AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 13 September 2014

CERITA KEHIDUPAN - BAB 7

BAB 7
            Ainah  mengemas meja yang telah diguna  oleh pelanggan sebentar tadi.  Sudah tujuh jam dia bekerja dan belum lagi berehat.  Kakinya juga sudah mula lenguh, berdiri dan berjalan ke sana dan ke mari tanpa henti.  Pelanggan di waktu makan tengahari memang ramai sangat.  Sehingga tiada ruang kosong, ada pelanggan terpaksa berdiri seketika menunggu tempat duduk. Bangun sahaja pelanggan  ada pula yang mengganti.  Waktu sibuk begini Pak Haji Idris sentiasa ada di kedai memerhatikan para pekerjanya bertugas.  Restoran bersih dan kemas.  Pak Haji Idris memang menitik berat soal kebersihan sehingga ke bilik air pun di suruh cuci dua jam sekali.  Walaupun penat rakan-rakan sekerja akur sahaja kerana mereka makan gaji dan tidaklah boleh membantah suruhan majikan mereka. 
            “Adoi! Penat betullah.  Dah pukul 3.00 baru orang kurang.  Mariam mengeluh.  Ainah duduk menyandar.  Dia merenggangkan kakinya sedikit bagi menghilang rasa lenguh dan penat berdiri lama.
            “Letih ke?”  Pak Haji Idris mendekati dua orang pekerjanya.  Dia duduk bersama mereka. 
            “Makan Pak Haji,”  pelawa Ainah.  Mariam menyengih.
            “Silakan.  Kenapa Mariam?  Penat ya?”  tanya Pak Haji Idris lagi sekali.
            “Bolehlah tahan,” jawab Mariam dan menyengih lagi.  Pak Haji Idris tersenyum.
            “Pak Haji lagi penat, setiap hari kena datang kedai pastikan semuanya berjalan lancar, tengok kalian buat kerja.  Perhatikan lauk-pauk yang terhidang mengikut standard yang telah Pak Haji tetapkan. Pastikan bahan mentah yang sampai semuanya elok-elok belaka dan masih segar. Tukang masak  pula, kena jaga hati mereka kalau tidak ada yang cabut, jenuh Pak Haji, begitu juga dengan kalian.  Cukup bulan kena fikirkan bil-bil yang hendak dibayar, kalau tak cukup pening kepala memikirkannya, lainlah kalau kalian sanggup kerja tanpa  bayaran”  katanya.  Sempat pula melawak.  Ainah dan Mariam terdiam mendengar tugasan yang terpaksa majikannya lakukan.  Mereka cuma penat berdiri dan berjalan.  Majikannya penat serba-serbi, badan dan kepala.  Ainah dan Mariam mengeluh mendengar cerita majikan mereka. Rupanya setiap orang ada masalah mereka sendiri.
            “Ainah, emak masih buat kuih lagi ke?”  tanya Pak Haji Idris.  Teh tarik yang dipesan diteguk beberapa kali.
            “Ya,  pak haji…  emak pun ada tanya nak letak kuih  yang emak buat di sini, boleh tak?”  Ainah memandang wajah majikannya.  Pak Haji Idris mengangguk.
            “Kak Milah yang selalu hantar kuih muih di restoran ni pun dah berhenti, esok bawa sekali kuih yang emak Ainah buat, pak haji setuju,”  Pak Haji Idris tersenyum.
            “Terima kasih pak haji!”  kata Ainah girang sangat.  Pasti emaknya suka mendengar berita ini.
            “Sama-sama, kerja rajin-rajin tau, manalah tahu pak haji tiba-tiba baik, naikkan gaji kalian.”  Pak Haji Idris tersenyum.
            “Insya-ALLAh pak haji,”  kata Ainah dan Mariam serentak.  Pak Haji Idris tersenyum bangga.  Ainah dan Mariam antara pekerjanya yang rajin dan jarang curi tulang. 
            “Sampai bilalah kita nak bekerja macam ini, kan?”  Mariam memandang  restoran itu yang mula lengang sedikit.  Sudah habis waktu makan tengahari.  Pelanggan akan kembali ramai usai sahaja solat asar.  Untuk minum petang dan makan malam.  Hari ini Ainah tetap bekerja lebih masa.  Dia perlu bantu emak dan ayahnya cari duit untuk membayar segala keperluan mereka sekeluarga.  Kalau sudah hidup susah jangan bermalas-malas.  Usahalah walaupun hasilnya sedikit.  Dari mengharap bantuan orang, sedangkan kudrat masih kuat dan mampu bekerja.  Ainah mengeluh.  Dia tidak faham kenapa ramai anak muda  melayu memilih untuk menjadi peragut dan perompak sedangkan peluang mencari rezeki yang halal terbuka luas di bumi Malaysia yang indah dan makmur ini.
            “Ainah!”  Mariam menampar lengan Ainah dengan kuat.  Terkejut Ainah. Terlalu jauh dia menghayal.
            “Apa?”  Ainah menghabiskan nasi di pinggan.  Mariam menggelengkan kepala.
            “Aku tanya sampai bila kita harus kerja di sini?”  Mariam mengeluh.  Kadang-kala timbul rasa bosan di hati, orang lain pakai cantik-cantik bergaya, berwangi-wangian tetapi mereka pakai juga minyak wangi tetapi hanya seketika hilang bau timbul bau badan akibat terlalu banyak berpeluh.  Mereka bukan bekerja menggunakan hujung jari sahaja tetapi seluruh tubuh bergerak.  Mariam mendengus kasar.  Balik rumah habis sakit badan-badan.  Bila tidur langsung tidak sedar.  Esok pagi-pagi lagi sudah keluar kembali.
            “Tak usah mengeluh. Bila orang tua suruh pergi sekolah maknanya pergi belajar. Bukan main-main, bercinta, jadi samseng.  Bila tidak lulus cemerlang, tiada peluang untuk sambung belajar, orang gagal macam kita hanya layak bekerja di kilang, pasaraya, pusat membeli belah, restoran makan ringan, restoran seperti ini.  Terima sahajalah Yam, asalkan mendapat rezeki yang halal untuk bantu keluarga.  Kau tak apalah, keluarga kau bukan orang susah macam keluarga aku.  Kalau aku malas bekerja bagaimana dengan adik-adik aku.  Cukuplah aku menghampakan orang tua aku bila aku gagal dalam SPM.  Aku hancurkan perasaan dan keinginan mereka melihat aku berjaya, masuk universiti, lulus cemerlang dan mendapat pekerjaan yang baik. Tiada gunanya aku menyesal sekarang.  Sudah nasib yang aku sendiri buat, terima sahajalah.”   Ainah tersenyum sini.
            “Bukan ke ini takdir yang telah ditentukan oleh ALLAH pada kita?  Kau sudah ditentukan akan gagal lepas tu bekerja di sini, selama-lamanya jadi kuli.”  Mariam  tersenyum sinis.
            “Jangan salahkan takdir atas kebodohan dan kemalasan sendiri.  ALLAH tidak akan mengubah nasib  kita jika kita sendiri tidak mengubahnya.  Aku akan berusaha mengubah nasib diriku.  Sekarang ini pun aku menabung sedikit demi sedikit untuk aku sambung belajar.  Mungkin setahun, dua tahun siapa  yang tahu.  Aku akan ambil SPM semula.  Aku tidak akan membiarkan diriku berterusan begini.  Aku akan belajar dari sekarang dan berusaha sehingga aku yakin, aku mampu lulus cemerlang.”  Ainah tersenyum penuh yakin.  Mariam terlopong mendengarnya.
            “Boleh ke kita?  SPM aku banyak ‘D’.  ‘E’ pun ada.”  Keluh Mariam. Mata Ainah bercahaya, tersenyum.
            “Belakang parang jika hari-hari diasah pasti tajam.  Begitu juga dengan akal manusia.”  Ainah mengenggam jari jemari Mariam.
            “Kita boleh berjaya Yam, yang penting usaha.  Usaha itu tanda kejayaan.”  Ainah  tersenyum.  Mariam mengangguk. 
            “Betul juga, kan?  Aku pun nak ikut jejak kaulah. Terima kasih Ainah, fikiran kau selalu terbuka.  Aku suka berkawan dengan kau.  Tidak sia-sia kita kenal, kan?”  Yam memegang tangan Ainah.
            “Fikiranku terbuka apabila aku gagal mencapai apa yang menjadi harapan kedua orang tua aku, Yam.  Aku kecewakan mereka.”  Ainah sebak.  Kalaulah dia benar-benar memberi tumpuan pada pelajarannya tentulah sekarang ini dia sudah  belajar di universiti.  Dia  belajar di saat akhir sehingga ada pelajaran yang tidak sempat diulangkaji kembali.  Terpengaruh dengan kata-kata teman lelakinya, dia menghancurkan masa depannya sendiri.
            “Jomlah, giliran rehat kita sudah habis.  Kawan-kawan lain nak berehat juga.”  Ainah membasuh tangan dan pinggan.  Di dapur   restoran masih sibuk. Penyediakan untuk masakan panas pula.  Pelayan tidak dibenarkan masuk ke dapur tanpa urusan penting.  Kalau mahu apa-apa beritahu sahaja pada ketua dapur yang bertugas.
            Tiada perkara yang mudah dalam hidup ini.  Bak kata sesetengah orang, hidup pun susah, mati pun susah.  Ainah tersenyum sendiri, dialog dari satu watak dalam filem Madu Tiga karya Allahyarham P.  Ramlee.  Seniman Agung negara yang amat dibanggakan oleh rakyat Malaysia. Emak dan ayahnya pun minat filem-filem  arahan dan lakonan Allahyarham.   Ainah memandang ke arah seorang pemuda yang leka membaca tanpa menghiraukan orang di sekililingnya.  Di atas meja hanya ada air dan dua biji kuih.  Belum disentuh lagi.  Leka sungguh dia membaca.  Itulah gelagat pelanggan-pelanggan yang datang.  Tidak kurang juga lelaki dan perempuan yang berpacaran.  Ainah memandang pula ke arah seorang perempuan muda yang cantik dan manis.  Bergaya sungguh.  Solekannya mengalahkan artis sahaja.  Perempuan muda itu sedang menikmati semangkuk bee hon goreng yang masih panas.  Ainah tersenyum.  Dia leka memerhati sehinggalah matanya bertembung dengan mata perempuan muda itu.  Dahi perempuan itu berkerut memandangnya.  Ainah  cepat-cepat memandang ke arah lain.  Perempuan itu bingkas bangun, melangkah mendekati Ainah yang menjadi juruwang ganti untuk petang itu.  Kak Siti juruwang restoran itu sedang berehat.
            “Cik dah nak bayar ke?”  tanya Ainah lembut dan mesra.  Senyuman terukir di bibir Ainah.
            “Ainah bt Adi?  Ini Ainah, kan?”  kata perempuan itu.  Giliran dahi Ainah pula berkerut.
            “Betul.  Cik siapa?”  tanya Ainah kembali.  Perempuan itu tersenyum lebar.
            “Kak Nadialah, anak Kak Timah jiran sebelah rumah Ainah, takkan tak kenal?”  kata perempuan bernama Nadia.  Ainah berfikir sebentar. 
            “Ya, ALLAH,  Kak Nadia rupanya?  Maaflah terlampau cantik sehingga saya tidak perasan.  Kak Nadi apa khabar?  Mak Timah kata Kak Nadi bekerja di luar negara?  Betul ke? Hebatnya,”  puji Ainah ikhlas.  Nadia tersenyum manis.
            “Lama kita tak berbual, pukul berapa habis kerja ni?”  tanya Nadia.
            “Saya habis kerja pukul 10.00 malam,”  jawab Ainah.  Nadia mengangguk.
            “Okeylah, akak jumpa di rumah nanti,”  setelah membayar harga minuman dan makanan, Nadia terus berlalu.  Ainah memerhati dengan rasa kagum di hati.  Berubah sungguh anak Mak Cik Timah. Rezeki orang tiada siapa yang tahu.  Kak Nadia bukan seorang yang pandai dalam pelajaran. Lepas PMR dia terus berhenti sekolah kerana sudah tidak berminat belajar lagi.  Apa kerjanya di luar negara?  Persoalan yang bermain difikiran Ainah.  Melihat pada penampilan Kak Nadia tentu dia bergaji besar.  Ainah mengeluh.  Untung nasib orang hanya ALLAH SWT jua yang tahu.

No comments:

Post a Comment