|
Matanya tidak berkelip memandang kesatu
arah. Maria yang sedang bermain di laman
rumah langsung tidak dihiraukan. Sejak dia sampai di rumah emaknya, hanya air
mata menjadi teman setia. Siang bagaikan malam baginya, malam begitu sepi
menghimpit diri. Sudah seminggu dia berada di rumah itu. Bayang suaminya masih
tidak kelihatan. Hendak menelefon ibu mertuanya terasa malu di hati apatah lagi
mendapat tahu suaminya sudah berkahwin lagi.
Kenapa?
Apa salahnya? Apa yang kurang dengan dirinya? Dia sendiri tidak faham. Selama
ini tidak pula dia melihat apa-apa perubahan pada diri suaminya. Biasa-biasa
sahaja. Ah! Orang lelaki pandai menyorokkan diri. Kalau hati sedang sakit
seluruh tubuh merasa pedihnya.
“Mas…
sudah, sudahlah bawa termenung. Cuba telefon Ashraf. Dapatkan penjelasan,”
nasihat Mak Yam. Dia mengeluh sendiri. Sedih melihat nasib anaknya yang
tiba-tiba sahaja dimadukan. Dia sendiri
tidak faham. Selama ini rumah tangga anak menantunya baik-baik sahaja. Tidak
pula ada pertelingkahan atau salah faham. Kalau setakat sikit-sikit itu,
biasalah. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.
“Kenapa
mak? Kenapa?” soal Mastura. Air mata masih berembas keluar.
“Sabarlah,
bawa mengucap. Ini ketentuan takdir Mas. Jangan fikirkan sangat!” terus
memujuk.
“Siapa
yang tak fikir, mak? Sudahlah rumah
hangus terbakar. Suami pula tiba-tiba menghilangkan diri. Tidak tahu di mana?
Eh! Dengar-dengar sudah kahwin lagi. Hati siapa yang tidak sedih.”
“Semua
ini ujian, nak!” Mak Yam mengusap belakang Mastura. Ditariknya anak itu ke
dalam pelukan. Sedih juga mengenang nasib anaknya itu.
“Mas
tak boleh terima, mak!” tangis Mastura, sayu.
“Mak
tahu, mana perempuan yang boleh terima. Mak faham sangat-sangat.”
“Tak
sangka Mas, mak. Tak pernah terfikir Abang Ashraf sanggup menduakan Mas.
Tergamak dia, mak!” pelukan semakin erat.
“Mak…
Mak!” panggil Maria. Dia melangkah mendekati emaknya yang sedang memeluk
neneknya.
Mastura
menoleh, pelukan dileraikan.
“Maria,”
semakin sayu hati Mastura apabila terpandangkan wajah anaknya itu. Dia mengamit
Maria mendekat. Dia memeluk Maria sepenuh hati. Dicium anak itu berkali-kali.
“Ayah,”
kata Maria. Mastura mengerutkan dahi. Dia melangkah bangun mendekati tingkap.
Berdiri di laman rumah dengan muka serba salah. Mastura mengetap bibir, menahan
geram dan marah.
“Kau
nak apa, hah? Kenapa ke mari?” tanya Mastura, kasar. Geram benar hatinya. Biar
terhambur segala kemarahan yang berbuku di hati.
“Mas,”
perlahan. Mastura menjeling tajam. Ashraf melangkah naik.
“Jangan
naik! Pergilah balik ke rumah bini muda kau!”jerit Mastura bagaikan orang
hilang akal.
“Mastura,”
Ashraf cuba menenangkan isterinya. Dia terus melangkah masuk ke dalam rumah.
“Duduk
Ashraf,” pelawa Mak Yam.
Mstura
tetap berdiri di tepi tingkap sambil mencekak pinggang.
Maria
menerpa memeluk Ashraf.
“Mak,
Mas.. maafkan abang.” Ashraf duduk sambil memandang wajah isteri dan emak
mertuanya silih berganti.
Maria
duduk di atas pangkuan Ashraf. Jelas terpancar kerinduan di wajah anak itu.
“Apa
yang terjadi Ashraf? Kenapa? Macam mana boleh berlaku?” bertalu-talu soalan
keluar daripada mulut Mak Yam.
“Maafkan
Ashraf, mak.” Ashraf mengeluh kasar. Semuanya salah dirinya sendiri. Dia meraup
muka. Mengeluh lagi.
“Hah,
mengeluh, mengeluhlah sampai keluar anak tekak awak tu!” jerkah Mastura. Panas
benar hatinya. Kalau letak air pasti menggelegak.
Ashraf
memutarkan ingatannya kepada peristiwa di malam kebakaran berlaku. Ketika itu
dia sedang bersiap-siap hendak ke rumah emaknya di Bangi.
Mastura
dan Maria yang tidur di sisi ditenung lama. Hiba pula hatinya. Namun keputusan
sudah dibuat. Dia sudah berjanji. Kata putus sudah di ambil. Kedua belah pihak
sudah setuju. Hanya menunggu hari langsungnya sahaja. Semua sudah diatur. Dia cuma perlu menghadirkan
diri. Maafkan abang, Mas, detik hati kecilnya.
Pesanan
emaknya agar pulang ke Bangi malam itu juga telah membuatkan dia pendek akal.
Meninggalkan isteri dan anaknya tanpa memberitahu sepatah dua kata. Ugutan demi ugutan daripada emaknya membuatkan
dia tidak mampu berfikir apa. Baginya restu emaknya mengatasi segala. Keinginan
orangtua tunggak utama. Dia tidak memberitahu perkara sebenar kepada Mastura
kerana dia tahu isterinya tidak akan mengizinkannya. Ashraf mencapai beg
pakaian. Beberapa helai pakaian dimasukkan ke dalamnya.
Setelah
mengisi pakaian ke dalam beg, dia terus keluar dari rumah. Daun pintu dikuak
perlahan, tidak mahu menganggu lena anak dan isterinya. Kereta yang diletakkan
di luar rumah dihidupkan enjinnya. Dia memandu perlahan. Nanti abang akan
terangkan kepada Mastura, kenapa abang ambil tindakan ini, bisik hati kecilnya.
Ashraf mencari telefon bimbitnya. Tiada? Ya ALLAH, tertinggal di rumah. Dia
berpatah semula. Meletakkan keretanya jauh sedikit dari rumah. Dia menapak kembali ke rumahnya semula. Daun
pintu dibuka perlahan. Isterinya masih enak dibuai mimpi. Bau hangit menerpa
hidungnya. Suara orang menjerit membuatkan dia berasa hairan. Ashraf menyelak
kain langsir. Ashraf membuka tingkap bilik ingin tahu apa yang berbau. Asap
tebal menendang masuk. Api yang sedang marak menerangkan kawasan taman
tersebut. Kenapa tadi dia tidak perasan pun.
Api!
Katanya dalam hati. Ashraf cepat-cepat mengejutkan Mastura dan Maria. Nyalaan
api semakin menghampiri rumahnya. Nasib baik dia berpatah semula, kalau tidak
dia hanya akan melihat mayat anak dan isterinya sahaja.
“Mas!
Mas!” jerit Ashraf. Mastura yang nyenyak tidur, terpisat-pisat terjaga.
“Kenapa
bang?” hanya itu pertanyaan yang menerjah di bibir Mastura.
“Rumah
terbakar!” kata Ashraf. Maria diangkat dalam dukungan. Api sudah mula menjamah sebahagian dinding
rumah mereka. Pelik. Rumahnya berdindingkan batu, kenapa mudah terbakar?
Pertanyaan yang tidak sempat dijawab. Perlu selamatkan diri dahulu.
“Macam
mana ini bang! Api tu!” jerit Mastura, ketakutan.
“Tak
payah ambil apa-apa, jom keluar!” arah Ashraf. Mastura akur. Nyawa lebih
penting dari harta yang tinggal. Selamatkan diri dahulu. Ashraf menarik tangan Mastura menuju ke jalan
besar. Hanya di situ kawasan yang masih selamat. Api marak dengan cepat.
Walaupun rumah di kawasan itu adalah rumah batu. Kenapa begitu mudah merebak? Ashraf
cuak.
Suara
penghuni taman itu riuh rendah, ada yang menjerit mencari ahli keluarga. Ada
juga yang cuba menyelamatkan barang-barang milik mereka. Ashraf hanya mampu
memandang rumahnya hangus terbakar. Mastura dan Maria keluar sehelai
sepinggang. Langsung tidak dapat mengambil apa-apa hatta dokumen penting. Jiran
tetangga dan jiran di taman sebelah sudah mula berkumpul di bahu jalan. Mata
masing-masing melekat ke arah kawasan tragedi. Bunyi letupan kecil juga
kedengaran.
“Habis
tempat tinggal kita musnah, Ashraf,” sayu kedengaran suara itu. Lelaki itu
muram, wajahnya kelat, matanya sayu merenung nyalaan api membakar setiap inci
bangunan tersebut.
“Sudah
ketentuan ILAHI, Pak Ayob,” kata Ashraf.
Pak Ayob mengangguk. Dia hanya mampu mengurut
dada. Anak isteri Pak Ayob turut sedih dengan apa yang berlaku. Pak Ayob sempat juga menyelamatkan beberapa
barang penting miliknya. Rumahnya terletak di hujung sekali.
Api
yang marak mengambil masa sejam untuk memadamkannya. Ashraf diulit gelisah.
Masa semakin berlalu pergi. Dia sudah terlambat. Bunyi deringan telefon
membuatkan hatinya tersentak. Sudah pasti panggilan daripada ibunya.
Mastura
memandang ke arah rumahnya dengan hati hampa dan kecewa. Semuanya sudah menjadi
abu.
“Semua
mangsa kebakaran taman ini diminta ke Dewan Seroja. Semua penduduk diminta ke
Dewan Seroja!” jerit seseorang.
Ashraf
mengeluh. Dewan Seroja satu kilometer dari kawasan tersebut. Dia harus menghantar Mastura dan anaknya ke sana. Barulah dia
bergerak ke Bangi, rumah keluarganya.
Ashraf
mengeluh. Dewan Seroja terletak satu kilometer dari kawasan perumahan tersebut.
Dia harus menghantar Mastura dan Maria ke sana dahulu. Kemudian dia akan
bertolak ke Bangi.
“Jom
ke kereta!” ajak Ashraf agak tergesa-gesa. Mastura memandang wajah suaminya.
“Kenapa
kereta ada di sini? Bukan ada di hadapan rumah petang tadi?” Mastura kehairanan atau dia tersilap pandang.
Ashraf tidak menjawab pertanyaan isterinya. Dia terus sahaja memandu. Mastura
tidak bertanya lanjut. Badannya masih menggigil, ketakutan. Terkejut dengan apa
yang sedang berlaku.
Mereka
melangkah masuk ke dalam dewan yang sudah pun dipenuhi oleh penduduk taman itu.
Ada yang menangis. Ada juga saling bercerita apa yang terjadi. Anak-anak kecil
ada yang mula bermain, tidak kurang juga yang sudah tidur, keletihan.
Ashraf
mencari ruang untuk menempatkan Mastura dan anaknya. Dia harus segera bergerak.
Kejamnya dia meninggalkan isterinya dalam keadaan seperti itu.
“Tunggu
sini, rehat di sini. Nanti abang datang balik!” suruh Ashraf.
Mastura
hanya mengangguk.
Ashraf
bingkas bangun. Dia menelefon seseorang. Jawapan yang diterima cukup mengecewakan
hatinya. Dia tidak mahu jadi anak durhaka. Anak dan isterinya telah pun
selamat. Dari kejauhan dia melihat Mastura bercakap dengan seseorang. Dia terus
melangkah keluar dari dewan tersebut. Dengan hati yang berat dan terpaksa, Ashraf
memandu keretanya menuju ke Bangi.
Dia
sampai di rumah ibunya setengah jam kemudian. Ibunya sudah pun menunggu
kehadirannya. Tiada saudara mara yang menemani. Ibunya selalu berkata, dia
tiada sesiapa di dunia ini melainkan dia dan ibunya sahaja. Arwah ayah tirinya
sudah beberapa tahun meninggal dunia. Dia tidak pernah bertanya lanjut tentang
asal usul ibunya. Kata ibunya, itu semua tidak penting. Tinggalkan masa silam,
hadapi masa hadapan. Dia akur. Kononnya ingin menjadi anak yang taat.
“Macam
mana dengan Mastura? Dia tak syak ke?” tanya Halijah.
“Tidak
ibu. Ashraf tinggalkan dia begitu saja.” Ashraf melabuhkan punggung di sofa
kulit buatan Itali itu.
“Kalau
Ashraf hendak ibu menerima kehadiran Mastura, Ashraf ikutlah cakap ibu!”
Halijah mencebik.
“Okey
Ashraf ikut cakap ibu. Tapi… ibu kena berpegang dengan janji ibu untuk menerima
Mastura sebagai menantu ibu, surat tukar milik harta warisan Ayah Din sudah pun
Ashraf tandatangan. Kalau ibu bertukar fikiran, Ashraf tidak teragak-agak tukar
kembali wasiat itu, ibu dengar tak? Tak
mustahil Ashraf letak nama Mastura dan Maria sebagai pewaris harta ini. Bukan
niat mengugut ibu tetapi Ashraf nak ibu berpegang pada janji yang ibu sendiri
katakana,” Ashraf memandang wajah ibunya dengan mata berkaca.
Halijah
terkedu mendengarnya. Anaknya sedang bermain api. Sengaja hendak membakar
dirinya yang telah disirami minyak, hanya tunggu terbakar sahaja. Dia tidak
akan membiarkan harta itu jatuh ke tangan menantu dan cucu yang dibenci.
“Ashraf
jangan bimbang, ibu tetap berpegang pada janji.” Halijah masih bermuka manis.
Kata-kata Ashraf tadi ditolak ke tepi.
Kalau dari dahulu Ashraf berkahwin dengan gadis pilihannya pasti
hubungannya dengan anaknya itu berjalan lancar. Ashraf pasti tinggal bersamanya
tidaklah berjauhan seperti sekarang. Sudahlah semua harta milik arwah suaminya
telah dinamakan dengan nama Ashraf. Salah dia juga terburu-buru buat keputusan.
Kononnya untuk menjaga agar harta warisan itu kekal milik anaknya. Sedangkan
kalau ikutkan Ashraf tidak layak menerimanya. Kerana dia hanya anak tiri arwah
suaminya.
Majlis
sudah dirancang sebulan yang lalu. Itu pun puas dia memujuk Ashraf menerima
cadangannya itu. Akad nikah dilakukan di rumahnya begitu juga kenduri kendara.
Kedua orangtua perempuan masih di luar negara.
Dialah yang menguruskan semuanya. Tidak mungkin dia menangguhkannya
hanya kerana musibah yang menimpah keluarga anaknya itu. Hanya senyuman terukir di hati apabila
diberitahu oleh Ashraf bahawa rumahnya telah hangus terbakar. Dia sudah sedia
maklum apa yang berlaku.
Dia
tidak peduli apa yang terjadi kepada anak dan isteri Ashraf. Segala persiapan
telah dibuat, tak mungkin dia membatalkannya. Buat malu sahaja. Biarlah Mastura
selesaikan sendiri masalahnya. Nanti usai majlis perkahwinan itu jika Ashraf
hendak pulang menjengah anak isterinya dipersilakan. Wah, baiknya hati dia.
Jangan harap! Dia tidak akan membenarkan Ashraf ke sana lagi. Dia akan mengikat
kaki dan tangan Ashraf di sini. Bodoh
betul anaknya, lurus bendul. Ingat senang dia hendak menerima kehadiran
Mastura?
Lagipun
dia ada rancangannya sendiri. Harta warisan arwah suaminya akan dirampas
kembali. Surat peralihan kuasa dan penukaran pemilik semua harta tersebut telah
pun siap. Cuma tunggu tandatangan anak lelakinya itu sahaja.
Majlis
berjalan lancar. Senyuman bahagia terukir di bibir Halijah. Harapan dan
impiannya sudah tertunai.
Ashraf
cuba berlagak riang. Namun hati dan fikirannya asyik teringkatkan anak dan
isteri yang ditinggalkan sehelai sepinggang.
Malam
pertama bagaikan tidak bererti, badannya di situ, hatinya entah ke mana
pergi. Resah dan gelisah. Isteri yang jelita, seksi dan mampu
meruntuhkan perasaan kelelakiannya tidak langsung mengamit rasa. Malam berlalu
tanpa suara. Tanpa rasa. Hiba menghimpit bagaikan menyesak nafasnya.
“Abang
kenapa? Muram sepanjang masa. Sepatah Rina tanya. Sepatah abang jawab. Apa yang
tidak kena? Apakah kehadiran Rina tidak menyenangkan hati abang,” lembut isteri
barunya bersuara.
Ashraf
menoleh sambil mendengus kasar.
“Maafkan
abang Rina, ada masalah yang menghenyak kalbu. Abang sebenarnya sudah beristeri
dan sudah mempunyai seorang anak. Sebelum abang ke mari, musibah menimpa. Rumah
kami hangus terbakar. Demi janji, abang ke mari juga,” cerita Ashraf. Dia tidak
mahu menipu sesiapa. Hatta isteri sendiri, namun terpaksa.
“Innalillah…
jadi anak isteri abang bagaimana?” tanya Katrina, ingin tahu. Terkejut dia
mendengar berita itu. Walaupun hatinya tidaklah baik sangat tetapi jika
seseorang menimpa musibah tidaklah perlu ketawa riang. Sekurang-kurangnya
tunjukkanlah rasa simpati.
“Mereka
selamat, cuma tidak tahu bagaimana keadaan mereka sekarang,” luah Ashraf lagi.
“Rina
dah tahu abang ada isteri dan anak. Rina setuju berkahwin dengan abang pun
sebab hati dan perasaan Rina terhadap abang tidak pernah berubah. Walaupun
abang pernah kecewakan Rina tapi apa boleh buat, waktu itu kita tidak ada
jodoh. Rina tidak kisah jadi isteri kedua asalkan abang berlaku adil.” Lembutnya
gigi dari lidah waktu mengungkapkan kata.
Bermanis muka di hadapan suami, konon baiknya hati. Hidup perlu bijak
jika inginkan sesuatu yang berharga.
Ashraf
terkejut mendengarnya.
“Rina!”rasa
terharu datang bertandang. Bekas tunangannya itu masih menyimpan perasaan
terhadapnya. Padahal perkara itu sudah lama berlalu. Masing-masing sudah lama
tidak bertemu. Panggilan telefon
daripada ibunya sebulan yang lalu menemukan mereka kembali dalam suasana yang
jauh berbeza. Katrina masih seperti dahulu, seksi dan manja. Dia pula sudah
beristeri dan mempunyai seorang anak.
“Abang,
pergilah balik, tengok keadaan isteri abang. Rina akan tunggu kepulangan
abang,” suruh Katrina. Ala, tidak rugi sesen pun berlagak baik. Biar tertanam
di hati suaminya, baiknya isteri keduaku. Katrina ketawa sendiri.
“Tapi?”
Ashraf ragu-ragu. Benarkah yang berdiri di hadapannya Katrina tunangannya
dahulu. Lain sungguh kata-kata dan tingkahlaku.
“Pergilah
bang. Rina tidak apa-apa. Sudah ambil hak orang, kenalah pandai-pandai bawa
diri. Lebih-lebih lagi keadaan isteri abang tidak tahu bagaimana. Uruskan hal mereka sehingga selesai. Abang
jangan bimbangkan Rina. Terangkan kepadanya yang abang sudah mempunyai seorang
lagi isteri. Kalau dia dapat menerimanya, Alhamdulillah. Jika tidak, pandai-pandailah
abang memujuknya.”
“Terima
kasih Rina.” Ashraf memeluk isteri baharunya. Hatinya berbunga bahagia. Masalah
ini selesai, masalah di sana belum tahu bagaimana.
Seminggu
masa di ambil untuk dia memberanikan diri bersemuka dengan Mastura. Ashraf
menunduk. Wajah Mastura yang masam mencuka tidak mampu ditenung lama. Dia tahu
dia bersalah. Tetapi demi restu ibunya, dia terpaksa.
“Mas
kena faham, kenapa abang buat begini, itulah syarat ibu. Dia nak abang
berkahwin dengan gadis pilihannya, barulah dia dapat menerima kehadiran Mas
sebagai isteri abang, anak kita sebagai cucunya.”
“Ibu
abang kejam. Siap telefon emak, beritahu abang sudah bernikah lagi. Abang
tinggalkan Mas dan Maria sehelai sepinggang. Rumah hangus, abang pergi begitu
sahaja. Apa yang ada dalam hati abang? Kerana janji ibu abang, entahkan benar,
entahkan bohong abang lupakan kami?” Mastura mengetap bibir. Kelat wajahnya,
sekelat hatinya sekarang untuk menerima kehadiran orang lain dalam hidupnya dan
Ashraf. Jika perempuan itu boleh menerima dia sebagai madu, belum tentu dia
dapat menerima orang ketiga dalam hidupnya dan Ashraf.
“Jangan
cakap macam itu, Mas,” tegur Mak Yam. Walaupun dia kesal dengan apa yang
berlaku. Mungkin ada hikmahnya yang terbaik untuk anak menantunya.
“Pergilah
abang balik ke rumah isteri muda abang. Biar Mas di rumah emak. Hati Mas masih
belum dapat menerima apa yang berlaku. Selama ini hidup Mas bahagia sahaja
walaupun tanpa restu ibu abang. Bergembiralah dia dengan menantu baharunya itu. Abang boleh sahaja menolak, kalau abang
hendak. Tapi… lelakikan? Orang sudah tawarkan diri, kenapa hendak ditolak?”
kata Mastura geram.
Ashraf
terdiam.
“Abang
tidak akan sia-siakan, Mas. Abang akan cuba berlaku adil antara Mas dan isteri
baharu abang. Maafkan abang kerana merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan
Mas dan keluarga. Maafkan saya mak!” Ashraf
menghulurkan tangan bersalaman dengan emak mertuanya.
Tiada
kata secubit pun keluar dari bibir Mak Yam. Sudah kehendak ILAHI anaknya akan
hidup berkongsi kasih dengan perempuan lain. Suka atau tidak, itulah takdir
yang telah tertulis.
Ashraf
berharap Mastura akan terbuka hatinya. Dia ingin membahagiakan kedua-dua orang
isterinya. Dia hanya ingin membahagiakan semua orang. Terutama ibu tersayang.
Salahkah tindakannya itu?
Mastura
tidak mahu bertekak lagi dengan suaminya. Segalanya sudah terjawab. Segalanya
sudah berlaku. Dia perlukan masa. Dia perlu menenangkan fikiran. Di manakah
suami aku? Hatinya sudah bercabang, hilang bersama orang lain. Mastura menutup
mata, setitis air jernih mengalir keluar tanpa dipinta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan