana Mak Timah?” Rahim tidak keruan,
mengelabah pun ada. Ke mana emaknya
pergi, hilang secara tiba-tiba. Pagi
tadi biasa-biasa sahaja setelah puas meleterinya.
“
Mak Timah pun tak tahu, Rahim…” keluh Mak Timah, simpati pula dengan anak
jirannya yang seorang ini.
“Kau
tunggu ajelah mak kau balik, tak ke mana perginya,” pujuk Mak Timah sebelum kembali masuk ke
dalam rumah.
Rahim
bingung. Penat dia berfikir, habis
berputar sudah kepalanya. Dia melangkah
masuk ke dalam rumah. Perutnya yang
bernyanyi riang minta di isi bagaikan tidak tertahan-tahan lagi. Lembut sudah lututnya. Aduhai, apa yang harus dia lakukan? Ke mana pula pergi emaknya. Takkan kerana kemalasannya, emaknya lari dari
rumah? Emak lari? Takkan kut?
“Mak,
baliklah!” rayu Rahim seorang diri. Pagi
tadi emaknya berleter berapi-api menasihatinya.
Hampir pekak jugalah telinganya mendengarnya. Mahu terluka parah, boleh pecah gegendang
telinganya.
“Kau
nak jadi apa Rahim? Kerja sekolah tak pernah siap? Pergi sekolah sekali-sekala, macam sekolah tu
arwah ayah kau ada kongsi, solatnya
tidak. Balik sekolah, kau melepak
berjam-jam di depan kedai Ah Seng, kut-kutlah nak baca buku dan ulangkaji
pelajaran. SPM dah dekat, kenalah
fikirkan masa hadapan sendiri. Kalau
emak tak ada nanti, kau ingat, abang-abang dan kakak-kakak kau nak jaga
kau? Tak kuasa mereka, jaga budak malas
macam kau!” leter Mak Lijah panjang
lebar. Geram betul dengan sikap sambil
lewa anak bongsunya itu. Langsung tidak
memikirkan masa depannya. Dia sahaja
yang sibuk berfikir dan menyuruh anaknya itu berusaha belajar sehingga berjaya.
Bukan untuknya tetapi untuk anaknya sendiri.
Susah betullah nak nasihatkan anak yang seorang ini.
Air
mata Rahim mula mengalir. Dia menangis? Kenapa dia menangis? Dia takut, benar-benar takut sebenarnya. Bagaimana dia hendak hidup? Siapa hendak jaga
dia? Sudahlah tiada ayah, kini emak pula tiba-tiba menghilangkan diri? Kejam sangatkah dia? Teruk sangatkah kemalasannya? Kalau emaknya
tiada, dia nak duduk mana? Siapa hendak jaga makan minum dia? Siapa? Abang-abangnya? Kakak-kakaknya?
Penat dia berfikir. Sebak dadanya. Perutnya semakin memulas, minta di isi. Belum
pernah dia berlapar sehingga ke petang.
Selalunya balik sekolah sudah terhidang makanan di atas meja. Usai makan dia keluar rumah dan melepak di
tembok berhampiran kedai Ah Seng. Hampir
senja baru dia balik, kadang-kadang lajak sehingga ke malam. Balik pasti
panahan leteran emaknya menghambur keluar.
Pedih dan menanah telinganya mendengar, namun dia pekakkan telinga dan
buat tidak faham dan dengar sahaja.
“Mak!”
panggil Rahim. Sudah berpinar
matanya. Sudah letih berfikir. Bayang emaknya juga masih tidak kelihatan. Mahu
sahaja dia meraung. Tidak tahu harus berbuat apa, walaupun usianya sudah
17 tahun namun perangai bagaikan orang tidak matang.
“Mak,
baliklah! Rahim janji tak malas
lagi. Rahim akan rajin belajar, Rahim
akan dengar cakap emak! Rahim akan turut kehendak emak! Rahim akan solat, Rahim akan rajin mengaji, Mak! Baliklah!” jerit Rahim seorang diri. Bergema suaranya di dalam rumah. Rumah itu
terasa sunyi tiba-tiba. Di rindukan
emaknya, dia rindukan bebelan emaknya.
Biarlah emak berleter 24 jam, dia terima daripada menghilang tiba-tiba
ini.
Dia
menangis sayu. Dia menjengah ke dalam
bilik emaknya, hampa. Ke manalah emaknya
pergi? Rahim menapak keluar rumah,
sekali lagi matanya liar mencari, air mata di pipi cepat-cepat diseka dengan jarinya.
Sudah berjam-jam dia begitu.
Perut yang lapar hendak diisi
dengan apa? Mana ada makanan? Malam kian menjelang. Bayang emaknya tetap tiada.
Ke mana? Soalan yang sama berulang-ulang dibenaknya. Penat menangis. Geram pula yang hadir. Takkan emaknya benar-benar melarikan diri,
meninggalkan dia seorang diri? Biar
betul? Azan maghrib sudah berkumandang
dari masjid berhampiran. Semakin tidak keruan jadinya. Mengelabah tidak tahu harus berbuat apa. Matanya liar mencari, hendak cari di
mana? Dia mana tahu rumah siapa yang
selalu emaknya kunjungi. Dia sibuk
dengan urusannya sendiri. Dia hanya tahu
emaknya memenuhi seluruh keperluannya.
Membantu langsung tiada. Dia
hanya tahu memuaskan hatinya sendiri.
Resah mencuit rasa, menjerut tangkai hatinya.
“Mak!
Baliklah!” jeritnya, hilang rasa malu.
“Kenapa
menjerit ni Rahim?” tegur Mak Lijah yang muncul tiba-tiba. Entah dari mana?
“Mak!”
Rahim menerpa memeluk tubuh gempal emaknya.
Dari mana pula emaknya tiba-tiba muncul?
Rahim kehairanan. Tidak kisahlah,
yang penting emaknya telah kembali. Ke mana dan dari mana itu bukan persoalan
yang memerlukan jawapan.
“Mak,
jangan tinggalkan Rahim. Rahim janji
takkan malas, tak nakal lagi, akan rajin belajar! Akan turut kehendak emak. Tolong jangan tinggalkan Rahim, ya mak?” kata Rahim beria-ia benar. Semakin erat pelukan emaknya. Semakin utuh kasihnya.
“Yalah…
lemaslah emak Rahim peluk kuat sangat,”
Mak Lijah tersenyum riang.
Sengaja dia menyorok di rumah jirannya
di hujung kampung. Baru anaknya
tahu jika dia tiada kepada siapa dia akan bergantung.
Mak
Lijah menarik tangan Rahim duduk di
pangkin yang terletak di tepi pintu
utama rumah mereka. Wajah suram anaknya
ditatap seketika. Dia ketawa nipis.
“Rahim
risau tak, bila tengok emak tak ada?” tanya Mak Lijah perlahan
“Tentulah
risau, siapa nak jaga Rahim kalau emak tak ada,” jawab Rahim, pilu masih berlagu di hati.
“Ada
yang lebih sayang dan kasihkan Rahim yang akan jaga Rahim kalau emak tiada, DIA
sentiasa dekat dengan Rahim, sentiasa
ada dengan Rahim. Cuma Rahim tak tahu
dan tak ingin ambil tahu. Rahim sibuk
dengan kemalasan Rahim. Sibuk dengan
gitar Rahim, bertemu dan berbual dengan DIA pun Rahim tak nak. Mak dah suruh, Rahim buat tak tahu
sahaja.” Mak Lijah mengeluh.
“Mak
sengaja tinggalkan Rahim tadi ya?” tanya Rahim.
“Tak
kisahlah, sengaja atau tidak, yang pasti, suatu hari nanti mak akan tinggalkan
Rahim juga. Mak nak sebelum mak tutup
mata, Rahim sudah berjaya, bukan sahaja
di dunia, tapi juga di akhirat. Itu
sebab mak suruh Rahim rajin bersolat, sebab dengan solatlah Rahim dapat
berhubung dengan ALLAH, DIAlah yang menjaga Rahim siang dan malam. Mak mana ada jaga Rahim sepenuh masa. Ada masa mak tidur, mana mak ada ingat dengan
Rahim. Tapi ALLAH tak tidur, ALLAH
sentiasa ada, setiap masa. Rahim faham
tak maksud mak?” Mak Lijah mengangkat
dagu anaknya. Wajah polo situ ditenung
lama. Dia ingin tengok anak bongsunya
berjaya seperti anak-anaknya yang lain.
Bukan tiada motivasi diri, bukan tidak ditegur, tetapi sikap buruk yang meracun hati anaknya telah membuat
anaknya sukar menerima teguran, sukar untuk berubah. Sehingga dia tekad menyorokkan diri. Habis sudah usahanya memujuk anak bongsunya
itu agar berubah.
Rahim
mendengar butiran bicara emaknya.
Benarlah, jika emaknya tiada, dia masih ada yang menjaga. Tetapi hubungannya dengan yang menjaga
dirinya tidak baik. Rahim mengeluh
sendiri.
“Emak harap sangat, Rahim berubah menjadi manusia
yang berguna, bukan untuk emak, tapi untuk diri Rahim sendiri. Bolehkan
Rahim? Jangan buang masa melakukan
perkara yang tidak menguntungkan diri sendiri, seperti melepak di hadapan kedai
Ah Seng, melalak tanpa tujuan, orang tengok pun sakit hati, malu emak tahu
tak? Orang kata anak mak muka
tembok. Cuba Rahim duduk di tempat
emak? Bagaimana Rahim rasa?” Nasihat Mak Lijah lagi.
Rahim
menunduk, memikirkan kata-kata emaknya yang bernas itu. Memang salah dirinya, melepak tanpa
memikirkan kesannnya kepada emaknya sendiri.
Sering dipanggil oleh pihak sekolah kerana kemalasan dirinya dan sering
ponteng sekolah. Rupanya emaknya malu
dengan dirinya.
“Maafkan
Rahim, mak,” tuturnya lembut. Rahim memeluk Mak Lijah erat. Dia akan cuba buang sikap malasnya. Dia akan berusaha untuk berjaya dalam
pelajaran. Rupa tidak boleh diubah
tetapi sikap boleh berubah.
Mak
Lijah tersenyum riang. Tidak sia-sia dia
menyorok tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan