Suara
riuh-rendah di ruang tamu mengejutkan Ainah dari tidur yang panjang. Dia
mengeluh kasar, matanya masih terasa berpasir, lantaran terlalu lewat dia
sampai di rumah malam tadi. Van
majikannya yang mengangkut para pekerja Restoran Warisan Zaman rosak di tengah
jalan. Sejam mereka tersadai di tepi jalan. Hampir pukul 2.00 pagi baru dia
sampai di rumah. Ainah mencapai tuala mandi di atas penyidai
terus keluar dan menuju ke bilik air.
Dia hanya mampu menggelengkan kepala melihat rumahnya berantakan. Emaknya di dapur sedang memasak kuih-muih
untuk dihantar pada penjual kuih petang nanti.
Apa adik-adiknya buat dan lakukan di ruang tamu tidak pernah emaknya
ambil kisah. Kerja yang sedang emak
lakukan lebih penting.
“Lambat balik
semalam?” Aminah memandang wajah anak
sulongnya tidak berkelip. Ainah membalas
pandangan emaknya dengan keluhan.
“Van rosak,” jawab Ainah dan berlalu kembali ke
biliknya. Adik-adiknya masih lagi
bergaduh sesama sendiri, riuh rendah ruang tamu. Bantal kusyen bersepah dan tidak lagi di
tempatnya. Buku-buku sekolah
adik-adiknya bersepah di lantai tidak berkemas.
Badannya yang sedia letih bertambah letih melihat situasi rumahnya yang
bagaikan kapal pecah. Dia melangkah
masuk ke dalam bilik. Memakai T-shirt
dan kain batik dia kembali keluar.
“Hoi! Sudahlah,
pergi mandi!” jerit Ainah kasar, namun
tidak diendahkan oleh adik-adiknya.
Hilang sabar dia dengan sikap adik-adik yang tidak mendengar cakap. Dia sendiri tidak tahan dengan kerenah
adik-adiknya. Bagaimana emaknya boleh
sabar dengan adik-adiknya dia sendiri tidak tahu. Apa yang dia lihat emak hanya membiarkan
sahaja apa yang dilakukan oleh adik-adiknya.
“Kak Long ni, kacau
kami nak main sahaja!” kata Aziz adik
ketiganya. Ainah menarik telinga Aziz,
walaupun sudah berumur empat belas tahun tetapi perangai Aziz bagaikan budak
tadika. Dialah yang selalu mengajak adik-adiknya
bergumpal dan bergusti di dalam rumah.
“Rumah macam tong pecah, riuh-rendah, kau kata main!” marah Ainah.
Wajah Aziz berkerut menahan sakit.
Dia menolak tangan Ainah dari
terus menarik telinganya.
“Apa kak long ni?
Main kasar pula,” Aziz mencebik
dan menjauh dari Ainah.
“Baik kau kemas
balik ruang tamu ni, kalau tidak kak long
potong telinga kau!” lengking suara Ainah.
“Apa tu
Ainah! Bising mak dengar,
terjerit-jerit. Malu didengar oleh jiran
tetangga kita, awak tu anak dara, jaga sikit suara tu,” tegur Aminah dari dapur. Aminah menjengah
dari ruang dapur yang berada tidak jauh dari dapur. Ainah memandang wajah emaknya tidak
berkelip. Padanlah adik-adik tidak
mendengar cakap sebab emak selalu memenangkan apa sahaja yang mereka lakukan
walaupun benda itu terang-terang menganggu ketenteraman rumah. Mungkin emaknya suka dengan suara bingit
adik-adiknya.
“Adik-adik buat
sepah dan bising emak boleh diam je,”
Ainah memuncungkan bibir.
“Biarlah mereka
bermain dalam rumah, biar rumah bersepah pun asalkan mereka tak keluar sampai
mak tak tahu mana mereka pergi,” Aminah
mengeluh. Bukan dia suka rumahnya
bersepah dan suara anak-anaknya menjerit dalam rumah bagaikan tarzan. Dia malas melarang. Kalau dilarang pasti anak-anaknya akan keluar
bermain di luar rumah. Lagilah dia
bimbang. Lebih-lebih lagi bermacam-macam
cerita yang dia dengar. Budak kena
culiklah. Ada yang terlibat dengan
kecurian, rompakan dan tidak kurang juga penagihan dadah. Anak keduanya pagi-pagi lagi sudah keluar. Katanya ada kokurikulum di sekolah. Dia mengiyakan sahajalah. Harap-harap anak keduanya itu tidak menipu.
“Ainah tak kerja
ke hari ini?” Aminah memandang anak sulongnya dari hujung rambut ke hujung
kaki. Selalunya pagi-pagi lagi Ainah
sudah keluar ke tempat kerja.
“Tak, cuti.” Ainah
mengemas kembali bantal kusyen yang bersepah sambil mengarahkan
adik-adiknya mengemas buku-buku yang bersepah.
Mereka menurut kerana Ainah seorang kakak yang garang. Aziz duduk di kusyen sambil mendengus kasar. Hendak buat apa duduk di rumah kalau tiada
apa yang hendak di buat. Lebih-lebih
lagi cuti sekolah hujung minggu. Bosan. Aziz mengeluh pula. Adik-adik yang lain sudah mengendur. Mereka turut sama duduk di kusyen
memerhatikan Ainah mengemas.
“Ewah-ewah, kau orang yang buat sepah, lepas tu tengok saja kak long kemas,
ya?” Ainah menjegilkan mata pada
kelima-lima adik-beradiknya. Azuan
menyengih menampakkan gigi susunya yang hilang satu demi satu.
“Kami tengah
mainlah kak long!” Aziz mencebik lagi. Ainah mencampak bantal kusyen dan tepat muka Aziz yang tidak sempat mengelak.
“Boleh main, tapi
jangan bersepah!” lengking Ainah. Aminah hanya menggelengkan kepala melihat
anak sulongnya memarahi adik-adiknya.
Dia sendiri tidak suka rumahnya bersepah tetapi apalah dayanya. Hanya itu sahajalah permainan anak-anaknya
untuk menghilangkan bosan ketika di rumah.
“Televisyen bila
boleh ambil mak? Dah seminggu di
kedai,” Ainah menapak ke dapur. Baru beberapa saat adik-adiknya bermain
semula. Dia menjeling ke arah mereka
sebelum melepasi pintu dapur. Emaknya
masih tekun membuat kuih-muih yang akan dijual petang nanti.
“Kata ayah kau
hari ni, entahlah. Emak pun tak
tahu. Apa agaknya yang rosak. Kesian dengan adik-adik tidak boleh tengok
televisyen. Itu yang mereka bising sahaja seminggu ini.” Aminah mengeluh. Hendak beli televisyen baru mana
mungkin. Pendapatan suaminya sebagai
pemandu teksi bukanlah banyak sangat.
Saingan semakin banyak. Orang ramai sudah mempunyai kenderaan sendiri,
kenderaan awam pula semakin moden, ada monorel dan LRT. Rata-rata penumpang ramai mula takut naik
teksi disebabkan pelbagai kes yang
berlaku. Rogol dan samun oleh pemandu
teksi. Malah ada yang menyamun pemandu
teksi. Walaupun suaminya belum pernah
menghadapi keadaan itu namun selalu dia berpesan pada suaminya agar
berhati-hati dan jangan buat kerja tidak baik.
“Mak masak apa
hari ni?” Ainah memandang meja makan
empat segi sama itu penuh dengan kuih-muih yang telah siap di masak. Selalunya emaknya memasak kuih-muih itu
bermula jam lapan pagi membawa ke tengah hari.
Tujuh jenis semuanya. Kuih
ketayap, karipap, kuih lapis, seri muka, donut, pau dan kuih koci. Kuih-muih yang menjadi kegemaran pelanggan
warung Mak Jah di tepi jalan simpang
masuk ke rumah pangsa tempat tinggal mereka itu.
“Mak buat sambal
ikan dan sayur sawi masak tumis air
sahaja,” Aminah memandang wajah Ainah
yang mencebik. Jemu agaknya dengan lauk
yang disebutnya tadi. Itu sahaja yang mampu disajikan untuk
anak-anaknya. Pendapatan dia pun
bukannya banyak, untung buat kuih bukan berapa sen pun, cukuplah untuk belanja
dapur dan belanja sekolah anak-anaknya.
Setiap bulan bukan ratusan ringgit yang terpaksa dikeluarkan untuk
pembelanjaan isi rumah tetapi ribuan.
Duit belanja sekolah, duit bas
sekolah, duit sewaan teksi, sewa rumah,
bil air, bil letrik, dan macam-macam lagi.
Semuanya harus di bereskan menjelang
hujung bulan. Jika tidak mereka
sendiri yang terpaksa menanggung
susahnya jika ada bil-bil yang tidak dijelaskan atau dibayar. Aminah mengeluh.
Aminah memandang
wajah emaknya yang keletihan. Bekerja
siang malam menguruskan rumah dan membuat kuih untuk menampung perbelanjaan
dapur. Emaknya bukanlah tua sangat, awal
40-an. Tetapi kemiskinan menuakan diri
emaknya lantaran kesibukan bekerja sehingga tiada masa untuk melawa atau
mendandan diri. Seadanyalah. Mana mampu
nak beli barang-barang kecantikan yang melambak di pasaran. Kalau harga barang-barang tersebut setakat
RM5.00 hingga RM10.00 mungkin emaknya
mampu beli. Harga barangan
kecantikan mahal. Emak pula tidak pernah ambil kisah akan
dirinya. Kain batik yang semakin lusuh
itu masih tetap dipakai. Baju kurung kedah yang sudah bertukar warna juga masih
utuh di badan. Kadang-kadang rasa hiba di hati melihat keadaan emaknya. Surirumah beranak tujuh itu bukan tidak
cantik tetapi keadaan membuatkan dirinya tidak sempat mendandan diri. Kalaulah emaknya terdiri dari orang yang
berpelajaran, ada kerjaya yang bagus, berkemampuan pasti emaknya antara wanita
yang bergaya. Keadaan membuatkan
seseorang itu berada di dalam situasi yang kurang menyenangkan. Apa pun senyuman sentiasa terukir di wajah
emaknya walaupun tidak semanis kurma.
Bila malam menjelang tidur emaknya begitu nyenyak sekali, mungkin
terlalu letih setelah bekerja teruk di siang hari. Ainah mengeluh.
Di waktu hari raya emak hanya membeli kain ela yang berharga paling murah untuk
diri sendiri dan untuk adik-adiknya.
Jangan haraplah jika hendak
memakai yang mahal sedikit. Upah sahaja
sudah makan puluhan ringgit.
Kadang-kadang baju raya pun tidak berganti, pakai sahajalah apa yang ada. Mereka bukanlah miskin sangat tetapi tidak
senang lantaran pendapatan yang
kecil. Gajinya juga bukan besar sangat
sebagai pembantu kedai. Dengan kelulusan
SPM yang tidak berapa cemerlang pekerjaan apa yang boleh dia lakukan. Menaip dan komputer juga tidak pandai
sangat. Rumahnya mana ada komputer. Kalau dia
pandai guna pun sebab belajar di sekolah. Hendak bekerja di pejabat kena tahu komputer
dan ada sijil. Dia ada sijil apa? Hanya PMR dan SPM. Kerja kilang emak dan ayah tidak
benarkan. Pening juga kepalanya. Akhirnya dia bekerja di Restoran Warisan
Zaman. Sudah tiga bulan dia bekerja di
restoran tersebut. Gaji yang diterima cukuplah untuk dirinya sendiri dan membantu
emak serta ayahnya.
“Angah ke mana mak? Tak nampak pun?” Dahi Ainah berkerut. Dia mencapai dua biji karipap dan sebiji kuih ketayap untuk mengalas
perut. Itulah sarapan paginya. Kadang-kadang sahaja emak masak sarapan pagi
itu pun jika ayahnya ada di rumah. Jika
tidak makan sahajalah kuih yang telah siap dimasak.
“Katanya ke sekolah,” jawab Aminah acuh tak acuh. Kuih Lapis yang telah sejuk dipotong dengan
berhati-hati agar cantik dan kemas.
“Mak buat kuih, rumah janganlah biar
bersepah sangat. Nanti tak ada siapa nak
beli kuih muih mak ini,” Ainah memandang
dapur yang agak bersepah. Aminah
memandang wajah Ainah. Sejak bekerja di
restoran anaknya itu sudah boleh membezakan bersih dan kotor, jika tidak mana
pernah Ainah ambil peduli jika rumah mereka bersepah atau bersih sekali pun.
“Iya, mak tahu,” Aminah menyudahkan kerjanya. Pulut
kukus masih di atas dapur. Inti kelapa
dan daun pisang sudah siap menunggu.
Ainah tahu emaknya cekap di dapur.
Kalau dia tentulah dia tidak mampu melakukan semua kerja-kerja itu. Ainah mengigit karipap sardin yang rapuh dan
sedap itu. Terasa sardinnya walaupun
emaknya hanya menggunakan sardin yang
tiada jenama, asalkan ada rasa sardin dan harganya tidaklah mahal sangat
emaknya akan beli sahaja.
“Ayah keluar awal hari ini
mak,” Ainah terus bersembang dengan
emaknya Bukan selalu dia mendapat ruang
seperti itu. Dia bekerja enam hari
seminggu. Cutinya tidak menentu. Adik-adiknya
mula berlari dan bergurau
semula. Malas hendak menegah. Bukan mereka ambil peduli pun tegahannya itu.
“Ha ah, nak cari duit lebih katanya. Sekarang ni susah betul nak cari
penumpang. Kes jenayah yang dilakukan
oleh pemandu teksi semakin menjadi-jadi.
Pelanggan pun takut nak naik teksi.
Pendapatan ayah bulan ini kurang sangat.
Takut ada bil yang tertunggak nanti,”
keluh Aminah.
“Persaingan dengan teksi lain,
kenderaan awam yang semakin canggih.
Kenderaan sendiri, macam mana nak cari makan, mak,” tambah Ainah.
“Mak pun tak tahu nak buat apa? Ingat nak tambah kuih sikit lagi, boleh tak
letak di restoran tempat Ainah kerja?”
Aminah memandang wajah anak sulongnya, mengharap. Ainah memandang wajah
emaknya semula.
“Nanti Ainah tanyakan pada majikan
Ainah.” Ainah menghabiskan karipap
sardin itu sehingga ke gigitan yang terakhir.
Perutnya merasa kenyang. Air teh
o suam diteguk perlahan.
“Bilalah agaknya kita akan merasa
hidup senang?” Mata Ainah memandang
emaknya membungkus pulut inti di dalam daun pisang. Cekap sekali.
Dia ada juga membantu tetapi tidak sekemas yang dibuat oleh emaknya.
“Susah atau senang, itu semua
kurniaan ALLAH. Sabar sahajalah. Kita
sudah berusaha, kalau tidak dapat juga apa yang kita inginkan, apakan daya
kita.” Aminah tersenyum. Ainah mengeluh. Dia bingkas bangun meninggalkan emaknya
sendirian di ruang dapur yang sempit itu. Di ruang tamu bersepah semula. Adik-adiknya masih lagi bermain sesama
sendiri. Lantaklah. Tidak larat menghalang. Lagi dimarah, lagi bising pula mereka. Dia melangkah keluar di karidor rumah pangsa
tersebut. Matanya memandang jauh ke
hadapan. Dari atas dapat melihat betapa
dekatnya bangunan yang terletak di hujung jalan, tetapi apabila berada di bawah
jauh juga jika berjalan kaki. Ainah
mengeluh. Begitu juga dengan kehidupan,
berkata dan mengucapkan untuk hidup senang, kaya dan tidak ada masalah memang
mudah. Tetapi untuk mengapainya bukan
begitu mudah.
Menyesal pula dia tidak belajar
bersungguh-sungguh dahulu. Sudah dapat
keputusan baru hendak menyesal. Tiada
guna hendak menangis dan menyesal sekarang.
Untuk sambung belajar tidak mungkin.
Manalah dia mampu. Kalau belajar
sendiri tentu dia terpaksa pergi ke kelas tusyen pula. Duit juga.
Masa lagi. Sudahlah dia bekerja
bila pula dia hendak mencuri masa belajar.
Hendak belajar di rumah? Tidak
mungkin, kerana tengoklah keadaan di dalam rumahnya yang sempit dan menyesakkan
itu. Bagaimana hendak belajar dengan
keadaan riuh-rendah mengalahkan pasar borong.
Ainah mengeluh dan menggelengkan kepala.
Sesekali terdengar jeritan adik bongsunya diusik oleh adik-beradik yang
lain. Bagaimana dia hendak menjadi kaya
kalau tidak berpelajaran dan hanya ada SPM, itu pun teruk. Kata orang berniaga boleh cepat kaya? Tengok keadaan majikannya yang telah bertahun-tahun buka restoran,
tidak juga kaya, senang itu adalah. Mana
dia ada modal dan pengalaman untuk buka restoran. Memasak pun tidak pandai. Kalau emaknya tentulah boleh. Emaknya memang pandai memasak. Tengok sahajalah kuih-muih yang emaknya buat,
semuanya sedap-sedap belaka. Ainah
meraup wajahnya dengan tangan kiri.
Matanya masih lagi memandang ke arah bangunan yang berada jauh di
hadapannya. Duduk di tingkat enam sudah
cukup tinggi dirasakannya. Pandang ke bawah bagaikan semut sahaja orang-orang
yang berada di bawah bangunan rumah pangsa tersebut. Terbit juga keinginan di hati hendak duduk di
rumah teres yang cantik dan tersergam indah itu. Manalah ayahnya mampu. Sewa rumah seperti itu tentu mahal. Sewa pun
tidak mampu apatah lagi hendak membeli.
Rumah pangsa ini pun hanya sewa sahaja.
Pendapatan ayahnya tidak memungkinkan mereka memiliki rumah
sendiri. Nampaknya sampai ke tualah
duduk di rumah sewa. Ainah mengeluh
kesal. Kesal kerana lahir dalam keluarga
miskin, kesal kerana tidak akan merasa hidup senang seperti kawan-kawan yang
dia kenal sewaktu minggu pertukaran pelajar selepas habis peperiksaan SPM. Para pelajar dari Sekolah Menengah Perempuan Batu 2, terdiri
dari anak-anak orang kaya yang berpendapatan lumayan. Beg sekolah, kasut dan baju pun dari yang
berkualiti tinggi. Tidak sepertinya
hanya beli baju, kasut sekolah, beg di
Kedai 1Malaysia atau Mydin. Kalau
bercerita dengan kawan-kawan pun malu.
Ada juga kawan-kawan di sekolah yang terdiri dari mereka yang
berada. Cara mereka bercakap seperti
tiada masalah. Mintalah apa sahaja pasti
ditunaikan oleh kedua orang tua mereka.
Tidak seperti dirinya. Jangan
haraplah. Alasan emak dan ayah sama
sahaja. ‘Kasihan adik-adik tengok’. ‘Emak dan ayah mana mampu’. Itulah yang selalu menjadi halwa telinganya. Dari sekolah rendah sehinggalah
sekarang. Bila agaknya hendak berubah
hidup yang sedang dia dan keluarga lalui
ini.
“Hish! Bila nak diam ni? Peninglah kepala kakak, tahu!” Jerkah Ainah yang melangkah masuk ke dalam
rumah. Aziz yang menjadi ketua pada adik-adiknya menyengih. Ainah mengetap bibir, dia mengangkat bantal
kusyen di hujung kaki dan mencampakkannya ke
arah Aziz yang sedang bergumpal dengan Ahmad. Dia mendengus kasar dan menggelengkan
kepala. Ainah melangkah masuk ke dalam
rumah. Bosan pula bila tidak
bekerja. Ingatkan boleh berehat namun
hampa. Melihat keadaan adik-adiknya yang
riuh rendah membantutkan keinginannya untuk bersantai di rumah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan