BAB 8
Azrul meneliti
nama-nama ahli Kelab Matematik dan Sains yang akan terlibat dengan kuiz
hujung minggu ini. Dia tersenyum
puas. Ahli yang terpilih memang
hebat-hebat belaka. Rajesh turut
membantu begitu juga Kevin dan
Mathialagam. Hadiah untuk pertandingan itu juga sudah dibalut kemas oleh
pelajar perempuan. Kevin diberi amanah
untuk memastikan hadiah dari tempat pertama sehingga ke sagu hati sudah siap
semuanya. Nanti tidaklah terkejar-kejar
atau ada tertinggal. Rajesh ditugaskan hiasan dewan dan para peserta. Mathialagam pula menjaga para peserta yang
terlibat.
“Ini projek
pertama kelab Matematik dan Sains, harap semuanya berjalan lancar. Kau memang hebatlah Azrul, baru dilantik
sudah buat aktiviti,” puji Rajesh. Malah guru bimbingan pun memberi kebebasan
pada Azrul membuat keputusan agar kelab
tersebut aktif dan ahli-ahli tidak terasa membuang masa menganggotai kelab
tersebut.
“Betullah Azrul,
kau memang hebat,” puji Mathialagam
pula.
“Kalau tiada ahli
dan tiada AJK yang membantu pasti tidak berjaya juga Rajesh, Mathia. Sepatutnya aku berterima kasih pada kalian
bertiga kerana rajin membantu dan memberi kerjasama dengan aku. Susah senang kalian bertiga pasti bersama
aku. Aku benar-benar terharu.” Azrul memandang wajah ketiga orang sahabat
baiknya itu. Sejak tingkatan satu mereka
berkawan sehinggalah sekarang. Sudah
lima tahun. Dia sudah faham dengan
perangai dan sikap ketiga orang sahabatnya itu.
“Kitakan
Malaysian,” jawab Kevin sambil menepuk dada.
Rajesh, Mathialagam dan Azrul ketawa.
“Iyalah, kita
rakyat Malaysia, mestilah bersatu hati, ini tanah air kita, di sini tumpahnya
darah kita,” kata Rajesh pula. Walaupun nenek moyangnya berasal dari India,
menurut kata nenek sebelah ayahnya. Tetapi nenek dan ayahnya lahir di Malaysia,
begitu juga dirinya. Jadi inilah
negaranya, inilah tempat tinggalnya.
Bukan India.
Rajesh tersenyum bangga. Bangga jadi rakya Malaysia, biar pun dia,
Kevin, Mathialagam dan Azrul berlainan bangsa dan agama namun mereka mampu
hidup aman bersama. Mampu melakukan
perkara yang mereka suka bersama. Kalau
hendak dibandingkan dengan sesetengah negara yang kacau bilau, biarlah negara
sendiri, bak kata pepatah, Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara
sendiri, lebih baiklah negara sendiri.
Kalau ikut pepatah itu tentulah pelik tetapi maksudnya jelas. Biar bagaimana cantik dan indah pun tempat
orang atau negara orang, buruk-buruk negara sendiri pun adalah yang
terbaik. Umpama rumah orang dengan rumah
sendiri. Rumah sendirilah yang lebih
baik, selesa dan aman. Biarlah sempit
dan tidak mewah namun itulah hak sendiri.
“Betul, buat apa bergaduh dan
bertengkar hanya kerana kita berbeza pendapat, berbeza agama dan berbeza
budaya. Semua orang mahu hidup aman
damai dan tenteram. Aku tidak suka ada
pergaduhan dan demontrasi jalanan. Untuk
apa? Buang masa dan tenaga sahaja. Baik kita fikirkan bagaimana hendak memajukan
diri sendiri, negara dan keluarga.”
Kevin mendepakan tangan. Azrul
menepuk bahu sahabatnya.
“Betul, perbezaan ideologi jangan
sampai merosakkan hubungan baik yang ada.
Kita punya pendapat masing-masing tetapi janganlah sampai bermusuh,
bergaduh dan berkelahi bagaikan anak kecil sahaja. Apa salahnya bersikap terbuka, perbezaan
pendapat bukan membuatkan kita saling menjauh tetapi sepatutnya semakin dekat
dan saling memahami. Macam kita,” kata Azrul pula sambil ketawa.
“Betul,betul,betul… .” Rajesh menyampuk. Dewan sudah siap sedia Pertandingan Kuiz Matematik dan Sains pada
hari Sabtu ini. Kerusi untuk tetamu VIP dan guru-guru serta
para pelajar sudah siap tersusun kemas.
Pentas utama sudah siap dengan kerusi meja untuk para peserta mengikut
tingkatan.
“Wah, sibuk sungguh Pengerusi Kelab
Matematik dan Sains bekerja ya? Dewan
pun sudah siap berhias dan semuanya sudah cukup sempurna.” Cikgu Lim mendekati Azrul sambil memerhati
sekeliling dewan. Dia tersenyum bangga.
“Selamat tengahari cikgu,” kata
mereka serentak.
“Selamat tengahari,”
“Semua sudah siap cikgu, tunggu
harinya sahaja,” kata Kevin. Cikgu Lima mengangguk. Dia nampak semuanya sudah siap.
“Saya bangga dengan awak berempat. Rajin dan sering bekerja sama. Inilah yang sepatutnya kita lakukan sebagai
sebuah negara yang penduduknya berbilang kaum, budaya dan bangsa.” Puji Cikgu Lim lagi.
“Kita rakyat Malaysia cikgu,” kata Rajesh.
“Betul, jika kalian bertiga simpan
itu dalam hati pasti negara kita aman untuk selamanya, tenteram dan damai bagi
generasi yang akan datang, untuk anak cucu kita, kita akan warisikan negara
yang aman ini untuk keturunan kita juga, kan?
Jadi sama-samalah kita jaga keharmonian ini, ya,” nasihat Cikgu Lim.
“Baik cikgu, kami akan ingat pesan
cikgu biar di mana sahaja kami berada,”
Azrul mengangguk. Kevin,
Mathialagam dan Rajesh juga begitu.
“Wah, cantik dewan ini? Siapa yang menghiasinya?” Cikgu Linda antara guru penasihat Kelab Matematik dan Sains melangkah masuk, matanya
memerhati dewan sekolah yang sudah siap dihias.
“Mereka berempat, dan dibantu oleh
ahli-ahli kelab yang lain,” beritahu
Cikgu Lim bangga.
“Awak Azrul, tidak sia-sia dilantik
jadi Pengerusi Kelab. Baru sahaja
mesyuarat agung dilantik, tidak tunggu-tunggu lagi terus bekerja. Ini soalan
dan jawapan untuk kuiz esok.
Simpan baik-baik jangan tinggal di mana-mana pula,” pesan Cikgu Linda.
“Terima kasih cikgu, saya hanya
menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberi.”
“Semua persatuan yang awak jadi
pengerusinya selalunya aktif dan produktif.
Mana ada pelajar yang tidak menolak jika awak di calonkan. Jika awak kekalkan sikap kepimpinan ini pasti suatu hari nanti awak
akan berjaya,” Cikgu Lim menepuk bahu
Azrul.
“Iyalah cikgu, kami juga yang teruk,
setiap persatuan Azrul jadi pengerusi,
kami wajib masuk, turut jadi ahli .”
Kevin mengusik. Azrul menyengih.
“Inilah gunanya sahabat, kan cikgu,
sentiasa membantu antara satu sama lain, berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing. Muafakat membawa berkat. Bersatu kita teguh, bercerai kita
roboh,” kata Azrul. Cikgu Lim tersenyum.
“Bagus, bagus, walaupun berpersatuan
dan aktif dalam kelab, jangan lupa untuk belajar pula. SPM juga penting untuk masa depan kalian
bertiga. Cikgu bukan sahaja ingin
melihat kalian berjaya dalam mengendalikan persatuan malah berjaya dalam
pelajaran,” kata Cikgu Linda lagi. Azrul, Kevin, Mathilagam dan Rajesh merupakan
pelajar kelasnya. Sebagai guru kelas dia
bangga dengan pencapaian anak-anak muridnya.
Motivasi diri sentiasa diterapkan agar anak-anak muridnya ada keinginan
untuk berjaya dalam hidup.
“Kami ingat cikgu. Kami pun ingin berjaya dalam pelajaran dan
sampai masuk universiti,” Kevin
tersenyum.
“Kalian harus ingat, belajar bukan
hanya untuk lulus periksa sahaja, tetapi belajar untuk mencari ilmu dan
menambah pengetahuan. Mungkin ilmu yang
kita belajar ini tidak digunakan sekarang, tetapi suatu masa nanti pasti
berguna juga. Jadi jangan pernah jemu
untuk belajar dan terus belajar biar apa pun bidang yang akan diceburi
kelak. Jangan pula belajar buat
kerja-kerja haram seperti mengedar dadah, mencuri, merompak dan perkara-perkara
negatif yang memang akan merosakan diri sendiri dan juga negara,” nasihat Cikgu Linda panjang lebar.
“Betul kata Cikgu Linda. Ilmu pengetahuan adalah pembimbing dari yang
gelap kepada yang terang.” Cikgu Lim
memandang keempat-empat pelajar itu silih berganti.
“Tanpa ilmu pengetahuan kita tidak
akan dihormati oleh orang lain. Tanpa
ilmu pengetahuan kita tidak akan dapat mengubah nasib diri kita. Tanpa ilmu pengetahuan kita tidak akan mampu
memajukan negara. Tanpa ilmu pengetahuan
kita tidak akan dapat menjadi pemimpin yang jujur, ikhlas dan
bertanggungjawab. Jadi pupuklah rasa
minat untuk membaca dan belajar itu sejak dari sekolah lagi. Orang yang berilmu pengetahuan, dia akan
menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi dan ada cita-cita ingin berjaya,” kata
Cikgu Linda menasihati anak-anak muridnya.
“Kami akan ingat cikgu, itu sebab
saya memilih menjadi pengawas perpustakaan, supaya saya sering dekat dengan buku,”
kata Kevin. Azrul menampar belakang Kevin.
“Ala, sudah Cikgu Hasriah pilih
tidak boleh menolak. Terpaksa cikgu!”
usik Azrul. Kevin mencebik. Rajesh dan Mathialagam ketawa. Cikgu Lim dan Cikgu Linda turut ketawa.
“Okeylah, selesaikan kerja kalian,
jangan berlama di sekolah. Balik rumah
bantu emak dan ayah pula.” Pesan Cikgu
Lim sebelum berlalu meninggalkan ketiga-tiga pelajar itu.
“Soalan itu simpan baik-baik Azrul, esok jangan lupa bawa. Guru Besar sudah memberi persetujuan untuk
hadir merasmikannya. Terima kasih kerana
banyak membantu saya dan Cikgu Lim dalam
menjalankan aktiviti kelab.”
Cikgu Linda tersenyum manis.
Azrul dan kawan-kawannya turut tersenyum.
“Oh ya, cikgu. Sebelum saya terlupa. Ini ada surat ucapan terima kasih kepada suami
cikgu yang banyak menyumbang hadiah untuk
aktiviti esok.” Surat tersebut
bertukar tangan. Cikgu Linda tersenyum
lagi.
“Suami saya pun minta maaf kerana
tidak dapat hadir. Dia berdoa agar
majlis tersebut berjalan lancar. Terima
kasihlah, siap buat surat pula.” Cikgu
Linda berlalu meninggalkan pelajar-pelajarnya.
“Okey, semuanya sudah selesai. Jomlah balik.
Dewan ini kita kunci dahululah.
Esok aku cuba datang awal,” Kevin
memberi cadangan. Azrul mengangguk. Majlis dijangka bermula dalam pukul 8.30
pagi.
“Aku laparlah, jom pergi makan
dahulu,” ajak Kevin sambil mengusap
perutnya yang sudah berbunyi.
“Kau ini asyik ingat hendak makan
sahaja,” usik Mathialagam. Kevin menyengih.
“Maaflah,” kata Azrul. Kevin dan Rajesh saling berpandangan. Mereka serentak memeluk bahu Azrul.
“Ada banyak kita makan sama-sama,
ada sedikit pun kita makan sama-sama,”
Kevin mengangkat kening.
“Malu aku dengan kau Kevin, Mathia,
hampir setiap hari kalian bergilir-gilir
belanja aku makan. Bagaimana aku nak
balas jasa kalian pada aku selama ini,”
Azrul sayu. Dia tidak meminta
duit yang banyak pada emaknya, cukuplah untuk dia membeli sebiji roti dan air
sirap atau air kosong. Paling penting
duit tambang bas, dia juga menolak untuk menaiki bas yang dibayar bulanan. Dia tidak mahu membebankan kedua orang
tuanya. Cukuplah mereka menyediakan
kemudahan tersebut untuk adik-adiknya.
Dia tidak mahu menyusahkan emaknya.
Biarlah adik-adiknya yang diberi belanja lebih sebabnya mereka belum
faham bagaimana hendak menahan lapar dan dahaga melainkan bulan puasa.
“Inilah gunanya sahabat Azrul, bukan
ketika senang sahaja kita bersama. Waktu
susah juga wajib bersama,” Rajesh
memandang wajah Azrul. Begitu juga
Mathialagam dan Kevin. Mereka serentak
memeluk Azrul.
“Iyalah, Azrul. Ini masa kau, masa
aku belum tahu lagi bagaimana. Lagi pun
aku mampu belanja kau. Sudahlah, lagi
tunggu lama di sini, lagi hebat lagu yang dimainkan oleh perut aku ini,” Kevin menarik tangan Azrul menuju ke
kantin. Setelah Rajesh dan Mathialagam menutup dan mengunci pintu
dewan mereka terus menapak ke kantin sekolah.
Azrul tersenyum walaupun dalam hatinya terselit rasa malu dan hiba. Malu kerana dia tidak pernah belanja
kawan-kawannya. Hiba kerana mereka
tidak pernah lokek dan kedekut dengannya.
Ayah Kevin mempunyai perniagaan sendiri, kedai emas dan restoran. Malah Kevin datang ke sekolah pun dengan
motosikal sendiri. Kevin ada lesen
memandu kelas B. Azrul mengeluh. Dia apa
lesen pun tiada. Jangankan hendak beli motosikal, beli basikal pun belum tentu
dia mampu. Kadang-kadang dia cemburu
dengan Kevin kerana sahabatnya itu ada semuanya. Azrul mendengus kasar. Rajesh pula ayahnya
ada ladang ternakan lembu dan kambing sendiri.
Mathialagam pula ayahnya seorang peguam.
Ayahnya pula hanya pemandu teksi.
Dia tidak mahu dengan pekerjaan orang tuanya.
banyak pengajaran
BalasPadamTerima kasih cikgu Monalita
BalasPadam