BAB 6
Kevin memandang
wajah Rajesh dan Mathialagam silih berganti.
Kevin memuncungkan bibirnya.
Otaknya ligat berfikir.
Tercari-cari idea yang tiba-tiba kering di otaknya. Ke mana menghilang ideanya yang bernas dan
selalu memberansangkan sebelum ini.
Sudah pasti pagi tadi dia terlupa minum nescafe. Kevin mengeluh.
“Hoi! Fikirlah cepat!” lengking suara Mathialagam. Kevin mencebik. Rajesh menyengih.
“Aku ada idea,” kata Rajesh.
Dia melangkah bangun dan menyapu punggungnya yang dikotori oleh tanah
tempat dia melabuhkan punggungnya sebentar tadi. Kevin dan Mathialagam memandang wajah Rajesh
serentak.
“Aku nak kita hadiahkan
sebuah rumah pada Azrul, tak nak rumah kos rendah atau rumah pangsa. Aku nak hadiahkan dia rumah teres,” Rajesh mengangkat kening. Kevin dan Mathialagam saling berpandangan dan
terlopong mendengar cadangan Rajesh.
“Kau bermimpi malam
tadi ke Rajesh? Atau kau menang
loteri? Atau kau sudah hilang
akal?” usik Mathialagam. Kevin ketawa mengekek. Geli hati dengan cadangan Rajesh yang
dianggapnya tidak masuk akal. Rumah
pangsa kos rendah berharga puluhan ribu ringgit, inikan rumah teres di kota
besar seperti Kuala Lumpur ratusan ribu ringgit. Mana mungkin mereka mampu membeli hadiah semahal itu.
“Bukan kita belilah,
tapi orang tua kita. Nasib kita jauh
lebih baik dari Azrul. Kita semua
tinggal di rumah banglo tetapi dia tinggal di rumah pangsa yang disewa
bertahun-tahun. Sewa rumahnya dua tahun
sekali naik, simpati aku dengan nasib dia dan keluarganya. Sebagai kawan apa salahnya kita bantu dia,”
cadang Rajesh. Kevin menggaru
kepala. Mathialagam mengeluh.
“Mahukah keluarga
kita membantu keluarga Azrul?” Kevin
mengetap bibir. Rajesh tersenyum.
“Kita cakap dululah
dengan keluarga kita. Cuba nasib. Mana tahu mereka setuju. Kalau kita tidak buka mulut pasti kita tidak
tahu, kan?” Rajesh bersemangat. Kevin mengangguk begitu juga
Mathialagam.
“Aku setuju dengan
idea kau, Rajesh. Hadiah hari lahir
paling bererti dan mahal!” Kevin menepuk
belakang Rajesh. Mathialagam memeluk
bahu Rajesh.
“Kau memang hebat Rajesh!” puji Mathialagam. Mereka ketawa serentak.
“Walaupun Azrul tidak
pernah meminta tetapi sebagai kawan baik dia dan keluarga kita pula mampu apa
salahnya kita memberi sesuatu yang bermakna tanda persahabatan kita selama
ini. Dia sudah banyak membantu kita dan
rakan-rakan di sekolah. Segala jasanya
tidak terbalas dengan rumah sebiji,”
Rajesh serius. Mathialagam dan
Kevin mengangguk serentak. Mereka setuju
dengan kata-kata Rajesh. Azrul seorang
yang rajin dan suka membantu orang lain tidak kira bangsa dan agama. Persahabatan mereka boleh kekal selama ini
kerana sikap Azrul yang terbuka dan senang didekati.
“Ini menjadi rahsia
kita bertiga. Kita buat kejutan untuk
Azrul. Jangan sesiapa berani buka mulut. Biar pecah di perut, jangan pecah
di mulut, ada faham!” tegas. Rajesh meletakkan jari di bibirnya. Diikuti Kevin dan Mathialagam.
terbaik!!
BalasPadamTerima kasih
Padam