Berdebar-debar hati Katrina menunggu kehadiran madunya atau bekas madu. Suami mereka sudah tiada, sekarang akan tinggal bersama di bawah satu bumbung. Tidak perlu ada rasa cemburu kerana suami milik mereka sudah pergi meninggalkan hati mereka sepi. Matanya asyik memandang ke arah pagar. Bagaikan menyambut bakal suami sahaja. Katrina mula mundar-mandir. Jari jemari bermain sesama sendiri. Degupan jantung berdegup kencang.
Halijah
gelisah di dalam bilik. Hatinya benci, namun terpaksa. Rancangan menantu kedua ada
baiknya. Sudah lama sakit di hati. Sudah lama memendam rasa. Sengketa yang
bersarang di dada menumbuk sehingga ke jantung hati. Dia membetulkan baju, langkah di atur menuju
ke ruang tamu. Wajah menantu keduanya ditatap sekali imbas. Wajah itu juga bagaikan
membungkus seribu masalah yang tidak selesai.
“Mereka
masih tidak sampai lagi, Rina?” Halijah duduk di sofa kulit yang masih
kelihatan baharu, bukan ada sesiapa yang hendak lanyak.
“Belum
ibu. Entah kenapa lambat pula mereka sampai?” Katrina mendekati ibu mertuanya.
Dia melabuhkan punggung di sebelah. Mata mereka saling bertemu.
“Bagaimana
rancangan kita? Sudah diatur seperti yang dirancang?” Halijah bertanya bagaikan
seorang pengurus.
“Sudah
tentulah ibu. Perempuan itu harus menerima balasan. Kerana dialah Abang Ashraf
meninggal. Belum sempat kami bersama, duka sudah memanggil, sakit hati Rina.
Sudahlah dia merampas Abang Ashraf daripada Rina!” mengapi-apikan perasaan ibu
mertuanya. Tidak akan dibenarkan hubungan madunya bersambung rasa dengan ibu mertuanya.
Biar mereka menjadi musuh selamanya sehingga ke akhirat. Dendam tetap membara dan membakar,
menyala-nyala.
Kereta
Myvi dipandu masuk ke laman rumah agam itu. Mastura melangkah keluar, Maria
didukung dan dibawa masuk. Rumah yang
begitu asing bagi mereka berdua. Buat hatinya berdebar-debar. Mampukah dia
berlama di rumah itu. Rumah yang penghuninya bersengketa dengan diri. Wajah
Maria yang tenang dipandang sekali imbas. Semoga ada bahagia buat anaknya di
sini. Abang Ashraf, semoga kehilangan abang ada hikmahnya, detik hati kecil
Mastura. Semakin hampir dengan pintu semakin seram sejuk tubuhnya. Lututnya
terasa lemah dan lambat sekali kakinya melangkah.
Berdiri
di muka pintu berwarna perang tua itu bagaikan berdiri di pintu menuju ke
neraka. Jauh pula anggapannya. Kalau sudah takut menerjah diri itulah jadinya.
Daun pintu diketuk perlahan. Memberi salam dan menunggu dengan sabar. Daun
pintu dibuka daripada dalam. Dua wajah yang dikenali memandang dengan wajah
manis. Benarkah itu? Ibu mertuanya melemparkan senyuman manis menyambut
kehadirannya.
Katrina
menerpa menyambut Mastura dengan senyuman terukir di bibir. Wajah pucat Mastura
dipandang dengan kerutan di dahi. Apakah wanita itu takut hendak ke mari?
Kenapa harus takut? Adakah sudah dapat meneka apa yang bakal berlaku? Katrina
menarik tangan Mastura masuk ke dalam rumah.
Halijah
menarik tangan Maria turut dibawa masuk.
“Mas,
selamat datang ke teratak Villa Cinta Bahagia,” sambut Katrina.
Mastura
mengangkat kening. Cantiknya nama Villa Cinta Bahagia, harap penghuni di
dalamnya mampu memberi kebahagiaan.
“Ibu
gembira, Mas sudi tinggal di sini.” Halijah melemparkan senyuman. Maria yang di
sebelah dibelai manja. Biarpun hanya pura-pura, biar tampak nyata dan tidak
kelihatan pura-pura. Sesekali memandang
wajah Katrina juga menjalankan aksi yang sama. Bagus sungguh menantu keduanya
berlakon, layak menjadi pelakon filem. Dia tersenyum bangga.
“Terima
kasih kerana sudi menerima kehadiran Mas di sini.” Mastura masih berdiri
kakinya bagaikan tidak memijak lantai. Terlalu bimbang dan takut agaknya.
Berbagai rasa bermain di benaknya.
“Okey,
bilik Mas di belakang. Mudah untuk bergerak, lagipun Maria tidak sesuai turun
naik tangga.” Katrina membawa Mastura menuju ke bilik tempatnya menginap selama
berada di rumah itu. Bilik yang terletak hampir dengan dapur.
Berkerut
wajah Mastura. Bukan masalah bilik tetapi apa yang bermain difikirannya kenapa
di dapur?
“Maaaflah
walaupun rumah ini besar, namun bilik tidaklah banyak. Tidak kisahkan duduk di
sini?” Katrina membuka pintu bilik.
Bilik
yang besarnya 10 kaki x 10 kaki. Terdapat sebuah katil bujang, dan sebuah
almari. Langsirnya begitu usang dan buruk. Kata rumah orang kaya dan berada,
kenapa keadaan bilik itu begitu daif kelihatannya. Kipas pun tiada. Mahu mandi
peluh dia dua beranak.
Mastura
melangkah masuk. Dia membuka tingkap. Habuk di sana-sini. Dia tidak boleh
merungut. Duduk sahajalah di mana di tempatkan. Asalkan ada tempat untuk
merehatkan mata sudah cukup buatnya. Untuk sementara.
Maria
duduk di birai katil sambil merenung wajah Mastura. Katrina entah ke mana
menghilang. Bayang mertuanya juga tidak kelihatan. Tiba-tiba mereka menghilang.
“Kenapa
kita tinggal di bilik ini mak?” Maria mula bersuara.
“Jangan
merungut. Esok kita ubah semuanya.” Mastura merngerling manja.
Maria
mengangguk bagaikan mengerti maksud emaknya.
Mastura
terus membersihkan apa yang patut. Tidak
mungkin dia tidur di dalam keadaan berabuk dan kotor begitu. Katil pun sudah
hampir roboh. Sebelah dari pintu almari sudah hampir tertanggal. Mastura
menarik nafas panjang. Banyak kerja yang harus dia lakukan. Kalau hendak selesa
kenalah usaha sendiri. Biar rumah orang, kenapa tidak buat seperti rumah
sendiri. Keselesaan untuk diri sendiri juga. Telefon dicapai, nombor didail.
Menelefon seseorang.
Katrina
mundar-mandir di dalam bilik ibu mertuanya. Dia telah mengatur rancangan
bagaimana hendak memalukan madunya itu. Pertama sekali bagi madunya tinggal di
bilik pembantu rumah. Bukan tiada bilik lain, sengaja mereka atur begitu, biar
Mastura tahu tahap dia hanya seorang pembantu rumah. Anak kampung berangan
hendak jadi orang kaya, perasan. Jangan harap. Katrina mencebik. Rancangannya pasti berjaya dengan kerjasama
ibu mertuanya yang begitu membenci madunya itu. Katrina ketawa di dalam hati.
Nanti ketawa kuat-kuat apa pula kata mertuanya nanti. Sudah hilang akal
agaknya.
“Ibu
tengoklah nanti. Bila kita bagi dia duduk dalam keadaan tidak selesa, pasti dia
akan memberontak. Melawan. Masa itu
bolehlah ibu nak maki kata dia anak durhaka. Kuat melawan.” Katrina tersenyum riang. Halijah turut
tersenyum.
“Betul
kata Rina. Lebih-lebih lagi kalau ibu marah depan orang. Ibu akan buat dia
malu.” Semakin lebar senyuman Halijah membayangkan bagaimana dia hendak
memalukan Mastura.
“Apa
pula dia sedang buat di bilik itu agaknya ya, ibu?” Katrina membayangkan
keadaan Mastura yang tidak selesa, tinggal di bilik sempit, perabut yang rosak.
Katil dan tilam yang hanya sesuai dibuang sahaja. Puas hati dia dapat
mempermainkan madunya itu.
“Biarkan
dia, ibu nak tengok berapa lama dia tahan tinggal di sini!” Halijah mengetap
bibir. Selama ini arwah anaknya terlalu menyayangi isterinya itu. Sanggup
mengenepikan perasaannya sebagai seorang ibu demi cinta. Bertahun-tahun anaknya
tidak pulang berjumpa dengan dia. Pasti Mastura telah menghasut anaknya itu.
Dia tidak akan dapat menerima keadaan itu.
Dalam
sibuk kedua anak menantu itu berbincang. Mastura sudah pun pulang. Walaupun dia
baharu sahaja berada di kawasan perumahan itu namun tidaklah susah hendak
keluar mencari barang-barang keperluan. Bangi sahaja pun. Banyak rumah kedai,
dan banyak juga kedai perabut. Apa yang penting duitnya. Mastura tersenyum
sendiri.
“Mak,
laparlah.” Sambil mengusap perutnya.
“Jom,
kita ke dapur. Tengok apa yang ada.” Tangan Maria digapai. Terlupa pula hendak
membeli makanan waktu keluar tadi.
Mastura
mengerutkan dahi. Apa yang dia hendak masak? Apa yang ada di rumah itu. Ke mana
perginya ibu mertua dan madunya itu. Pembantu rumahpun tiada. Rumah besar
tetapi tiada pembantu rumah? Mastura mengeluh sendiri. Dia membuka peti sejuk,
banyak bahan mentah di dalamnya. Ada telur. Badan masih letih, takkan dia
hendak masak pula. Nanti tersalah masak marah pula tuan punya rumah. Dia
membuka almari mencari beras. Nasi juga belum dimasak. Sudah hampir menjelang
asar. Takkan ibu mertunya dan madunya
tidak makan malam. Atau mereka ada rancangan untuk bawa dia makan di luar.
Maklumlah perkara biasa meraikan tetamu yang pertama kali berada di rumah itu.
Perkara biasa bagi orang melayu dan Islam. Kehadiran tetamu membawa rezeki.
Dia
mengambil sebiji telur dan sebungkus maggi. Hanya itu buat mengalas perut
sementara menunggu makan malam. Bau
tumisan maggi mengamit rasa lapar. Mastura melemparkan senyuman kepada Maria
yang setia menunggu.
“Kita
makan maggi dahulu, malam nanti baharu kita makan nasi,” pujuk Mastura.
Maria
mencebik.
Mastura
mengusap rambut ikal Maria. Persis rambut arwah suaminya. Bila terkenangkan
arwah buat hatinya sayu. Tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat dia
menerima kasih dan sayang. Semoga kehadiran dia dan anaknya benar-benar
diterima.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan