Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 24 September 2014

TOLONG CARI SUAMIKU - BAB 6




Wan Kamarudin memandang wajah menantu merangkap anak saudaranya itu. Kakinya terketar-ketar waktu melangkah. Masih menggunakan tongkat untuk berjalan. Dia masih tidak kuat lagi. Masih memerlukan waktu untuk pulih sepenuhnya. Dia terkejut mendengar bencana yang menimpa Mastura. Tambah terkejut mendapatkan tahu anak tirinya telah bernikah lagi dan sudah pun meninggal dunia. Sudah tentu ini kerja dan rancangan isterinya yang tidak pernah insaf itu, tekanya sendiri.
“Ayah suka jika Mas tinggal dengan Ibu Halijah. Mudah untuk menjalankan rancangan kita,” kata Wan Kamarudin. Dia telah banyak menyusahkan menantunya itu. Bukan niat hendak merosakkan kehidupan Mastura. Semua ini kerana hak mereka sekeluarga.
“Yam bimbanglah, isteri bang long tu bahaya orangnya.” Mak Yam menyalakan rasa hati. Dia tidak mahu nyawa Mastura pula diragut oleh besannya. Cukuplah suaminya menjadi mangsa. Dia tidak sanggup kehilangan Mastura dan cucunya Maria.
“Sudah bertahun-tahun bang long tunggu saat ini. Bang long tahu Mas pandai jaga diri. Setakat ini hubungan dia dan Ashraf baik-baik saja. Kalau tidak kerana Halijah semua ini tidak akan berlaku.” Wan Kamarudin meyakinkan adik iparnya.
“Yalah, mak. Apa yang Ibu Halijah boleh buat dengan Mas? Habis kuat pun dia nak bunuh aje,” kata Mastura sambil menyengih.
Mak Yam mengurut dada. Sebut perkataan bunuh membuatkan tubuhnya seram sejuk. Terbayang jasad suaminya yang terkena peluru sesat yang disasarkan kepada abang iparnya.
“Jangan sebut perkara itu Mas, takut mak!” Mak Yam berdecih. Kurang senang dengan kata-kata Mastura.
“Kita berdoa ajelah Yam, tiada perkara buruk yang akan berlaku. Mas jaga diri ya. Jangan bertindak terburu-buru. Ikut sahaja rentak mereka. Jangan biar dibuli pula,” nasihat Wan Kamarudin.
“Tahulah Mas jaga diri.” Mastura melirikkan senyuman. Wajah emak dan bapa saudara merangkap ayah mertuanya itu dipandang silih berganti.
“Ibu Halijah licik orangnya Mas. Dia pandai berpura-pura dan bermain kata-kata. Jangan mudah percaya. Tidak pernah menepati janji. Ayah harap Mas tabah hadapi semuanya. Pemergiaan Ashraf bukan penamat cerita. Halijah tidak akan duduk diam selagi tidak mendapat apa yang dia inginkan selama ini,” nasihat Wan Kamarudin.
“Ayah jangan bimbang. Kesihatan ayah tu yang penting dan harus dijaga. Ayah perlu kuat seperti dulu untuk kembali beraksi di hadapan Ibu Halijah. Masanya akan tiba ayah.” Giliran Mastura pula menasihati ayah mertuanya yang masih lemah dan tidak berdaya itu.
“Yalah bang long. Kenalah bersemangat semula. Takkan abang nak biar Mas buat semuanya seorang diri. Kalau bang long tak bantu sama, Yam takut rancangan kita gagal. Halijah terus lepas bebas, bang long dan Mastura terus jadi mangsa.” Mak Yam memuncungkan bibir. Dia tidak mahu kedua-duanya menjadi mangsa kerakusan Halijah yang tamakkan harta. Dendam di hati tidak pernah padam. Kematian suaminya harus dibela. Namun keselamatan orang yang masih di sisi harus juga diambil kira.
“Bang long sedang berusahalah ni. Senaman dan makanan tambahan diambil tidak berhenti. Rawatan moden dan tradisional juga bang long cuba. Insya-ALLAH perlahan-lahanlah bang long akan sembuh sepenuhnya.” Menyedapkan hati sendiri.
“Yalah, ayah. Jangan paksa diri pula. Nanti lain jadinya. Suruh tinggal di sini tak nak. Bolehlah mak jagakan ayah.” Mastura mengeluh kesal.
“Mana boleh Mas, biarpun ayah ini abang ipar emak Mas, namun kami tetap bukan mahram. Tak pasal-pasal kena tangkap basah.” Wan Kamarudin tahu batasnya dengan adik iparnya itu.
“Yalah Mas, nanti apa pula kata orang kampung,” sampuk Mak Yam berasa malu pula dengan cadangan Mastura.  Dalam Islam, adik ipar dan abang ipar boleh bernikah dan tidak mungkin mereka boleh duduk sebumbung, melainkan ada arwah suaminya.
Mastura menepuk dahi sendiri. Terlupalah pula. Dia tersenyum sendiri akan kejahilan diri. Dia berharap semuanya berjalan lancar dan ibu mertuanya ikhlas mengajaknya tinggal bersama. Begitu juga dengan madunya. Jangan ada udang disebalik batu sudahlah. Semoga langkah tidak patah dan membawa rebah.
Rumah ayah mertuanya tidak berapa jauh dari kawasan kampung. Tidak mahu pulang ke bandar takut bertembung dengan ibu mertuanya.  Biarlah bersembunyi di situ sehingga pulih sepenuhnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan