AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 8 September 2014

CERITA KEHIDUPAN- BAB 5






BAB 5
Wajah abang ngahnya mencuka.  Merah padam memandangnya tidak  berkelip.  Senja semakin menghampiri, siang berlabuh pergi.  Azan Maghrib berkumandang.  Aziz mencampakkan beg sekolah di tepi almari televisyen.  Dia duduk melepaskan lelah, kepenatan separuh hari di sekolah.  Emak sedang sibuk di dapur menyediakan makan malam.  Adik-adik yang lain leka menonton televisyen, tidak menghiraukan dia yang baru balik dari sekolah.  Mereka bersekolah petang juga tetapi sekolah rendah dekat dengan rumah jadi mereka sampai awal.  Dia terpaksa naik bas sekolah yang dibayar secara bulanan oleh orang tuanya.
“Kau ponteng sekolah hari ni ya, Aziz?  Tadi Cikgu Ahmad telefon ke rumah,”  soal Azrul.  Aziz yang sedang mengeluarkan buku sekolah memandang wajah abang ngahnya sekali imbas.
“Tak sengaja,” kata Aziz memberi alasan.  Azrul mencebik.
“Tak sengaja?  Bila cuti hujung minggu tak nak siapkan kerja rumah yang diberi lepas tu senang-senang sahaja kau ponteng kelas.  Hendak busukkan nama abang, emak dan ayah ke?” marah Azrul. 
“Orang tak sengaja, tak sengajalah, siapa pula nak busukkan nama siapa?”  jawab Aziz kasar. 
            “Sudahlah Azrul, bisinglah,” Aminah menjengah dari dapur..  Mereka serentak memandang ke arah Aminah.  Jelas terpancar wajah keletihan emak mereka. 
“Pergi makan nasi, lepas itu buat kerja rumah bagi selesai,” perintah Aminah pada anak-anaknya.  Keenam-enam mereka akur.  Azrul mengetap bibir.  Geram juga dia jika emak dan ayahnya ambil mudah soal pelajaran adik-adiknya.  Kalau sudah sampai berani ponteng sekolah  takut nanti melarat jadi gejala sosial yang lain pula. 
“Mak tak boleh biarkan Aziz buat sesuka hati, nanti jadi ikutan adik-adik yang lain pula!’  Azrul memandang wajah emaknya.  Aminah mendengus kasar. 
“Azrul pergi berehat, esok dah nak sekolah,”  Aminah mengemas meja makan setelah semua anak-anaknya selesai makan malam.  Meja itu hendak diletak pula kuih-muih yang telah siap dikukus.  Esok baru boleh potong.
“Bawa adik-adik sekali, suruh mereka tidur awal kalau tidak ada kerja rumah,”   kata Aminah lagi.  Anak-anak akur dengan arahannya.  Itulah yang membuatkan dia jarang marah mereka.  Bukan tidak peduli tetapi badannya yang letih membuatkan dia tidak berdaya untuk mengambil tahu.  Aziz duduk di kusyen sambil menonton televisyen.  Setelah mengemas apa yang perlu Aminah duduk di sebelah Aziz.  Mula-mula dia turut sama menonton. Anak-anaknya yang kecil sudah pun merebahkan diri di atas tikar sambil menonton televisyen yang masih terpasang.  Azrul pula membawa buku ke dapur dan mula mengulangkaji pelajarannya serta membuat kerja rumah yang telah diberi oleh guru-gurunya.  Tidak boleh culas.
Aminah menoleh memandang wajah Aziz tidak berkelip.  Dia sayangkan anak-anaknya, tiada istilah pilih kasih biar bagaimana keadaan  mereka sekali pun.  Buruk atau cantik bukan ukuran. Mereka darah dagingnya.  Dia memeluk Aziz.  Dia menangis dibahu Aziz semahu-mahunya.  Azrul yang leka memtelaah pelajarannya terkejut.  Dia berhenti belajar dan memerhatikan emaknya.  Dahinya berkerut.  Matanya menjunam ke arah emak dan adiknya.  Adik-adik yang lain terkedu melihat emak mereka menangis.
Aziz apatah lagi.  Belum pernah emaknya berbuat seperti itu.  Kenapa emaknya menangis?
Aminah menangis sayu.  Sayu memikirkan nasib anak-anaknya.  Sedih memikirkan anaknya sudah berani ponteng sekolah.  Takut memikirkan anak-anaknya terjebak dalam anasir tidak sihat.  Minta dijauhkan dari segala kemungkaran.  Aminah merenggangkan pelukan. 
“Mak tak minta apa-apa pun dari Aziz.  Mak tak minta Aziz cemerlang dalam pelajaran.  Aziz tak perlu dapat A dalam semua pelajaran.  Mak tahu, emak dan ayah tidak mampu memberi kemewahan dan hidup yang selesa pada kalian.  Maafkan emak dan ayah.  Mak tidak mengharapkan apa-apa balasan setelah apa yang telah kami berikan.  Mak cuma  minta satu sahaja, jadilah anak yang baik dan taat.  Tidakkah Aziz kasihan dengan emak dan ayah?  Tidakkah Aziz simpati dengan emak dan ayah? Apakah  Aziz tidak sayangkan emak dan ayah?  Apa salah emak dan ayah pada Aziz sehingga sanggup memalukan emak dan ayah?  Apa yang telah kami buat sehingga Aziz sanggup ponteng sekolah?  Kenapa Aziz sanggup cemarkan nama emak dan ayah pada pihak sekolah?”   Aminah menangis lagi.  Air matanya berjujuran keluar.  Dia kecewa.  Hatinya hancur.  Apakah dia gagal mendidik anak-anaknya menjadi manusia yang baik.
“Mak!”  Azrul mendekati Aminah. 
“Maafkan mak, Azrul.  Maafkan ayah kerana mengabaikan kalian lantaran kesibukan kami mencari duit bagi mencukupkan keperluan harian kita.  Maafkan emak dan ayah kerana tidak memperdulikan pelajaran kalian. Bukan tidak ambil tahu, bukan tidak ingin ambil tahu.  Mak letih sangat, seharian bekerja membuat kuih.  Jauh di sudut hati emak, emak mengharapkan kalian memahami keadaan emak dan ayah.  Bila kakak gagal dalam SPM emak dan ayah kecewa tapi takkanlah emak dan ayah hendak memarahi kakak.  Mungkin bukan rezeki mereka.   Harapan emak  dan ayah mungkin terlalu tinggi pada kalian, maafkan kami jika kami beranggapan kalian boleh berdikari sendiri, faham dengan keadaan dan kehidupan yang sedang kita lalui dan kalian akan bersungguh-sungguh belajar.  Ada keinginan untuk berjaya menjadi manusia yang berguna pada agama, bangsa dan negara.  Aziz, susah sangatkah untuk melakukan apa  yang ada dalam hati emak dan ayah?”  kata Aminah panjang lebar.  Aziz yang mendengar terdiam dan menunduk.  Begitu juga Azrul.  Adik-adiknya yang masih kecil menangis. Faham atau tidak bukan persoalan.
“Mak!”  hanya itu sahaja yang keluar dari mulut Aziz.  Dia memeluk emaknya erat.  Siapa yang tidak mengasihi emak kandung sendiri.  Dia sayangkan emak dan ayahnya.  Entahlah kenapa dia terpengaruh dengan ajakan Radzi dan Karim tadi.  Azrul turut menerpa dan memeluk emaknya erat.  Mereka menangis.
“Berjanjilah dengan emak Aziz, Azrul, kalian akan belajar bersungguh-sungguh.  Dapat keputusan baik atau tidak bukan di tangan kita.  Apa yang penting kalian berusaha, kita belajar  bukan hanya untuk lulus periksa tetapi untuk mendapatkan ilmu.  Ilmu yang tidak akan kita perolehi bila kita sudah habis belajar nanti.  Tolonglah dan bantulah emak dan ayah, ya.  Emak hanya minta kalian belajar sahaja, tidak lebih dari itu.  Aziz, buanglah perasaan malas di hati.  Kerana kemalasan adalah racun dalam diri.  Biar kita tidak pandai namun kita berusaha, bukan membiarkan kemalasan dan kebodohan menjadi pembunuh masa depan kita sendiri.  Jika berjaya untuk diri kalian sendiri.  Bukan untuk emak dan ayah.  Masa depan emak dan ayah adalah kalian.  Hanya kalian,”  Aminah sebak.  Di hadapannya  adalah ‘ masa depan’nya.  Jika gagal mereka bermakna gagallah dia sebagai emak.  Jika gagal mereka bermakna dia tidak pandai mendidik mereka.  Bukan cikgu atau guru-guru di sekolah.  Segala-galanya bermula di rumah.  Aminah mengusap wajah Aziz dan Azrul dengan penuh kasih dan sayang.  Anak-anak yang lain mendekati dan memeluk Aminah erat. 
“Maafkan Aziz, mak.  Aziz janji takkan buat lagi.  Aziz akan berusaha belajar bersungguh-sungguh dan tidak akan nakal lagi.”  Aziz memeluk Aminah lagi sekali.  Aminah tersenyum.  Semoga Aziz berpegang pada janjinya itu.  Azrul tersenyum dan mengusap  kepala Aziz.  Sebagai abang, dia sepatutnya memantau pelajaran adik-adiknya bukan hanya mementingkan diri sendiri.  Membiarkan adik-adiknya belajar sendiri.  Azrul sedar akan kealpaan dirinya sendiri.
            Azrul kembali ke meja makan.  Dia memandang buku-buku yang berselerakan di atas meja.  Dia termenung jauh.  Emaknya telah pun masuk ke dalam bilik, berehat seketika sebelum keluar semula menyambung tugasnya.  Aziz dan adik-adik sudah pun tidur kerana esok ada yang sekolah pagi dan ada yang sekolah petang.  Dadanya sebak.  Dia memejamkan mata.  Kalaulah semua ibu-ibu mempunyai kesedaran seperti emaknya pasti tiada anak yang gagal dalam hidup.  Bagi Azrul anak-anak walaupun macam mana nakal sekali pun tetap memerlukan bimbingan dan tunjuk  ajar dari kedua orang tua.  Tidak boleh lepas tangan hanya kerana kesibukan mencari duit.  Bukankah anak-anak itu amanah kepada kedua orang tua.  Azrul mengeluh.

No comments:

Post a Comment