BAB 7
Ainah mengemas meja yang telah diguna oleh pelanggan sebentar tadi. Sudah tujuh jam dia bekerja dan belum lagi
berehat. Kakinya juga sudah mula lenguh,
berdiri dan berjalan ke sana dan ke mari tanpa henti. Pelanggan di waktu makan tengahari memang
ramai sangat. Sehingga tiada ruang
kosong, ada pelanggan terpaksa berdiri seketika menunggu tempat duduk. Bangun
sahaja pelanggan ada pula yang mengganti. Waktu sibuk begini Pak Haji Idris sentiasa
ada di kedai memerhatikan para pekerjanya bertugas. Restoran bersih dan kemas. Pak Haji Idris memang menitik berat soal
kebersihan sehingga ke bilik air pun di suruh cuci dua jam sekali. Walaupun penat rakan-rakan sekerja akur
sahaja kerana mereka makan gaji dan tidaklah boleh membantah suruhan majikan
mereka.
“Adoi! Penat
betullah. Dah pukul 3.00 baru orang
kurang. Mariam mengeluh. Ainah duduk menyandar. Dia merenggangkan kakinya sedikit bagi
menghilang rasa lenguh dan penat berdiri lama.
“Letih ke?” Pak Haji Idris mendekati dua orang
pekerjanya. Dia duduk bersama
mereka.
“Makan Pak
Haji,” pelawa Ainah. Mariam menyengih.
“Silakan. Kenapa Mariam? Penat ya?”
tanya Pak Haji Idris lagi sekali.
“Bolehlah tahan,”
jawab Mariam dan menyengih lagi. Pak
Haji Idris tersenyum.
“Pak Haji lagi
penat, setiap hari kena datang kedai pastikan semuanya berjalan lancar, tengok
kalian buat kerja. Perhatikan lauk-pauk
yang terhidang mengikut standard yang telah Pak Haji tetapkan. Pastikan bahan
mentah yang sampai semuanya elok-elok belaka dan masih segar. Tukang masak pula, kena jaga hati mereka kalau tidak ada
yang cabut, jenuh Pak Haji, begitu juga dengan kalian. Cukup bulan kena fikirkan bil-bil yang hendak
dibayar, kalau tak cukup pening kepala memikirkannya, lainlah kalau kalian sanggup
kerja tanpa bayaran” katanya.
Sempat pula melawak. Ainah dan
Mariam terdiam mendengar tugasan yang terpaksa majikannya lakukan. Mereka cuma penat berdiri dan berjalan. Majikannya penat serba-serbi, badan dan
kepala. Ainah dan Mariam mengeluh mendengar
cerita majikan mereka. Rupanya setiap orang ada masalah mereka sendiri.
“Ainah, emak masih
buat kuih lagi ke?” tanya Pak Haji
Idris. Teh tarik yang dipesan diteguk
beberapa kali.
“Ya, pak haji…
emak pun ada tanya nak letak kuih
yang emak buat di sini, boleh tak?”
Ainah memandang wajah majikannya.
Pak Haji Idris mengangguk.
“Kak Milah yang
selalu hantar kuih muih di restoran ni pun dah berhenti, esok bawa sekali kuih
yang emak Ainah buat, pak haji setuju,”
Pak Haji Idris tersenyum.
“Terima kasih pak
haji!” kata Ainah girang sangat. Pasti emaknya suka mendengar berita ini.
“Sama-sama, kerja
rajin-rajin tau, manalah tahu pak haji tiba-tiba baik, naikkan gaji kalian.” Pak Haji Idris tersenyum.
“Insya-ALLAh pak
haji,” kata Ainah dan Mariam serentak. Pak Haji Idris tersenyum bangga. Ainah dan Mariam antara pekerjanya yang rajin
dan jarang curi tulang.
“Sampai bilalah
kita nak bekerja macam ini, kan?” Mariam
memandang restoran itu yang mula lengang
sedikit. Sudah habis waktu makan
tengahari. Pelanggan akan kembali ramai
usai sahaja solat asar. Untuk minum
petang dan makan malam. Hari ini Ainah
tetap bekerja lebih masa. Dia perlu bantu
emak dan ayahnya cari duit untuk membayar segala keperluan mereka
sekeluarga. Kalau sudah hidup susah
jangan bermalas-malas. Usahalah walaupun
hasilnya sedikit. Dari mengharap bantuan
orang, sedangkan kudrat masih kuat dan mampu bekerja. Ainah mengeluh. Dia tidak faham kenapa ramai anak muda melayu memilih untuk menjadi peragut dan
perompak sedangkan peluang mencari rezeki yang halal terbuka luas di bumi
Malaysia yang indah dan makmur ini.
“Ainah!” Mariam menampar lengan Ainah dengan
kuat. Terkejut Ainah. Terlalu jauh dia
menghayal.
“Apa?” Ainah menghabiskan nasi di pinggan. Mariam menggelengkan kepala.
“Aku tanya sampai
bila kita harus kerja di sini?” Mariam
mengeluh. Kadang-kala timbul rasa bosan
di hati, orang lain pakai cantik-cantik bergaya, berwangi-wangian tetapi mereka
pakai juga minyak wangi tetapi hanya seketika hilang bau timbul bau badan
akibat terlalu banyak berpeluh. Mereka
bukan bekerja menggunakan hujung jari sahaja tetapi seluruh tubuh bergerak. Mariam mendengus kasar. Balik rumah habis sakit badan-badan. Bila tidur langsung tidak sedar. Esok pagi-pagi lagi sudah keluar kembali.
“Tak usah
mengeluh. Bila orang tua suruh pergi sekolah maknanya pergi belajar. Bukan
main-main, bercinta, jadi samseng. Bila
tidak lulus cemerlang, tiada peluang untuk sambung belajar, orang gagal macam
kita hanya layak bekerja di kilang, pasaraya, pusat membeli belah, restoran
makan ringan, restoran seperti ini.
Terima sahajalah Yam, asalkan mendapat rezeki yang halal untuk bantu
keluarga. Kau tak apalah, keluarga kau
bukan orang susah macam keluarga aku.
Kalau aku malas bekerja bagaimana dengan adik-adik aku. Cukuplah aku menghampakan orang tua aku bila
aku gagal dalam SPM. Aku hancurkan
perasaan dan keinginan mereka melihat aku berjaya, masuk universiti, lulus
cemerlang dan mendapat pekerjaan yang baik. Tiada gunanya aku menyesal
sekarang. Sudah nasib yang aku sendiri
buat, terima sahajalah.” Ainah
tersenyum sini.
“Bukan ke ini
takdir yang telah ditentukan oleh ALLAH pada kita? Kau sudah ditentukan akan gagal lepas tu
bekerja di sini, selama-lamanya jadi kuli.”
Mariam tersenyum sinis.
“Jangan salahkan
takdir atas kebodohan dan kemalasan sendiri.
ALLAH tidak akan mengubah nasib
kita jika kita sendiri tidak mengubahnya. Aku akan berusaha mengubah nasib diriku. Sekarang ini pun aku menabung sedikit demi
sedikit untuk aku sambung belajar.
Mungkin setahun, dua tahun siapa
yang tahu. Aku akan ambil SPM
semula. Aku tidak akan membiarkan diriku
berterusan begini. Aku akan belajar dari
sekarang dan berusaha sehingga aku yakin, aku mampu lulus cemerlang.” Ainah tersenyum penuh yakin. Mariam terlopong mendengarnya.
“Boleh ke
kita? SPM aku banyak ‘D’. ‘E’ pun ada.”
Keluh Mariam. Mata Ainah bercahaya, tersenyum.
“Belakang parang
jika hari-hari diasah pasti tajam.
Begitu juga dengan akal manusia.”
Ainah mengenggam jari jemari Mariam.
“Kita boleh
berjaya Yam, yang penting usaha. Usaha
itu tanda kejayaan.” Ainah tersenyum.
Mariam mengangguk.
“Betul juga,
kan? Aku pun nak ikut jejak kaulah.
Terima kasih Ainah, fikiran kau selalu terbuka.
Aku suka berkawan dengan kau.
Tidak sia-sia kita kenal, kan?”
Yam memegang tangan Ainah.
“Fikiranku terbuka
apabila aku gagal mencapai apa yang menjadi harapan kedua orang tua aku,
Yam. Aku kecewakan mereka.” Ainah sebak.
Kalaulah dia benar-benar memberi tumpuan pada pelajarannya tentulah
sekarang ini dia sudah belajar di
universiti. Dia belajar di saat akhir sehingga ada pelajaran
yang tidak sempat diulangkaji kembali.
Terpengaruh dengan kata-kata teman lelakinya, dia menghancurkan masa
depannya sendiri.
“Jomlah, giliran
rehat kita sudah habis. Kawan-kawan lain
nak berehat juga.” Ainah membasuh tangan
dan pinggan. Di dapur restoran masih sibuk. Penyediakan untuk
masakan panas pula. Pelayan tidak
dibenarkan masuk ke dapur tanpa urusan penting.
Kalau mahu apa-apa beritahu sahaja pada ketua dapur yang bertugas.
Tiada perkara yang
mudah dalam hidup ini. Bak kata
sesetengah orang, hidup pun susah, mati pun susah. Ainah tersenyum sendiri, dialog dari satu
watak dalam filem Madu Tiga karya Allahyarham P. Ramlee.
Seniman Agung negara yang amat dibanggakan oleh rakyat Malaysia. Emak
dan ayahnya pun minat filem-filem arahan
dan lakonan Allahyarham. Ainah
memandang ke arah seorang pemuda yang leka membaca tanpa menghiraukan orang di
sekililingnya. Di atas meja hanya ada
air dan dua biji kuih. Belum disentuh
lagi. Leka sungguh dia membaca. Itulah gelagat pelanggan-pelanggan yang
datang. Tidak kurang juga lelaki dan
perempuan yang berpacaran. Ainah
memandang pula ke arah seorang perempuan muda yang cantik dan manis. Bergaya sungguh. Solekannya mengalahkan artis sahaja. Perempuan muda itu sedang menikmati semangkuk
bee hon goreng yang masih panas. Ainah
tersenyum. Dia leka memerhati sehinggalah
matanya bertembung dengan mata perempuan muda itu. Dahi perempuan itu berkerut
memandangnya. Ainah cepat-cepat memandang ke arah lain. Perempuan itu bingkas bangun, melangkah
mendekati Ainah yang menjadi juruwang ganti untuk petang itu. Kak Siti juruwang restoran itu sedang
berehat.
“Cik dah nak bayar
ke?” tanya Ainah lembut dan mesra. Senyuman terukir di bibir Ainah.
“Ainah bt
Adi? Ini Ainah, kan?” kata perempuan itu. Giliran dahi Ainah pula berkerut.
“Betul. Cik siapa?”
tanya Ainah kembali. Perempuan
itu tersenyum lebar.
“Kak Nadialah,
anak Kak Timah jiran sebelah rumah Ainah, takkan tak kenal?” kata perempuan bernama Nadia. Ainah berfikir sebentar.
“Ya, ALLAH, Kak Nadia rupanya? Maaflah terlampau cantik sehingga saya tidak
perasan. Kak Nadi apa khabar? Mak Timah kata Kak Nadi bekerja di luar
negara? Betul ke? Hebatnya,” puji Ainah ikhlas. Nadia tersenyum manis.
“Lama kita tak
berbual, pukul berapa habis kerja ni?”
tanya Nadia.
“Saya habis kerja
pukul 10.00 malam,” jawab Ainah. Nadia mengangguk.
“Okeylah, akak
jumpa di rumah nanti,” setelah membayar
harga minuman dan makanan, Nadia terus berlalu.
Ainah memerhati dengan rasa kagum di hati. Berubah sungguh anak Mak Cik Timah. Rezeki
orang tiada siapa yang tahu. Kak Nadia
bukan seorang yang pandai dalam pelajaran. Lepas PMR dia terus berhenti sekolah
kerana sudah tidak berminat belajar lagi.
Apa kerjanya di luar negara?
Persoalan yang bermain difikiran Ainah.
Melihat pada penampilan Kak Nadia tentu dia bergaji besar. Ainah mengeluh. Untung nasib orang hanya ALLAH SWT jua yang
tahu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan