Mastura meneliti akaun syarikat. Sudah dua bulan suaminya
meninggal. Syarikat berjalan lancar tanpa apa-apa masalah. Dahinya berkerut
lagi. Jujurnya pegawai-pegawai suaminya menjalankan tugas. Keuntungan tahun ini
pula berganda. Rezeki namanya. Tuannya sudah tiada, syarikat berjalan lancar.
Pelik ke tidak? Positif, jangan salah sangka.
“Siapa
yang kendalilah bahagian pemasaran?” Mastura merenung wajah setiausaha arwah
suaminya. Shirley, gadis berbangsa Tionghua tapi fasih berbahasa Melayu.
“Encik
Borhan, puan. Tapi dia tiada di pejabat. Keluar jumpa pelanggan syarikat,”
terang Shirley.
“Saya
berpuas hati dengan perjalanan syarikat. Keuntungan juga berganda. Rasanya saya
boleh buat keputusan, kan? Bonus tahun ini dua bulan setengah gaji,” ujar
Mastura, tersenyum.
“Biar
betul, puan? Tak nak tunggu pengurus bahagian HR dulu, baru puan buat
keputusan?” Shirley memberi cadangan.
“Tak
perlu. Saya tahu kemampuan syarikat. Awak suruh pihak HR bayar penghujung bulan
ini. Ini juga adalah sedekah arwah suami saya kepada para pekerjanya. Semoga
ada pahala untuknya, amin.” Mastura perlu buat sesuatu untuk para pekerja yang
setia kepada arwah suaminya. Sehingga kini mereka langsung tidak meninggalkan
syarikat, malah semakin memajukan syarikat. Berapa sen sangatlah bonus dua
bulan setengah gaji itu, jika hendak dibandingkan dengan jasa mereka kepada
keluarganya dan syarikat? Tanpa mereka, syarikat arwah suaminya tidak akan
terus maju dan mampu bersaing dengan syarikat besar di luar sana.
“Terima
kasih, puan.” Shirley tersenyum gembira.
“Bagaimana
dengan projek perumahan kita di Sungai Buluh, berjalan lancar?” Mastura
meneliti fail yang mengandungi butiran projek perumahan di Sungai Buluh.
Kawasan yang sedang pesat membangun.
“Semua
butiran ada di dalam fail, puan. Ketua projek Encik Razif dah memuat naik semua
butiran ke dalam fail tu. Tiak lama lagi siaplah tu. Masih mengikut jadual
perancangan kita sebelum ini,” jelas Shirley.
Mastura
berpuas hati dengan penerangan yang diberi serta segala laporan tentang projek
perumahan milik syarikat suaminya.
“Bagaimana
dengan projek rumah kos rendah? Sudah mula ke?”
“Dah,
puan. Kalau tak salah sudah 50 peratus siap.” Shirley menerangkan butiran
projek. Kerjasama dengan kerajaan tempatan.
“Terima
kasih, Shirley. Bawakan saya air kosong.” Mastura menutup semula fail tersebut.
Dia menyandarkan tubuhnya ke kerusi yang menjadi tempat duduk suaminya. Sewaktu
arwah masih hidup dia jarang datang ke syarikat tersebut. Takut bertembung
dengan ibu mertuanya. Dia bukan berminat menguruskan syarikat yang besar itu
tetapi terpaksa. Dia tahu Katrina tentu tidak akan mahu, Ibu mertuanya,
entahlah. Dia memicit dahinya sendiri. Gambar dia, bersama suami dan Maria
masih kemas duduknya di meja kerja itu. Rindu masih berbaki. Tidak mungkin
padam dengan begitu cepat.
Mastura
memandang persekitaran pejabat melalui cermin di bilik arwah suaminya. Para
pekerja tekun melakukan tugas masing-masing. Bagaikan tiada apa yang berlaku
dan berubah. Semuanya berjalan lancar. Dia berasa pelik namun tidak mampu
terluah dengan kata-kata. Nanti orang fikir dia gila. Tidak mungkin sebuah
syarikat masih beroperasi dengan baik sedangkan pemiliknya sudah tiada. Mungkin
ada, tetapi bukan semua. Syarikat yang masih ada pemiliknyapun kadang-kadang
goyah.
Usai segala urusan di pejabat, dia
singgah sebentar di Pasaraya Giant untuk membeli barang keperluan. Terasa
lapang fikiran apabila berjalan sendirian. Troli ditolak perlahan. Dia
mengambil barang-barang keperluan yang sudah siap disenaraikan. Keperluan dapur
juga dia yang terpaksa uruskan kini. Ibu mertuanya tidak mengambil tahu pula.
Bertambah
parah apabila semua harta di bawah pengawasannya. Senyuman terukir di bibir
apabila terkenangkan hal tersebut. Berjaya juga dia mendapatkan milik Maria
tanpa perlu bekerja keras. Tidak perlu merayu atau saman menyaman. Kalau mereka
hendak menyaman, terserah, bila-bila masa. Rasa hendak ketawa pun ada. Baru
mereka tahu siapa dirinya. Dia tidak akan membiarkan dirinya dibuli. Kalau dia
boleh ketawa, sudah pasti dia akan ketawa kesukaan yang amat sangat.
‘Kau
ingat senang kau nak permainkan aku?’ detik hati kecilnya. Padan muka keluarga
Ashraf!
Mereka
fikir budak kampung seperti dia boleh dikotak katikkan, dipermainkan.
Dipersendakan? Dia tidak akan membiarkan diri terus dihina, dicaci hanya kerana
dia budak kampung dan tidak berpelajaran. Dia ada hati, ada rasa. Apakah mereka
fikir dia boleh terima bulat-bulat dan redha setiap cacian yang lahir dari
bibir mereka? Silap orang.
Langkah
diayun penuh gaya, janda kaya, itulah statusnya sekarang. Tidak lagi perlu ada
kerisauan di hati jika harta milik suaminya akan jatuh ke tangan ibu mertuanya
semula. Begitu juga dengan madunya yang tidak sedar diri itu. Dua bulan sudah
berlalu. Yang mati biarlah bersemadi dengan aman. Yang hidup perlu teruskan kehidupan.
Mastura sudah berkira-kira hendak bercuti dengan anaknya. Ke mana? Belum
ditentukan lagi.
“Helo,
apa ini satu kebetulan?” Satu suara menyapa lembut.
Mastura
laju menoleh. Lelaki ini lagi? Buat apa dia di sini? Benarkah kebetulan?
Mastura memaniskan senyuman.
“Buat
apa di sini?” tanya lelaki itu lagi.
“Joging,”
jawab Mastura selamba.
Pecah
tawa lelaki itu. “Ops! Membeli-belah, kan?” katanya dengan tawa yang masih
berbaki.
“Tahu
tak apa. Awak… terlupa pula nama siapa ya?” memang benar Mastura lupa nama
lelaki tersebut. Hanya pertama kali mereka berjumpa, selepas itu berpisah.
“Adrian.”
Lelaki itu memperkenalkan dirinya semula.
“Oh
ya, Adrian. Maaflah dah semakin tua. Ingatan pula tak berapa baik.” Senyuman
masih terukir di bibir.
“Sudah
terlanjur berjumpa, harap kali ini awak tak menolak?”
“Maksudnya?”
Kening Mastura bertaut.
“Saya
belanja awak minum. Boleh, kan?” Adrian menunduk hormat.
“Saya?”
Mastura serba salah. Tidak manis pula dia keluar minum dengan seorang lelaki
lain. Apatah lagi dengan statusnya sekarang. Nanti jadi buah mulut orang pula.
“Kita
berada di tempat awam, bukan di tempat sunyi atau hanya kita berdua,” ujar
Adrian, bagaikan memahami apa yang terlintas difikiran Mastura.
“Okeylah,
saya beli barang keperluan dulu. Lepas tu kita minum di kedai berhampiran
ajelah.” Akhirnya persetujuan diberi oleh Mastura.
“Terima
kasih.” Adrian tersenyum bahagia. Umpan mengena. Mereka berjalan seiring
menolak troli masing-masing sambil berbual mesra.
Berkerut seribu dahi Katrina menahan marah
dan geram di hati. Jantan tidak guna! Mahu sahaja dia menyerang madunya dan
lelaki tersebut. Sudah pandai menikamnya dari belakang. Adakah agenda lelaki
tersebut mendekati madunya? Baru minggu lepas mengajaknya berkahwin, hari ini
sudah berani menegur musuhnya. Terbantut seleranya hendak menikmati KFC. Dia
mencapai beg tangannya dan berlalu keluar dari restoran tersebut. Dia melangkah
masuk ke dalam pasar raya. Hendak melihat sendiri drama lakonan lelaki tersebut
bersama madunya.
Baru
sahaja kematian suami, takkan sudah hendak cari pengganti? Pengganti itu adalah
teman lelakinya sendiri. Dasar perempuan yang suka merampas hak orang lain!
Dahulu merampas Ashraf daripadanya, sekarang Adrian pula. Tak guna!
Langkah
semakin laju, terhendap-hendap bagaikan pencuri. Sesekali menyorok di sebalik
barang. Memerhati kelakuan dua manusia yang bagaikan menghina dirinya. Mereka
ketawa? Aduhai! Apa agaknya yang menyentuh hati lelaki itu. Mastura pula
melayan! Eeii… geramnya! Roti di tangan dipukul-pukul. Mata pelanggan yang
memandang langsung tidak dihiraukan. Biarlah mereka fikir apapun, dia peduli
apa. Roti itu diletak semula. Penyek. Lantaklah. Dia terus mengikut langkah
kedua-dua lelaki dan perempuan itu.
Dia
terus mengikut, bersembunyi bila perlu. Masuk restoran pula? Mereka minum
berdua? Ini sudah melampau! Marah menghambat diri. Cemburu dan geram bertali
arus. Kaki dihentak-hentakkan melepas kemarahan di dada.
‘Nanti
kau Adrian!’ Dia terus keluar dari pasar raya terkenal di Malaysia itu dengan
hati yang sebal, terluka dan berdarah. Tak mengapa. Mungkin mereka terserempak
secara tidak sengaja. Mungkin juga Mastura tidak tahu Adrian itu teman lelaki
dia. Dia akan dapatkan jawapan daripada lelaki itu nanti. Pasal Mastura,
tahulah dia apa yang harus dilakukan. Mastura ingat dia boleh rampas semua hak
miliknya. Tidak! Dia tidak akan benarkan sama sekali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan