Mastura mencari keikhlasan di wajah Katrina yang
tersenyum manis di hadapannya. Ragu mendatang. Cepat-cepat dihalau pergi. Tidak
mahu berburuk sangka apatah lagi dengan wanita yang telah menjadi isteri arwah
suaminya. Mungkin juga madunya itu ikhlas mengajaknya duduk bersama di banglo
milik keluarga arwah suami. Berat juga hati ingin memenuhi kehendak Katrinan
yang datang secara tiba-tiba. Berkerut juga dahi memikirkannya.
Wajah
ibunya yang asyik menggelengkan kepala menjadi perhatiannya. Kenapa pula ibunya
bersikap begitu? Tidak setujukah dengan cadangan Katrina. Sudah berubahkah ibu mertuanya? Mahu pula menerima
kehadirannya. Benarkah sudah buang rasa benci di hati terhadap menantu bukan
pilihan di hati. Bolehkah dia menyesuaikan diri dengan ibu mertua yang langsung
dia tidak kenali. Hanya mendengar nama dan sesekali bersua rupa, tetapi tidak
mesra. Hanya cacian yang bertapa di bibir. Mana mungkin dia sanggup
menghadapinya.
“Jomlah
Mas, sunyilah rumah itu. Tinggal Rina dan ibu sahaja. Kalau ada Maria dan Mas,
riuhlah sikit.” Matanya bersinar-sinar memandang wajah madunya. Berharap
sangat-sangat semoga persetujuan diperolehi.
“Berilah
Mas masa untuk berfikir. Jika ada jodoh kita untuk tinggal bersama. Insya-ALLAH
pasti dipermudahkan.”
“Jangan
menolak pula. Rumah itu rumah Mas juga.” Masih berkata manis demi sebuah
keinginan.
“Terima
kasihlah Rina. Walaupun kita berkongsi suami, namun Rina masih sudi ke mari.” Senyuman
dilemparkan tanda menghargai.
“Rina
berasa bersalah kerana merampas arwah daripada Mas. Harap Mas boleh maafkan
Rina. Tanda kemaafan adalah Mas tinggal dengan kami. Ibu juga sudah berubah.
Menyesal membenci Mas. Ibu juga ingin Mas ke sana. Menebus kembali rasa
bersalah di hatinya,” masih berkata manis. Bukan mudah untuk meyakinkan. Apatah
lagi dengan orang yang dibenci oleh ibu mertuanya.
“Tak
perlu rasa bersalah. Mas juga pernah merampas hak Rina.” Mastura menunduk, dia
sedar kehadirannya di dalam keluarga mertua bagaikan melukut di tepi gantang.
Dia juga tahu Katrina adalah tunang arwah suaminya sebelum dia menjadi isteri
lelaki itu.
“Biarlah,
tak usah dikenang cerita lama. Kita buka lembaran baharu. Bina hidup baharu.” Tetap
berlembut demi kelangsungan rancangan yang berjela di kotak fikirannya.
“Benar
ke, Rina hendak Mas dan Maria tinggal sekali?
Tidak menyusahkan ke?” sampuk Mak Yam yang sejak tadi menjadi pendengar
setia. Menunggu waktu yang sesuai untuk berbicara. Dia juga ingin tahu, dalam
hati terbit rasa kurang percaya.
“Hish,
takkanlah Rina nak berbohong mak cik. Mas dan Maria ahli keluarga kami juga.” Dalam
hati terasa juga, kata-kata itu menghiris jiwanya. Bagaikan mereka dapat
meneka, apabila terbit soalan berbau syak wasangka. Sabarlah hati.
“Bukan
mudah hendak berjumpa madu dengan madu sama baiknya, Rina! Apatah lagi suami
telah tiada. Sengketa tentang harta pula punya cerita.” Mak Yam menjeling
manja. Senyuman terukir bagi melembutkan hati yang mendengarnya. Nanti kata dia
menuduh pula. Sesama manusia janganlah ada sengketa.
“Insya-ALLAH,
mak cik. Antara saya dan Mas pasti bahagia bila hidup bersama sama bawah satu
bumbung. Lebih-lebih lagi adanya Maria, ibu mertua saya pasti gembira. Bukannya
apa, hanya Maria pewaris keluarga.” Memuji penuh bermakna, tidak mahu rahsia
terbuka. Nanti habislah rancangannya. Bila tinggal bersama bolehlah dia menjaga
semua harta dan gerak geri mereka.
“Tak
mengapalah Rina. Biarlah Mas memikirkan hal ini dahulu. Kalau sudah ada jawapannya,
jangan lupa telefon segera.” Kalau tak datang lagi baik, terbit dari hatinya
yang paling dalam.
“Kalau
macam itu, Rina minta diri dahulu. Jangan tak jadi, nanti kecewa ibu mertua
kita yang benar-benar mengharap kehadiran Maria dan Mas di sisinya.” Memujuk
biar bersungguh-sungguh. Nanti orang tidak percaya melepaskan peluang yang ada.
“Insya-ALLAH
jika sudah dapat keputusannya, Mas akan ke sana.” Jawapan tidak boleh diberi
segera. Nanti terburu-buru buat keputusan, menuyesal tiada gunanya.
“Kalau
begitu, Rina balik dahulu. Jangan lupa beritahu jawapannya ya, Mas. Rina harap
sangat.” Tangan Mastura diraih. Dia tersenyum lebar. Manis.
“Baik
Rina, berhati-hati di jalanraya.” Pesan sebelum kereta itu berlalu pergi,
meninggalkan laman rumah yang sepi itu. Anak-anak jiran entah ke mana, mungkin
masih di sekolah mentelaah pelajaran. Hanya lambaian menjawab kata-katanya.
Menunggu sehingga kenderaan itu menghilang dari pandangan mata.
Mak
Yam menarik tangan Mastura. Dia terjengah-jengah. Bagaikan ingin menyampaikan
satu rahsia.
“Mak
ini kenapa? Tak ada siapa-siapa di luar sana. Tetamupun sudah pulang.” Gelenggan
semakin laju, pelik memikirkan sikap emaknya, bagaikan takut orang tahu
sesuatu. Apa yang rahsia sangat itu.
“Mak
tak setuju kau ke sana, Mas. Macam ada satu rahsia. Mungkin mereka terfikir
hendak membalas dendam. Siapa tahu hati mereka. Rasa hati emak tidak sedap. Kau
harus berhati-hati.” Nasihat diberi agar anaknya sedar diri. Kalau sekali orang
benci. Susah perasaan suka terbit di hati. Lebih-lebih lagi mertua sendiri.
“Hish,
mak ini. Tidak baik berburuk sangka. Mungkin benar ibu mertua Mas sudah
berubah. Kehilangan seseorang atau sesuatu kadang-kadang boleh mengubah
manusia. Siapa yang tahu, mak.” Rasa mahu ketawa terbit di bibir, namun tidak
mahu emaknya tersinggung pula. Dipendam ketawa dalam hati.
“Itulah
rancangan di televisyen tak mahu tengok langsung. Cuba tengok dan kaji. Apa
yang dipaparkan bukan sebarangan. Pesan emak tolonglah kau dengar, Mas. Mak tak
nak kau dipermainkan demi dendam kesumat yang bermaharajalela di hati mereka.
Benci tetap benci. Takkan secepat itu mereka suka. Pelik memang pelik.” Asyik
memikir dari tadi. Baharu sahaja beberapa hari arwah meninggalkan dua orang
isteri dan seorang ibu serta seorang anak. Dia tahu anak perempuanya tidak
disenangi oleh mertu sendiri kerana darjat, apa lagi. Kalau tidak kerana antara
mereka ada rancangan tersendiri sudah pasti dia tidak akan mengizinkan Mastura
berkahwin dengan arwah menantunya.
“Mak
jangan terpedaya, tidak semua yang dipaparkan di televisyen adalah benar
belaka.” Senyuman terukir lagi.
“Bukan
terpedaya, tapi kebimbangan daripada hati seorang tua, Mas. Emak lebih dahulu
merasa sejuknya air, panasnya mentari dan masinnya garam.” Dia bercakap perkara yang benar, boleh pula
dipersendakan. Dia cuma bimbang anak gadisnya menjadi mangsa dendam. Sedangkan
mereka juga berdendam. Apa bezanya. Mak Yam mendengus kasar.
“Mas
tahulah jaga diri mak. Terima kasih kerana masih mengambil berat.” Tubuh Mak
Yam yang sedikit berisi dipeluk erat.
Aura sayang tidak pernah luput.
“Mak
tidak mahu kau kecewa lagi Mas. Ini melibatkan Maria juga.” Semakin erat
pelukan. Dia perempuan, anaknya juga
perempuan. Dia pernah jadi menantu dan sekarang mertua. Sedikit sebanyak sudah
faham hati seorang ibu mertua. Walaupun bukan semua mertua berlaku kejam dengan
anak menantu namun masih ada yang bersikap begitu.
“Insya-ALLAH
mak, tahulah Mas jaga diri. Mungkin ini jalan terbaik untuk Mas memperbaiki
hubungan dengan mertua Mas. Mana tahu jika duduk serumah kami boleh menyelami
hati masing-masing, sambil itu kita jalankan misi pak long. Mak dah lupa ke?” harapan
tinggi seorang menantu terhadap mertua yang begitu membencinya. Dia
mengharapkan kehadirannya nanti mampu memperbaiki hubungan mereka yang retak
sejak dari mula. Dalam masa yang sama ada misi yang ingin dijalankan terhadap
ibu mertuanya.
“Itu
jugalah harapan emak, Mas. Mak teringin sangat melihat hubungan kalian berdua
mampu bersatu, demi Maria. Puan Halijah bukan orang lain dengan Maria, nenek
dia juga. Kalau hubungan mereka jauh, Maria bagaikan tiada keluarga di sebelah
arwah ayahnya. Pasal pak long kau tu, pandai-pandailah kau berbincang nanti
dengan dia.” Mak Yam menepuk lengan Mastura.
“Entahlah
mak… itu jugalah harapan Mas. Abang Ashraf sudah tiada, takkanlah ibu mertua
Mas masih menyimpan dendam.” Hatinya terguris, luka. Orang lain ada mertua, dia langsung tidak
boleh menumpang kasih lantaran perkahwinan tidak direstui. Dahulu ada suami
bolehlah bertukar cerita, sekarang dia ditinggal pergi sepi sendiri.
Hatinya
masih menganyam harapan terhadap ibu arwah suaminya. Biarlah dia diterima demi
anaknya. Hanya Maria satu-satunya zuriat dan penyambung warisan keluarga arwah.
Biarlah Maria menikmati kasih sayang seorang nenek. Apakah kehadiran Katrina
mampu mengubah segalanya. Harapan tinggi seorang menantu yang kehilangan kasih
suami. Mata ditutup serapat-rapatnya biarlah derita berlalu, bahagia mengamit
datang. Itulah harapannya.
Dendam
ibu mertuanya satu hal. Dendam di hati juga satu bab lain yang perlu dirungkai.
Dia tidak akan berpeluk tubuh melihat sahaja. Dalam kepala masih tercari
rancangan yang sesuai. Semoga berjalan lancar.
adoi...tak jumpa-jumpa ke laki dia ni kak...
BalasPadamha ha ha puas cari dah ni!
BalasPadam