AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 8 November 2014

TOLONG CARI SUAMIKU- BAB 20


Suti tidak sedap hati. Bagaikan terasa ada yang tidak kena di dalam bilik Mastura. Dia masih mencari. Langkahnya berhenti di balik pintu. Tangan diangkat setinggi kepala. Tidak sampai. Dia mengambil kerusi. Terus memanjat. Dia mencapai sesuatu. Apa benda ini? Dia turun semula. Daun pintu ditutup rapat.
Balutan kain kuning dibuka. Ya ALLAH tulang-belulang bersama paku dan kaca. Apa erti semuanya ini? Tidak mungkin ada orang berniat jahat dengan Mastura? Tetapi siapa. Suti memasukkan barang tersebut ke dalam poketnya. Dia menuju ke dapur.
Empat orang penghuni rumah itu sedang menikmati sarapan pagi Yanti sudah naik ke tingkat atas mengemas apa yang perlu. Dia bertugas menyediakan sarapan dan menjaga Maria hari ini. Wajah Katrina, Mastura dan Halijah dipandang silih berganti. Siapa buat siapa? Siapa hendak niaya siapa? Fikirannya ligat berfikir mencari jawapan yang diyakini.
Usai sarapan Halijah dan Katrina keluar dari rumah. Ada tempat yang hendak dituju.
Mastura melayan Maria seketika. Dia memimpin tangan Maria masuk ke dalam bilik.
“Maria tahu tak, semua harta ini adalah milik Maria. Anak mak akan jadi anak gadis jutawan. Maria sebut aje nak bercuti ke mana? Emak akan bawa. Lagi satu sebut sahaja hendak bersekolah di mana, emak akan carikan sekolah yang terbaik buat anak emak ini,” cerita Mastura.
Berkerut dahi Maria mendengarnya. Faham atau tidak bukan persoalan. Kata-kata itu menusuk hatinya. Gadis jutawan? Apa maknanya? Maria menggaru kepalanya sendiri. Tidak mengerti.
“Tak faham?” Mastura tersenyum. Maria ditarik dalam pelukan.
“Sebelum ini, ayah adalah tuan punya syarikat dan harta ini, sekarang Marialah tuan punya syarikat dan harta ini, faham tak cakap mak?” Terang Mastura.
Maria menggelengkan kepala.
“Kalau tak faham tak apa, nanti bila Maria dah cukup dewasa dan sudah mengerti, mak akan terangkan lagi. Sekarang ini waktu untuk kita berehat dan bersukaria. Ayah takkan kembali, kita kenalah teruskan hidup.” Dahi Maria dicium berkali-kali.
“Puan.” Suti berdiri di hadapan pintu.
“Ada apa, Suti?” Mastura kehairanan. Wajah Suti serius sahaja. Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena. “Awak ada masalah ke?” Maria dilepaskan dari pelukan.
“Ini.” Suti menyerahkan bungkusan kuning itu kepada Mastura.
“Bungkusan apa ni?” tanya Mastura kehairanan.
“Rasanya ada orang mahu guna-gunakan puan atau kata lain, sihir. Orang dalam rumah ini juga, siapa saya tak tahu?” kata Suti.
“Ubat guna-guna? Biar betul, Suti? Awak tak silap, kan?” Mastura tidak percaya. Siapa yang hendak guna-gunakan dia? Takkan ibu mertuanya? Katrina?
“Benar, puan. Tolong rahsiakan saya yang jumpa benda ni. Nanti riuh jadinya,” pohon Suti.
“Ya ALLAH ada juga hati manusia yang busuk dan iri hati dengan saya, Suti?” Mastura mengeluh. Bungkusan itu ditenung lagi. “Macam mana mahu buang, Suti?” tanyanya. Dia bukan pandai benda-benda kurafat seperti ini.
“Kena kasi kembali kepada orang yang membuatnya,” jawab Suti.
“Siapa?” Mastura hairan. Kalau tanya kepada dua insan yang tinggal bersamanya di rumah itu, sudah pasti mereka menafikannya. “Tak boleh buang sendiri ke?”
“Nasib baik cepat jumpa. Masih ada ruang untuk menangkis ilmu hitam ini. Puan kena banyak baca ayat Kursi dan Yasin, serta berdoa semoga dijauhi dari bahaya.” Suti berlari turun ke dapur lalu membuang kandungan barangan tersebut jauh dari luar rumah dan berlari semula ke dalam bilik. Dia menggantikannya dengan barangan lain. Biar tiada siapa yang syak barang tersebut sudah ditemui. Dia menyangkutkannya semula.
“Barang tu untuk apa?” tanya Mastura ingin tahu.
“Agar puan mengikut cakap mereka dan diperbodohkan. Hati-hati waktu minum dan makan apa saja daripada mereka. Berhati-hati lebih baik,” terang Suti.
“Dahsyatnya... tentu pasal harta!” Mastura mengetap bibir. Siapa pun yang mencari bomoh orang itu adalah mereka yang di dalam rumah ini juga.
“Puan kenalah berlakon kononnya sudah diperbodohkan.” Suti ketawa.
“Hisy, awak ni!”
“Kalau puan masih seperti biasa, takut nanti mereka ambil yang lain pula.” Suti memandang wajah Mastura yang mula berkerut.
“Yalah, nanti tahulah saya. Buruk benar perangai mereka. Kerana harta sanggup merosakkan orang lain. Tidak ada perasaan langsung.
“Nasib baik diperbodohkan. Kalau mereka hantar santau? Merana seluruh tubuh. Apa pun kedua-duanya tidak bagus dan tidak baik. Orang yang sanggup mencari bomoh ini tiada iman.”
“Terima kasih, Suti. Macam mana kamu tahu?”
“Saya ada belajar ilmu perubatan Islam. Jadi bisa merasa jika ada sesuatu yang tidak baik,” jelas Suti.
“Untung saya dapat pembantu seperti awak,” puji Mastura.
“Saya sekadar membantu.” Suti menyengih.
“Awak jaga Maria, saya mahu ke pejabat.” Mastura mendekati Maria semula dan menciumnya.
“Emak nak ke pejabat. Maria duduk dengan Mak Cik Suti ya, jangan nakal-nakal,” pesan Mastura. Kebimbangan mula menerpa masuk. Kalau sudah berani mencari bomoh nampaknya ada yang mahu berlawan dalam senyap. Ke mana mereka berdua pergi? Masih awal waktu sudah menghilangkan diri. Siap main bomoh lagi? Mereka main kasar ya? Mastura mencapai beg tangannya dan melangkah keluar. Myvi dipandu perlahan meninggalkan pekarangan rumah.

Perasaan mengapai duka. Hati dan perasaannya sudah banyak berbeza. Dia bagaikan tidak mengenali diri ini. Hidup hanya mementingkan diri sendiri. Harta bukanlah tunggak utama dalam mencari kehidupan di dunia ini tetapi apabila ada yang menghina lantaran asal usul diri membuatkan dia berjanji, hendak merampas apa sahaja yang dimiliki oleh manusia yang tegar menghinanya. Hina sangatkah lahir di kampung? Buruk sangatkah tidak menjejakkan kaki di menara gading? Jijik sangatkah jadi orang miskin? Persoalan yang bermain difikiran dibiarkan tanpa jawapan. Manusia hipokrit. Macamlah dia berasal dari bandar? Tidak sedar diri, itulah masalahnya.
Maria tonggak kekuatan dirinya. Dia akan mengambalikan maruah diri yang diinjak-injak oleh ibu mertuanya sebelum ini. Puas dia cuba untuk berbaik dengan Halijah namun ditolak mentah-mentah. Darjat, harta dan kedudukan sahaja berlagu di bibir ibu mertuanya. Zaman tok kaduk betul! Sekarang keadaan sudah berbeza. Orang miskin boleh jadi kaya-raya. Yang kaya boleh kembali papa kedana. Kalau malas bekerja, harta yang banyak pun akan pupus selama-lamanya. Kalau rajin hanya ada duit seringgit mampu membina empayar perniagaan. Siapa tahu, tuah manusia. Peristiwa lama bertayangan difikiran.

“Buat apa kau bawa dia ke mari, Ashraf? Kau ingat ibu suka? Sampai mati pun ibu takkan restu hubungan kau dengan dia! Keputusan ibu tidak akan berubah!” Halijah memandang wajah Mastura dengan penuh kebencian. Kenapa Ashraf bawa isterinya ke mari? Untuk apa? Tidak tahukah Ashraf yang dia tidak suka Mastura?
“Ashraf nak kenalkan ibu dengan Mas dan anak kami. Itu saja ibu. Sampai bila ibu nak berdendam dan membenci Mastura? Apa salah dia? Salah ke dia menjadi isteri Ashraf?” Ashraf hiba. Sudah tiga tahun dia berkahwin dengan Mastura, kenapa ada benci di hati ibunya sehingga kini? Apa lagi yang harus dia lakukan agar ibunya sedia menerima kehadiran Mastura?
“Ibu tak ada menantu dan cucu!” kata Halijah kasar, jelas dan tegas.
“Ibu! Mastura isteri Ashraf, Maria adalah anak Ashraf. Kalau ibu tidak boleh menerima mereka bermakna ibu juga telah membuang Ashraf.” Ashraf memandang wajah Halijah yang kelat dan masam itu.
“Kau tak dengar ibu cakap tadi ya, Ashraf! Sampai bila-bila pun ibu takkan terima kehadirannya! Kau tak faham ke?”
“Sampai hati ibu.” Ashraf menunduk kecewa.
“Sampai ke tidak, itu hak aku! Kau yang tidak dengar cakap!” marah Halijah.
Mastura tidak berkutik. Tidak mahu menyampuk. Menjadi pendengar dengan hati yang panas mengelegak. Maria di ribaan dipeluk kemas. Sekemas hatinya yang sedang terluka itu. Suara ibu mertuanya bagaikan pisau menghiris jantung hatinya. Bagaikan sembilu mencucuk ke sanubari.
“Hei, perempuan! Kau dah bomohkan anak aku ya? Dasar perempuan murahan dan miang! Sanggup kau goda anak aku kerana nakkan harta dia, ya?” tuduh Halijah menerjah telinga Mastura yang masih lagi membisu, duduk bagaikan patung tidak berani melawan.
“Ibu!” jerit Ashraf, tidak selesa mendengar kata-kata ibunya. Penghina buat isterinya.
“Kau diam, Ashraf! Hati ibu masih tak puas!” jerkah Halijah. Meram padam wajahnya menahan marah. Kebencian membunuh sifat baik yang terselit sedikit di hati. “Kau jangan jejakkan kaki ke rumah aku ini, perempuan! Kau perampas hak orang lain! Kau pisahkan aku dan anak aku! Kau fikir kau mulia sanggup berkorban konon?” sindir Halijah berapi-api.
“Sudahlah, ibu. Kehadiran kami bukan minta dihina dan dicaci. Biarlah Ashraf balik dahulu. Lagi lama di sini, makin pedih hati ini.” Ashraf bingkas bangun. Tangan Mastura diraih.
“Kau nak ke mana, Ashraf? Kau nak jadi anak derhaka kerana perempuan ini? Kau ceraikan dia dahulu, baru ibu terima kau kembali!” kata Halijah dengan suara bernada tinggi.
“Ibu, perempuan ini ada nama. Mastura namanya. Dia menantu ibu sampai bila-bila. Bukan niat nak jadi anak derhaka tapi ibu yang tidak mahu terima kehadirannya. Maafkan Ashraf dan ampunkan segala dosa Ashraf terhadap ibu.” Ashraf mendekati Halijah dan menunduk bersalaman dengan ibu kandung yang melahir dan membesarkan nya sehingga dewasa. Bukan niat di hati melawan orang tua. Dia tahu satu dosa, tetapi haruskah dia membuang isterinya sendiri.
“Kau pergi! Jangan kembali lagi, Ashraf!” jerit Halijah.
Ashraf melangkah laju menuju ke keretanya. Dia masih punya kuasa dengan harta dan syarikat yang telah diletakkan atas namanya. Perkara itu ibunya tidak mampu berbuat apa-apa. Itu sebab dia masih membantu dan menjadi Pengarah Urusan di syarikat milik arwah ayahnya dahulu. Walaupun ada syarikat sendiri namun dia masih membantu menguruskan syarikat keluarga setelah arwah ayahnya meninggal. Kereta dipandu laju meninggalkan rumah tersebut.

Bunyi hon kenderaan lain menyedarkan Mastura ke dunia nyata. Penghinaan yang diterima tidak akan dibiarkan begitu sahaja. Keegoan ibu mertuanya harus dibalas. Tergamak memisahkan dia dan suaminya sendiri lantaran kebencian yang bertahta di hati. Jodohnya ketentuan ILAHI kenapa sukar benar hendak menerima. Kehadiran Katrina menambah nana di hati. Kebahagiaan diragut tanpa rasa belas kasihan.



No comments:

Post a Comment