|
Suti tidak sedap hati. Bagaikan terasa ada yang tidak kena di
dalam bilik Mastura. Dia masih mencari. Langkahnya berhenti di balik pintu.
Tangan diangkat setinggi kepala. Tidak sampai. Dia mengambil kerusi. Terus
memanjat. Dia mencapai sesuatu. Apa benda ini? Dia turun semula. Daun pintu
ditutup rapat.
Balutan
kain kuning dibuka. Ya ALLAH tulang-belulang bersama paku dan kaca. Apa erti
semuanya ini? Tidak mungkin ada orang berniat jahat dengan Mastura? Tetapi
siapa. Suti memasukkan barang tersebut ke dalam poketnya. Dia menuju ke dapur.
Empat
orang penghuni rumah itu sedang menikmati sarapan pagi Yanti sudah naik ke
tingkat atas mengemas apa yang perlu. Dia bertugas menyediakan sarapan dan
menjaga Maria hari ini. Wajah Katrina, Mastura dan Halijah dipandang silih
berganti. Siapa buat siapa? Siapa hendak niaya siapa? Fikirannya ligat berfikir
mencari jawapan yang diyakini.
Usai
sarapan Halijah dan Katrina keluar dari rumah. Ada tempat yang hendak dituju.
Mastura
melayan Maria seketika. Dia memimpin tangan Maria masuk ke dalam bilik.
“Maria
tahu tak, semua harta ini adalah milik Maria. Anak mak akan jadi anak gadis
jutawan. Maria sebut aje nak bercuti ke mana? Emak akan bawa. Lagi satu sebut
sahaja hendak bersekolah di mana, emak akan carikan sekolah yang terbaik buat
anak emak ini,” cerita Mastura.
Berkerut
dahi Maria mendengarnya. Faham atau tidak bukan persoalan. Kata-kata itu
menusuk hatinya. Gadis jutawan? Apa maknanya? Maria menggaru kepalanya sendiri.
Tidak mengerti.
“Tak
faham?” Mastura tersenyum. Maria ditarik dalam pelukan.
“Sebelum
ini, ayah adalah tuan punya syarikat dan harta ini, sekarang Marialah tuan
punya syarikat dan harta ini, faham tak cakap mak?” Terang Mastura.
Maria
menggelengkan kepala.
“Kalau
tak faham tak apa, nanti bila Maria dah cukup dewasa dan sudah mengerti, mak
akan terangkan lagi. Sekarang ini waktu untuk kita berehat dan bersukaria. Ayah
takkan kembali, kita kenalah teruskan hidup.” Dahi Maria dicium berkali-kali.
“Puan.”
Suti berdiri di hadapan pintu.
“Ada
apa, Suti?” Mastura kehairanan. Wajah Suti serius sahaja. Bagaikan ada sesuatu
yang tidak kena. “Awak ada masalah ke?” Maria dilepaskan dari pelukan.
“Ini.”
Suti menyerahkan bungkusan kuning itu kepada Mastura.
“Bungkusan
apa ni?” tanya Mastura kehairanan.
“Rasanya
ada orang mahu guna-gunakan puan atau kata lain, sihir. Orang dalam rumah ini
juga, siapa saya tak tahu?” kata Suti.
“Ubat
guna-guna? Biar betul, Suti? Awak tak silap, kan?” Mastura tidak percaya. Siapa
yang hendak guna-gunakan dia? Takkan ibu mertuanya? Katrina?
“Benar,
puan. Tolong rahsiakan saya yang jumpa benda ni. Nanti riuh jadinya,” pohon
Suti.
“Ya
ALLAH ada juga hati manusia yang busuk dan iri hati dengan saya, Suti?” Mastura
mengeluh. Bungkusan itu ditenung lagi. “Macam mana mahu buang, Suti?” tanyanya.
Dia bukan pandai benda-benda kurafat seperti ini.
“Kena
kasi kembali kepada orang yang membuatnya,” jawab Suti.
“Siapa?”
Mastura hairan. Kalau tanya kepada dua insan yang tinggal bersamanya di rumah
itu, sudah pasti mereka menafikannya. “Tak boleh buang sendiri ke?”
“Nasib
baik cepat jumpa. Masih ada ruang untuk menangkis ilmu hitam ini. Puan kena
banyak baca ayat Kursi dan Yasin, serta berdoa semoga dijauhi dari bahaya.”
Suti berlari turun ke dapur lalu membuang kandungan barangan tersebut jauh dari
luar rumah dan berlari semula ke dalam bilik. Dia menggantikannya dengan
barangan lain. Biar tiada siapa yang syak barang tersebut sudah ditemui. Dia
menyangkutkannya semula.
“Barang
tu untuk apa?” tanya Mastura ingin tahu.
“Agar
puan mengikut cakap mereka dan diperbodohkan. Hati-hati waktu minum dan makan
apa saja daripada mereka. Berhati-hati lebih baik,” terang Suti.
“Dahsyatnya...
tentu pasal harta!” Mastura mengetap bibir. Siapa pun yang mencari bomoh orang
itu adalah mereka yang di dalam rumah ini juga.
“Puan
kenalah berlakon kononnya sudah diperbodohkan.” Suti ketawa.
“Hisy,
awak ni!”
“Kalau
puan masih seperti biasa, takut nanti mereka ambil yang lain pula.” Suti
memandang wajah Mastura yang mula berkerut.
“Yalah,
nanti tahulah saya. Buruk benar perangai mereka. Kerana harta sanggup
merosakkan orang lain. Tidak ada perasaan langsung.
“Nasib
baik diperbodohkan. Kalau mereka hantar santau? Merana seluruh tubuh. Apa pun
kedua-duanya tidak bagus dan tidak baik. Orang yang sanggup mencari bomoh ini
tiada iman.”
“Terima
kasih, Suti. Macam mana kamu tahu?”
“Saya
ada belajar ilmu perubatan Islam. Jadi bisa merasa jika ada sesuatu yang tidak
baik,” jelas Suti.
“Untung
saya dapat pembantu seperti awak,” puji Mastura.
“Saya
sekadar membantu.” Suti menyengih.
“Awak
jaga Maria, saya mahu ke pejabat.” Mastura mendekati Maria semula dan
menciumnya.
“Emak
nak ke pejabat. Maria duduk dengan Mak Cik Suti ya, jangan nakal-nakal,” pesan
Mastura. Kebimbangan mula menerpa masuk. Kalau sudah berani mencari bomoh
nampaknya ada yang mahu berlawan dalam senyap. Ke mana mereka berdua pergi?
Masih awal waktu sudah menghilangkan diri. Siap main bomoh lagi? Mereka main
kasar ya? Mastura mencapai beg tangannya dan melangkah keluar. Myvi dipandu
perlahan meninggalkan pekarangan rumah.
Perasaan mengapai duka. Hati dan perasaannya
sudah banyak berbeza. Dia bagaikan tidak mengenali diri ini. Hidup hanya
mementingkan diri sendiri. Harta bukanlah tunggak utama dalam mencari kehidupan
di dunia ini tetapi apabila ada yang menghina lantaran asal usul diri
membuatkan dia berjanji, hendak merampas apa sahaja yang dimiliki oleh manusia
yang tegar menghinanya. Hina sangatkah lahir di kampung? Buruk sangatkah tidak
menjejakkan kaki di menara gading? Jijik sangatkah jadi orang miskin? Persoalan
yang bermain difikiran dibiarkan tanpa jawapan. Manusia hipokrit. Macamlah dia
berasal dari bandar? Tidak sedar diri, itulah masalahnya.
Maria
tonggak kekuatan dirinya. Dia akan mengambalikan maruah diri yang diinjak-injak
oleh ibu mertuanya sebelum ini. Puas dia cuba untuk berbaik dengan Halijah
namun ditolak mentah-mentah. Darjat, harta dan kedudukan sahaja berlagu di bibir
ibu mertuanya. Zaman tok kaduk betul! Sekarang keadaan sudah berbeza. Orang
miskin boleh jadi kaya-raya. Yang kaya boleh kembali papa kedana. Kalau malas
bekerja, harta yang banyak pun akan pupus selama-lamanya. Kalau rajin hanya ada
duit seringgit mampu membina empayar perniagaan. Siapa tahu, tuah manusia.
Peristiwa lama bertayangan difikiran.
“Buat apa kau bawa dia ke mari, Ashraf?
Kau ingat ibu suka? Sampai mati pun ibu takkan restu hubungan kau dengan dia!
Keputusan ibu tidak akan berubah!” Halijah memandang wajah Mastura dengan penuh
kebencian. Kenapa Ashraf bawa isterinya ke mari? Untuk apa? Tidak tahukah
Ashraf yang dia tidak suka Mastura?
“Ashraf
nak kenalkan ibu dengan Mas dan anak kami. Itu saja ibu. Sampai bila ibu nak
berdendam dan membenci Mastura? Apa salah dia? Salah ke dia menjadi isteri
Ashraf?” Ashraf hiba. Sudah tiga tahun dia berkahwin dengan Mastura, kenapa ada
benci di hati ibunya sehingga kini? Apa lagi yang harus dia lakukan agar ibunya
sedia menerima kehadiran Mastura?
“Ibu
tak ada menantu dan cucu!” kata Halijah kasar, jelas dan tegas.
“Ibu!
Mastura isteri Ashraf, Maria adalah anak Ashraf. Kalau ibu tidak boleh menerima
mereka bermakna ibu juga telah membuang Ashraf.” Ashraf memandang wajah Halijah
yang kelat dan masam itu.
“Kau
tak dengar ibu cakap tadi ya, Ashraf! Sampai bila-bila pun ibu takkan terima
kehadirannya! Kau tak faham ke?”
“Sampai
hati ibu.” Ashraf menunduk kecewa.
“Sampai
ke tidak, itu hak aku! Kau yang tidak dengar cakap!” marah Halijah.
Mastura
tidak berkutik. Tidak mahu menyampuk. Menjadi pendengar dengan hati yang panas
mengelegak. Maria di ribaan dipeluk kemas. Sekemas hatinya yang sedang terluka
itu. Suara ibu mertuanya bagaikan pisau menghiris jantung hatinya. Bagaikan
sembilu mencucuk ke sanubari.
“Hei,
perempuan! Kau dah bomohkan anak aku ya? Dasar perempuan murahan dan miang!
Sanggup kau goda anak aku kerana nakkan harta dia, ya?” tuduh Halijah menerjah
telinga Mastura yang masih lagi membisu, duduk bagaikan patung tidak berani
melawan.
“Ibu!”
jerit Ashraf, tidak selesa mendengar kata-kata ibunya. Penghina buat isterinya.
“Kau
diam, Ashraf! Hati ibu masih tak puas!” jerkah Halijah. Meram padam wajahnya
menahan marah. Kebencian membunuh sifat baik yang terselit sedikit di hati.
“Kau jangan jejakkan kaki ke rumah aku ini, perempuan! Kau perampas hak orang
lain! Kau pisahkan aku dan anak aku! Kau fikir kau mulia sanggup berkorban
konon?” sindir Halijah berapi-api.
“Sudahlah,
ibu. Kehadiran kami bukan minta dihina dan dicaci. Biarlah Ashraf balik dahulu.
Lagi lama di sini, makin pedih hati ini.” Ashraf bingkas bangun. Tangan Mastura
diraih.
“Kau
nak ke mana, Ashraf? Kau nak jadi anak derhaka kerana perempuan ini? Kau
ceraikan dia dahulu, baru ibu terima kau kembali!” kata Halijah dengan suara
bernada tinggi.
“Ibu,
perempuan ini ada nama. Mastura namanya. Dia menantu ibu sampai bila-bila.
Bukan niat nak jadi anak derhaka tapi ibu yang tidak mahu terima kehadirannya.
Maafkan Ashraf dan ampunkan segala dosa Ashraf terhadap ibu.” Ashraf mendekati
Halijah dan menunduk bersalaman dengan ibu kandung yang melahir dan membesarkan
nya sehingga dewasa. Bukan niat di hati melawan orang tua. Dia tahu satu dosa,
tetapi haruskah dia membuang isterinya sendiri.
“Kau
pergi! Jangan kembali lagi, Ashraf!” jerit Halijah.
Ashraf
melangkah laju menuju ke keretanya. Dia masih punya kuasa dengan harta dan
syarikat yang telah diletakkan atas namanya. Perkara itu ibunya tidak mampu
berbuat apa-apa. Itu sebab dia masih membantu dan menjadi Pengarah Urusan di
syarikat milik arwah ayahnya dahulu. Walaupun ada syarikat sendiri namun dia
masih membantu menguruskan syarikat keluarga setelah arwah ayahnya meninggal.
Kereta dipandu laju meninggalkan rumah tersebut.
Bunyi hon kenderaan lain menyedarkan
Mastura ke dunia nyata. Penghinaan yang diterima tidak akan dibiarkan begitu
sahaja. Keegoan ibu mertuanya harus dibalas. Tergamak memisahkan dia dan
suaminya sendiri lantaran kebencian yang bertahta di hati. Jodohnya ketentuan
ILAHI kenapa sukar benar hendak menerima. Kehadiran Katrina menambah nana di
hati. Kebahagiaan diragut tanpa rasa belas kasihan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan