Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 24 September 2014

CERITA KEHIDUPAN - BAB 10






            Nadia mendekati Ainah yang sedang menunggu bas.  Dia menyentuh bahu Ainah.  Gadis  manis itu menoleh.  Nadia melemparkan senyuman.  Nadia hanya berbaju t-shirt dan seluar track-suit. Mungkin keluar berjoging.
            “Ainah nak pergi kerja ke?  Bawa kuih-kuih ini?”  Tanya Nadia ramah.  Ainah memandang  dua buah bekas plastik yang dibawannya. 
            “Iya kak Nadi, emak letak kuih di tempat Ainah kerja,”  cerita Ainah.  Nadia mengangguk.
            “Jomlah, akak hantarkan.  Kereta Kak Nadi ada di depan itu sahaja. Jom,”  pelawa Nadia, sambil memuncungkan bibirnya.  Ainah serba-salah.
            “Tidak mengapalah kak.  Menyusahkan Kak Nadi sahaja.  Ainah sudah biasa naik bas.”  Ainah menolak dengan baik. 
            “Jangan macam itu.  Kitakan jiran juga.  Tiada salahnya Kak Nadi membantu, kebetulan Kak Nadi hendak cari sarapan.”  Nadia masih mengajak.  Ainah mengeluh dan berfikir sejenak.  Akhirnya dia mengalah.
            “Kak Nadi cuti ke?   Rasanya sudah lama Kak Nadi tidak balik, lebih kurang tiga tahun, hari raya pun Kak Nadi tak balik juga.”   Ainah menoleh ke arah Nadia yang sedang memandu.  Besar sangatkah gaji Kak Nadia di luar negara sehingga mampu pakai Mercedez Benz.  Dia bukan tahu sangat soal kereta ini.  Hanya tahu beberapa jenis sahaja, itu pun kereta buatan tempatan.  Kereta luar negeri hanya beberapa nama yang dia tahu.  Seperti  Toyota, Nissan dan Mercedez Benz yang biasa dilihat di jalan raya. 
            “Cuti sebulan, bulan depan Kak Nadi kembali ke luar negara,” Nadia memandang sekilas.  Ainah mengangkat kening dan mengangguk-anggukkan kepala macam burung belatuk.
            “Mak masih buat kuih?  Ayah masih bawa teksi?”  Nadia bertanya.
            “Iya, kak.  Adik-adik masih sekolah.  Banyak perlu belanja.  Pendapatan ayah tidak menentu.  Kak Nadi sendiri tahukan, berapa sangatlah pendapatan pemandu teksi.  Persaingan semakin banyak. Semua orang sudah mampu  membeli kereta.  Kenderaan awam pula semakin hebat dan selamat serta memuaskan hati pengguna.  Orang ramai semakin tidak berani  naik teksi sebab  ada kes jenayah yang dilakukan oleh pemandu teksi.  Di tambah pula sekarang ini ada teksi  untuk wanita.  Orang lelaki tidak suka naik teksi.  Kaun wanita pula  hanya memilih pemandu teksi wanita untuk keselamatan diri.   Terpaksalah ayah bekerja lebih kuat, kadang-kadang sampai sehari suntuk.  Ainah pun tak tahu macam mana nak bantu ayah.  Emak pun begitu juga.  Ainah kesian pada mereka kak.  Siang malam bekerja mencari duit untuk membesarkan kami.  Ainah pula tidak belajar bersungguh-sungguh sehingga SPM pun gagal.  Ainah hanya mampu dapat kerja sebagai pembantu restoran sahaja kak,”  cerita Ainah panjang lebar. 
            “Sabarlah Ainah.  Nanti sampai waktu Ainah untuk hidup senang dan pakai kereta mewah  macam Kak Nadi.” Pancing Nadia.
            “Kak Nadi kerja apa di luar negara?  Sampai boleh pakai kereta mahal seperti ini?”  Ainah mengusap tepi  tingkap kereta tersebut.  Kagum sungguh dia melihat kemewahan Nadia.  Sedangkan anak jirannya itu hanya bersekolah setakat tingkatan tiga sahaja sebab Nadia sudah tidak berminat untuk sambung belajar lagi.  Nadia selalu ponteng sekolah, hisap rokok, melawan cikgu-cikgu, akhirnya dia dinasihatkan berhenti sahajalah. 
            “Itulah, Ainah ingat orang tidak berpelajaran seperti Kak Nadi tidak boleh berjaya?  Tengok Kak Nadi sekarang.  Tentu cikgu-cikgu Kak Nadi kalau tengok kakak sekarang pasti berputih mata.”  Kata Nadia bangga. Ainah tersenyum.
            “Tahniah kak,”  Ainah menoleh memandang wajah Nadia yang sudah  banyak berubah.  Semakin cantik, begitu juga tubuh Nadia semakin seksi.
            “Ainah tidak  teringin ke jadi macam Kak Nadi?  Kalau Ainah mahu, Kak Nadi boleh bantu?  Kerjanya pun tidak susah.  Hanya hantar barang, seminggu adalah beberapa kali.  Upah yang diterima juga lumayan.  Kalau setuju, Kak Nadi boleh ajar Ainah bagaimana.  Bukan susah mana pun. Senang sahaja.”  Terus memujuk.  Dahi Ainah berkerut. 
            “Berapa upahnya kak?  Hendak juga Ainah tahu?”  Ainah sedikit teruja.  Nadia ketawa.
            “Dalam dua sehingga lima ribu, tergantung berapa jumlah  harga barangan yang dibawa.” 
            “Mahalnya!  Ainah kerja sebulan siang dan malam pun belum tentu dapat sebanyak itu,”  Ainah tersenyum.  Terkejut pun iya.
            “Barang berharga tentulah harga upahnya pun mahal,”  kata Nadia lagi.  Ainah mengangguk. Dia berfikir sejenak.
            “Nantilah Ainah bagi tahu emak dan ayah kalau hendak tukar kerja, nanti mereka risau pula.  Lagi pun Ainah kena juga bagi notis sebulan  pada majikan Ainah supaya sempat dia cari pengganti Ainah nanti,”
            “Eh, tak boleh kata Ainah pergi kerja.  Cuma beritahu Ainah pergi bercuti atau dapat tawaran bercuti di luar negara.  Lagi pun seminggu hanya beberapa kali sahaja keluar menghantar barang.”  Nadia  tersengih.  Semakin berlapis kedut di dahi Ainah.
            “Kenapa pula?  Takkan  tak boleh beritahu keluarga?” 
            “Memang tak boleh, itu prosuder syarikat tempat Kak Nadi bekerja.” 
            “Okeylah, bagi Ainah fikir dululah.  Terima kasih kerana sudi tumpangkan  Ainah.  Kalau Ainah sudah dapat jawapan, Ainah bagi tahu Kak Nadi, ya.”  Ainah keluar dari perut kereta.  Setelah menunggu seketika sehingga kereta Nadia menghilang dari pandangan mata barulah dia berjalan menuju ke restoran tempatnya bekerja.  Sudah pukul 7.00 pagi.  Restorannya juga sudah pun buka.  Baru  minggu ini restoran  itu dibuka lebih awal dari biasa.  Pelanggan tetap ramai biar pukul berapa pun dibuka.  Restoran ini menjadi pilihan kerana makanannya yang enak, sedap dan persekitarannya juga bersih serta selesa.
            “Yam, aku nak tanya kau.  Kalau ada orang tawarkan kau kerja dengan upah ribuan ringgit hanya untuk menghangtar barang, kau terima tak?”  Ainah menjunamkan matanya memandang Mariam yang sedang menjamu selera.  Mariam tersedak.  Dia menepuk-nepuk kepalanya. Ainah menggelengkan kepala.
            “Gaji ribuan ringgit, hantar barang?  Barang apa?  Kenapa mahal sangat?  Kita kerja punyalah teruk hendak cecah seribu ringgit pun susah,”  Mariam mencebik.  Dia tidak percaya ada kerja yang begitu mudah tetapi dapat upah tinggi.  Dahinya berkerut memandang wajah Ainah.
            “Itulah aku tanya kau? Kau percaya ke?” Ainah meneguk air sirapnya sehingga habis.
            “Aku tak percaya.  Kau bukan ada kelulusan tinggi, kenapa nak bagi kau ribuan ringgit?  Barang itu, barang apa?  Takkan hantar barang kau boleh dapat ribuan ringgit, macam tak logik sahaja bunyinya.  Seolah-olah ada yang tidak kena.  Jangan-jangan jadi keldai dadah tak?”   Teka Mariam. 
            “Hish!  Tidak mungkin?  Anak jiran aku itu memanglah nakal waktu sekolah tetapi tidak mungkin dia menjadi pengedar dadah pula?  Tidak baik menuduhkan kalau tiada bukti?” Ainah menafikan. 
            “Kenapa kau naif sangat Ainah.  Barang apa yang begitu tinggi nilainya.  Cuba kau fikir, lepas itu upahnya, lumayan hanya kerja sehari sahaja, itu pun hanya hantar barang? Kau tak syak ke?  Kau pernah dengar keldai dadah?  Berapa ramai dah rakyat Malaysia yang tertangkap kerana membawa dadah, sedangkan mereka tidak tahu barang yang dibawa itu adalah dadah.  Mereka ditipu dengan kata melancong, di suruh bawa beg berisi dadah.  Mereka sendiri tidak tahu.  Bila ditangkap baru tahu barang yang dibawa adalah dadah.  Hendak mengatakan barang itu bukan milik mereka tidak ada bukti.  Orang yang menyerahkan barang tersebut pula terus menghilangkan diri.  Akhirnya duduk dalam penjara, kau nak ke?”  Mariam mengerling.  Ainah mengherotkan bibirnya.  Mungkin ada betul juga kata-kata Mariam tadi.  Mungkin betul Nadia adalah pengedar dadah antarabangsa. Siapa tahu?
            “Kau rasa, apa harus aku buat?  Kalau aku tolak nampak sangat yang aku tahu kegiatan dia?  Kalau aku terima, nyawa aku jadi galang gantinya,”  Ainah berfikir sejenak.
            “Apa kata kau bantu polis untuk tangkap  Nadia ini,”  cadang Mariam. 
            “Gila kau!  Dia tu anak jiran aku, kesian Mak Timah nanti bila anak kesayangannya di tangkap,”  Ainah tidak setuju.  Mariam menepuk meja.
            “Kasihan? Orang macam itu tidak perlu belas kasihan!  Berapa ramai pemuda pemudi kita mereka rosakkan?  Mereka hidup mewah, berapa ramai ibu dan ayah menangis kerana anak mereka menjadi penagih dadah?  Jika kau berpeluang memerangkap seorang, kau membantu dan menyelamatkan ramai pemuda-pemudi kita.  Kau tak ingin ke jadi wira pada negara?  Wira bukan hanya memegang  senjata atau pergi berperang.  Menyelamatkan anak bangsa dan rakyat ini dari penagihan najis dadah boleh dikatakan wira juga. Kalau aku jadi kau, aku terus buat laporan polis.  Bekerjasama dengan polis, biar tertangkap pengkhianat bangsa, agama dan negara itu.  Aku sangat pasti, kawan kau itu pengedar dadah antarabangsa.  Hairan ya, bagaimana dia boleh terlepas?’  panjang lebar kata-kata Mariam.
            “Sesekali kau berhujah  bernas juga ya,” usik Ainah.
            “Kau ingat, kau sahaja  yang pandai bercakap, aku juga boleh apa?”  Mariam menyengih.
            “Ketawa, ketawa juga.  Kau kena pergi buat laporan polis, aku akan teman kau.  Kalau boleh hari ini.  Biar dia ditangkap.  Geram pula aku mendengarnya.  Aku benci pengedar dadah.  Sakit hati aku mendengar orang yang memperolehi kemewahan atas kejatuhan dan kemusnahan orang lain.  Tiada perasaan dan perikemanusiaan.  Orang seperti ini tidak sayangkan negara, agama dan bangsa sendiri.  Mementingkan diri sendiri sahaja,” berapi kata-kata Mariam.
            “Takutlah, macam mana jika tekaan kita salah?  Itu sudah menfitnah namanya,”  Ainah bimbang dia tersilap anggap. 
            “Pergi dahulu, kita tengok apa pandangan pihak polis.  Kalau mereka memerlukan kau menyamar membantu menangkap kawan kau ini,  buat sahajalah.” 
            “Gila kau?  Tidak pasal-pasal keluarganya dan jiran tetangga aku boikot keluarga aku nanti,”  Ainah serba salah.  Mariam menepuk lengan Ainah.
            “Kau kena ingat, siapa lebih penting, negara atau hanya satu-satunya keluarga kau?” 
            “Hish!   Tak berani aku.”  Ainah menolak. Mariam mencebik.
            “Kita bekerjasama dengan polis, mereka tentu tahu nak buat apa,”  cadang Mariam.   Terpancar keyakinan di wajahnya.  Ainah cuak.   Bagaimana jika andaiannya itu salah?  Tentu dia telah menganiaya orang yang tidak berdosa.  Bagaimana pula jika perkara itu benar?  Dia telah membunuh beribu-ribu orang atau mungkin jutaan orang, siapa yang tahu.
            Mariam pula puas memujuk Ainah agar membuat aduan.  Perkara itu tidak harus dibiarkan.  Semakin lama dibiarkan semakin rosak anak Malaysia secara khasnya.  Begitu juga semakin rosak anak dunia secara amnya.  Mariam tidak berpuas hati.   Seharian dia merenggek dan memujuk agar Ainah bekerja sama dengan polis.  Dia benci pengedar dan penagih dadah.  Mereka melakukan kerja yang tiada akal, merosakkan orang lain demi keuntungan diri sendiri.  Memang selayaknya pengedar dihukum gantung. 
            “Hish!  Kau tak jemu ke seharian kau merenggek dengan aku, rimas tahu,”  Ainah mengeluh dan berlalu mengangkat pinggan-pinggan yang berada di atas meja.  Mariam turut membantu sambil membebel.  Beberapa rakan sekerja yang mendengar hanya menggelengkan kepala.
            “Selagi kau tidak setuju, selagi itu aku akan paksa,” Mariam tidak berputus asa. 
            “Okeylah, waktu rehat petang nanti kita pergi, minta khidmat nasihat pihak polis.  Aku cuma bimbang jika tekaan aku salah sahaja.  Aku tidak mahu menjadi penabur fitnah,”  Ainah mengeluh.  Mariam terdiam.
            “Nanti kau cuba risik lagi, dapatkan lebih banyak maklumat,  orang macam ini harus kita hapuskan,”  kata Mariam penuh semangat.  Ainah kembali tersenyum.
            “Iyalah, Yam.”  Ainah menggelengkan kepala.  Dia kembali ke ruang depan kedai, menyusun semula kerusi, memeriksa bawah meja jika ada sampah, membersihkan meja yang kotor.  Majikannya seorang yang cerewet, restorannya harus bersih dan tersusun kemas.  Begitu juga bilik air, dua jam sekali wajib dibersihkan.
            Ainah dan Mariam terdiam mendengar kata-kata dari Inspektor  Nazri.  Mereka saling berpandangan apabila sahaja gambar Nadia ditunjukkan kepada mereka.  Rupanya gambar Nadia sudah dihantar merata balai polis sejak sebulan yang lalu.  Dahi Ainah berkerut.   Baru dua minggu anak jirannya itu pulang ke Malaysia.  Dia dicari oleh pihak Interpol juga.  Terkedu Ainah seperti tidak percaya.  Selama ini anak jirannya itu bergaya dan kaya dengan hasil jualan dadah.
            “Saya mahu awak bekerja sama dengan pihak polis, terima tawaran dia.  Tahulah kami untuk tindakan selanjutnya.  Selalunya orang yang dijadikan mangsa akan dibiarkan pergi sendirian menghantar barang.  Sedangkan cadangan awal Cik Nadia akan ikut bersama, tiba-tiba dia akan ubah fikiran ada sahaja alasannya.  Jika tertangkap, hanya orang yang membawa barang dan dia akan terlepas begitu sahaja.  Jika barang itu lepas, dia juga yang akan dapat keuntungannya.  Nampaknya awak orang baru yang akan dipergunakannya pula.  Sudah ramai  yang  menjadi keldai dadah ini tertangkap dan menjadi penghuni penjara luar negara.  Sudah ada yang dihukum mati.  Sedangkan ada yang tidak tahu mereka membawa dadah bersama.  Bagus, Cik Ainah, awak datang berjumpa polis.  Jangan mudah percaya dengan tawaran lumayan, percutian di luar negara. Kena tengok siapa yang tawarkan, hati-hatilah jika tidak  nyawa jadi galang gantinya.” Nasihat Inspektor Nazri.
            “Kalau dia syak bagaimana?”  tanya Ainah bimbang.
            “Awak jangan menggelabah, tenang.  Fikirkan apa yang awak lakukan ini demi anak bangsa negara kita, jangan  biarkan orang seperti ini terlepas,”  Inspektor Nazri memberi semangat.  Belum apa-apa, tangan Ainah sudah seram sejuk.  Mampukah dia melakukan tugas tersebut?  Memerangkap penjenayah antarabangsa merangkap  anak jirannya sendiri. Takut pun ada.  Setelah diberi penerangan panjang lebar apa yang harus dia lakukan barulah Ainah yakin.  Demi negara dan anak bangsanya dia akan lakukan.  Biarpun nyawa jadi galang gantinya.  Sekurang-kurangnya dia ada juga menabur bakti pada  negara.  Walaupun tidak seberapa.  Bukankah sebagai rakyat negara ini seharusnya dia mencurahkan bakti pada negara ini.  Jangan hanya pandai meminta, tetapi harus juga pandai memberi, kata ustaznya dahulu, waktu dia bersekolah.
            “Aku bangga dengan kau Ainah.”  Mariam menyengih.  Ainah tersenyum.
            “Belum tentu berjaya lagi, jangan bangga awal,”  Ainah menunduk.  Bimbang pun ada, takut pun ada juga.  Balik sahaja di rumah dia akan ke rumah Nadia untuk memberi keputusannya.  Harap Nadia tidak mensyaki apa-apa.  Kata Inspektor Nazri dia harus berlagak biasa wajah jangan tunjukkan rasa takut dan bimbang  seperti merancang sesuatu.  Orang seperti Nadia pintar meneka jika ada sesuatu yang tidak ken, lagi pun mereka bukan bergerak sendirian.  Setiap tindak tanduk ahli kumpulan tersebut diperhatikan.  Ainah juga harus berhati-hati.  Ainah mengeluh.  Mampukah dia berlagak biasa sedangkan dia akan berhadapan dengan penjenayah antarabangsa.  Dia harus berani.  Demi negara, detik hati kecilnya.
            “Jangan bimbang, aku yakin kau boleh, Ainah,”  Mariam memeluk bahu Ainah.  Mereka berjalan pulang kembali ke restoran tempat mereka bekerja.  Dalam hati, Ainah asyik berkata-kata ‘Aku boleh’.
            Dengan penuh yakin Ainah  tidak terus pulang ke rumah.  Dia menelefon Nadia dan menunggu di ruang bawah flat mereka.  Dalam berani itu tetap ada rasa takutnya juga.  Dia harus yakin pada dirinya sendiri.
            “Hah, macam mana?  Sudah setuju ke? Sudah beritahu orang tua Ainah.  Jangan kata Ainah hendak hantar barang atau ada urusan kerja.  Bagi tahu yang Ainah dapat tiket percuma ke luar negara.”  Nadia memandang wajah anak jirannya tidak berkelip.
            “Ayah dan emak saya tak kisah, lagi pun bila lagi dapat berjalan melihat tempat orang.  Selain melihat tempat orang boleh pula dapat upah yang lumayan.  Saya nak tolong orang tua saya, kak Nadi,” kata Ainah penuh yakin.  Wajahnya masih seperti biasa, agaknya.  Dia menelan air liur sendiri.  Dia telah berbohong, kedua orang tuanya belum tahu perancangannya itu.
            “Kakak faham, kitakan sudah lama berjiran.  Keadaan keluarga kita sama sahaja Ainah, itu sebab kakak nak tolong Ainah. Kalau Ainah sudah setuju, nanti kakak akan uruskan semua perkara, Ainah tunggu bawa badan sahaja.”  Nadia tersenyum puas.  Dapat ‘orang’ baru harap semuanya berjalan lancar dan selamat.  Lagi pun muka Ainah seperti orang baik-baik tentu pihak berkuasa tidak akan syak apa-apa.  Harap kali ini barang ratusan ribu ringgit itu boleh dibawa keluar.  Tidak sia-sia dia balik kali ini.  Dapat anak didik baru siapa yang tidak suka.  Tentu ketuanya  juga suka.  Semoga semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang.  Nadia tersenyum puas.
            “Kalau macam itu, Ainah minta diri dulu. Letih sangat ni Kak Nadi, baru balik kerja.”  Ainah melangkah bangun.  Nadia mengangguk dan tersenyum.  Mereka beriringan menuju ke rumah masing-masing.  Ainah menarik nafas lega kerana Nadia yakin dengan ceritanya.  Ya, dia memang ingin menolong keluarganya tetapi bukan dengan hasil duit dari kemusnahan orang lain.  Biarlah dia jadi kuli di restoran Pak Haji Idris sehingga  akhir hayatnya sekali pun asalkan halal.  Biar penat tetapi hasil titik peluh sendiri. 
            “Bila semua sudah siap, nanti akak bagi tahu Ainah kita pergi buat pasport antarabangsa, ya,”   Nadia tersenyum riang.  Ainah menyengih.  Buat pasport antarabangsa?  Ratusan ringgit juga terpaksa di keluarkan.
            “Baik kak,”  Ainah melangkah masuk ke dalam rumahnya yang riuh rendah dengan suara adik-adiknya yang masih belum tidur.  Esok tidak sekolah  jadi mereka mengambil peluang untuk bermain dan menonton sampai lewat malam.  Nadia terus pulang ke rumahnya.  Ainah menarik  nafas  lega urusannya dengan Nadia sudah selesai satu  langkah.  Tunggu langkah seterusnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan