BAB 4
Aziz melangkah
lemah ke sekolah. Dua hari cuti
membuatkan dia tidak bersemangat untuk ke sekolah, ditambah dengan kerja rumah
yang tidak siap. Pasti dia akan dimarahi
lagi hari ini. Seperti biasa dan
selalu. Aziz mengeluh.
“Ziz!” panggil
seseorang. Aziz menoleh. Beberapa rakan sekelas mendekatinya.
“Kau dah buat
kerja sekolah tak? Kalau belum jom kita
ponteng, aku pun tak siap kerja lagilah.
Pasti hari ini kena denda lagi,”
kata rakan sekelasnya itu.
“Iyalah Aziz, aku
dan Radzi bercadang nak ke Cyber Café dekat jalan depan tu, jomlah sebelum sesiapa nampak!” kata seorang lagi. Dahi Aziz ligat berfikir. Kalau ponteng apa kesan pada dirinya, paling kuat
pun surat amaran. Kalau dia pergi
sekolah tentu dia akan didenda berdiri dalam kelas atau pun dipukul oleh
cikgunya. Aziz mengherotkan bibirnya.
“Aku belanja!”
kata Radzi. Aziz mengangkat kening.
“Jomlah…” ajak seorang lagi.
“Jomlah,” jawab
Aziz tanpa berfikir panjang lagi. Tiga
orang serentak ponteng kelas hari
itu. Dalam hati Aziz terbit rasa takut
juga, namun membiarkan dirinya didenda
tidak sama sekali. Perit mendengar
kata-kata hinaan dari cikgu kelasnya itu.
Sampai di Cyber
Café rupanya bukan mereka sahaja yang ponteng malah sudah ramai yang berada di
dalam pusat tersebut. Aziz menyapa mereka yang dikenalinya. Pelajar tingkatan satu pun ada. Sejam mereka
menghabiskan masa di Cyber Café tersebut.
“Kita nak ke
mana?” tanya Aziz. Radzi memeluk bahu Aziz dan berjalan
seiringan.
“Ini,” Radzi mengeluarkan satu bekas dari dalam
beg. Satu tin kecil, Gam?
Aziz mengerutkan dahi.
“Baik untuk
hilangkan tekanan dan kebosanan,” kata Radzi.
Karim mengangguk-anggukkan kepala.
“Hish! Tidak bahaya ke?” tanya Aziz.
Radzi ketawa. Begitu juga Karim.
“Khayal di awangan
sekejap,” kata Karim. Mereka berjalan ke belakang sebuah bangunan
yang agak tersorok. Aziz mengikut
sahaja. Dia belum pernah lagi ponteng
sekolah, kalau ponteng pun hanya duduk di rumah. Tidak pula pernah merayap seperti sekarang
ini. Radzi dan Karim duduk di bawah
sebuah tangga dan mengeluarkan gam tersebut.
Mereka masukkan sedikit ke dalam beg plastik kecil. Masing-masing menarik nafas dan mula
menghidu. Aziz memerhatikan sahaja.
“Hoi! Cubalah, takkan tengok je,”
Karim menghulurkan satu plastik pada Aziz. Teragak-agak Aziz mengambilnya. Dia masih ragu-ragu. Ada dia tengok dalam televisyen benda itu
bahaya pada otak manusia.
“Aku pernah tengok
dalam televisyen, tak elok hidu gam ini.
Boleh merosakkan otak, orang yang ketagih hidu gam boleh mati otaknya
dan boleh juga membawa maut, tak naklah.
Kalau emak dan ayah aku tahu, mati aku kena marah nanti. Lebih-lebih lagi abang aku tu,” kata Aziz menolak melakukan perkara
tersebut. Karim dan Radzi yang sudah mula khayal hanya tersenyum
sahaja. Entah faham, entah tidak. Aziz menggelengkan kepala. Dia memang malas dan tidak
berminat belajar tetapi tidaklah sampai merosakkan dirinya sendiri. Aziz melangkah pergi meninggalkan
kawan-kawannya itu. Buruk-buruk perangai
dia, tak mungkin dia akan lakukan kerja menjahanamkan dirinya dan memalukan
keluarga. Aziz mengeluh. Belum sempat dia pergi jauh tangannya telah
direntap dengan kasar. Cikgu Ahmad memandangnya
dengan tajam. Terasa menyusuk jantung
hatinya. Cikgu Ahmad, guru disiplin di sekolahnya. Beberapa rakan sekolah sudah dibawa pergi
oleh beberapa lagi orang cikgu sekolahnya.
Nampaknya hari ini ada operasi membenteras pelajar-pelajar yang ponteng.
“Mana Karim dan
Radzi?” tanya Cik Ahmad garang. Matanya liar memerhati sekeliling seperti
mencari sesuatu. Aziz serba-salah, sama
ada hendak memberitahu atau mendiamkan diri. Dia mengetap bibir. Kalau bagi tahu pasti kawan-kawannya akan ‘
menyerangnya’ nanti. Kalau dia
mendiamkan diri bagaimana dengan keadaan
kawan-kawannya itu. Sudah jelas mereka
sedang merosakkan diri sendiri dan menghampakan perasaan pihak sekolah dan
keluarga mereka.
“Tak tahu
cikgu,” jawab Aziz. Biarlah mereka selesaikan masalah mereka
sendiri. Dia tidak perlu mencemarkan
diri menjadi orang baik pula sedangkan dia sendiri melakukan kesalahan yang
sudah cukup untuk memalukan keluarganya.
Sudah tentu orang tuanya juga akan kecewa dan hampa apabila tahu dia ponteng sekolah.
Dia dibawa kembali ke sekolah. Tidak sempat pun dia hendak ponteng lama baru beberapa jam sudah ditangkap
semula.
Denda yang
dikenakan padanya adalah di suruh membersihkan kawasan sekolah selama seminggu
begitu juga para pelajar yang ditangkap
waktu sedang leka bermain di Cyber Café
tadi. Aziz mengeluh.
“Awak semua ini,
hendak jadi apa? Sudahlah tak pandai,
malas pula tu. Eh! Ponteng sekolah pula. Tak kasihan ke pada orang tua kalian yang
sibuk mencari rezeki untuk menyekolahkan kalian,” nasihat cikgu Ahmad. Para pelajar yang ditangkap tadi hanya
mendengar, tidak kurang juga tersenyum sinis.
“Emak dan ayah
kami tidak pernah risau pun cikgu. Malah
dalam kelas pun bukan ada cikgu-cikgu yang sudi mengajar kami anak-anak murid
kelas ketiga ni,” kata salah seorang
dari pelajar itu. Aziz memandang wajah
pelajar tersebut. Benar kata pelajar
itu. Guru-guru yang masuk mengajar di
kelas yang paling corot hanya masuk sekadar memenuhi waktu mengajar mereka
sahaja. Tidak bersungguh-sungguh seperti
mana mereka mengajar kelas yang pandai dan para pelajarnya cerdik serta bijak.
“Salah kalian
juga, cuba tunjukkan kesungguhan, takkanlah guru-guru kalian hendak pandang
sepi,” kata Cikgu Ahmad lagi.
“Tiada maknanya
cikgu, ada guru yang sanggup kata kami ini tiada masa depan, jadi buat apa kami
ke sekolah? Baik melepak di Cyber Café
terhibur juga hati kami,” sampuk seorang
lagi pelajar. Cikgu Ahmd mengeluh. Adakah guru seperti itu di sekolah ini. Dia menggelengkan kepala.
“Siapa guru
tersebut?” tanya Cikgu Ahmad ingin
tahu. Dia perlu siasat perkara ini. Dia tidak mahu ada guru yang melayan
pelajarnya berat sebelah. Ini soal
tanggungjawab dalam mendidik anak bangsa
biar pun sekolah itu ada pelbagai
bangsa dan agama namun tetap Anak Malaysia. Jika guru sudah hilang minat mengajar mereka
yang kurang pandai, siapa pula yang hendak mengajar para pelajar yang lemah
ini. Siapa yang hendak mengubah prinsip
dan membawa mereka menuju ke arah kejayaan.
Bukankah mereka semua ini bakal menjadi pemimpian masa depan negara ini.
“Kalau cikgu tahu
pun tiada gunanya, silap haribulan kami semua di boikot dan dimarahi oleh guru
tersebut. Cikgu siasatlah sendiri,” kata seorang lagi. Aziz hanya mendengar sahaja. Kata-kata kawan sekolahnya ada kebenarannya. Di kelasnya juga menerima nasib yang
sama. Mungkin mereka memperkatakan
tentang guru yang sama juga. Walaupun
bukan semua guru bersikap seperti itu.
Bila seorang guru buat perangai seperti itu, maka para pelajar pun
menganggap semua guru seperti itu juga.
“Baiklah, saya
akan siasat perkara ini. Saya berharap
kalian tidak ponteng lagi. Cubalah
pandang ke hadapan, para pelajar bangsa lain berlumba-lumba belajar dan mencari
ilmu tapi kalian banyak bermain dan ponteng kelas. Aziz, awak kenapa tiba-tiba ponteng kelas
pula ni? Abang Azrul awak seorang
pelajar yang rajin dan cemerlang serta aktif, awak pula berani ponteng
kelas.” Cikgu Ahmad memandang wajah Aziz
tidak berkelip. Dia kenal abang Aziz sebab Azrul juga bekas
anak muridnya waktu dalam tingkatan dua.
“Saya tak siapkan
kerja rumah cikgu,” jawab Aziz jujur.
Cikgu Ahmad menggelengkan kepala.
“Hanya kerana
tidak siapkan kerja rumah yang diberi, awak ponteng sekolah?” Cikgu Ahmad mengeluh.
“Alasan yang
sangat lemah dah tidak sepatutnya Aziz, dua hari awak bercuti takkan tak buat
langsung? Awak buat apa?” Cikgu Ahmad
masib boleh bertolak ansur. Dia akan
cuba menasihati para pelajarnya jika perlu.
Mereka yang ditahan akan dirujuk pada Guru Kaunseling pula agar mereka
boleh berubah dan menjadi pelajar cemerlang.
Belakang parang lama-lama diasah pasti akan tajam juga begitu juga
dengan akal dan otak manusia. ALLAH SWT menjadikan manusia ada yang kuat,
pandai, lemah dan bodoh bukan untuk menghina atau dihina. Semuanya ada hikmahnya tersendiri. Manusia akan jadi lengkap melengkapi kerana
perbezaan itu, Mereka yang kuat akan
melindungi mereka yang lemah bukan menindas.
Mereka yang pandai akang membantu
yang bodoh bukan menghina. Begitu
jugalah sebaliknya. Cuma manusia harus
pandai mencari kekuatan yang ada dalam diri sendiri. Setiap manusia dijadikan ada kelebihan dan
kekurangan. Cikgu Ahmad mengeluh lagi.
“Sudah solat Zohor
ke belum?” tanya Cikgu Ahmad. Hampir sepuluh orang pelajar yang ditahan. Walaupun tidak ramai namun jika dibiarkan
akan menjadi sekam dalam padi akan terbakar semuanya nanti tiada gunanya waktu
ketika itu. Sebelum merebak membakar
yang lain lain baiklah dipadam.
“Belum
cikgu,” kata seorang pelajar. Cikgu Ahmad bingkas bangun.
“Bersiap, masih
sempat untuk solat Zohor, lepas tu tunggu di surau sampai solat Asar,” pesan
Cikgu Ahmad. Para pelajar
menunduk. Waktu Zohor dan Asar menjadi
amalan wajib yang harus mereka lakukan bila tiba waktunya. Semua para pelajar dan guru wajib bersolat
bersama-sama kecuali pelajar berlainan agama dan bangsa. Setiap hari Jumaat pula para pelajar akan
membaca Yassin sebelum kelas bermula.
Sengaja pihak sekolah menerapkan nilai-nilai agama dalam diri setiap
pelajar agar mereka menjadi insan yang berilmu dan beriman.
“Ini amaran
terakhir dari pihak sekolah, jika masih terdapat diantara kalian yang masih ponteng tindakan
gantung dari sekolah akan diambil. Jika masih lakukan juga, tindakan buang
sekolah pula akan dilakukan, faham semua!”
tegas. Cikgu Ahmad memandang seorang
demi seorang.
“Faham cikgu!”
Kata mereka serentak.
“Usai solat Asar,
semua masuk ke kelas masing-masing!” perintak Cikgu Ahmad lagi. Aziz mencebik. Masuk kelas.
Dia mengeluh. Entah apalah nasib
dirinya, baru pertama kali ponteng kelas sudah tertangkap. Sudah pasti dia akan dimarahi oleh guru yang
mengajar beberapa mata pelajaran yang telah memberi kerja rumah namun dia tidak
membuatnya. Aziz mendengus kasar. Menyesal pun ada juga. Sepatutnya dia membiarkan dirinya didenda
dari dihukum dan tertangkap begitu tentu akan masuk dalam rekod pelajar sebagai
anak murid yang tidak berdisiplin, malas dan tiada masa depan. Benci dia mendengar perkataan ‘Tiada Masa
depan’.
Betul tekaan Aziz,
dia dimarahi dan didenda lagi. Kali ini
berdiri di luar kelas oleh guru yang mengajar.
Aziz menunduk, beberapa pelajar yang lalu lalang di luar kelas
memerhatikannya sambil tersenyum sinis.
Dia mencebik. Macamlah mereka itu
baik sangat. Detik hati kecilnya.
Harap-harap tiada ahli keluarganya yang tahu tentang perkara ini. Kalau tidak tentu dia terpaksa bersoal jawab
dengan kedua orang tuanya terutama abangnya.
Entah bagaimana keadaan Radzi dan Karim, waktu dia meninggalkan mereka
berada dalam keadaan khayal akibat kesan menghidu gam tersebut.
Ramai anak bangsanya rosak kerana perbuatan
menghidu gam tersebut. Biar pun tidak
termasuk dalam dadah merbahaya namun kesannya dikatakan lebih bahaya dari
mengambil dadah yang lain. Takut juga Aziz mendengarnya. Di tempat tinggalnya ada juga penagih-penagih
dadah mereka berpelesaran di kawasan
flatnya. Keadaan yang tidak terurus dan kata emaknya ‘Mayat Hidup’ yang
tidak mahu mati-mati. Kejam sungguh ayat
emak tetapi mungkin ada benarnya juga.
Sekali mencuba pasti kesannya sampai ke mati agaknya. Nakal-nakalnya tidak mungkin dia akan
mencuba, tidak sama sekali. Aziz
mengeluh kesal. Kenapa dia tidak
sepandai abang ngahnya? Tidak serajin
abang ngahnya? Tidak seaktif abang
ngahnya? Pada hal mereka dilahirkan dari
rahim yang sama, ibu dan ayah yang sama.
Kakaknya juga bukan seorang pelajar yang pandai, buktinya SPM kakaknya
teruk sehingga tiada peluang melanjutkan pelajaran. Kakaknya hanya mampu bekerja sebagai pembantu
kedai sahaja. Kata kakaknya itulah yang sesuai bagi orang yang malas seperti
dirinya. Aziz tersenyum sendiri. Dendanya berakhir apabila pelajaran bertukar
dan gurunya juga bertukar, untung guru yang masuk selepas itu tidak ada memberi
apa-apa kerja rumah. Dia mampu duduk dan
belajar semula. Aziz menarik nafas lega.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan