Cari Blog Ini
Selasa, 2 September 2014
HARI INI DALAM SEJARAH ( 2/9/2014)
Sebelum bergelar penulis, dalam fikiran saya jika ingin jadi penulis, karya diterbitkan dan diterima oleh penerbit kenalah masuk pertandingan menulis. Ketika itu terlalu mentah dalam dunia penulisan dan tiada siapa yang boleh kita tanyakan. Waktu IT tidak secanggih hari ini, waktu tiada FB. Semuanya harus bergerak sendiri. Lebih-lebih lagi ketika menghantar karya ke Utusan, setiap karya yang tersiar akan dinilai untuk menerima Hadiah Sastera Exxon Mobil, bertambah-tambahlah ingatan di fikiran bahawa ingin berjaya kenalah masuk pertandingan. Waktu itu nama Aminah Mokhtar, Mawar Shafie, Puteri Andalas, Ana Balqis meniti di bibir saya. Hebat sungguh mereka kerana sering memenangi Hadiah Sastera. Terasa diri ini kerdil, ditambah-tambah karya yang saya hantar ke sebuah rumah penerbitan ditolak. Siapa yang sudi menjadi penguat semangat? Siapa yang kenal diri ini untuk terus menulis. Saya angkat tangan, bukan menyerah tetapi tutup buku untuk jadi penulis novel. Tumpukan perhatian kepada dunia penulisan cerpen. Walaupun setahun hanya mampu melihat beberapa karya diterbitkan, namun itu bukan penyebab untuk saya berhenti menulis.
Dengan ilmu yang cetek tentang dunia penulisan. Nampak sahaja pertandingan atau sayembara terpampang di dada akhabar pasti saya akan turut serta. Pertandingan Sayangi Malaysia, Pertandingan Menulis Skrip Drama anjuran Finas bertemakan Masyarakat Majmuk, semuanya saya terjah dengan satu azam, ingin hasilkan buku sendiri. Tidak satu pun lekat dan berjaya. Kecewa? Memanglah, dan sudah pastilah. Tetapi bukan penyebab untuk berhenti menulis. Cuma hati yang kecewa saya hiburkan dengan membaca novel. Karya terbitan Alaf 21 menjadi pilihan, biarpun syarikat itu tidak menerima karya saya. Sri Diah, Sharifah Abu Salem dan Fatillah Anas karya mereka saya baca. Dalam hati berkata, hebatnya mereka boleh tulis buku setebal beratus-ratus muka. Saya hendak menulis 4 muka surat cerpen pun sudah terasa mengahnya.
Rezeki saya bermula, apabila saya mula menjaga dan membuka Rumah anak-anak Yatim Tahfizbersama suami, mungkin kerana mereka rezeki saya dimurahkan, dari hanya menjadi penulis cerpen, akhirnya menjadi penulis novel, karya pertama saya akhirnya diterbitkan juga di bawa label syarikat yang pernah menolak karya saya. Akhirnya rezeki saya memang sudah tertulis di Alaf 21. Lahirlah AKU TURUT BAHAGIA DAN TOLONG CARI SUAMIKU!
Dalam sibuk mempromosikan karya pertama AKU TURUT BAHAGIA, satu pertandingan anjuran Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka di adakan. Saya berkata di dalam hati, kenapa tidak cuba sahaja. Kalah atau tidak terpilih, saya tidak kisah sebab sudah terbiasa. Masa berlalu sehingga saya lupa ada menghantar karya ke PERTANDINGAN MENULIS NOVEL REMAJA DAN KANAK-KANAK 2013. Panggilan telefon yang diterima membuatkan hati melonjak riang. Benarlah kata orang, selagi ada usaha dan tidak putus asa, pasti ada kejayaan yang menanti. Akhirnya karya novel remaja saya diterima dan dinilai BAIK antara TERBAIK. Waktu diberitahu karya saya akan diterbitkan di bawah Koperasi DBP, saya tidak diberitahu pun saya mendapat tempat ke berapa. Sengaja pihak Koperasi merahsiakan perkara itu daripada para pemenang. Hendak buat kejutan kata mereka. Alhamdulillah kali ini rezeki menyebelahi saya. Karya saya terpilih mendapat tempat ke- 2. Hadiahnya lumayan. Bukan hadiah yang saya inginkan tetapi pemilihan itu yang amat berharga buat diri saya sepanjang menjadi penulis. Nama terukir sebagai pemenang, karya diterbitkan untuk menjadi bahan bacaan yang bermanfaat kepada para remaja di luar sana.
Karya ini diterbitkan hanya untuk PERTANDINGAN MENULIS NOVEL REMAJA DAN KANAK-KANAK. Ada terjual di Kedai Koperasi DBP. kepada adik-adik yang minat menulis. Cubalah masuk pertandingan yang diadakan, mana tahu rezeki menyebelahi adik-adik, bakal mengukir nama menjuarai pertandingan yang diadakan. Semoga berjaya dan selamat menulis.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tahniah kak Asmah :)
BalasPadamTerima kasik Cik Pah
BalasPadamTahniah Mah, moga terus berjaya. Amin.
BalasPadam