|
Adrian tersenyum gembira. Mastura jauh lebih baik daripada
Katrina rupa-rupanya. Ingatkan orang kampung tidak pandai bergaul. Hebat
berbicara. Petah berkata-kata. Ada wawasan dan cita-cita. Impian menggunung
tinggi. Ingin menjadi wanita bekerjaya. Ada harta. Janda kaya. Dia ketawa.
Hari ini
dia benar-benar puas dapat keluar bersama Mastura. Bukan sengaja atau mengikut
langkah Mastura, memang secara kebetulan mereka bertemu. Tidak menyangka buah
nangka jadi cempedak. Risiko tetap ada jika inginkan sesuatu yang berharga. Dia
tidak akan gentar. Inilah cabaran namanya.
Bunyi
telefon bimbitnya langsung tidak dihiraukan. Dia tahu siapa yang menelefon.
Biarlah. Perempuan itu bukan sesiapa dan tiada apa-apa lagi di dalam hidupnya.
Kini dia ada mangsa terbaharu yang jauh lebih baik. Ini Adrianlah, akan
ditakluk Mastura sehingga jatuh ke tangannya. Dia keletihan. Matanya kian layu,
bantal bagaikan menggamit dirinya. Akhirnya...
“Buka pintu ni, Adrian!” jerit seorang
perempuan di luar rumah.
Adrian
yang terlelap terkejut mendengar ketukan yang kuat di luar pintu rumahnya. Dia
bergegas bangun. Nanti riuh seluruh kondo dengan suara jeritan tetamu yang
tidak diundang itu. Daun pintu dibuka. Berdiri di hadapannya dengan wajah
menyinga.
“Buka
pintu ni, Adrian!” jerit perempuan itu bagaikan orang hilang pedoman.
“Kenapa
ni? Terjerit-jerit macam Tarzan? Teringin agaknya duduk dalam hutan!” sindir
Adrian.
“Amboi!
Sedap ya mengejek aku? Buka pintulah!” Katrina menggoyang-goyangkan pintu gril
yang berkunci dan bermanga.
“Dah
jauh malam, Rina. Pergilah balik. Esok aje kita jumpa. Malulah dengar jiran
tetangga.”
“Bukalah!
Aku telefon langsung kau tak jawab. Kau main kayu tiga belakang aku ya? Kau
ingat aku tak tahu, kau cuba rapat dengan madu aku tu! Kau ingat senang kau nak
tinggalkan aku!” marah Katrina. Sejak siang tadi dia menyimpan perasaan marah
dan geram. Kesakitan akibat tendangan Mastura membantutkan keinginannya untuk
segera bertemu lelaki itu.
“Aku
letihlah, Rina. Esok kita jumpa. Kau pergilah balik!” halau Adrian. Daun pintu
ditutup semula.
“Adrian!
Rian!” jerit Katrina.
Adrian
menyepi. Biarlah meroyan seorang diri di luar itu. Katrina sudah tidak berharga
untuknya lagi. Berkahwin? Ajak-ajak ayam sahaja. Tidak pula dia
bersungguh-sungguh hendak berkahwin dengan Katrina melainkan perempuan itu
berharta seperti Mastura. Dua-dua pun boleh. Kouta untuk kahwin empat masih
terbuka. Seorang pun belum. Suara jeritan Katrina sudah tidak kedengaran lagi.
Sudah balik agaknya. Dia merebahkan kembali tubuhnya di katil. Baiklah tidur,
esok barulah dia selesai apa yang perlu.
“Tak guna! Berani dia mempermainkan aku!
Dulu kasihlah... sayanglah. Sanggup tunggu aku konon! Rupanya kau permainkan
aku, ya Rian!” bebel Katrina sendirian di dalam keretanya. Dia
menghentak-hentak stereng. Marah meracun diri. Menjalar ke seluruh urat dan
nadi. “Kau hancurkan hati aku. Kau pergi kepada perempuan tak tahu malu itu!”
Hatinya panas membara, mampu membakar apa sahaja yang ada dipersekitarannya.
Inilah lelaki! Jeritan batin begitu menghiris hatinya. Geram bercampur baur
dengan rasa marah yang mengelegak di jiwa. “Aku benci kau Mastura! Aku benci
kau!” jeritnya.
Tiada
siapa yang mampu mendengarnya. Hatinya luka berdarah, menanah. Belum pernah
Adrian memperlakukan dirinya seperti itu. Dia benar-benar berasa terhina. Hati
dan perasaannya telah dipermainkan? Dia bukan bola, atau barang permainan yang
mudah ditolak dan diketepikan. Dasar manusia yang tidak tahu diri, bisik
hatinya sendiri.
Ibu
mertuanya entah ke mana? Sejak pagi keluar sehingga ke malam tidak nampak
batang hidung. Takkan melarikan diri? Kepalanya mula berdenyut. Migrain pula
menyerang. Terlalu banyak berfikir sehingga kesihatan diri sendiri tidak
terjaga.
Kereta
dipandu laju meninggalkan pekarangan kondo itu. Nyanyian luka berlagu sendu.
Menghiris jantung kalbu. Kepada arwah suami cinta langsung tidak bersemi,
lantaran sakit hati akan kisah lama yang telah berlalu pergi. Dendam kesumat di
sanubari menghenyak diri membuatkan dia sanggup hidup berkongsi. Jodoh tidak
panjang, suami pergi menemui ILAHI. Kini hidup menumpang dengan ibu mertua
serta madu yang tidak sedar diri. Dia meramas stereng kereta dengan kuat.
Seolah-olah meramas Adrian dan Mastura yang kini menjadi racun dalam diri.
Dia
berhenti sejenak di hadapan pintu pagar sebelum memandu masuk. Rumah itu
bagaikan Neraka kini, menghambat luka lama bagaikan tidak mahu pergi. Katrina
meraup muka dengan kedua belah tangannya. Mencari kekuatan di dalam diri.
Madunya bukan calang-calang orangnya. Teruk dia dibalun siang tadi. Kesakitan
masih terasa, ditambah dengan sakit di hati. Tambah berganda peritnya.
Langkah
diayun dengan laju. Daun pintu dibuka dengan kasar. Rumah itu sepi, sunyi
bagaikan tiada penghuni. Dia mendengus kasar. Daun pintu ditutup semula. Lampu
dipasang menerangi ruang tamu.
“Kau
ke mana, Rina? Dah jauh malam baru balik?” sapa satu suara.
Mahu
gugur jantung Katrina kerana terkejut. Apa pula ibu mertuanya buat dalam gelap
tadi? Nyaris tidak ada sakit jantung. Kalau tidak tentu dia rebah di situ juga.
Wajahnya bertambah kelat. Langkah diatur mendekati ibu mertua yang duduk
bersilang kaki di sofa sambil matanya tajam merenung.
“Ibu
pula ke mana? Baru sekarang nampak muka?” Soalan dijawab dengan soalan.
“Ibu
yang bertanya dulu, jawablah!” Halijah kurang senang apabila diri dipersoal.
Jawapan masih belum diperoleh.
“Bosan
duduk di rumah, baik keluar berjalan,” jawab Katrina selamba.
“Lain
kali jangan balik tengah malam, kalau jiran tetangga nampak, macam mana? Kan
tak manis?” tegur Halijah, matanya masih memandang wajah menantunya tidak
berkelip.
“Macam
tak biasa pula ibu ni.” Katrina melabuhkan punggungnya di sofa. Dia menjeling.
Kurang selesa ditegur begitu. Bukan dia tidak biasa keluar malam, sudah
acapkali. Kenapa kali ini tindakannya dipersoalkan. Apa yang tidak kena?
Silapnya di mana?” “Ibu pula ke mana?” tanyanya semula.
“Adalah
urusan ibu,” jawab Halijah. Buat apa bercerita. Nanti pecah di mulut Katrina
bagaimana? Tidak pasal-pasal orang tuduh dirinya ibu mertua yang kejam. Apapun
berlaku biarlah dia tanggung sendiri.
“Berahsia
pula? Sejak bila?” sindir Katrina. Tiba-tiba berahsia. Sebelum ini mereka
berkongsi apa sahaja, kenapa kali ini tidak? Apa yang telah merasuk ibu
mertuanya?
“Sudah!
Pergi tidur. Esok kita ada urusan di pejabat peguam. Ibu akan tuntut kembali
harta milik ibu yang berada di tangan perempuan itu,” Halijah bingkas bangun.
“Pejabat
peguam? Ibu tak ingatkah, kalau kita saman, semua harta akan jatuh ke tangan
Baitulmal. Ibu mahukah?”
“Ibu
rela daripada jatuh ke tangan perempuan tu!” kata Halijah kasar.
“Betul
juga.” Katrina mengeyakan kata-kata ibu mertuanya. Dari jatuh ke tangan
perempuan tidak sedar diri itu, biarlah disedekahkan kepada orang lain. Baru
puas hati. Kalau terpaksa melawan di mahkamah, dia rela. Dia juga berhak
mendapatkan separuh daripada harta tersebut.
“Menunggu
kau sampai terlena ibu di sini. Tutup lampu dan masuk tidur! Jangan nak merayap
pula,” suruh Halijah.
“Ibu
tahu tak, siang tadi, Mastura belasah Rina. Nasib baik tak cedera parah atau
patah riuk!” adu Katrina.
“Ya
ke? Kau tak melawan?” Terkejut Halijah mendengarnya. Mereka bergaduh siang
tadi? Sebab apa?
“Kenapa
kalian bergaduh?” sambung Halijah lagi.
“Sebab
perangai busuk perempuan itulah!” jawab Katrina. Tidak mungkin dia memberitahu
sebab apa dia bergaduh dengan Mastura. Nanti panjang ceritanya, jenuh pula kena
ulas.
“Yalah,
tapi sebab apa?” Halijah tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberi.
“Tak
kisahlah sebab apa, ibu. Hati sedang sakit tahu tak. Dia tumbuk dan tendang
Rina!” adu Katrina, geram menampal semula. Sakit hati menikam kembali.
“Kuat
juga dia.” Halijah teruja ingin tahu.
“Pandai
bersilat!” kata Katrina dengan hati yang mendidih.
“Wow!”
Halijah mencebik. Tidak mungkin menantu sulungnya sekuat itu?
“Tak
nak cerita dengan ibulah. Bangga pula?” Katrina mencuka. Dia melangkah laju
menuju ke biliknya. Buat sakit hati sahaja bercerita. Bukan hendak simpati.
Ingat dia cerita olok-olok agaknya.
Halijah
mendengus kasar. Bukan mudah rupanya hendak menjatuhkan Mastura. Pandai
bersilat? Susahlah nak upah orang pukul perempuan itu. Silap hari bulan tukang
pukul masuk wad. Orang seperti itu tidak boleh diajar secara kasar. Kena buat
juga secara halus. Biar padan muka.
Uncang
yang berbungkus kain kuning dikeluarkan dari beg tangannya. Dia tersenyum
riang. Masih ada ruang untuk dia mendapatkan semula hak miliknya. Perempuan itu
harus ditendang keluar. Halijah mengatur langkah ke biliknya. Bayang Katrina
sudah tidak kelihatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan