Mastura memandang sepi kenderaan milik suaminya
berlalu meninggalkan laman rumah emaknya. Luka hatinya berdarah selambak. Tidak
mudah ditutup dengan pujuk dan rayu. Janji manis ibu mertuanya bolehkah diguna
pakai? Dia tidak percaya janji manis ibu mertuanya itu.
Mak
Yam di sisi hanya menepuk bahu anaknya tanpa berkata apa-apa. Dia tidak mahu
memaksa anaknya. Biarlah mereka sama-sama membuat keputusan sendiri.
Maria
pula masih menangis kerana ingin mengikut ayahnya.
Mastura
menarik tangan Maria dan cuba memujuk.
“Nanti ayah baliklah, kejap
lagi kita ke kedai, beli ais krim. Maria suka ais krimkan?” pujuk Mastura.
Hatinya masih marah. Masih geram, apa yang terjadi benar-benar mencabar
kesabarannya. Dia tahu benar sikap ibu mertuanya. Tidak berkenan dia menjadi
menantu. Sejak awal lagi hubungan dia dan suaminya tidak disukai. Namun mereka
degil. Tetap juga ingin berkahwin. Natijahnya sehingga ke hari ini kehadirannya
dengan Maria tidak direstui. Dia redha. Buat apa paksa orang yang tidak
menyukai dirinya. Biarlah.
“Kenapa
tak ikut Ashraf balik tadi?” tanya Mak Yam.
Mastura
memandang wajah emaknya.
“Balik
ke mana mak? Rumah kamikan sudah tidak ada lagi, dah hangus menjadi abu!”
Mastura sebak. Sudahlah kehilangan rumah dan harta benda, kini dia kehilangan
suami pula. Musibah yang bertimpa-timpa. Dia tidak boleh menyerah kalah. Dia
perlu bersabar dengan apa yang terjadi. Semoga ada hikmah disebalik kejadian
yang terjadi kepadanya.
“Jadi,
apa cadangan, Mas?” Mak Yam mengusap lembut rambut Maria yang sudah pun lena di
pangkuan Mastura.
“Masih
tidak fikir apa-apa lagi mak. Otak ini dah kosong, tak tahu nak fikir apa lagi.
Masalah yang datang buat fikiran Mas buntu,” keluh Mastura. Mak Yam mengeluh.
“Sabarlah
Mas,” hanya itu sahaja yang mampu dia perkatakan.
Mastura
mengeluh kesal. Kalaulah suaminya menolak untuk berkahwin lagi, apalah
salahnya. Selama ini pun ibu mertuanya tidak pernah suka kepadanya. Ada dia
kisah. Selama mereka berkahwin tidak pernah sekalipun dia pulang menjenguk ibu
mertuanya. Amaran orangtua itu sendiri. Jijik benar dirinya. Maria, anaknya
langsung tidak pernah tengok neneknya di sebelah suami. Hanya Maria tahu Mak
Yam sahajalah neneknya. Mastura mengesat air mata yang mula menitis di pipinya.
Dia
sedar siapa dirinya. Gadis kampung yang tidak berpelajaran tinggi. Kalau tidak
kerana permintaan pak longnya tidak mungkin dia sanggup menjadi menantu
Halijah. Tidak mungkin dia memikat suaminya. Semuanya kerana rancangan pak longnya.
Mastura mengeluh panjang. Bukan kesal dengan jodoh yang dirancang namun itulah
ketentuan ILAHI. Rancangan pak longnya hanya sebab pertemuan jodoh antaranya
dengan suaminya. Hati benar-benar tertawan dengan kebaikan Ashraf yang jauh
berbeza dengan ibu mertuanya. Tapi hari ini dia dikecewakan oleh lelaki yang
sama. Lantaran mendengar pujuk rayu ibu mertuanya.
Dia
benar-benar kecewa dengan suaminya. Mudah sahaja menerima cadangan ibu
mertuanya. Sanggup berkahwin lagi atas alasan supaya ibu mertuanya menerima
kehadirannya. Benarkah? Sampai sekarang tiada langsung orangtua itu menelefon
bertanyakan khabarnya. Terimakah itu? Sengaja ingin memisahkan dia dan
suaminya. Lelaki, kata mulut tidak, dalam hati mahu. Mastura mendengus kasar.
Sebal rasa di hati. Geram rasa di jiwa. Ketenangannya dirampas dengan begitu
mudah sahaja. Semuanya kerana suaminya yang gatal ingin bernikah lagi. Bila
disuakan oleh ibu mertuanya terus setuju. Dasar lelaki, tidak tahu diuntung.
Mastura mengomel sendiri.
***
Dia
keluar dari rumah emak mertuanya, sudah lewat petang. Ashraf terbayangkan wajah
Mastura yang lesu dan marah. Tiada langsung senyuman di bibir isterinya. Dia
tahu dia bersalah. Tidak mahukah Mastura diterima oleh mamanya. Maria diakui
cucunya. Sukar sangatkah hendak berkongsi kasih dengan perempuan lain? Orang
perempuan selalu tamak. Ashraf mendengus sendiri.
Susah
betul hendak menjaga hati seorang wanita. Ada sahaja rajuknya. Kalau tidak
kerana hal besar, hal kecil-kecil pun mereka ambil kira. Entah berapa lama Mastura hendak merajuk.
Entah berapa lama Mastura harus ambil masa untuk bertenang dan menerima
perkahwinan keduanya. Biarlah… biar berapa lamapun. Mastura berhak. Jangan
sampai mereka berpisah sudahlah.
Bunyi
deringan telefon, Ashraf terus menjawabnya. Suara perempuan disebalik sana amat
dikenalinya.
“Ada
apa ibu?”
“Kau
di mana?”
“Dalam
perjalanan balik ibu.”
“Kau
pergi jumpa Mastura?” suara mamanya kedengaran agak kasar.
“Yalah
ibu. Dia kan isteri Ashraf juga.”
“Kalau
aku tidak suka, sampai bila pun aku tak suka!”
“Ibu!
Bukankah ibu sudah berjanji akan terima Mastura sebagai menantu, jika Ashraf
kahwin dengan pilihan ibu!” Ashraf benar-benar terkejut. Ibunya sanggup menipu
dirinya.
“Kalau
ibu tak buat seperti itu, adakah Ashraf akan setuju?”
“Sampai
hati ibu!” Ashraf sedih mendengar kata-kata ibunya.
“Kau
lupakan sahaja isteri kau itu. Baik kau layan isteri baharu kau yang setia
menunggu di rumah ibu ini.”
“Ibu
kejam! Kejam!” Ashraf mematikan panggilan tersebut. Dia menghentak-hentak
stereng kereta. Geramnya hati hanya ALLAH yang tahu. Bagaimana mungkin dia
melupakan Mastura dan anaknya, Maria. Apa yang ada di dalam fikiran ibunya. Ashraf
kesal. Dia terlalu mempercayai ibunya. Dia ingatkan ibunya benar-benar telah
berubah. Ibunya sudah mahu menerima kehadiran Mastura, itu sebab dia bersetuju
berkahwin lagi. Rupanya ini hanya sandiwara ibunya sahaja. Kepalanya berat. Dia pening secara tiba-tiba.
Jantungnya berdegup kencang. Padel brek ditekan kuat namun tidak berfungsi. Ashraf
panik. Dia tidak tahu apa harus di buat. Kereta di kiri dan kanan bersimpan
siur. Dia masih lagi cuba mengawal stereng agar tidak terbabas. Bimbang dan
takut silih berganti. Tidak henti-henti dia berdoa agar dirinya selamat dan
tidak ditimpa bala bencana. Tiba-tiba…
***
Mastura
hampir pengsan apabila menerima panggilan telefon bahawa suaminya sudah
meninggal dalam kemalangan. Air matanya laju mengalir. Musibah lagi. Aduhai,
nasib badan. Mak Yam memeluk erat anak perempuannya. Dia sendiri sedih dengan
apa yang berlaku. Tidak disangka sama sekali. Pertemuannya dengan menantunya
siang tadi adalah yang terakhir. Maria masih enak dibuai mimpi. Bagaimanalah
nanti reaksi anaknya apabila terjaga nanti.
“Mak,
Abang Ashraf sudah tinggalkan Mas!” Mastura menangis sayu di bahu Mak Yam.
“Sabarlah,
Mas,” pujuk Mak Yam. Dia sendiri tidak mampu menahan sedih. Kehilangan menantu
secara tiba-tiba. Masih terasa
kehangatan bibir menantunya bersalaman dengannya tadi. Pergi tanpa pesan,
membawa terus hati yang lara. Mak Yam hanya mampu mengeluh.
“Mas
hendak ziarah jenazah Ashrafkah?” tanya Mak Yam perlahan. Mastura memandang
wajah emaknya tidak berkutik. Dia termenung jauh. Haruskah dia pergi? Dia tidak
berani berhadapan dengan keluarga mertuanya. Kalau dia tidak pergi…
Mastura
melangkah perlahan. Dia masih berkira-kira sama ada hendak masuk atau tidak ke
dalam rumah itu. Rumah di mana jenazah suaminya masih ada. Dia isteri, itu
suaminya. Dia berhak menziarahi suaminya. Mastura memberanikan diri. Dia ingin
melihat wajah suaminya buat kali terakhir.
“Buat
apa kau datang ke sini? Kerana kaulah anak aku mati!” jerit Halijah sebaik
sahaja melihat kelibat Mastura. Mak Yam yang turut bersama Mastura memandang
wajah besannya dengan penuh tandatanya. Kenapa begitu benci besannya terhadap
anak perempuannya itu?
“Ibu!”
seorang wanita muda menahan Halijah. Mastura memandang wajah itu tidak
berpaling lagi. Tentu isteri muda arwah suaminya.
“Masuklah
Mas,” pelawa perempuan muda itu Mastura mengangguk lemah. Air mata berjujuran
mengalir.
“Kenapa
kau benarkan dia masuk, Rina? Dia pembawa malang!” jerkah Halijah.
“Ibu,
Mastura tetap isteri Abang Ashraf. Biarlah Mastura melihat arwah buat kali
terakhir. Jangan bising-bising macam ini, malu didengar oleh orang lain,”
nasihat Katrina. Puan Halijah menjeling tajam.
“Kau
pun hendak menentang aku, Rina?” lengking suara Halijah. Tidak menghiraukan
kehadiran para tetamu yang datang menziarahi. Dia benar-benar membenci
menantunya itu. Langsung tiada sedikit pun perasaan sayang atau kasih. Kerana
Masturalah Ashraf langsung tidak balik menjengahnya bertahun-tahun.
“Ibu!”
Rina menarik tangan Halijah jauh dari situ.
“Lepaskan
ibu, biar ibu marah perempuan itu puas-puas!”
“Kenapa
dengan ibu ni? Mastura itukan isteri arwah Abang Ashraf. Kalau kejam sekalipun
janganlah sampai tak beri peluang langsung Mastura melihat arwah.” Katrina
mengeluh kesal.
.
Halijah memeluk tubuh. Dia mendengus kasar. Dia melangkah masuk ke dalam bilik.
Daun pintu ditutup kuat.
Katrina
kembali ke ruang tamu. Para tetamu masuk dan pergi, seorang demi seorang
menziarahi jenazah. Mastura dan Mak Yam masih berteleku di hadapan jenazah.
Maria menangis sedih di sisi emaknya. Katrina menghampiri.
“Mas,
saya Rina… isteri muda arwah Abang Ashraf. Maafkan ibu, ya. Terima kasih kerana
sudi datang.” Katrina menghulurkan tangan ingin bersalaman. Mastura
menghulurkan tangan. Mereka saling berkenalan. Mastura menatap seketika wajah
madunya. Cantik, memang sesuai dengan suaminya yang kacak. Mastura menunggu sehingga jenazah dibawa ke
tanah perkuburan. Selama itulah juga ibu mertuanya tidak keluar dari bilik.
Hiba benar hatinya. Hancur lulur jiwanya dengan sikap ibu mertuanya. Buruk
sangatkah dia sehingga begitu sekali kebencian ibu mertuanya terhadap dirinya.
“Jomlah
kita balik, Mas. Orang tak suka kita berlama di sini. Tiada gunanya lagi kau di
sini,” ajak Mak Yam. Sebal hatinya dengan sikap besannya. Membenci sehingga ke
tulang hitam agaknya.
“Janganlah
mak cik, tunggu sehingga majlis tahlil malamini.”pelawa Katrina. Mak Yam
tersenyum.
“Tidak
mengapalah Rina. Dapat melihat arwah buat kali terakhir pun sudah cukup buat
kami. Terima kasih kerana melayan kami dengan baik,” kata Mastura. Katrina
mengeluh. Kenapalah ibu mertuanya keras hati sangat. Tentu arwah tidak tenang
di alam sana. Sudahlah arwah anak tunggal. Dia pula baharu sahaja berkahwin
dengan arwah. Mereka belum dapat
bersama. Marialah satu-satunya zuriat arwah suaminya. Tidak mahukah ibu
mertuanya memeluk satu-satunya pewaris keturunannya.
“Mas,
jangan ambil hati dengan sikap ibu ya, sesekali bawalah Maria ke mari. Hanya
dia sahajalah anak arwah,” Katrina menunduk. Sememangnya arwah bukanlah
jodohnya. Baharu sahaja berkahwin arwah pergi buat selama-lamanya.
“Insya-ALLAH,
Rina. Mas balik dahulu. Rina jemputlah datang ke rumah Mas ya, ini nombor
telefon dan alamat Mas. Semoga hubungan
kita terus kekal selama-lamanya.” Mastura menghulurkan sekeping kertas yang
tercatat nombor telefon dan alamat rumah emaknya. Biarlah arwah suaminya
bersemadi dengan aman. Biar bagaimana buruk pandangan ibu mertuanya terhadap
dirinya, dia akan tetap menghormatinya. Mastura berlalu dari rumah tersebut
dengan hati yang tenang, Semadilah abang dengan tenang ya, detik hati kecilnya.
Air mata mengalir lajukeluar. Semua kenangan bersama arwah akan tersimpan kemas
di hatinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan