Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 18 September 2014

TOLONG CARI SUAMIKU - BAB 4





Rumah itu sunyi semula. Jiran tetangga, kenalan dan rakan perniagaan sudah pun pulang. Madunya juga sudah pulang. Tidak mahu berlama-lama di sini. Katrina duduk menyandar di sofa. Dia memandang siling, kipas yang berpusing diikut geraknya. Malam nanti tahlil akan dibuat di surau sahaja. Dia sudah pun menyerahkan sejumlah wang kepada ahli jawatankuasa surau. Tidak perlu bersusah payah di rumah. Siapa hendak uruskan. Dia sendiri bukan ada pengalamanpun. Kedua orangtuanya tidak datang kerana masih di luar  negara.
Ibu mertuanya pula usai pengkebumian terus mengurung diri. Katrina memandang keadaan persekitaran dalam rumah itu. Perabut mahal-mahal belaka. Sofa buatan Itali, karpet dari Turki. Lampu entah dari mana ibu mertuanya beli. Citarasa tinggi. Di anjung rumah perabut yang diperbuat dari kayu jati diimport dari Indonesia.
Katrina memandang cincin di jari. Inai masih merah menyala. Baru sahaja dia menjadi isteri Wan Ashraf, suaminya sudah meninggalkannya. Cincin itu ditanggalkan. Dia membeleknya seketika. Dia mengetap bibir. Apakah memang bukan jodohnya dengan arwah suaminya? Mereka pernah ditunangkan, namun putus di tengah jalan lantaran arwah suaminya berkahwin dengan gadis pilihannya sendiri.
Semakin ditenung cincin itu semakin sakit hatinya. Semakin difikirkan semakin menanah jadinnya. Usah dicerita lilihan darahnya. Usianya dihabiskan menunggu peluang untuk berumah tangga dengan lelaki yang pertama bertahta di hati. Sanggup dia menolak cinta lelaki lain demi setia dengan tunangannya ketika itu. Namun kesetiaannya dibalas dengan racun yang berbisa. Dia diberitahu tunangnya itu telah berkahwin. Hatinya terhempas ke batu.       Rasa dunia sekeliling bagaikan mentertawakan kesetiaannya. Dia rasa dirinya dihina dan diinjak-injak.
Separuh gila dia memikirkan apa yang telah terjadi. Kini dia kehilangan lagi. Buat selama-lamanya. Sakit hatinya kembali lagi, kali ini lebih parah.  Lebih menyakitnya. Wajah tenang Mastura tadi benar-benar meracun diri. Kerana Mastura suaminya menemui ajal. Kerana Mastura dia kini sepi sendiri. Mastura ada Maria, dia tiada sesiapa.
Dia mendepakan tangan, ketawa sendirian. Bukan gila tetapi keriangan. Harta peninggalan dan warisan arwah suami bukan sikit-sikit. Ibu mertuanya bukan ada sesiapa, arwah suaminya anak tunggal. Setahu dia semua harta itu adalah di atas nama ibu mertuanya, tidak tahulah kalau sudah bertukar nama. Dia tersenyum lagi.

Langkah Halijah perlahan menuruni anak tangga. Matanya memerhati persekitaran rumah
“Sudah balik mereka semua?” Halijah mendekati menantunya yang sedang senyum sendirian. Hairanpun ada. Tetapi tidak mahu menegur nanti malu pula menantunya itu.
“Er… ibu? Sudah ibu,” jawab Katrina agak terkejut.
“Esok kita ke pejabat peguam. Untung wasiat baru dibuat, jika tidak habis harta ibu dan Ashraf jatuh ke tangan wanita itu,” Halijah buat muka tidak senang.
Katrina hanya menjadi pendengar. Benci benar ibu mertuanya dengan Mastura, sedangkan yang sebenarnya Mastura juga layak mendapatkan harta peninggalan suaminya. Lebih-lebih lagi Maria.
“Ibu, bagaimana jika kita bawa Mastura dan Maria duduk di sini?” cadang Katrina.
“Kau dah gila ke Rina?” Halijah kurang setuju dengan pendapat Katrina.
“Dengar dahulu ibu,” Katrina menarik tangan Halijah dekat dengannya.
“Rina ada rancangan, selama ini ibu tidak dapat nak mendera Mastura. Abang Ashrafkan sudah tiada, jadi inilah masanya untuk ibu membalas dendam,” cadang Katrina.
Halijah mula berfikir, cadangan Katrina ada baiknya. Tapi kebencian di hati membuatkan rasa ingin memandang wajah menantunya itu tidak sanggup rasanya. Biar dia melihat beruk daripada melihat wajah Mastura. Wajah yang telah meracun hatinya. Wajah yang telah mencarik luka yang paling dalam.
“Macam mana ibu?” Katrina sendiri ingin melihat Mastura dihina dan dicaci, biar merana dan kecewa seperti dirinya. Berbuat baik berpada-pada, buat jahat boleh juga agaknya, semakin lebar senyumannya. Hendak jahat biar jahat betul.
“Nanti ibu fikirkan,” Halijah tidak memberi jawapan. Dia perlu berfikir terlebih dahulu. Berbaloikah dia mengajak menantu dan cucunya duduk di rumah itu? Dia menggeleng berkali-kali. Puas berfikir.
“Fikir berapa lama lagi ibu? Kita suruh aje dia tinggal di bilik belakang.  Lagipun bilik itu sudah lama kosong,” Katrina terus memujuk.
“Sabarlah, kalau kita minta dia datang sini pun, bukan dia mahu, Rina. Ibu harap cadangan kau tidak sia-sia. Nanti lain yang kita harapkan, lain pula yang terjadi,” Halijah masih meragui.
“Hish, ibu. Kitakan tuan punya rumah, tahulah kita kontrol dia. Ibu jangan bimbanglah.” Baru sekejap tadi dia terfikirkan tentang rancangan itu. Mastura bukan sekuat manapun. Mampu dikotak-katikkan. Wajah polos.
“Ikut suka kaulah Rina, kalau ada masalah pandai-pandailah kau uruskan,” Halijah akhirnya mengalah.
Katrina tersenyum gembira. Wajah Halijah yang mula dimamah usia ditenung lama. Dalam hati pecah gelaknya. Depan mertua sopan santun harus dijaga. Perangai dalamannya tiada siapa yang tahu. Dia harus berjumpa Mastura. Rancangan seterusnya akan terlaksana. Katrina sekarang bukan seperti Katrina sepuluh tahun dahulu. Usia sudah mematangkan dirinya agak tidak lagi ditipu.
Katrina melangkah naik ke biliknya. Daun pintu ditolak dengan kasar. Bilik pengantinnya masih terhias indah. Masih tercium segarnya bunga mawar dan bunga melur yang dihias indah. Dia memandang sekeliling. Gambar dia dan arwah suaminya tergantung kemas di dinding. Pakaian pengantin yang disewa masih belum dipulangkan. Dia mendekati birai katil. Belum merasa hangatnya malam pertama.  Kalaulah dia tidak kuat orangnya, pasti gila menyapa.
Telefon bimbitnya berbunyi mengalihkan pandangan dan fikirannya ke dunia nyata. Dunia impian sudah menjauh pergi dan tidak akan kembali.
“Hello, mama,” jawabnya perlahan sambil menyandar di birai katil.
“Rina tahulah mama, perlahan-lahanlah. Mana boleh tergopoh-gopoh nanti ibu mertua Rina perasan pula. Sabarlah! Nanti Rina bantu perniagaan papa. Berapa mama nak guna? 100 ribu? Banyaknya? Baiklah mama. Tak payah marah-marah! Okey, sampaikan salam Rina kepada papa.” Katrina memberhentikan perbualan dengan mamanya. Dia mengurut dahi. Mana dia hendak cari RM100 ribu. Apa yang dia hendak beritahu ibu mertuanya. Selama ini ibu mertuanya yang menandatangi segala cek, duit keluar masuk dalam syarikat perniagaan keluarga suaminya. Orang kedua adalah suaminya sendiri. Apa yang hendak ditipunya orangtua itu.
Telefonnya dicampakkan ke atas katil. Tercari-cari solusi untuk mendapatkan duit sebanyak itu. Kalau bukan orangtuanya, tidak ingin dia membantu. Duit tidak ada tetapi sering ke luar negara. Syarikat yang adapun nyawa-nyawa ikan sahaja. Itulah yang orangtuanya mendesak dia berkahwin juga dengan arwah suaminya, semuanya kerana harta.
Dia akan pastikan harta itu jatuh ke tangannya. Dia akan pastikan Mastura tidak akan dapat sesenpun.  Pandailah dia nanti memujuk ibu mertuanya menjadikan dirinya pewaris harta yang banyak itu. Tiga bulan sepuluh hari terpaksalah dia tinggal di rumah kerana masih dalam iddah. Selepas itu dia bebas hendak buat apa sahaja? Hendak ke mana-mana tiada siapa yang akan menghalang. Dengan duit yang ada dia boleh joli sepuas-puasnya. Sudah lama dia tidak menikmati kehidupan yang serba mewah semuanya gara-gara sikap orangtuanya. Baharu untung sikit terus bercuti. Asyik bercuti sehingga perniagaan terpinggir dan hanya mengharapkan para pekerja sahaja. Lama-lama pekerjapun bosan. Majikan sering tiada dipejabat. Gaji juga kecil kerana keluarganya lebih memikirkan keuntungan poket sendiri. Kalau orangtuanya tidak berniaga lagipun lebih baik, tidak menyusahkan dirinya untuk membayar hutang yang berkepuk. Duduk sahaja di rumah, dia sedia memberi duit kepada orangtuanya. Apapun alasannya, rancangan yang ada perlu diteruskan sehingga berjaya.


1 ulasan: