AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 18 September 2014

CERITA KEHIDUPAN- BAB 9

BAB 9
            Aziz memerhati dari jauh Radzi dan Karim menuju ke bangunan belakang rumah kedai tersebut.  Dia tahu sangat apa yang akan dilakukan oleh kedua-dua kawan sekolahnya itu.  Dia mengetap bibir.  Dia terfikir sendiri.  Apakah dia perlu membiarkan atau melaporkan apa yang dibuat oleh kedua orang kawannya itu pada pihak sekolah.  Aziz mengeluh.  Dia terintai-intai. Terbongkok-bongkok.  Dia merasa serba salah.  Entah bagaimana perasaan keluarga kedua orang kawannya itu jika mereka tahu anak-anak mereka terlibat dengan anasir kurang sihat.  Biar pun tiada hukuman bagi penghidu gam tetapi  tetap berbahaya.  Aziz mendengus kasar.  Dia masih berkira-kira hendak mengadu atau tidak.  Waktu masuk ke kelas sudah hampir dekat. Dia memandang ke seberang jalan, masih belum dengar loceng berbunyi. 
            “Aziz!”  jerit seseorang.  Aziz menoleh.  Abang ngahnya dan Rajesh kawan  abangnya datang mendekatinya.
            “Buat apa lagi di sini, lagi dua minit  nak masuk sekolah.  Takkan nak ponteng lagi?” lengking suara Azrul.  Rajesh memegang bahu Azrul, menyabarkan  sahabatnya itu agar tidak menuduh sebarangan sebelum mengetahui apa yang sebenarnya Aziz buat di situ.
            “Aziz nak pergilah ini.  Cuma!  Boleh Aziz tanya sikit tak?”  Aziz memandang wajah abangnya.  Dahi Azrul berkerut.
            “Tanya apa?”  Azrul mencekak pinggang.
            “Kalau kita tahu kawan sekelas kita ada buat perkara tidak baik, wajib kita bagi tahu pihak sekolah atau diamkan sahaja?  Nanti kalau bagi tahu dituduh penyibuk pula?”  Aziz menunduk.
            “Perkata tidak baik yang macam mana?”  Rajesh merenung wajah Aziz. 
            “Macam menghidu gam yang menghayalkan tu,”  jelas Aziz.  Azrul dan Rajesh saling berpandangan.
            “Lebih bahaya dari dadah tu, siapa? Di mana?”  tanya Azrul ingin tahu.  Aziz menarik tangan abangnya menuju ke bangunan belakang.  Dia terintai-intai.  Memang benarlah tekaannya.  Radzi dan Karim sedang khayal.  Azrul menggelengkan kepala.  Dia beristighfar panjang. Begitu juga Rajesh terkejut melihat keadaan itu. 
            Mereka menjauh sedikit dari kawasan tersebut.  Azrul berfikir sebentar.  Dia memandang wajah adiknya dan Rajesh silih berganti.
            “Rajesh kau pergi beritahu Cikgu Ahmad guru disiplin sesi petang.  Aku dan Aziz tunggu di sini.”  Cadang Azrul.  Rajesh mengangguk dan berlari kembali ke sekolah. Tidak sampai lima minit kemudian Cikgu Ahmad hadir bersama guru penyelia petang.  Mereka mengangkat kening, bertanya.  Azrul dan Aziz membawa mereka kepada Radzi dan Karim yang sudah terlena seketika akibat khayal menghidu gam tadi.
            “Ya, ALLAH…  apa mereka berdua lakukan ini?”  Cikgu Ahmad mendekati kedua-dua pelajarnya yang sedang khayal dibawah pengaruh gam tersebut. 
            “Azrul, Rajesh dan  awak Aziz, mari bantu saya bawa mereka ke sekolah,”  Cikgu Ahmad mendekati kedua pelajar dan menarik tangan salah seorang mereka.  Azrul, Aziz dan Rajesh turut membantu.  Kedua-dua pelajar itu terus dibawa ke bilik guru.  Guru Besar, Cikgu Adam telah pun menelefon waris kedua pelajar tersebut.  Radzi dan Karim masih tidak sedar.  Cikgu Ahmad menggelengkan kepala.  Azrul, Aziz dan Rajesh menunggu di ruang luar sementara menanti kehadiran keluarga Radzi dan Karim.  Mereka akan menjadi saksi kepada pihak sekolah jika ada tuduhan dari orang tua Radzi dan Karim yang pihak sekolah membuat fitnah terhadap anak mereka.
            “Tak mungkin anak saya buat kerja terkutuk ini cikgu, di rumah dia baik-baik sahaja.  Cuma dia banyak tidur,”  beritahu Encik Rudi,  ayah Radzi, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang terjadi pada anaknya.
            “Betul cikgu,”  kata Puan Salbiah pula.  Cikgu Adam tersenyum.
            “Anak-anak  ini Encik Rudi, Puan Salbiah depan kita memang mereka baik, di belakang pijak semut pun tak mati.  Jadi sesekali kenalah buat pemeriksaan mengejut dalam bilik mereka dan beg sekolah.  Takut-takut terjumpa apa yang kita tak sangka.  Kalau pakai telefon bimbit pula jangan lupa sesekali periksa juga.”  Nasihat Cikgu Adam.  Encik Rudi dan Puan Salbiah mengeluh.
            “Siapa yang buat aduan ini?  Jangan-jangan budak itu pun turut sama terlibat?”  tuduh Puan Salbiah.  Cikgu Ahmad mengeluh.
            “Jangan tuduh sebarangan puan, pelajar yang jumpa anak puan ini berniat baik.  Kalau dia tidak ambil peduli dan biarkan anak puan berkeadaan begini tanpa diketahui sesiapa, agak-agak apa yang akan terjadi? Sepatutnya jangan salahkan pelajar tersebut, seharusnya puan dan encik berterima kasih kerana pelajar tersebut menyelamatkan anak puan dan encik dari terus hanyut dan rosak,”  tegur Cikgu Adam.
            “Cikgu!”  panggil seseorang.  Cikgu Ahmad dan Cikgu Adam menoleh serentak.  Kedua orang tua  Karim menerjah masuk.  Karim dan Radzi sudah mula sedar walaupun belum sepenuhnya.  Orang tua Karim mendekati anak mereka.  Ibu Karim sudah mula menangis.
            “Cikgu, kenapa dengan anak saya?”  Tanya Puan Atikah, ibu Karim.  Air mata mula mengalir di pipinya.
            “Duduk dulu puan, bersabarlah.  Anak puan tidak apa-apa.  Cuma khayal sikit  sahaja,”  kata Cikgu Adam.  Encik Naim terdiam, matanya masih memandang ke arah anaknya yang macak orang hilang arah.  Tercengang-cengang.
            “Begini, anak puan dan encik berdua didapati ketagihan gam.  Kami jumpa di belakang bangunan rumah kedai di seberang jalan sekolah.  Untung kami sempat sedar awal.  Patutlah dalam kelas mereka asyik tidur sahaja, sesekali mereka ponteng sekolah juga.  Maaf kerana tidak memberitahu soal anak-anak puan dan encik ponteng sekolah sebab kami kira puan dan encik tahu kenapa kedua-dua pelajar ini tidak ke sekolah.”  Kata Cikgu Adam lagi sambil meneliti jadual kedatangan kedua pelajar tersebut.
            “Setiap hari Karim keluar rumah untuk ke sekolah, cikgu.  Saya tidak pernah mensyaki apa-apa melainkan dia kelihatan letih dan tidak bersemangat.  Ingatkan pasal kerja rumah yang banyak atau pun letih ke sekolah,”  kata Puan Atikah, dia masih lagi menangis. Sedih melihat keadaan anak bujangnya jadi seperti itu.
            “Anak-anak sekarang puan, mereka hanya suka bermain dan buat sesuatu perkara yang membahayakan diri sendiri sahaja.  Beginilah, pihak sekolah tidak akan mengambil apa-apa tindakan pada Radzi dan Karim.  Cuma bawa mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan bagi menghilangkan ketagihan.  Kami tidak akan membuang mereka dari sekolah.  Buang sekolah mudah puan, encik, tetapi bagaimana dengan masa depan mereka?  Sebagai pendidik itu menjadi tanggungjawab kami, dah sebagai orang tua mereka encik dan puan wajib mengubah keadaan ini.  Mereka masih boleh diselamatkan lagi.  Belum terlambat.  Walaupun mereka  antara pelajar yang lemah tetapi tidak semestinya mereka tidak boleh berjaya.  Kita perlu ada  rasa keyakinan pada mereka,”  jelas Cikgu Adam panjang lebar.  Cikgu Ahmad mengangguk.  Dia juga tidak setuju pelajar yang menghadapi masalah disiplin dan tingkahlaku tidak baik dibuang dari sekolah.  Pelajar itu bukan akan jadi semakin baik malah semakin buruk dan suatu hari nanti akan menjadi sampah masyarakat.
            Radzi dan Karim terkejut melihat mereka berada di bilik guru besar.  Wajah kedua orang tua mereka ditenung lama.  Karim memandang Radzi.  Karim mengangkat bahu.  Matanya kuyu sahaja memandang ke arah keluarganya. 
            “Radzi, Karim, mari ke mari?”  panggil Cikgu Adam, tegas dan serius sahaja wajahnya.  Marah terdetik juga di hati.  Geram mula bersarang.  Kenapalah anak-anak sekarang tidak memikirkan masa depan mereka.  Sanggup menjahanamkan diri sendiri semata-mata mencari ketenangan, keseronokkan, kononnya.
            “Kenapa kami ada di sini?”  tanya Karim.  Cikgu Ahmad menggelengkan kepala.
            “Anak tak sedar diuntung, berani kau menghidu gam,  ya!” lengking suara Puan Salbiah memarahi Radzi.  Dia menampar kepala dan badan Radzi bertalu-talu.
            “Puan, bawa bertenang,”  pujuk Cikgu Adam.  Puan Salbiah mengetap bibir.
            “Buat malu keluarga sahaja!”  marah Puan Salbiah lagi.  Cikgu Ahmad mengeluh. 
            “Karim, Radzi, kami jumpa awak berdua sedang khayal lepas menghidu gam, ini buktinya,”  Cikgu Adam menunjukkan satu tin kecil gam yang diambil dari dalam beg Radzi.  Ini plastik yang kalian letak sedikit gam untuk dihidu.  Kalian sedar tak perbuatan kalian boleh merosakkan organ otak kalian.  Kalian boleh lumpuh dan kemungkinan besar menemui ajal.  Cikgu tidak tahulah apa yang menyebabkan kalian berani membuat kerja-kerja yang tidak sihat ini.  Cikgu boleh sahaja buat laporan polis dan membuang kalian dari sekolah.  Namun cikgu masih ada timbang rasa, cikgu tidak akan membuang kalian dari sekolah.  Cikgu mahu kalian berubah.  Tinggalkan kerja-kerja gila ini.  Jadilah seorang pelajar dan anak yang berguna pada agama, bangsa dan negara.  Kalian akan jadi pemimpin masa depan. Bak kata pepatah ingin melihat pemimpin masa hadapan, lihatlah pemuda-pemudinya sekarang.  Jika inilah pemuda harapan kami, hancur negara,”  kata Cikgu Adam panjang lebar.
            “Puan, encik, tolonglah jaga anak-anak bagaikan nyawa sendiri.  Mereka perlukan bimbingan, tunjuk ajar dari kita.  Mungkin mereka sudah besar dan mampu berdikari tetapi bukan dalam soal hidup.  Jangan terlepas pandang, perihatinlah pada perubahan mereka.  Nasib baik kita jumpa mereka, kalau tidak  lama-kelamaan pasti mereka mengambil dadah pula.  Waktu itu menyesal sudah tiada gunanya.  Bawa anak-anak encik dan puan berubat.  Kami di sekolah ini hanya mampu membantu mendidik mereka.  Tetapi ibu bapalah yang lebih dan sepatutnya memainkan peranan untuk melahirkan anak-anak yang berjiwa kental, bersemangat waja dalam menghadapi dunia global yang semakin mencabar.  Kembali pada agama, titik beratkan agama dalam diri anak-anak agar keimanan mampu menjadi benteng menghalang kejahatan menular dalam diri mereka.   Di sekolah kami paksa mereka solat, di rumah ibu bapalah yang harus bertanggungjawab pula.  Jangan hanya tahu menyerahkan tanggungjawab hanya pada pihak sekolah.  Ibu dan bapa wajib bertanggungjawab sama.  Kalau kami mendenda dan memarahi anak-anak encik dan puan jangan tahu hanya menyalahkan sekolah dan mendengar kata anak-anak, selidiki dahulu kenapa pihak sekolah denda, kenapa guru marah?  Kami tak gila encik, puan, untuk marah dan denda pelajar kami tanpa sebab.  Saya pun pelik ada waris sampai sanggup saman sekolah kerana memukul anak mereka.  Sedangkan anak tersebut memang kurang ajar dan tidak berdisiplin.  Jika kami biarkan akan mempengaruhi pelajar lain.  Serba salah kami ini.” Ulas  Cikgu Adam panjang lebar.  Kedua-dua waris mengangguk.  Cikgu Ahmad puas hati dengan ulasan  guru besar tadi.  Benar kata Cikgu Adam.  Pelajar jahat dan nakal guru yang disalahkan.  Pelajar dihukum dan dipukul, guru juga dimarahi.  Ada pula tidak segan-segan menyaman pihak sekolah.  Hilang rasa hormat mereka kepada pendidik.  Tidak seperti di zaman  dahulu, guru dianggap bagaikan orang tua sendiri. Ibu bapa pula begitu menyanjungi kerjaya seorang guru.  Kalau anak-anak lepas sekolah ibu bapa akan galakkan anak-anak memilih  bidang perguruan kerana kemuliaan  jawatan tersebut.  Waris siap datang ke rumah  seorang guru semata-mata ingin meminta nasihat dan tunjuk ajar.
            Sekarang ini jawatan guru hanya menjadi pilihan terakhir bagi pemuda pemudi selepas SPM.  Bagi mereka kerja sebagai guru adalah membebankan.  Kena marah dengan pihak kementerian, kena marah dengan ibu bapa, dicaci maki oleh pelajar dan waris.  Kerjaya seorang guru sudah menjadi kerjaya serba-salah.  Niat di hati ingin mendidik para pelajar menjadi manusia yang berdisiplin dan berilmu tetapi dipandang sepi oleh para waris yang semakin bijak dan pintar.  Mereka lupa kejayaan mereka hari ini kerana adanya seorang guru.  Tanpa guru mereka bukan sesiapa.  Cikgu Ahmad mengeluh.  Kerana sikap waris jugalah para pelajar sudah hilang hormat pada guru  mereka.  Tiada perasaan sayang pada guru mereka.  Cikgu Ahmad mendengus kasar.  Dia juga pernah jadi pelajar, dia sayangkan guru-gurunya.  Dia sayangkan sekolahnya.  Dia bercita-cita menjadi guru kerana merasakan kerjaya ini satu pekerjaan yang mulia.  Dia ingin mendidik anak bangsanya menjadi  manusia berguna pada agama, bangsa dan negara.  Jika tiada kerjasama dari  waris bagaimana mungkin impian seorang guru akan tercapai? Bagaimana mungkin impiannya akan tercapai.  Wajah Radzi dan  Karim ditenung lama.  Sebak dadanya melihat keadaan kedua pelajar tersebut.  Di mana silap dan salahnya dia sebagai seorang guru sehingga anak murid sendiri menagih dam dia tidak perasan.  Terlalu alpakah dia?  Cikgu Ahmad muhasabah diri.
            “Panggil Azrul, Rajesh dan Aziz masuk,” perintah Cikgu Adam.  Karim dan Radzi mengangkat kening apabila nama  Aziz disebut.  Tahulah mereka tentu Aziz yang memberitahu pihak sekolah sehingga mereka tertangkap.  Radzi dan Karim mengetap bibir.  Mereka memandang ke  pintu.  Ketiga-tiga pelajar itu masuk.  Radzi dan karim memandang tajam ke arah Aziz.
            “Inilah pelajar yang  menjumpai anak-anak puan dan encik dalam keadaan khayal.”  Cikgu Adam memandang wajah ketiga-tiga pelajar tersebut.  Dia tersenyum bangga. 
            “Terima kasihlah anak-anak ya, kerana selamatkan anak mak cik,”  kata Salbiah, dia mencubit peha Karim.  Marah masih bersisa.  Malu berlabuh di hati.  Keadaan kembali tenang apabila Radzi dan Karim dibenarkan pulang.  Aziz pula kembali ke kelasnya.  Azrul dan Rajesh  meneruskan hajat mereka untuk pulang.  Esok mereka akan ke sekolah semula.  Cikgu Ahmad dan Cikgu Adam menarik nafas lega.  Satu masalah selesai, ada beribu masalah lagi yang sedang menunggu. 
            Cikgu Adam menyandar di kerusi.  Pengalaman berbelas tahun menjadi guru membuatkan dia tidak terkejut dengan apa yang terjadi.  Pelajar sekarang  semakin terhakis nilai pada diri.  Bagi mereka diri mereka tiada nilai, itu sebab mudah sahaja mereka merosakkannya.  Tanpa rasa bersalah pada ALLAH, pada bangsa, agama dan keluarga.  Malah bangga dengan apa yang mereka lakukan.  Siap paparkan dalam ‘youtube’ dan Face book.  Harga diri dicampak bagaikan tiada erti. Maruah tergadai begitu sahaja.  Kalau ingin melihat pemimpin masa hadapan, lihatlah pemuda-pemudi hari  ini, kerana merekalah yang akan mewarisi negara ini.  Jika pemimpin masa depan itu seperti Radzi dan Karim, bagaimana?   Selamatkah negara ini? Akan aman damaikah rakyat?  Akan tenteramkan hati dan perasaan rakyat?   Cikgu Adam mengeluh kesal.
            Cikgu Ahmad kembali kebilik guru.  Dia menarik nafas lega.  Cikgu Naemah mendekatinya.
            “Macam mana?  Dah selesai?”  Tanya Cikgu Naemah.  Cikgu Ahmad mengangguk perlahan.
            “Kena buang sekolah?” Cikgu Naemah bertanya lagi.  Cikgu Ahmad menggelengkan kepala.
            “Kenapa?  Salah tu,  pelajar  yang ditangkap itu kan menagih?” Cikgu Naemah tidak berpuas hati.  Cikgu Ahmad tersenyum.
            “Keputusan guru besar, terima sahajalah.”  Cikgu Ahmad  tersenyum pula.
            “Hish, bawa gejala  tidak baik pada para pelajar kita nanti, busuk nama  sekolah,”  Cikgu  Naemah mencebik.
            “Cikgu Naemah, pelajar itu tidak bersalah, mungkin mereka salah pilih jalan hidup tetapi membuang mereka dari sekolah bukan tindakan  yang bijak.  Berapa ramai yang kena buang sekolah menjadi bertambah baik?  Cuba cikgu buat kaji selidik, cari berapa jumlah pelajar yang telah dibuang dari sekolah?  Berapa pula yang berubah menjadi baik?  Ini tanggungjawab kita cikgu.  Kerja kita.  Bukan sekadar mengajar apa yang ada dalam silibus.  Kita pendidik, bukan hanya mengajar, kita didik anak-anak murid kita jadi pandai, jadi manusia yang berjaya, seperti guru-guru kita dahulu.  Kita didik  mereka memilih jalan yang betul, yang baik, yang lurus, itu peranan kita.  Lihat diri kita sekarang.  Bekerja kerana imbuhan, bukan kerana ada rasa tanggungjawab.  Cikgu mengajar kelas paling corot, ada juga ambil tahu masalah mereka?  Minat mereka?  Tak ada cikgu.  Kita masuk kelas, ajar sikit, lepas itu suruh mereka buat kerja sekolah, kalau tidak sempat  bagi kerja rumah.  Cikgu kita dahulu, kadang-kala habiskan satu masa mengajar itu   dengan hanya bercerita, menasihati kita agar menjadi manusia yang berguna bukan hanya untuk diri sendiri, malah berguna untuk keluar, untuk agama, untuk bangsa dan negara.  Cikgu lupa ke?”  Cikgu Ahmad menjunamkan pandangan ke wajah Cikgu Naemah yang terkedu mendengar kata-katanya.  Beberapa orang guru yang berada di dalam bilik guru juga terdiam.  Sudah acap kali Cikgu Ahmad menerima aduan dari para pelajar kelas yang terakhir, Cikgu Naemah mengajar mereka sambil lewa sahaja.  Kadang-kadang tidak mengajar langsung hanya buat kerja  dia dan para pelajar dibiarkan buat kerja sendiri.  
 Cikgu Ahmad benar-benar kecewa dengan guru seperti Cikgu Naemah.  Biar bodoh sekali pun pelajar itu, nakal atau degil itulah tanggungjawab mereka.  Didik sampai jadi orang.  Mereka manusia, dilahir dan disambut dengan laungan azan dan iqamat yang memuji kebesaran ILAHI.  Pasti boleh berubah.  Tiada satu pun di alam fana ini ALLAH jadikan sia-sia. Pasti ada gunanya.  Tiada yang tidak berguna.  Hanya terserah pada kita sebagai manusia memanfaatkannya.  Cikgu Ahmad meraup wajahnya dengan kedua belah tangan.  Cikgu Naemah mencebik dan berlalu kembali ke tempat duduknya. 
Cikgu Ahmad tersenyum sinis.  Siapa yang makan cili pasti terasa pedasnya.  Kalau tidak bercakap seperti tadi pasti tiada yang insaf dan sedar.  Hanya tahu menyalahkan pelajar, ibu bapa pula menyalahkan guru. Guru pula menyalahkan ibu bapa.  Bagi Cikgu Ahmad semuanya bersalah.  Masing-masing tidak tahu tanggungjawab yang terpikul di bahu masing-masing.  Hanya tahu menunding satu jari sedangkan empat jari lagi menghala ke arah mereka.  Mengeluh.

No comments:

Post a Comment