Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 4 September 2014

Ulasan SORRY AKU BUKAN DIA karya Iza Safiya



SORRY AKU BUKAN DIA! ( ISBN  978 983 124 969 7 )
IZA  SAFIYA
2014
ALAF 21
RM25.00

Hazry Mikail seorang anak yatim piatu, berhijrah ke Bandar  untuk mencari sesuap nasi dan mencari duit bagi membayar dan menebus tanah milik orang tuanya.  Dia diterima bekerja sebagai pemandu peribadi kepada Hani  Mariya.  Dia harus mengikut syarat yang telah ditetapkan oleh  keluarga Hani Mariya.  Hazry akur dan tidak mahu bertanya lanjut.  Ikut sahaja kata bapa saudaranya yang sebelum ini menjadi pemandu peribadi kepada keluarga Hani Mariya.

Hazry seorang lelaki yang tenang, melayan Hani Mariya dengan baik, mengikut segala kehendak majikan barunya itu tanpa mempersoalkan apa sahaja yang dilakukan oleh wanita itu.  Kehadiran dan cerita tentang Hana Maisarah dilayan dengan baik.  Mengikut rentak dan irama Hani Mariya, tidak mahu wanita itu berasa terganggu.  Itulah pesan  Haji Umar, demi menjaga hati anak perempuannya yang sudah hanyut dan hilang dengan dunianya sendiri. 

Setiap pagi Hazry mengikut sahaja Hani Mariya menghantar anaknya Hani Maisarah ke sekolah kemudian ke galeri tempat Hani Mariya bekerja.  Hani Mariya seorang pelukis, kehadiran Hazry Mikail memberi cerita baru dalam karya seninya.  Hidupnya kembali ceria, lukisannya punya rasa dan hati kembali.  Sama seperti ketika kehadiran suami yang amat dicintainya. 

Hazry tekad untuk mengubah dan mengembalikan Hani Mariya ke sisi keluarganya.  Berbagai cara dilakukan agar Hani kembali bergaul dengan keluarganya.  Menghilangkan Hani Maisarah dalam dunia khayalan Hani Mariya bukan perkara yang mudah.  Semakin lama, semakin hari, Hani Mariya berasa selesa berada di sisi Hazry yang setia setiap masa, memberinya semangat dan harapan baru.
Hubungan dari pekerja dan majikan, akhirnya bertukar sayang dan cinta yang mendalam. Hubungan mereka direstui oleh keluarga Hani Mariya tanpa memandang langsung status Hazry yang hanya seorang pemandu, anak yatim piatu dan miskin pula. Bagi mereka asalkan Hani Mariya suka dan boleh  hidup bahagia apa sahaja kehendak anaknya diturutkan sahaja.

Hazry ada wawasannya, Hani Mariya tenggelam dalam dunia khayalannya.  Mampukah kedua mereka bersatu dan hidup aman tenteram.  Cemburu di hati bukan sengaja terisi.  Kalau di malam pertama nama arwah suami isterinya menitir di bibir.  Apa sahaja yang ada di dalam rumah semuanya ada bayangan Hans Muneef.  Mampukah Hazry membuang Hans Muneef dari hidup Hani Mariya?  Mampukah api cemburu terpadam walaupun orang yang dicemburui telah pun meninggalkan dunia ini?  Kehadiran Zamil menambah parah luka di hati.  Hani Mariya bagaikan bermain dengan api  cemburu yang sedang menyala-nyala di hati suaminya tanpa disedari. 

Ujian yang melanda jika tidak kuat mampu merobohkan tembok besi sekalipun.  Mampukah Hazry terus bertahan?  Mampukah Hani Mariya melupakan cinta hati  arwah suaminya yang teguh disanubari?  Mampukah Hani Mariya menghilangkan bayangan Hani Maisarah daripada hidupnya?

Karya yang menarik, buat hati tertarik. Jalan cerita lain dari yang lain.  Gaya bahasa yang indah meresap ke dalam jiwa.  Plot yang kemas dan teratur memudahkan para pembaca menikmati jalan cerita tanpa ada gangguan.  Cinta yang murni, tulus dan ikhlas daripada seorang suami kepada seorang isteri.  Terasa  kemanjaan Hani Mariya, terasa kelembutan Hazry melayan kerenah seorang isteri yang bertahta di hati.  Dia bukanlah lelaki sempurna tetap ada rajuknya.  Mampukah Hani Mariya mendapatkan kemafaan suaminya setelah apa yang telah dia lakukan dan janji-janji yang telah dimungkiri. Apa yang telah dilakukan oleh Hani Mariya sehingga kemarahan Hazry bagaikan tidak ada kemaafan lagi?  Apa janji Hani Mariya pada Hazry Mikail? Kenapa tiba-tiba ada rasa sakit di hati Hazry Mikail terhadap isteri yang baru sahaja dikahwini? 

Hendak tahu kisahnya?  Jom dapatkan karya ini. 

1 ulasan: